Home Novel Thriller/Aksi Jangan Percaya!
Jangan Percaya!
Syaida Ilmuna
1/3/2015 12:13:19
67,805
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 9

BAB 9

BELALANG hijau yang kaku di atas daun bunga Raya ditenung Kay lama. Hatinya tidak tenang. Sebaik sahaja Kay bangun dari tidur, Rizqi sudah tiada di dalam kamar mereka. Bila ditanya dengan ibu mertuanya di mana keberadaan si suami, Rizqi dikatakan ke tempat kerja.

Buat apa dia ke sana? Bukankah Rizqi bercuti sekarang ini? Bukankah Rizqi sepatutnya menumpukan perhatian kepadanya dan bukannya pada kerja? Kay mengeluh lemah. Keliling laman besar rumah ibu mertuanya itu diteliti. Kehijauannya menenangkan hati. Namun pada masa yang sama, ada sesuatu yang membakar jiwanya.

Kay kembali menatap belalang yang masih tidak berganjak pada daun bunga Raya tersebut. Sesungut si belalang bergerak-gerak. Namun keempat-empat kakinya masih memaut teguh pada permukaan daun. Perlahan-lahan tangan Kay bergerak ke arah belalang tersebut. Telapak tangan kanan dan kirinya menekup daun bunga Raya itu. Kemudian dengan lembutnya kedua-dua belah tapak tangan Kay menarik belalang itu masuk ke dalam kepungan tangan yang kini berbentuk seperti gua.

Belalang itu diintai dari celahan jejarinya. Seperti manusia yang punya hati dan perasaan, belalang itu bagai dapat mengetahui apakah nasib yang bakal menimpanya. Ia melompat-lompat minta dilepaskan. Namun Kay hanya bertenang dan membiarkan keadaan belalang tersebut begitu sahaja buat beberapa ketika tanpa merasa takut mahupun geli seperti wanita-wanita lain.

“Kay!”

Kay menoleh ke belakang. Kelihatan ibu mertuanya menggamit dari pintu kaca yang berhadapan dengan ruang tamu.

“Kay! Masuklah!” panggil Fauziah.

Nafas Kay turun naik. Belalang yang berada di tangannya itu dihenyak hancur dengan sekali gesekan sahaja oleh kedua-dua belah tangan. Sisa-sisa belalang itu kemudiannya dibuang ke tanah.

“Ya, mak! Kay masuk sekarang,” sahut Kay dengan nada tenang.

Sebelum kakinya melangkah masuk ke dalam rumah, tangan kanannya yang bersisa hancuran belalang tadi dijilatnya licin seperti menikmati ulam-ulaman. Kay tersenyum puas.

***

BELLA mengerutkan dahi. Matanya diangkat tepat memandang Rizqi dan kemudian beralih pula kepada Saiful yang kini sudah tersengih-sengih sendiri.

“Macam mana Belle? Awak bolehkan join team CSR kami?” Saiful bertanya buat kali yang kedua. Sepanjang perbincangan tadi, Bella hanya mendiamkan diri tanpa melontarkan sebarang komen.

“Saya….” Pandangan Bella bertaut dengan Rizqi. Dia kemudian menunduk. “Saya sebenarnya suka buat amal kebajikan. Saya suka menolong orang, tambah-tambah yang memerlukan dalam situasi yang parah begini. Tapi….”

“Tapi?” Saiful menagih jawapan. Dia perlu membuatkan segala keputusan selewat-lewatnya petang ini. Kumpulan sukarelawan yang pertama akan memulakan tugas mereka esok. Namun angka yang terlibat dalam misi bantuan ini masih terlalu kecil. Kurang dari 10 orang.

“Beginilah… saya berterus terang aje,” kata Bella. “Saya bukan tak nak join kumpulan Encik Saiful, tapi saya baru aje balik dari bercuti. Saya ada beberapa perkara yang perlu diuruskan untuk program saya tahun depan. Lagipun anak-anak saya nak masuk sekolah lagi beberapa hari lagi… saya takut saya tak boleh beri komitmen.”

