Home Novel Thriller/Aksi Jangan Percaya!
Jangan Percaya!
Syaida Ilmuna
1/3/2015 12:13:19
68,264
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 19

BAB 19

SEHARI sebelum Anugerah Nusantara Muzik berlangsung, raptai penuh akan diadakan pada malam ini. Bella Amira terpaksa pulang lewat duduk berkampung di control room sehinggalah raptai tamat. Anak-anaknya pula tinggal berdua di rumah. Sejak insiden Kay dan Rizqi mengumumkan berita gembira seminggu yang lepas, Bella berhenti menghantar anak-anaknya ke rumah Fauziah. Selepas waktu sekolah tamat, kedua-dua orang anak Bella akan dihantar bas sekolah pulang ke rumah terus. Belina dan Riza juga harus mula belajar hidup berdikari. Makan dan pakai dibuat sendiri. Bella hanya mampu memberi wang yang secukupnya untuk makan tengah hari. Manakala malam, dia akan memasak untuk anak-anaknya nanti.

Cuma untuk malam ini, Belina dan Riza terpaksa mengikat perut. Entah pukul berapa Bella akan pulang. Bella cuma mengingatkan Belina untuk mengisi perut dengan memakan roti dan biskut yang ada di rumah. Kalau dia pulang awal, dia akan menyediakan makan malam buat mereka berdua.

“Audio ready? Camera ready? Ten seconds on air… Nine, eight, seven, six, five, four, three, two, one… Action!” ucap Bella Amira penuh keterampilan.

Sesi raptai bermula dengan lancar. Upacara pembukaan anugerah dimulai dengan nyanyian lagu hip hop Joe Flizzow dan kumpulan Sleeq dengan lagu mereka Tepi Sikit. Kemudian majlis beralih dengan memperkenalkan dua pengacara terkemuka yang akan mengemudi majlis malam esok iaitu Scha Al-Yahya dan Faizal Ismail yang lebih dikenali sebagai FBI. Adira, Hafiz, Alyah dan juga Datuk Siti Nurhaliza di antara artis yang bakal terlibat dalam menjayakan Anugerah Nusantara Muzik yang dianjurkan dua tahun sekali ini.

Kemeriahan di atas pentas berbeza dengan suasana di dalam konti. Hampir lebih dari 10 orang yang bersiaga di control room termasuklah pegawai teknikal dari segi audio dan visual, switchers, penerbit, penolong penerbit serta lain-lain anggota produksi yang bertungkus lumus berusaha untuk memungkinkan majlis ini dalam keadaan tertekan. Sebarang perubahan di atas pentas mahupun pergerakan kamera yang tidak selari akan diambil kira.

Boleh dikatakan tanpa anggota produksi belakang tabir ini, sebuah majlis anugerah berprestij seperti ini tidak dapat dijayakan sama sekali. Bella Amira adalah di antara anggota produksi di TV 10 yang berpengalaman hampir 10 tahun. Bermula dengan menjadi seorang penolong produksi sehinggalah tugasnya kini sebagai penerbit rancangan, dia sudah mengendalikan berbelas-belas rancangan siaran langsung. Kini setelah sekian lama, dia diberi tanggungjawab untuk duduk di kerusi penerbit anugerah berprestij ini dan bakal mengemudi segala gerak geri kamera yang bakal menyiarkan visual di televisyen pada malam tersebut.

Bella fokus meneliti setiap satu monitor televisyen yang memaparkan visual bagi setiap kamera. Bibir, mata dan mindanya bergerak tangkas. Memberi arahan pada jurukamera dan meneliti jikalau ada yang tidak kena dengan visual. Dalam ketelitiannya, fokus Bella sekilas terganggu. Kemunculan Rizqi di atas pentas menggantikan tugas pengacara buat sementara waktu membuatkan Bella terganggu. Sesi raptai pada ketika itu juga hampir ke acara penutup.

“Belle!” tegur Ainil yang berdiri di belakang Bella. Mengelamun lagi dia ni!

“Kak Belle!” tegur gadis switcher di sebelah Bella. Arahan kameramasih belum diberikan Bella.

“Eh Belle! Wake up! Kau tak bagi camera direction. Nisa, you take control! Kak Belle ni mengelamun lagi!” arah Ainil.

“Apa?” Bella tiba-tiba tersedar. Headphone di telinganya diturunkan.

Tak sempat Ainil berkata apa-apa, pintu control room dihentak kuat. “Bella Amira! Awak tidur ke apa dalam ni?”

