BAB 8
“MACAM
mana dengan dia?” soal Diana sebaik sahaja Rizqi keluar dari kamarnya.
Rizqi melepaskan keluhan kecil. Dia
menongkat dahi. “Okay. Darah pun dah berhenti mengalir. Rizqi suruh dia berehat
sebab darah banyak keluar tadi. Takut dia pengsan pulak.”
“Alhamdulillah.” Diana sebenarnya
tidak tahu hendak menyebelahi siapa. Walaupun begitu, secara logiknya perkara
ini tidak akan berlaku sendiri tanpa didorong sesuatu. Takkanlah Bella tergamak
melakukan perkara seburuk itu terhadap Kay?
“Rizqi, Kak Long nak tanya sesuatu
pasal Belle.”
Rizqi mendengus kencang. Tak
habis-habis nak menyebelahi Bella! “Kak Long nak tanya apa lagi? Kak Long nak
cakap… bukan dia yang buat Kay? Kan?”
“Bukan macam tu, Rizqi. Kak Long
cuma keliru. Takkanlah Belle tergamak nak lukakan Kay. Kita kenal Belle tu kan
dah lama. Selama lebih 10 tahun akak kenal dia, Belle tak pernah buat perangai
jahat macam tu. Marah macam mana pun dia… dia tak adalah sampai ke tahap nak mencederakan
orang!” Diana memberikan pendapatnya. Cepat betul Rizqi naik angin kalau
menyentuh soal Kay. Dia cuma mengutarakan apa yang dia rasa tidak betul.
Rizqi mengurut-ngurut kepala. Antara
isteri dan seorang lagi bekas isteri. Sudah pastilah dia percayakan isterinya
yang sekarang ini! “Terpulanglah Kak Long dan mak nak fikir apa. Saya tahu akak
dan mak sayangkan Belle. Tapi… tak semestinya orang yang kita kenal
bertahun-tahun lamanya tu baik sentiasa. Mungkin ada keburukannya yang kita tak
tahu.
“Iya akak tahu tu, Rizqi.” Diana
menarik nafasnya dalam. Dia cuba mencari akal bagaimana nak mempertahankan
Bella, bekas adik ipar yang dia sayangi. “Tapi… kitapun tak bolehlah nak
percaya orang yang kita baru kenal seratus peratus, kan?”
“Sekarang ni akak nak cakap yang
isteri Rizqi tu… penipu? Dia cederakan tangan dia sendiri dan sengaja tuduh
Belle? Macam tu?”
Diana menggeleng-geleng. Kes ini
memang kompleks. Dia sendiri tidak tahu siapa yang harus dia persalahkan. Kalau
menuduh Kay semberono pun tak boleh juga!
“Esok, Rizqi bercakaplah dengan
Belle. Tanya dia tentang hal ni ataupun berbaik semula dengan dia. Akak kesian
dengan dia, Rizqi. Ingat sikit… dia tu ibu kepada anak-anak Rizqi. Rizqi tak
boleh terus salahkan dia macam tu je tanpa usul periksa,” nasihat Diana lembut.
Rizqi terdiam. Dia tidak tahu apa
yang harus dia lakukan. Percayakan isteri kesayangan atau beri peluang maafkan
Bella? Tapi… benarkah Bella Amira yang bersalah? Rizqi buntu memikirkannya.
***
TIKA
malam mulai larut, Bella Amira terbaring di katilnya ditemani Belina dan Riza
yang sudah nyenyak tidur. Pipinya basah dengan air mata dek teringatkan
kejadian tadi senja. Sampai hati Rizqi menuduhnya tanpa usul periksa! Manakala
Kay pula, apa motifnya berperilaku begitu? Mencederakan diri sendiri untuk
mengkambinghitamkan dia? Salah apa dia pada pasangan suami isteri tersebut?
