BAB 1
BELINA
berlari-lari anak sebaik sahaja sepasang mata bundarnya terlihat premis Famous
Amos di hadapan. Bella Amira tidak mampu menahan anak perempuannya dari terus
berlari laju. Sejak dari atas kapal terbang lagi Belina sudah merungut lapar.
Nak makan lollipoplah, kentang
Pringleslah dan juga biskut almond Famous Amos. Nah, kini semuanya sudah
terbentang di hadapan mata! Di Lapangan Terbang KLIA 2 ini, ada pelbagai jenis
premis yang menjual coklat dan gula-gula berjenama mewah. Bagaikan syurga buat
kanak-kanak seusia Belina.
Riza, adik kepada Belina hanya
melihat kakaknya dengan wajah masam mencuka. Tidak keriangan seperti selalu. Badannya
agak panas dan dia lebih suka bermanja dengan Bella sahaja. Mereka berdua
akhirnya duduk di salah sebuah kerusi menunggu di balai ketibaan. Dalam pada
itu, mata Bella tak lepas dari mengamati Belina yang sibuk memilih jenis biskut
kegemarannya di Famous Amos.
“Riza tak nak ikut kakak beli
biskut?” Bella sekadar bertanya. Kelakuan Riza yang kurang bercakap itu membuatkan
dia sedikit susah hati.
“Tak nak.” Riza menggeleng. Matanya yang sedikit berair
digosok-gosok dan jaket kelabu yang ditarik menyelemuti badan.
“Nak minum air?” Bella bertanya
lagi. Rambut Riza diusap-usap lembut.
“Papa lambat lagi ke mama?”
Soalan Bella dibalas dengan pertanyaan yang
menderaukan darah di dadanya. Papa? Sayang betul Riza dengan papa ya!
“Kejap lagi dia sampailah. Jammed agaknya. Mama dah text dia tadi, beritahu yang kita dah
sampai,” jawab Bella memujuk. Matanya kini beralih pada Belina yang
tercungap-cungap berlari ke arah mereka dengan sepaket biskut di tangan.
“Riza rindu papalah, mama. Seminggu
kita kat Australia. Papa jarang-jarang telefon. Kenapa papa tak ikut kita
sekali, mama?” tanya Riza dengan bijaknya.
Tak sempat Bella membuka mulut untuk
membalas, Belina terlebih dahulu menjawab pertanyaan Riza. “Papa mana boleh
ikut kita! Kan papa dah tinggal rumah lain. Lagipun papa cakap dia sibuk… kerja
kat office banyak. Kan mama?”
Bella menghela nafas panjang.
Dahinya berkerut. Iyalah papa tu sibuk dengan kerja. Budak-budak ni bukan tahu
yang papa dia orang tu….
“Belle! Riza! Belina!” Panggilan
kuat dari jarak sepuluh kaki di hadapan mereka membuatkan Bella Amira tersentak.
Dia pantas menekup mulut. Matanya dipicing tajam pada susuk tubuh berbadan
tegap dan berambut kemas berbelah tepi. Baru aje cakap pasal dia. Dah sampai!
Panjang umur betul.
Belina dan Riza berlari laju ke arah
lelaki itu tanpa mengendahkan Bella yang masih terpaku di kerusi. Lelaki itu
didakap kedua-dua orang adik beradik ini dengan erat. Riza yang lemah tadipun
terbang segala demam yang menjangkitinya apabila didukung lelaki tersebut.
“Ma! Cepatlah mama!” Belina
menggamit pada Bella yang masih tidak bergerak-gerak.
Dengan hati yang berat, Bella
menarik dua beg besar yang tersandar pada kerusi menuju ke arah lelaki
tersebut. Hatinya bagaikan tertusuk dengan duri apabila melihat senyuman si
lelaki yang seakan-akan mengejeknya dari jauh.
“Lambat awak sampai!” Bella
menjeling tajam. Kedua-dua beg di tangannya diserahkan kepada lelaki itu.
“Ah… tadi jammedkat LDP. Lepas tu saya kena ambil Kay dari rumah dia dan
bawa dia terus ke rumah mak. Takut nanti lambat pulak nak ambil dia kalau saya
ambil awak dan anak-anak dulu,” jawab lelaki itu sambil tergaru-garu kepalanya.