Rizqi menyergah Bella tanpa mahu mendengar sebarang penjelasan. Anggota produksi dalam bilik tersebut perlahan-lahan mula meminta diri. Ada yang buat-buat tidak dengar dengan bebelan Rizqi yang bagaikan puting beliung mahu menggulung Bella di dalamnya.

“Awak ingat benda ni main-main? Nasib baik rehearsal. Kalau betul-betul macam mana? Live! Ini rancangan live! Kalau awak nak main-main atau mengelamun tak tentu pasal, baik awak bagi aje tugas awak ni pada orang lain. I don’t want any mistakes tomorrow. You get me?!” hamun Rizqi.

Bella tercengang mendengar marah Rizqi yang laksana singa itu. Dia menelan air liur berkali-kali dengan cubaan menghadam kata-kata Rizqi yang makin menyeksa hatinya. “I’m truly sorry. Saya tak fokus, Rizqi. Saya minta maaf. Esok semuanya akan okay. Saya janji!”

“Janji?” bicara Rizqi mengejek. Dia menjeling Bella tajam. “Ainil, esok you take control. I don’t want her in this control room tomorrow,” kata Rizqi tegas. Dia terus berlalu pergi dari kamar panas tersebut.

Bella tersentak mendengar arahan Rizqi. Sampai hati! Sampai hati dia buat aku macam ni! Air matanya menitis satu persatu ke pipi.

“Ya ALLAH, Belle… dah jangan nangis. Berapa kali aku dah cakap… jangan mengelamun! Kau tak dengar cakap aku. Sekarang tengok apa jadi.” Ainil serba salah. Dia kasihankan Bella. Tapi dia juga tidak mampu membantu Bella. Rizqi sudah mengeluarkan arahannya. Tiada siapa yang boleh menyangkal tindakan Rizqi.

“Dia memang dengki dengan aku! Aku tahu… dia memang tak sukakan aku!” Bella bingkas bangun dari kerusi. Orang-orang yang berada di sekeliling bilik tersebut habis ditolaknya tidak sengaja.

Saat Bella menuju ke lif untuk keluar dari auditorium stadium tersebut, lengannya secara tidak sengaja terlanggar badan lelaki yang menunggu di hadapan lif tersebut.

“I’m sorry!” ujar Bella dalam nada serak menahan air mata dari terus turun lebat. Wajah lelaki itu tidak dipandangnya. Bella hanya fokus ke arah pintu lif sahaja.

“Belle? Awak okay ke?” tanya lelaki itu prihatin.

“Okay,” Bella mengesat air mata. Kepalanya diangkat untuk melihat siapakah gerangan yang prihatin terhadapnya.

“You are crying…” ujar lelaki itu perlahan. Sapu tangan putih dikeluarkan dari kocek seluarnya lalu diberikan kepada Bella.

“Terima kasih, Amir.” Bella mengambilnya tanpa berfikir dua kali. Kesakitan di hatinya membuatkan Bella tidak mengendahkan orang-orang sekeliling yang kini memandangnya dalam keadaan pelik.

“Awak nak minum ataupun makan? Saya boleh temankan,” ajak Amir yang simpati dengan keadaan Bella. Dia tahu apa yang berlaku di control room tadi. Suara kuat Rizqi kedengaran sehingga ke sini.

Thanks. But….” Bella teragak-agak untuk menerima pelawaan Amir.

“Jomlah. I think you need to clear your mind. Jangan stress-stress. Kita minum air teh ke dulu? Nak?” ajak Amir lagi tanpa segan silu.

Bella mengetap bibirnya kuat. Hujung matanya terpandang kelibat Rizqi sedang memerhati dia dan Amir dari balik dinding tanpa sengaja. Masa untuk membalas dendam!

“Okaylah. Jom!” kata Bella tiba-tiba.

***

AIR epal hijau dihirup Bella perlahan-lahan. Manakala karipap dan mi goreng dipesan Amir tadi tidak disentuh. Memang Bella tiada selera untuk makan. Tambah-tambah lagi apabila dia teringatkan anak-anaknya di rumah yang masih lagi berlapar.

“Makanlah. Saya belanja semua ni,” kata Amir ikhlas.

“Tak apa. Saya tak lalu. Anak-anak saya kat rumah pun tak makan lagi tu,” jawab Bella jujur.

“Anak-anak? Awak ada berapa orang anak?” tanya Amir keliru. Sangkanya Bella mesti baru berkahwin. Orangnya nampak muda lagi. Macam tak pernah ada anak langsung.

“Dua orang. Seorang perempuan. Seorang lagi lelaki. Belina dan Riza, namanya,” kata Bella sambil mengulum senyuman. Ingatan Bella terhadap anak-anak membuatkan hatinya sedikit gembira.