Bella mengelap air matanya kasar. Hatinya
terguris. Terseksa. Bukan dia merasa kesedihan ini kerana dia masih menyimpan
perasaan terhadap Rizq. Bella cuma kesal. Kesal kerana Rizqi seakan-akan tidak
mengenalinya lagi. Walhal mereka sudah 15 tahun saling mengenal dan sudah 10
tahun juga menjadi suami isteri sebelum ini. Masakan pandangan Rizqi berubah
dengan sekelip mata setelah berkahwin dengan Kay?
Bella mengalihkan pandangannya ke
jendela yang langsirnya terbuka sedikit. Cahaya bulan menerobos masuk ke dalam
kamarnya. Menyinari bahagian meja solek di mana sebuah bingkai gambar keluarga
lengkap Bella, Rizqi dan anak-anak tersusun di situ.
‘Aku mungkin salah. Kay isterinya.
Sudah pastilah Kay menjadi keutamaannya. Rizqi bukan lagi duda. Dia suami
orang. Dia ada tanggungjawab pada isterinya. Dia menyayangi Kay lebih dari
segala-galanya. Walaupun Kay… Kay tak jujur pada dia,’ bisik hati Bella sayu.
Bella memaksa diri untuk tidur.
Memejamkan matanya walaupun keadaan diri masih belum mengantuk. Dia harus
bangun awal esok. Uruskan hal anak-anak dan hantar mereka ke rumah mak. Nanti
petang, ambil mereka dan berlalu pulang tanpa perlu masuk ke dalam rumah
terlebih dahulu. Bella tak mahu bertembung dengan Kay ataupun Rizqi. Dia tidak
mahu dipersalahkan lagi atas perkara yang tidak dia lakukan. Dia tidak mahu
menimbul sengketa. Dia tidak mahu….
Bella larut dalam mimpi. Kelam dan
gelap. Tidak berteman siapa-siapa hanya dirinya seorang diri.
Dalam kegelapan itu, kaki Bella
melangkah perlahan. Manakala tangannya menerawang ke hadapan. Tercari-cari arah
untuk dituju. Setelah sekian lama berjalan tanpa hala tuju, akhirnya tangan
Bella tersentuh sesuatu berbentuk tombol pintu. Dengan penuh keyakinan, tombol
pintu tersebut dipulasnya.
Cahaya terang benderang membias ke
wajah Bella saat pintu tersebut dibuka luas. Di hadapannya kelihatan dua buah
jendela besar yang berlatarbelakangkan dinding berwarna merah jambu pudar.
Terdapat dua buah sofa bercorak bunga-bunga kecil berwarna merah terang.
Bella melangkah masuk ke dalam ruang
tersebut. Dia menjadi keliru. Tak dapat menbezakan sama ada dia sedang bermimpi
ataupun berpijak di atas bumi yang nyata.
“Mama! Mama! Jangan datang sini! Mama!
Pergi mama! Pergi!”
Jeritan kanak-kanak yang serupa
Belina dan Riza itu membuatkan Bella tersentak. Dia berkalih ke arah kanan.
Kelihatan Belina dan Riza sedang membuat arahan tangan supaya dia menjauh dari
mereka berdua sambil menjerit-jerit. Mata Belina membengkak akibat menangis
terlalu lama. Manakala Riza pula lebam di tangan dan kakinya seperti tanda
dicubit atau dipukul dengan benda keras.
“Sayang!”
Bella pantas berlari. Thum! Thum! Bunyi tapak
kakinya melangkah. Matanya memerhati gerak tangan Riza yang memberi petunjuk
akan sesuatu yang berada di belakang. Bella menoleh.
Mata tajam pisau runcing tinggal
seinci mendekati dahi. Bella redha. Dia memejamkan matanya.
***
“BELLE!”
Tangan Bella tergelincir dari papan
kekunci yang sunyi dari bunyi petikkan sejak tiga minit yang lalu. Dadanya
berdegup kencang. Mimpi semalam sekali lagi menghantuinya dalam sedar.
Astaghfirullah!
“Ain! Kenapa?” tanya Bella. Alur
nafasnya tidak sekata. Jantung Bella berdegup kencang.