Saiful berkalih pandang ke Rizqi. Bibirnya diketap kuat dan matanya memberi isyarat kepada Rizqi supaya mengilhamkan suatu ayat yang mampu menarik Bella ke dalam pasukan sukarelawan mereka.

“Belle, tentang budak-budak tu awak jangan risau. Saya dan Kay akan uruskan. Lagipun baju sekolah semua dah beli, kan? Lagi satu… saya minta tolong sangat dengan awak supaya join misi ni sebab tak ramai yang ada kat office sekarang boleh join mereka ni. Saya tak nak stesen kita dicop tak prihatin di mata masyarakat ataupun ambil mudah dalam soal khidmat masyarakat macam ni.

Awak pun tahukan… menjelang tahun baru ni, semua orang cuti. Awak aje yang available. Saya pun cuti. Tapi saya gagahkan juga datang ke pejabat. Jadi saya harap awak jangan kecewakan kehendak bos awak. Saya janji… kita akan bincangkan soal program awak minggu hadapan, lepas awak balik dari Kelantan. Apa saja permintaan awak saya akan bawa ke pihak atasan. Maybe lepas ni ratingakan naik?” ujar Rizqi sambil mengulum senyuman. Manis bicaranya ditutur demi memancing jawapan ‘ya’ dari Bella Amira.

Kening Bella diangkat tinggi. Rizqi! Memang pandai dia bermain kata! “Okay. Saya akan tuntut janji tu. Jadi, bila pasukan pertama akan bertolak, Encik Saiful?”

“Esok.”

What? Esok?” Bella tidak menyangka misi bantuan itu akan diadakan secepat yang mungkin. Tak habis penat pulang dari Australia, dah kena ke Pantai Timur pula?

“Ya, esok. Tiga hari saja. Boleh, kan? Awak ajaklah team Eksplorasi ikut awak sekali. Ain, Fatin, Rahman mesti free, kan?” jawab Rizqi.

Bella hanya mengangguk-angguk. Namun jauh di sudut hatinya, dia menyumpah seranah. Memang Rizqi cakap tak serupa bikin. Hari itu cakap dia diberi pengecualian. Hari ini lain pula ceritanya! Kalau boleh diketuk-ketuk kepala si Rizqi ni….

“Belle, Rizqi… saya anggap masalah ini dah selesai ye. Esok Belle tunggu di hadapan pintu utama TV10 pukul lapan pagi. Kita akan bertolak tepat pukul sembilan,” kata Saiful.

Sebaik sahaja Saiful meninggalkan mereka berdua, sikap sopan Bella sebentar tadi dicampak ke tepi. Api amarah sudah mulai menjalar ke urat kepalanya hingga telinga terasa seperti mengeluarkan haba.

“Awak dan Kay nak jaga budak-budak tu?” soal Bella tegas.

“Saya rasa macam nak batalkan honeymoon kami. Mungkin kami akan pindah ke rumah baru secepat yang mungkin. Jadi saya nak bawa anak-anak kita tinggal kat rumah baru tu dengan Kay sementara awak ke Pantai Timur,” jawab Rizqi selamba tanpa menghiraukan nada amarah pada bicara Bella.

“Perempuan tu… nak jaga anak saya?”

“Yalah… kenapa?”

Bella menipiskan pandangannya terhadap Rizqi. “Saya tak percayakan dia!”

“Awak ni kenapa? Apa salah dia sampai awak tak nak dia jaga anak-anak kita? Awak sedar tak dia tu ibu tiri mereka?” soal Rizqi bertubi-tubi. Panas juga hatinya mendengar bicara Bella.

“Saya tak kisah kalau dia jaga anak-anak saya elok-elok. Tapi… kalau dia sentuh budak-budak tu walau sedikitpun sampai dia orang mengadu dekat saya.... Saya akan pastikan dia akan menyesal!” Bella memberi amaran. Langkah kakinya diangkat laju menuju ke pintu keluar.