What a nice name! Umur berapa? Kecil lagi ye? Setahun dua maybe?” tanya Amir penuh minat.

“Eh… anak-anak saya dah besarlah, Amir. Umur 12 tahun dan seorang lagi tu lapan tahun. Awak umur berapa Amir?” Bella menggeleng-geleng. Dia kata umur anak aku setahun dua? Oh my!

“Wow! Anak awak dah besar. Awak umur berapa Belle? Saya 26 tahun. Dah tua dah,” jawab Amir berseloroh.

“Saya lagi tua. Tua sembilan tahun dari awak. I’m just like your big sister!

“Oh… 35 tahun? Impressive! Awak nampak muda. Saya ingat awak lebih kurang umur saya je,” kata Amir tak percaya. Memang Bella Amira awet muda.

“Eh awak ni… dahlah! Buat saya kembang pulak. Anyway thanks sebab sudi teman dan belanja saya makan,” ujar Bella menutup malunya dipuji Amir.

“Sama-sama. Saya harap awak jangan sedih-sedih lagi. Bos awak tu memang garang, kan? Saya pun takut tengok dia. But no worries! Kalau dia marah awak lagi… awak beritahu je suami awak. Mesti dia marah bos awak tu balik. Mana ada suami suka tengok isteri dia sedih, kan?” bicara Amir yakin. Dalam hatinya, sempat juga dia menyumpah seranah Rizqi. Tegar sungguh lelaki sebegitu menyakiti hati wanita semacam Bella.

Bella tersenyum mendengar bicara Amir Daniyal. Suami? Khayalan saja semua itu! “Hmm… ye lah tu. Kalau saya ada suami memang saya suruh dia hamun Rizqi balik semula. Malangnya saya tak ada. I’m a single mother. Um, saya kena balik sekarang ni. Risau anak-anak saya kat rumah tu. Terima kasih sekali lagi, ye.”

“Oh….” Amir tercengang. Langkah Bella yang laju meninggalkannya dipandang begitu sahaja. Sekali lagi dia diheret perasaan tidak percaya! Bella Amira seorang janda?

***

‘BELLE, mama dekat rumah kamu sekarang. Cucu mama lapar.’

Sepotong mesej yang diterima Bella semasa memandu membuatkan hatinya tidak senang. Maka pedal minyak ditekan menggila. Lampu isyarat dilanggar semua. Mama suka buat perkara yang dia tidak suka.

“Mama buat apa datang rumah saya tanpa beritahu saya dulu?” kata Bella sebaik saja memasuki ruang tamu.

Zahlia yang sedang menonton televisyen bersama cucu-cucunya tersentak dengan kehadiran Bella yang mengejut. Masuk-masuk dah menghamburkan amarah.

“Belle… cepatnya balik. Mama baru aje mesej tadi….”

“Kenapa mama suka ganggu hidup Belle lagi?” tanya Bella melulu. Hatinya panas melihat Belina dan Riza yang buat-buat tidak kisah dengan amarahnya. Mereka hanya fokus menonton televisyen.

“Belle! Cuba bawa bertenang. Mama datang sebab budak-budak ni yang telefon mama. Dia orang lapar sangat. Kamu balik lewat… lepas tu budak-budak ni tak makan malam lagi. Itu yang mama datang dan masakkan nasi, lauk untuk dia orang,” jelas Zahlia mempertahankan dirinya. Dia penat dituduh Bella macam-macam. Apa saja yang dilakukannya memang tak betul saja.

“Mama tak payahlah nak prihatin dengan Belle dan anak-anak. Sebelum ni Belle boleh je uruskan dia orang tanpa mama,” bicara Bella meninggi diri.

“Ya ALLAH!” Zahlia menggeleng-geleng. Belina dan Riza disuruhnya ke dapur. Tak elok jikalau mereka terus menerus mendengar pergaduhan dia dan anaknya. “Belle, kenapa Belle tak hantar Belina dan Riza macam biasa ke rumah mertua Belle? Kan senang… makan minum mereka terjaga.”

“Bekas mertua, mama… Belle sekarang ni kan orang luar. Bukannya ada apa-apa lagi dengan keluarga Fauziah Mansor dan anak-anak dia.” Hati Bella bertambah-tambah sakit apabila soalan ini timbul dari lidah ibunya. Kenapa perlu diungkit sedangkan dia mahu melupakan! Dia sudah tidak mahu lagi dikaitkan dengan keluarga itu. Hancur hatinya mengenangkan sikap Rizqi semasa di control room tadi.