Pandangan tajam Bella membuatkan dia gelabah. Nanti mesti dia jadi bahan gossip
Kak Long apabila Bella bertemu dengan kakaknya di rumah nanti.
“Kay? Nama dia Kay?” Bella menarik
tangan anak-anaknya dan mula berjalan ke hadapan. Langkahnya laju dari biasa.
“Ya, nama dia Kay. Kaylina. I hope the kids like her,” jawab lelaki
itu tersenyum macho.
“Rizqi, I hope you choose the right stepmother for your children.” Bella
menjawab sinis. Bukan kerana dia cemburu tetapi dia kurang suka jikalau anak-anaknya
mempunyai ibu tiri. Bella masih dibayangi klise tipikal di mana ibu tiri suka
mendera anak-anak tiri mereka.
“She’s
good Belle, percayalah cakap saya. Awak takut dia nak dera anak-anak kita
ke… ataupun awak sebenarnya….” Rizqi memberhentikan kata-katanya dengan helaan
nafas kecil. Dia membiarkan Bella menyambung pernyataannya sendiri.
“Oh
pleaselah!” Bella menjeling tajam.
Riza yang mula meronta-ronta mahu dilepaskan tangannya itu dicempung dukung.
“Kita dah berpisah lebih dari dua tahun. Saya tak kisah kalau awak nak
berkahwin dengan sesiapapun. Bukan masalah saya… Tapi, saya paling pantang
kalau ada orang lain yang nak mengajar anak saya. Belina dan Riza ni
kecil-kecil lagi. Bukannya faham apa-apa.”
Rizqi ketawa kecil apabila mendengar
bicara Bella. Iyalah tak cemburu! Sepanjang dua tahun mereka bercerai, Bella
langsung tidak pernah menegurnya dengan baik. Perpisahan antara mereka
berduapun atas permintaan Bella sendiri.
Rizqi merasakan Bella laksana ‘queen control’ yang menetapkan segala peraturan di dalam rumah
sehinggakan dia merasa tercekik dengan kehidupannya yang kurang kebebasan. Demi
menamatkan perang dingin berbulan-bulan di antara mereka, jalan penceraian
diambil. Perkahwinan yang dahulunya mahal itu sudah menjadi murah apabila masing-masing
mula memahalkan ego diri.
Bicara Bella
Amira tidak bersambut jawapan sehinggalah mereka berempat menempati Toyota
Corolla milik Rizqi.
“Kita terus ke rumah mak. Lepas makan malam, saya
hantar awak dengan anak-anak balik,” ujar Rizqi.
“Terus ke rumah mak?” Bella tidak bersetuju. Nada
suaranya ditekan tanda protes. “Saya nak tukar baju. Melekit dah satu hari atas
flight. Anak-anak pun nak kena mandi
dan rehat sekejap.”
“Alah… kat rumah mak, kan boleh. Lagipun saya tahu…
kalau saya hantar awak dan anak-anak, malam nanti mesti awak tak nak join, kan?” Rizqi sudah sedia dengan
pelan B. Dia memang teringin sangat memperkenalkan Kay kepada anak-anaknya. Dan
dia juga awal-awal lagi sudah dapat menelah, Bella akan buat apa sahaja cara
untuk membatalkan keinginannya.
“Saya joinlah.
Siapa kata saya tak join? Lagipun
sekarang baru pukul empat. Ada lagi empat jam. Saya naklah juga rehat-rehat kat
rumah. Ini tak, terus ke rumah mak. Macam beriya-iya je nak jumpa dengan….”
Bella sengaja menoktahkan kata-katanya di situ. Bibirnya diciut-ciut sambil
matanya membuang pandang pada luar tingkap kereta.
Rizqi hanya diam seribu bahasa. Makin lama, makin
malas dia melayan sikap sentap Bella. Nasib baiklah dia bertemu dengan Kay.
Gadis tinggi lampai dan berwajah ala-ala gadis Cina itu. Kay tak banyak bicara
dan hanya reti senyum saja. Baru berumur 25 tahun. Sepuluh tahun lebih muda
dari Bella. Orangnya juga tenang dan pandai mengambil hati Rizqi. Bukan macam
Bella Amira, 24 jam asyik merungut saja!