“Belle! Nanti jangan lupa singgah rumah mak!”

Bam! Pintu pejabat Rizqi dihempas kuat.

***

BELLA tidak mahu ke rumah bekas ibu mertuanya. Dia tidak mahu lagi bertentang mata dengan Kay yang dianggap sebagai lidah bercabang dua. Jikalau dia datang pun, ia hanya akan membesarkan konflik di antara mereka. Cukup-cukuplah. Memang sedari awal lagi dia tahu yang Kay memang tidak suka padanya. Kay juga cemburu jikalau dia rapat dengan Rizqi.

Oleh itu, Bella cadangkan kepada Rizqi supaya mengambil anak-anak mereka dari rumah dan seterusnya datang ke KFC Kota Damansara. Dia akan mengambil anak-anaknya dari sana dan terus pulang ke rumah. Dalam pada pertemuan itu, dia akan menyuruh Rizqi cuba memujuk anak-anak supaya tinggal bersama Kay di rumah baru untuk tiga hari semasa ketiadaannya. Bella berharap anak-anak kesayangannya akan menolak cadangan bijak ayah mereka.

“Mama nak pergi Kelantan? Buat apa?” bicara Belina petah sebaik sahaja Rizqi berbicara soal kepergian Bella Amira dalam misi bantuan mangsa banjir.

“Mama pergi sana sebab nak tolong mangsa banjir. Kakak tengokkan kat TV pasal banjir tu? Rumah dia orang dah tak ada, makanan pun dia orang tak ada. Kakak tak kesian kat mereka?” Rizqi menjelaskan kepada Belina yang berada di pangkuannya.

“Papa… kita orang duduk rumah nenek, kan?” Riza yang berada di pangkuan Bella pula bersuara. Comot bibirnya dengan minyak dari peha ayam KFC yang sedang dimakan.

“Em... papa ingat macam ni.” Mata Rizqi diangkat menatap mata coklat Bella. Bella membalas pandangan Rizqi dengan jelingan. “Nak tak kalau papa bawa Riza dan Belina tinggal rumah baru papa?”

“Nak!” Belina dan Riza menjawab serentak.

Rizqi tersenyum lebar. “Kita tinggal sama-sama kat sana sampai mama balik, okay?”

“Siapa lagi yang tinggal dengan kita, papa?” soal Riza tidak puas hati.

“Riza, kakak, papa dengan…” Rizqi berjeda seketika. Matanya berkedip pada Bella.

Bella menjegilkan mata supaya Rizqi meneruskan kata-katanya.

“Mak Cik Kay,” sambung Rizqi.

“Wah, Mak Cik Kay pun ada!” Belina teruja. Manakala Riza pula sudah mempamerkan wajah monyoknya.

“Riza tak suka?” Rizqi perasan akan reaksi wajah Riza yang berubah. Mengapa Riza kelihatan tidak selesa apabila nama Kay disebut?

“Riza? Papa tanya tu.” Bella menundukkan wajahnya untuk menatap wajah Riza. Air mata si anak kecil itu tiba-tiba bergenang di tubir mata. Eh, dah kenapa nak menangis pula?

“Riza nak tinggal dengan mama.” Satu persatu titik air mata berhamburan jatuh. Riza tidak mampu menahan perasaannya.

Hati Bella terus jadi luluh melihat tingkah laku Riza. Kolam matanya juga mulai penuh.

“Hey, Riza? Kenapa menangis?” tanya Rizqi yang tidak mengerti. Drama swasta apa pulak ni tiba-tiba anak beranak menangis?

“Riza tak nak mama pergi….” Riza meluahkan isi hatinya. Bella Amira dipeluk erat. Sedu sedan semakin menjadi-jadi.

Kolam mata Bella ikut juga tertumpah.Wajah Rizqi yang serba tidak faham itu makin menambahkan kesedihan di hati.