“Belle… bekas mak mertua Belle telefon mama seminggu lepas. Dia cakap yang Belle jauh hati dengan dia. Dia risau Belle dah lama sangat tak hantar budak-budak tu ke rumah dia. Kenapa Belle sampai perlu berseteru begini, sayang? Dia prihatin dengan Belle tau. Dia rasa bersalah sangat sebab tak dapat nak beri kasih sayang sama rata dengan semua orang,” jelas Zahlia.

“Dia tak payah buat semua tu atau rasa semua tu, mama.” Bella menahan kolam matanya dari terus melimpah. Memang perit hatinya apabila mengenangkan bekas ibu mertuanya itu. Mereka rapat. Sungguh rapat!

“Belle lagi suka kalau dia berbaik dengan menantu baru dia. Rizqi pun bukan suka Belle datang ke rumah tu. Asyik nak sakitkan hati Belle je. Kat tempat kerja pun nak marah-marah Belle. Dahlah mama… Belle tak suka nak cakap pasal benda ni. Mama boleh balik dan terima kasih sebab masih prihatin dengan cucu-cucu mama tu,” sambung Bella lagi.

Zahlia mengeluh kecil. Kini dia faham berat apa yang ditanggung oleh hati Bella. Bella masih menyimpan perasaan terhadap Rizqi. Tapi apa yang dia boleh buat? Rizqi itu hak milik orang lain!

“Belle… jangan kerana gaduh dengan si ayah budak-budak ni, anak-anak yang jadi mangsa. Belle tak kesian ke dengan budak-budak ni? Mereka perlukan kasih sayang dari kedua-dua belah pihak. Kalau Belle tak nak hantar Belina dan Riza ke rumah Fauziah, biar mama yang tengok dia orang. Mama yang akan ambil cucu-cucu mama dari sekolah. Nanti bila Belle balik, Belle ambil dia orang kat rumah mama, ye?” kata Zahlia memberi solusi.

Bella Amira terdiam. Dia merasakan solusi yang diberikan ibunya itu bernas juga. Selain itu anak-anaknya ada yang menjaga. Bukan Bella tak pernah memikirkan tentang soal jagaan makan minum anaknya ketika dia bekerja. Dia sebenarnya buntu untuk berbuat apa. Ke sana tak boleh, ke sini dia malu. Jadi jalan penyelesaian yang dilihat kejam ini terpaksa dia ambil selain dia memikirkan ia adalah suatu perkembangan positif buat anak-anaknya untuk belajar hidup berdikari.

“Nanti Belle tanyakan budak-budak tu kalau mereka nak,” jawab Bella dalam nada ego. Wajah Zahlia hanya dipandang sipi. “Tapi… mama kena janji. Jangan sekali-kali nak mengambil kesempatan terhadap anak-anak Belle. Belle tak suka mama gunakan deria keenam mama tu pada Belina dan Riza. They are too young to get to know all this.”

“Mama janji, Belle. Terima kasih sebab Belle beri mama peluang untuk jaga cucu-cucu mama. Mama rindu masa dulu-dulu kita. Kalau Belle senang, Belle datanglah rumah mama…” ucap Zahlia dengan lapang dada. Akhirnya hati Belle dilembutkan. Terima kasih, Ya ALLAH!

“Hmm….” Bella hanya mengangguk-angguk.

“Mama balik dulu. Kalau Belle tak makan lagi… mama ada masakkan nasi putih dengan daging masak kicap. Daging tu mama masak dari rumah.”

“Hmm… terima kasih. Belina, tolong tutupkan pintu untuk nenek,” arah Bella yang tidak mahu lagi memanjangkan bicaranya dengan Zahlia. Hatinya belum sepenuhnya terbuka.

Belina berlari laju menuju ke pintu. Dia menunggu Zahlia di luar.

“Mama balik dulu. Belle jaga diri. Jangan sedih-sedih lagi, ye,” pesan Zahlia sebelum keluar dari rumah. Bahu Bella disentuhnya lembut.

Sebaik sahaja Zahlia keluar dari rumah, Bella pantas menuju ke dapur. Bekas kuning yang berisi daging masak kicap itu dibuka. Aroma rempah yang mencucuk hidung itu membuatkan tali perutnya bergetar. Lapar!

Nasi diletak penuh pinggan. Manakala sisa daging masak kicap itu dihabiskannya licin. Mama memang pandai mengambil hati dengan menyediakan lauk kegemarannya. Nurani Bella perlahan-lahan terbuka buat Zahlia.

***

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.