BAB 6
PAP!
Fail berisi kandungan program hiburan sepanjang tahun 2014 dihempaskan ke atas
meja. Ahli produksi rancangan Eksplorasi yang dikendalikannya terdiam tak berkata
apa-apa. Masing-masing saling memandang wajah satu sama lain.
“Macam mana? Apa rancangan kita
untuk tahun 2015?” soal Bella Amira tegas. Kemeja kuning material organza yang
dipakainya menaikkan aura dominan.
“Belle… aku rasa kita kena restructure program ni baliklah. Si
Azlan branding tu ada jumpa aku
semalam. Dia cakap rating rancangan
kita makin turun. Bos dia pun ada ura-ura nak tamatkan je rancangan kita ni.
Dah semakin tak relevan katanya.” Ain, penolong produksi Eksplorasi
memberanikan diri untuk bersuara. Ahli produksi mereka yang terdiri daripada
lima orang termasuk seorang pelajar pelatih hanya menikuskan diri. Takut nak
bertentang mata dengan Bella yang terkenal dengan sikap ketegasannya.
Bella menggaru-garu dagu. Rambut panjang di paras dadanya ditolak ke
belakang. Otaknya semakin berserabut. Balik dari cuti aje dah datang dah
masalah.
“Yang lain? Macam mana? Ada idea
untuk menaikkan rating program kita?”
soal Bella. Ruang meeting room yang
santai dengan kerusi-kerusi kecil dan bantal-bantal berwarna-warni jadi beku
bagaikan bilik mayat. Meja bulat yang dikelilingi mereka itu bagaikan meja
hakim yang menanti untuk memberi hukuman.
“Bukan kita tak nak buat kelainan,
Belle. Kita tak cukup bajet. Pihak atasan bagi kita bajet ciput aje berbanding
dengan program Extravaganza, Akademi Bintang…. Kita ni program hidup segan mati
tak mahu je,” ujar Rahman pesimis sambil membelai rambut kerintingnya yang ala-ala
David Arumugam.
“Lepas tu? Kita nak bungkus macam ni
je? Kau orang nak kena campak kat program majalah? Ataupun buat program
gosip-gosip?” Bella bersuara tinggi. Hatinya panas terbakar. Tak ada seorang
pun yang optimis sepertinya. Semua hanya mengharap dia saja yang memberikan
idea dan sokongan.
“Aku tak suka buat program gosip.
Banyak dosa!” Fatin mencelah. Selendang yang dibelit-belit ke kepalanya
ditarik-tarik ke depan. Menutup anak rambut yang terjulur keluar.
“Awak Zahida?” Bella mengasak
pertanyaannya pula kepada pelajar pelatih UiTM yang diam sejak dari awal
perbincangan. “Awak nak kerja dengan kami ke lepas habis praktikal ni?”
Zahida menelan air liur dalam. Masih
berfikir-fikir sama ada ingin menyambung pelajarannya ke peringkat master
ataupun bekerja setengah mati di stesen televisyen swasta ini. “Saya belum buat
keputusan lagi, kak.”
“Bagus. Saya harap awak cari kerja
lain ajelah. Kerja ni pun tak sesuai untuk budak macam awak. Ulat buku. Elok
sambung belajar, lepas tu jadi lecturer. Gaji pun tinggi,” nasihat Bella dalam
nada menyampah. Budak praktikal yang ini memang lembab sikit orangnya. Mungkin
dia tidak punya keserasian dalam bidang penyiaran. Ada lagi bidang lain yang
memerlukan kebijaksanaan pelajar seperti Zahida.
“Belle… cuba kau relax. Kita ada seminggu lagi sebelum
tahun depan. Bulan Januari sampai Februari kita rehat. Mac kita akan mula shooting balik. Dalam pada jangka masa
kita rehat tu… kau bodeklah bos merangkap ex-husband
kau tu. Minta dia cakap dengan orang atasan supaya naikkan bajet. Tahun depan
kita shooting kat luar negara. Boleh
buat program Eksplorasi, Misi Luar Negara! Sedap tak bunyi tajuk?” Rahman cuba
memujuk Bella. Matanya dikenyit-lenyit kepada ahli produksi yang lain.
