Home Novel Thriller/Aksi Jangan Percaya!
Jangan Percaya!
Syaida Ilmuna
1/3/2015 12:13:19
67,870
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 3

BAB 3

“LONG… renjiskan air Yaasin ni ke muka dia,” arah Fauziah sambil menghulurkan sebotol air ke tangan Diana.

Diana perlahan-lahan menitiskan satu dua titik air Yaasin itu ke muka Bella Amira. Tiada kesan. Bella masih dalam keadaan yang sama. Matanya terpejam layu. Badannya kaku tak bergerak. Lalu Diana menuangkan sedikit air ke tangannya dan dengan bacaan selawat, Diana menyapu wajah Bella perlahan-lahan dari atas hingga ke dagu.

Mata Bella mula bergerak-gerak. Diana memberi isyarat mata pada Rizqi yang berada ruang tamu untuk masuk bersama Kay yang masih lagi terkejut dengan kejadian tadi. Masing-masing menunggu kesedaran Bella dari lena yang mencecah hampir 15 minit itu.

“Belle….” Diana mengangkat tubuh Bella untuk bersandar pada lengan sofa. “Bella okay tak ni?”

Bella Amira menatap wajah setiap seorang yang berada di hadapannya. Mak, Kak Long, Rizqi dan… Kay. Matanya terus berlari dari menatap mata Kay yang baginya memberi pandangan kasar.

“Okay. Belle okay,” ucap Bella sambil menggosok-gosok kepala. “Bella nak balik. Kak Long boleh telefonkan teksi? Anak-anak Bella mana, ye?”

“Nak balik?” Fauziah tercengang mendengarnya. “Belle tak makan lagi. Budak-budak tu pun tak sempat nak makan. Tunggulah dulu. Makan dan rehatkan badan tu. Nanti lepas makan, Rizqi boleh hantar balik. Ataupun Belle tidur kat rumah mak. Esok, pagi-pagi Long boleh hantarkan.”

Bella menggeleng. Pandangan matanya berlawan dengan Kay yang masih memberi pandangan yang sama. Dingin dan ada sesuatu yang disimpan dari tutur matanya. Sesuatu yang Bella dapat rasakan bukanlah perkara yang baik-baik. Ah! Tak molek fikirkan yang buruk-buruk fasal orang, Bella!

“Belle, betul cakap mak tu. Kalau awak nak balik sangat, lepas makan saya hantarkan.” Rizqi pula mencelah.

No. No, thanks. Saya rasa tak sihat dan saya rasa nak balik naik teksi aje. Mak bungkuskan ajelah buat budak-budak tu. Bolehkan kalau tak menyusahkan mak?” Bella menolak pelawaan Rizqi mentah-mentah. Dia merasakan kurang manis menerima pelawaan itu di hadapan Kay.

Fauziah saling memandang ke arah anak-anaknya dan juga Kay. Dia tersenyum. “Kalau macam tu Long hantarkan Belle dan budak-budak tu pulang. Mak ke dapur bungkuskan makanan. Rizqi dan Kay kalau nak makan, boleh ke ruang makan dengan budak-budak, ya?” Fauziah mula memberi arahan. Dia memahami apa yang cuba disampaikan Bella. Ada sesuatu yang bergolak di minda bekas menantunya. Bukan seperti selalu.

“Baiklah, kalau dah begitu.” Rizqi hanya menurut. Dia menarik tangan Kay lembut untuk kembali ke ruang makan.

“Rizqi!” Bella tiba-tiba bersuara.

“Belle nak minta maaf sebab rosakkan makan malam ni. I’m sorry, Rizqi… Kay,” sambung Bella.

Kay berpaling dan mendekati Bella. Tangan kanannya menyentuh bahu kiri Bella lembut namun tekanan yang diberikannya agak kuat. “It’s okay… You take care, ya,” bicaranya gemalai sambil mengulum senyuman lebar.

Hati Bella berdebar kencang. Senyuman Kay membuatkan dia tak senang duduk. Ada apa sebenarnya dengan gadis ini? Hati Bella Amira mula berdesis sendiri.

***

DIANA membontoti ibunya ke dapur. Sebelum Fauziah mula mengambil bekas-bekas untuk membungkus makanan malam ini kepada cucu-cucunya, Diana menggenggam tangan si ibu erat.

“Belle terkena lagi?” soal Diana serius. Mata ibunya ditenung dalam.