“Kau tu yang kenapa?” Ain memusingkan
kerusinya ke arah mejanya sendiri. Kopi panas dicapai dari meja dan dihirupnya
perlahan.
“Aku? Tak ada apalah.” Bella kembali
menatap skrin komputernya. Laman web TV 10 menghiasi pandangan. Apa yang dia
nak buat sebenarnya tadi?
“Aku tengok kau dah macam patung.
Tenung skrin tu macam nak tembus. Lepas tu bila aku cakap dengan kau, kau diam
pulak. Kau okay tak ni?” Ain bangun dari kerusinya. Bahu Bella diurut-urut.
“Okay. Okay aje,” jawab Bella
ringkas. Kepalanya diangkat naik dari kubikel yang menutupi pandangan hadapan.
Kelihatan kelibat Rizqi yang berpakaian t-shirt putih memasuki pejabat. Lelaki
itu bergerak masuk ke dalam kamar khasnya yang terletak berdekatan dengan bilik
penerbit eksekutif yang lain.
“Rizqi?” Ain bersuara. Dia juga
sedar akan kehadiran bosnya itu. “Dia bukan cuti honeymoonke sekarang?”
“Entah.” Bella menjungkitkan bahu
kononnya tidak endah. Dia kembali menatap skrin komputer.
Tok! Tok! Kubikel Bella diketuk.
“Bella!”
Bagaikan spring kepala Bella
terangkat. Kelihatan kepala Rizqi tercongok di hadapan matanya. Sejak bila dia
ada dekat depan aku ni?
“Yes.”
Bella menyahut tanpa memandang ke arah Rizqi. Papan kekunci hitam itu pula
menjadi mangsa tenungannya.
“Masuk bilik saya kejap,” arah
Rizqi.
“Nanti saya masuk.”
“Now,”
desak Rizqi lembut. Perasaannya dikawal oleh kerana keberadaan Ain yang
memerhati mereka.
Bella mengeluh kecil. Dia bangun dan
mengikuti Rizqi ke bilik penerbit eksekutif itu.
“Have
a seat please,” pelawa Rizqi. Air sejuk tuang ke gelas kaca yang tersedia
di ceruk biliknya. Air tersebut diletakkan ke atas meja dan kemudian
disorongkan ke hadapan Bella.
“Kenapa? Ada apa yang nak
dibincangkan?” Bella tidak menghiraukan pelawaan Rizqi. Dia tegak berdiri di
hadapan meja dengan tangannya berpeluk tubuh.
“Saya nak minta maaf dengan apa yang berlaku
semalam. Saya tak patut hukum awak tanpa usul periksa,” luah Rizqi.
“Okay….” Bella bagaikan tidak
percaya dengan apa yang didengarinya. Semalam bukan main mempertahankan Kay.
Hari ini minta maaf? Keningnya bertaut melihat tingkah baik Rizqi.
“Siapa yang suruh awak minta maaf dengan saya? Kak
Long?” sambung Bella.
“Belle… yang sudah tu sudahlah. Saya
dah beralah dan minta maaf. Lagipun saya fikir… Kak Long pun ada betulnya. Saya
tak boleh nak bermusuh dengan awak. Kita ada tanggungjawab. Anak-anak perlukan
kita. Lama-lama tak bertegur sapa pun akan beri masalah kepada Belina dan Riza
nanti,” kata Rizqi. Kepalanya diurut-urut. Berat minda ini memikirkan masalah
demi masalah. Ingatkan bila dah kahwin baru, masalah pun selesai. Datang pula
masalah baru!
“Jadi, memang Kak Longlah yang desak
awak suruh minta maaf dengan saya? Awak sebetulnya masih percaya yang saya buat
benda semalam tu pada Kay, kan?” Bella masih tidak puas hati. Kalaulah ada Kay
di hadapannya sekarang ini, mahu dicekik-cekik perempuan itu. Pandai sungguh
berlakon!