“Eh, Belle? Kenapa Riza menangis? Awak pun menangis?” soal Rizqi keliru.

“Awak ni tak faham-faham ke?! Dia tak nak saya pergi. Dia tak nak saya tinggalkan dia,” balas Bella yang juga kini sudah tersedu sedan. Air matanya turun berjurai-jurai mengalahkan air terjun.

“Ish!” Rizqi menggaru-garu kepala. Mak dengan anak cepat sangat beremosi! “Riza… mama ada kerjalah. Mana boleh mama tak pergi. Nanti bos marah!”

“Papa pujuklah bos!” kata Riza yang masih menekup wajahnya di sisi badan Bella.

“Dengar tu papa… pujuklah bos!” Bella sengaja mengulangi kata-kata Riza. Hati dia pun sebenarnya tidak rela meninggalkan Belina dan Riza sendiri.

“Eh mana bolehlah!” Rizqi merendahkan suaranya. “Awak ni… kan dah janji dengan Saiful.”

“Bukan saya yang tak nak pergi. Anak-anak awak yang tak bagi!”

Rizqi menepuk dahinya. “Awak pujuklah dia!”

“Awak tengoklah dia dakap saya macam mana! Awaklah pujuk dia. Awak nak dia tinggal dengan isteri awak, kan?” ujar Bella.

Kembang kempis hidung Rizqi mendengar bicara Bella. Dah sindir-sindir pula sekarang, ya! Tanpa membuang masa, Belina yang berada di pangkuannya diletakkan ke tepi. Rizqi bangun dan duduk mencangkung di hadapan Bella.

“Riza anak papa, meh sini papa dukung dia!” pujuk Rizqi sambil mendepangkan tangan.

Namun Riza buat tak endah. Lagi ketat pelukannya pada Bella.

“Alahai Riza… tak kesian kat papa ke, sayang? Papa sedihlah kalau Riza tak nak tinggal dengan papa.” Rizqi kalah dengan Bella dari segi skil pujuk memujuk anak. Tambah-tambah lagi Riza. Hati keras seperti si ibu.

Rizqi memberi isyarat mata pada Bella Amira. Bantulah dia! Dia bukan pandai nak memujuk anak-anak. Kalau mereka suruh dia belikan mainan atau bawa jalan-jalan, dia tahulah!

“Riza… tak baik buat papa macam tu. Kalih muka tu… pandang papa,” pujuk Bella pula.

Mendengarkan suara Bella memujuknya, Riza terus meleraikan pelukan. Kepalanya berpaling pada Rizqi yang sedia dengan depangan tangannya.

“Peluk papa cepat,” bicara Bella lagi.

Akhirnya, Riza mengalah. Dibiarkan badannya didukung oleh Rizqi. Anak beranak itu kemudian saling ketawa antara satu sama lain. Bella Amira tersenyum pada Belina yang menyaksikan sikap Rizqi dan Riza. Hati Bella tersentuh. Alangkah bahagianya jikalau dia dan Rizqi masih lagi suami isteri. Namun semuanya sudah terlambat. Bella mengeluh kecewa.

Mungkin dia yang bersalah dan bukannya Rizqi dalam isu penceraian mereka. Dialah yang terlalu angkuh dan selalu menyangka dialah yang paling benar dalam setiap keputusan yang dilakukannya. Rizqi bagi Bella adalah seorang suami yang lurus. Lelaki yang tidak banyak bicara dan sedia mencintai isterinya dalam apa jua keadaan. Kini cinta suci Rizqi hanya tertumpah pada Kay. Tanpa mengira perangai apa yang Kay tonjolkan atau mendengar bicara orang tentang apa yang mereka fikir tentang Kay. Bella kehilangan cinta itu. Dia hanya boleh berbahagia dengan sisa-sisa cinta yang Rizqi berbagi pada anak-anak mereka.

Itu sahaja yang dia ada. Ya, itu sahaja. Air mata Bella kembali berjurai turun.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.