Harap-harap pujukkannya kali ini jalanlah!
Bella meneliti wajah setiap satu
orang di hadapannya. Dimulakan dengan
Ain, Fatin, Rahman dan Zahida. Semuanya punya reaksi yang sama. Penuh
pengharapan supaya dia berhenti beremosi dan terima cadangan Rahman.
“Kau orang semua ingat senang ke aku
nak pujuk Rizqi?” kata Bella sambil mengangkat keningnya tinggi.
“Alah kau boleh punyalah! Dia
apa-apapun mesti dengar cakap kau!” jawab Ain.
“Kau orang yakin?” Bella bercekak
pinggang. “Tambah-tambah dia dah kahwin sekarang ni. Kau orang ingat dia nak
dengar rayuan aku?”
“Kahwin tu lain ceritalah! Sekarang
ni masalah kerja. Kalau kau sayangkan Eksplorasi… kau kena pujuk dia jugak. Dia
berjaya atau tak pujuk orang atasan tu lain cerita. Yang penting kita mencuba,
kan?” Fatin pula bersuara.
Bella menggaru-garu kepalanya. Matanya menipis
pada Zahida. “Awak tak ada komen?”
“Err….” Zahida tersengih-sengih.
“Saya sokong je!”
“Okay! I try. Tapi kalau tak dapat jangan salahkan aku bila kau orang kena
campak ke program lain.”
“Janji tak!” kata Ain, Rahman dan
Fatin serentak.
“So…
you all can dismissed!” putus Bella.
Sebaik sahaja Rahman dan Zahida
keluar dari kamar perbincangan tersebut, Ain dan Fatin menarik lengan Bella
untuk masuk semula ke dalam. Mereka berdua bercekak pinggang sambil merenung
wajah Bella bagaikan pesalah.
“Kenapa Rizqi tak jemput kita orang
pergi wedding dia Sabtu hari tu?” Ain
menarik muka masamnya.
“Kau tanyalah dia! Kenapa tanya
aku?” Bella mengerutkan dahi. Dia orang ni ingat aku PA Rizqi?
“Sombong betul bos tu, kan! Kau
sepatutnya kahwin dulu dari dia. Sekarang ni tengok… kau pulak yang gigit jari!
Hisy!” Fatin pula memprotes. Dia semenjak dari Bella masih menjadi isteri Rizqi
lagi, dia sudah anti dengan bosnya itu.
“Ya ALLAH! Gigit jari apa ni?
Dahlah…. Boleh mereng aku layan kau orang dua ni tau!” Bella melangkah kakinya
luas untuk cepat-cepat beredar dari kamar tersebut.
“Eh, Belle!” Ain mengejar dari
belakang sambil diikuti Fatin.
“Kau tak nak cari teman hidup ke?”
Fatin mendatangi Bella dari arah kanan dan mula bertanyakan dia soalan panas
lagi.
“Aku dengar Aizat bahagian news tu suka kau tau, Belle,” ujar Ain
pula dari sebelah kiri.
Bella terasa dirinya bagaikan dicucuk-cucuk
oleh dua orang syaitan yang bertopengkan manusia. Tak habis-habis nak mengatur
hidupnya yang sudah sedia teratur ini.
“Girls!
Dah-dah! Aku tak berminat dengan apa yang kau orang nak cakap. Aku juga tak
suka match-making. Apa salah ke kalau
aku terus nak jadi janda?” Bella memberhentikan langkah kakinya. Kedua-dua
orang rakan sekerjanya itu dipandang tipis.
“Tapi….” Ain terdiam. Dia tahu dia
sudah melepasi batas kesabaran Bella. “Kau tak rasa jealous ke tengok Rizqi bahagia?”
“Kau muda lagi Belle. Kau takkan tak
nak ada suami yang support kau?