“Bukan macam tu! Dengar dulu apa yang
saya nak cakap….”
“Cakap apa? Awak memang tak
percayakan saya! Awak ingat saya ni gila ke nak buat benda macam tu dekat Kay?
Saya ni masih lagi waras. Apa motif saya nak cederakan orang? Lagipun saya
tahu… awak minta maaf dengan saya ni sebab awak takut saya tak bagi awak jumpa
Belina dan Riza lagi, kan? Ataupun awak takut bila kita tak bertegur sapa
nanti, saya akan bawa budak-budak tu lari jauh dari awak?” Bella meluahkan
segala apa yang tersirat di hatinya. Perkara yang melekat di mindanya sejak
malam semalam lagi.
“No…
bukan macam tulah! Belle… saya memang tak mahu salahkan awak tentang apa yang
berlaku semalam. Tapi saya juga tak boleh salahkan Kay. Kenapa pulak dia nak
cederakan dirinya sendiri? Apa pula motif dia pula buat macam tu?” Rizqi
kembali mempersoalkan Bella. Dia juga dari semalam asyik memikirkan hal ini.
Kay yang tidur nyenyak sepanjang malam dijagainya sehingga pagi ini.
Alhamdulillah darah di tangan Kay berhenti mengalir. Namun isterinya masih lagi
lemah dan kemungkinan mereka terpaksa membatalkan rancangan untuk berbulan madu
dan membawa isterinya ke hospital.
“Saya tak tahu. Awak tanyalah dia.
Kenapa dia buat macam tu? Kenapa dia tuduh saya yang buat dia? Saya sumpah demi
ALLAH! Saya tak buat, Rizqi. Balik nanti awak tanya dia betul-betul… apa
sebenarnya yang dia buat kat dapur tu. Yang saya tahu… saya masuk-masuk je
tangan dia dah berdarah. Pisau ada pada tangan kanan dia. That’s all!” Bella menjelaskan tentang apa yang dia tahu. Walaupun
sebenarnya dia sudah dapat mengagak yang Rizqi tidak akan sedikitpun
mempercayai kata-katanya.
“Belle….
I’m sorry. Tapi cerita awak ni memang susah saya nak hadam. Anggap ajelah
perkara ni tak pernah berlaku. Just let
it be. Saya nak pulihkan persahabatan kita. Demi anak-anak,” bicara Rizqi
yang mahu menoktahkan segala pertikaian antara mereka. Dia malas nak bertekak
lagi dengan Bella. Cukup-cukuplah mereka bergaduh semasa masih suami isteri
dulu. Dah bercerai pun nak bertekak lagi?
Bella menggigit bibirnya menahan
amarah. Dia berkalih dan menuju ke pintu pejabat Rizqi. Sebaik sahaja pintu
dibuka, kelihatan Encik Saiful berdiri tegak di hadapannya. Lelaki itu
tersengih bak kerang busuk. Sudah pasti lelaki sebaya dia dan Rizqi ini sudah mendengar
segala butir perbalahan mereka tadi.
“Oh, Encik Saiful!” Bella mengulum
senyuman yang dibuat-buat. Kepalanya berkalih pada Rizqi. “Bos, Encik Saiful….”
“Oh Saiful… masuk-masuk. Maaf aku
tak perasaan kau dekat luar.” Rizqi merubah watak stressnya tadi menjadi ceria.
“Kalau macam tu… saya keluar dululah
Encik Rizqi,” ujar Bella dengan gaya formal. Dia tidak suka sebenarnya
mencampur adukkan hal peribadi dan kerja.
“Eh, tunggu dulu Puan Belle! Ada
perkara yang Saiful nak bincangkan dengan puan juga,” kata Rizqi yang juga
membahasakan Bella dengan panggilan ‘puan’. Ia adalah ejekan Rizqi terhadap
Bella yang memanggilnya dengan panggilan ‘encik’ secara tiba-tiba. Sejak bila
pulak formal sangat ni? Tadi bukan main ber‘awak-awak’!