BAB 5
KAY
duduk berhadapan cermin bulat meja solek sambil rambutnya didandan oleh mak andam.
Baju kurung moden putih yang berlace motif bunga itu nampak cukup sesuai dengan
tubuhnya yang ramping. Paduan nuansa warna tanah yang ditatarias pada pipi pula
menyegarkan kulit wajahnya yang putih pucat sebelum ini. Dia nampak bernyawa.
Jauh berbeza dari dahulu…. Ketika dia di zaman kegelapan hidupnya.
“Macam mana?” Mak andam sebaya umur
kakak iparnya itu bertanya setelah dia selesai meletakkan selendang putih di atas
kepala Kay.
Kay tidak bersuara namun cukup
sekadar mengangguk dan tersenyum. Mak andam tersebut meminta diri untuk keluar.
Tugasnya sudah selesai. Tinggal tunggu jamuan selepas akad nikah sahaja.
Kemudian, dia sudah boleh pulang.
Suara kanak-kanak yang ketawa dan
hentakkan kaki mereka berlari melalui koridor di hadapan kamarnya membuatkan
Kay tersentak. Hatinya tiba-tiba rasa terganggu. Ketawa kecil anak-anak
tersebut membingitkan telinganya yang sebentar tadi tenang tanpa sebarang
bunyi. Kay bingkas bangun. Kain baju kurungnya dijingkat naik ke atas dan dia
bergerak laju ke muka pintu.
Sebaik sahaja tombol pintu dipulas,
kedengaran suara wanita dewasa bersuara di hadapan muka pintu. Kay tak jadi
menolak pintu dan sekadar mencuri-curi dengar perbualan wanita dewasa itu
bersama kanak-kanak yang bising tadi.
“Jangan lari-lari… nanti jatuh!
Orang dah ramai kat bawah tu. Kakak bawa adik-adik masuk dalam bilik. Nanti
kalau majlis dah habis, mama panggil turun. Okay?” bicara wanita itu lembut
tapi penuh dengan ketegasan.
Kay tersenyum sinis mendengar
perbualan wanita itu dengan anak-anaknya. Selendang yang berada di atas kepala
dilucutkan turun. Kay dengan pantas membuka pintu dan menjenguk ke luar bilik.
“Bella?” serunya sebaik sahaja
wanita ingin berlalu menuruni tangga.
Bella Amira berpaling. Kay? “Ya,
Kay. Ada apa ya?”
“Boleh tolong Kay pakaikan selendang
ni? Mak andam tadi dia pergi toilet.
Tak sempat nak pakaikan…” bicara Kay lemah lembut.
Hati Bella bagai ditimpa batu besar.
Dalam banyak-banyak orang dalam rumah ini…. Kenapa dia? “Boleh…” jawab Bella
terpaksa.
Mereka berdua masuk ke dalam kamar.
Kay duduk di atas kerusi meja soleknya dan Bella mengambil selendang putih itu
dari tangan Kay. Perlahan-lahan seledang itu ditegangkan dan Bella meletakkan
ia dengan lembut ke atas kepala Kay. Pin-pin halus diselitkan ke kiri dan kanan
kepala supaya selendang tersebut tidak jatuh.
Kay hanya membiarkan Bella membuat
kerjanya. Setelah Bella selesai menatarias, Kay mula bersuara.
“Bella….” Kay tersenyum simpul.
“Bella tak cemburu ke… Kay berkahwin dengan Abang Rizqi?”
Bella terdiam mendengar pertanyaan
tersebut. Hatinya menyumpah seranah. Kay ni bodoh atau sengaja pura-pura bodoh?
Wanita mana yang tak terguris hatinya melihat bekas suami berkahwin dengan
orang lain?
“Kenapa Kay tanya macam tu?” Bella
memaniskan roman wajah. Perasaannya dikawal rapi.
“Mana tahu…. Takut nanti Bella
menyimpan dendam.”
Bella ketawa kecil. Dendam? Untuk
apa menyimpan dendam? “Eh, Bella tak pandai nak berdendam-dendam. Perkara ni
dah berlalu lama di antara kami. Dah dua tahun lebih dah. Bella ada life sendiri. Dan Rizqi pun ada life dia sendiri. Kami mungkin nampak
rapat sebab selalu berjumpa bila ada majlis-majlis keluarga macam ni. Tapi
hakikatnya… we’re exes. We accept the
fact that we can’t be together anymore.”