Sekurang-kurangnya kau taklah rasa terbeban jaga anak-anak kau sorang-sorang.
Si Rizqi tu kalau dah ada anak lagi… mesti dia abaikan Belina dengan Riza,”
celah Fatin pula.
Bella menarik nafas dalam. Memang
itu juga salah satu dari kerisauannya. Namun itu bukan bermaksud Bella harus
mengalah. Itu juga tidak bermaksud dia tidak boleh berusaha sendiri dalam
menjaga anak-anaknya tanpa bantuan Rizqi. Dia boleh! Selama-lama ini memang dia
lakukannya sendiri. Rizqi hanya reti memberi nafkah dan bawa anak-anak keluar
berjalan-jalan pabila mereka rindukan dia. Yang mendidik dan mendengar suara
hati mereka adalah Bella. Hanya dia saja yang mampu mengelap air mata mereka
dan membuat mereka berhenti menangis.
“Aku faham… kau orang memang
prihatin dengan aku, kan? Tapi… buat masa ni aku rasa selesa dengan apa yang
aku ada. Jadi… kau orang jangan desak aku, please?”
Bella mengendurkan suaranya.
Ain dan Fatin mengangguk-angguk.
Mereka faham, Bella hanya perlukan masa untuk meredakan segala kekusutan di
dalam hidupnya.
***
DAPUR
Fauziah tak pernah sunyi kalau ada anak serta cucu-cucunya di rumah.
Tambah-tambah pula selepas Rizqi baru berkahwin dua hari lepas. Ada saja tetamu
yang datang. Anak-anak Rizqi dan Bella Amira pula masih tinggal dengannya
kerana Bella bekerja dan budak-budak tersebut masih bercuti sekolah.
Lalu dia bercadang untuk memasak
yang sedap-sedap hari ini. Malam nanti boleh ajak Bella makan sekali. Kebetulan
pula Diana ambil cuti sampai hujung tahun. Adalah juga orang yang membantunya di
dapur.
Sedang Fauziah leka memasak, dia
tidak sedar dirinya menjadi perhatian orang lain. Sepasang mata yang melihat
tenang bagai helang di sudut masuk dapur. Menunggu masa untuk menerjah ataupun
mungkin sekadar berlalu pergi. Sepasang kaki milik si pemerhati akhirnya membuat
keputusan untuk masuk ke dalam ruangan dapur dan berdiri tepat-tepat di
belakang Fauziah sambil memerhati masakan yang disediakan wanita separuh umur
itu.
Fauziah yang leka memasak
perlahan-lahan berpaling. Hampir-hampir tersentap jantungnya melihat keberadaan
Kay yang bagai angin, tak tersedar kehadirannya.
“Astaghfirullah, Kay! Kenapa diam
aje masuk ke dapur ni? Mak tak sedar….” Fauziah mengurut-ngurut dadanya. Pelik!
Tak dengar pun derap kakinya, tiba-tiba dah ada di dapur?
Kay tersenyum kecil. Dia berjalan ke
singki dan membasuh beberapa pinggan yang berselerak di dalamnya. “Kay tengok
mak sibuk aje. Kay tak nak ganggu.”
“Eh… tak adalah! Mana ada sibuk.
Biasa-biasa aje ni. Rizqi mana?” tanya Fauziah.
“Dekat atas. Ada orang telefon dia,”
jawab Kay ringkas. Tangannya yang basah dilap-lap. Kelihatan parut luka ditusuk
kuku pada telapak tangan kirinya yang memerah.
“Kenapa dengan tangan tu?” Fauziah
terperasan akan luka di tangan Kay. Baru dua hari di rumahnya sudah ada luka?
Tapi… bukannya Kay buat kerja berat pun.
“Oh? Ni?” Kay cepat-cepat merapatkan
tangannya ke dada. “Luka biasa je. Terkena pisau.”
“Biar mak letakkan plaster. Luka tu macam dalam,” ujar
Fauziah.
Kay melarikan tangannya. “Tak apa
mak. Sikit je. Tak sakit.”
Fauziah mengerutkan dahi. Kemudian
kepalanya menggeleng. Degil! “Tak apalah. Kay pergi panggil Rizqi turun makan.
Kalau nampak Kak Long… minta dia panggil budak-budak sekali turun makan. Dah
dekat pukul satu.”
Kay hanya mengangguk tanda menuruti
kata-kata Fauziah. Dia kemudian naik ke kamar peraduan. Rizqi yang sedang galak
berbicara telefon ditenung dari jauh.
“Yes…
aku tahu. Tapi masalahnya sekarang ni aku tengah bercuti. Tak boleh nak join team CSR pergi Kelantan hantar
bantuan banjir. Ajaklah mana-mana budak bahagian hiburan tu. Rasanya
kebanyakkan tak ada kerja pun sebab semua dah habis shooting program. Start
shooting balik pertengahan Februari nanti. Elok-eloklah kau bawa dia orang
tu… dari duduk menyembang kat office.”
Rizqi galak berbicara. Kehadiran Kay di dalam kamar tersebut tidak begitu dia
perasaan. Matanya tertumpu pada permandangan di luar balkoni.
Kay berjalan ke arah Rizqi dengan
tertib. Bahu Rizqi ditepuknya dua kali sambil berdehem. “Rizqi… Mak panggil
turun. Makan tengah hari.”
Rizqi hanya menunjukkan tanda tangan
supaya menunggu sampai dia habis berbicara dengan sahabatnya di telefon. Kay
diabaikan seketika.
“Yelah! Kalau lepas honeymoon nanti aku turun. Ataupun
sebelum tu aku datang jenguk budak-budak kat office tu. Paksa dia orang pergi misi bantuan banjir. Apa-apa nanti
aku call balik, ataupun senang-senang
aku suruh Belle sampaikan kepada budak-budak tu. Assalamualaikum!” Rizqi
menoktahkan bicaranya. Panggilan dimatikan.
Kay hanya merenung perilaku Rizqi
tajam. Sepotong nama Bella yang didengarinya tadi membuatkan hatinya berbisa.
Mindanya pula menggelegak ditumbuhi hasutan yang memaksa dia melakukan sesuatu.
“Sayang nak pergi office ke?” bicara Kay lembut walaupun
hatinya menahan kemarahan.
“Eh, tak lah! Hari ni tak… esok kot.
Sebelum kita pergi honeymoon,” balas
Rizqi. Tangan Kay dipegangnya erat. Isterinya dibawa keluar dari balkoni.
“Oh…. Bila kita nak pindah dari
sini?” Kay bertanya lagi.
“Pindah?” Rizqi mengerutkan dahinya.
“Tak nak duduk lagi seminggu? Biar mak dan Kak Long kenal awak dan mesra dengan
awak sikit. Nanti kita pindahlah lepas dua tiga minggu balik dari honeymoon.”
Kay menggeleng pantas. Wajahnya cemberut.
“Lagi awal pindahkan lagi bagus!”
“Kenapa pulak?” Rizqi tidak faham
dengan apa yang dimaksudkan Kay.
“Saya suka kalau saya dapat siapkan
makan pakai awak sendiri. Saya tak nak orang lain buatkan untuk awak.” Kay
memaniskan roman wajah. Dalam senyumannya ada sinis dan kecemburuannya
melampau.
“Oh, ye ke? Kalau macam tu… balik
dari bercuti je kita pindah, okay?” Rizqi mencuit hidung Kay yang mancung dan
tirus itu.
Kay hanya mengulum senyuman. Dalam
hatinya pelbagai pergolakan yang sedang berlaku. Ia di antara menutup segala
sifat-sifat kecelaannya dan mencintai Rizqi dengan setulus hati. Namun begitu,
makin dia menutup reality tentang keadaan dirinya, makin dia merasa terseksa.
Makin menjadi-jadi mindanya berfikir di luar jangkaan. Kaylina hanya mampu
bertahan.