Kay berjeda seketika. Matanya
memandang ke arah mata Bella melalui cermin bulat di hadapannya. Jejarinya yang
berkuku panjang ditekan pada telapak tangan. Semakin lama ditekan, semakin ia
meninggalkan bekas yang dalam pada telapak tangannya. Sakit tekanan itu bagai
ditusuk duri, namun Kay langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi.
“Kay… Bella kena turun bawah. Ada
perkara lain yang Bella nak uruskan.” Bella meminta diri untuk berlalu. Dia
tidak betah berdiam dengan begitu lama sambil saling berlawan mata antara satu
sama lain.
“Baiklah. See you again, Bella,” jawab Kay tenang.
Sebaik sahaja Bella Amira
meninggalkan Kay sendiri, telapak tangan kiri Kay yang berbekas itu diangkat.
Lelehan darah mulai keluar dari kesan tekanan kuku yang dalam pada telapak
tangan tersebut. Kay mencapai tisu dan mengelap darah tersebut bagai tiada apa
yang berlaku.
***
FAUZIAH
meneguk gelas kaca yang berisi air merah perlahan-lahan sehingga habis.
Rengkung yang kering akibat terlalu banyak berbicara pada hari ini akhirnya
disegarkan. Mana taknya dia jadi begitu, dari pagi sampailah ke malam tetamu
datang tak henti-henti. Meskipun ia perkahwinan kedua Rizqi, teman-teman Rizqi
yang terdiri daripada rakan-rakan media di TV10 itu terlalu ramai untuk
disantuni satu persatu. Anaknya eksekutif produser rancangan hiburan yang
terkenal. Pasti ada rakan artis, wartawan dan rakan dari stesen televisyen lain
datang untuk meraikannya.
Nasib baiklah ada saudara mara,
Diana dan juga Bella. Dapatlah juga dia bernafas seketika. Dia juga tak perlu
melayan keluarga besan kerana Kay anak yatim piatu dan hidup sebatang kara.
Keluarga Kay kini adalah keluarganya.
“Zee… teremenung jauh nampak.”
Fauziah tiba-tiba ditegur seseorang dari belakang.
Dia menoleh. Kelihatan seorang wanita yang sebaya dengan umurnya memakai tudung
serkup warna biru gelap mengambil kerusi dan duduk di sebelah kerusinya.
“Bila sampai? Tak beritahu Zee pun nak datang!”
Fauziah menepuk peha wanita tersebut perlahan. Senyuman mula terukir di wajah.
“Lia ingat nak datang senyap-senyap je. Kalau
beritahu Zee… mesti Zee beritahu Belle, kan?” Wanita itu mengerutkan dahinya
tanda kerisauan. Matanya berlegar-legar menjadi susuk tubuh yang amat dia
rindui.
“Belle dah berapa lama tak datang rumah Lia?”
“Sejak dari dia bercerai hari tu sampailah sekarang.
Dah dua tahun lebih dah. Cucu-cucu pun saya dah lama tak jenguk,” kata Zahlia
kecewa. Bella, anak kesayangannya merajuk terlalu lama. Oleh kerana rindu yang
menggigit itu, dia gagahkan hati datang ke majlis persandingan Rizqi ini. Dia
tahu Bella bakal mengabaikannya. Tapi cukuplah bagi dia untuk menatap anak dan
cucu-cucunya itu sekadar dari jauh.
“Marah sangat dia, ya?” Fauziah menghela nafas
panjang. Bella menantu yang baik. Tetapi… baik macam manapun seseorang itu,
pasti ada khilafnya di mana-mana.
“Dia tak habis-habis menuduh akulah penyebab
perpisahan dia dengan Rizqi. Walhal… aku cuma….” Zahlia tidak dapat meneruskan
kata-katanya. Kini matanya tertumpu pada Bella yang sedang duduk sendiri di
meja yang berdekatan dengan pelamin sambil melayan Riza. Zahlia dapat merasakan
kekecewaan di hati Bella. Walaupun dari raut wajah, Bella nampak ceria.
“Yang lepas tu… lepaslah. Dah takdir. Sama ada kau
dah beritahu dia atau kau simpan saja hal tu, mereka akan tetap berpisah. Itu
takdir ALLAH. Kita tak tahu apa yang TUHAN bakal beri kepada mereka. Mungkin Belle
akan dapat lelaki yang lebih menghargai dia dari anak aku, Rizqi. Bellekan baik
budaknya, Lia.” Fauziah memujuk bekas besannya.
“Benar kata kau Zee.” Zahlia menundukkan wajahnya
memandang ke jejari yang sudah berkedut. Usianya makin meningkat tua. Setiap
detik dalam hidupnya mengingatkan bahawa dia semakin dekat akan kematian. Namun
hubungannya dengan Bella, semakin lama semakin menjauh.
“Bagaimana dengan hubungan Belle dan menantu baru
Zee? Apa nama budak tu….” Zahlia menyambung bicara setelah berdiam dua tiga
minit.
“Kay namanya. Mereka berdua setakat ni nampak elok.
Tak ada pulak yang bermasam muka. Tapi….” Fauziah jadi serba salah nak
bercerita. Tak tahu sama ada Zahlia patut tahu ataupun tidak.
“Tapi apa?” tanya Zahlia kerisauan.
“Belle… Belle dapat firasat pada malam Rizqi
perkenalkan dia dengan Kay. Teruk juga dia kena. Mata Belle bertukar jadi warna
putih!” kata Fauziah.
Debar jantung Zahlia jadi tak tenang. Dia merenung
Bella dari jauh tanpa anaknya sedari. Tingkah laku Bella yang sedang mendukungi
Riza sambil berbicara dengan Diana direnungnya dalam.
“Macam mana boleh jadi macam tu? Dia ada beritahu
dia nampak apa?” soal Zahlia curiga.
“Tak adalah dia cerita dia nampak apa. Zee suruh Long
korek-korek cerita… tapi dia tetap diamkan diri. Macam nak simpan sesuatu. Dia
kata dengan Long, dia pun tak nak percaya sangat dengan apa yang dia nampak.
Tapi… Lia pernah ke jadi macam tu dulu?” Fauziah pula cuba mengorek cerita dari
besannya.
“Lia… pernah jadi macam tu sekali aje. Masa tu, Lia
nampak kereta arwah suami terbakar. Lepas tiga bulan… memang betul kereta arwah
terbakar. Ada orang khianat dengan dia. Tapi nasib baiklah dia selamat,” jelas
Zahlia. Hatinya jadi tak senang. Ada sesuatu yang buruk bakal berlaku kepada
keluarga Fauziahkah? Tapi… kenapa Bella rahsiakan kalau benar ia perkara buruk?
“Astaghfirullah….” Fauziah kerisauan. Bella memegang
tangan Kay saat dia mendapat déjà vu. Perkara ini memang ada kena mengena
dengan Kay. Entah-entah…. “Aku rasa tak sedap hati bila kau cerita macam tu.
Aku takut ada perkara buruk bakal terjadi dekat menantu aku tu!”
“Kenapa pulak?”
“Bella jadi macam tu lepas bersalam dengan Kay.
Tangan dia menggeletar, mata dia jadi putih. Lepas tu badan dia terhentak dekat
kabinet dan kemudian pengsan. Macam dia tengok benda yang teruk. Benda yang
beri kesan kepada emosi dia,” kata Fauziah sedih.
“Ya ALLAH….” Zahlia menekup wajahnya. Matanya
diangkat sekali lagi merenung Bella sipi-sipi dari celah tangan. Kemudian
tangannya diturunkan. “Kita doa yang elok-elok. Aku tak pernah lagi ada experience macam dia. Mungkin badannya
lemah ketika tu.”
“Mungkin jugalah… dia baru balik dari Australia
dengan anak-anak.”
Zahlia merenung Bella Amira sekali lagi dari jauh.
Dia seakan-akan dapat merasa kegelisahan di hati Bella. Saat Bella mengalihkan
wajahnya dari berbicara dengan Diana, matanya bertembung dengan Zahlia.
Masing-masing tertegun, namun Bella dengan pantas menjeling dan berlalu masuk
ke dalam kawasan rumah.