Fauziah melepaskan nafas kecil. Dia memandang ke kiri dan kanan untuk memastikan hanya mereka berdua di dapur tersebut. Dia mula berbisik perlahan, “Agaknyalah. Tapi kali ni macam teruk je mak tengok. Macam mana dia boleh terhentak kat kabinet tu? Dia yang tolak badan dia sendiri ke?”

“Tak mungkinlah mak. Mak pun tahu Belle tu macam mana. Kalau dia dapat benda tu, memang dia macam tu. Dia tak dapat kawal diri dia. Tapi setahu Diana, dia dah dekat setahun tak dapat benda tu,” kata Diana.

Fauziah terdiam seketika. Bella bukan wanita biasa-biasa. Bekas menantunya itu ada kelebihan yang orang lain tak punya. Suatu kelebihan yang boleh mendatangkan kebaikan dan pada masa yang sama keburukan yang tidak mereka ketahui.

“Setahun? Dia beritahu Long?” soal Fauziah mahu kepastian.

Diana mengangguk yakin. “Ada apa ke dengan si Kay tu mak?” tanya Diana ragu-ragu.

Belum sempat Fauziah berbicara, Rizqi menyampuk bicara ‘private and confidential’ mereka. “Kenapa dengan Kay? Kenapa dengan Belle?”

Fauziah berpura-pura senyum seperti tiada apa yang dibincangkan antara dia dan Diana. “Kenapa? Tak ada apalah, Rizqi. Tak temankan Kay kat depan tu?”

“Mak dengan Along cakap apa? Belle dapat déjà vu, kan?” Rizqi tidak berpuas hati dengan jawapan ibunya. Mak mengelak dari menjawab soalan! Mereka berfikiran buruk tentang Kay kerana déjà vu Bella?

“Eh, apa yang Rizqi fikirkan ni? Mak rasa Belle tu letih agaknya. Seharian dia tak berehat. Dari atas kapal terbang sampailah kat rumah. Sebab tu dia jadi macam tu. Rizqi jangan fikir macam-macam. Baik Rizqi pergi tengok Kay dan budak-budak tu. Nanti apa pulak kata Kay. Macam kita tak meraikan dia,” sangkal Fauziah dengan bijaknya. Dia tidak mahu Rizqi terasa. Walaupun hatinya sudah terdetik akan sesuatu yang pelik dengan keadaan Bella.

Rizqi berlalu keluar dari dapur tanpa banyak bicara. Manakala Diana pula berkalih pandang pada ibunya. Fauziah pula hanya menipiskan pandangan sambil menghela nafas berat.

***

BELLA AMIRA menarik selimut satinnya erat ke dada. Bantal didakap erat. Setelah beberapa saat dalam posisi yang sama, Bella kembali terjaga. Jam yang diletak di tepi meja diamatinya lama. Lagi seminit berdetik ke jam enam pagi.

Dia bingkas menolak selimutnya ke tepi. Rambut ikal mayangnya diikat sanggul ringkas. Bella bangun dari katilnya dan berjalan ke kamar mandi.

Pili air dibuka deras. Bella menakung air di tangannya dan menyapu air tersebut ke muka. Wajahnya yang putih mulus itu ditatap dalam. Rupa Bella memang ada iras-iras Erra Fazira. Sebab itu Kak Long galak mengusiknya sebagai hot mama lagak primadona Malaysia itu.

Bella menggeleng-geleng sambil tersenyum apabila teringatkan kata-kata Kak Long. Wanita yang berusia 40 tahun itu sudah seperti sahabat sehidup semati dengannya. Segala-gala cerita mereka kongsikan bersama. Dahulu Kak Long juga pernah membantah tindakan Bella yang ingin memfailkan permohonan cerai terhadap Rizqi kerana dia takut kehilangan teman. Dia takut Bella dan dia tidak akan rapat lagi jikalau Bella bukan lagi adik iparnya.

Bella kembali merenung pili air. Sekali lagi tangannya menakung air. Namun air yang keluar dari pili itu lama kelamaan bertukar warna. Dari putih menjadi merah pekat dan kemudian berubah menjadi hitam.

“Ahh!” Bella terjerit kecil. Takungan air dari tangannya dilepaskan jatuh ke lantai. Bella memejamkan matanya rapat.

Pabila kelopak matanya ditolak buka semula, kelihatan siling putih terbentang luas. Kepalanya yang agak berat ditoleh ke tepi. Jam loceng yang berada di atas meja menunjukkan jam pukul 5.59 pagi. Ada lagi seminit sebelum pukul enam pagi.

“Astaghfirullah….” Bella mengucap perlahan. Dadanya diurut lembut. Pijama satin yang dipakainya jadi basah dengan peluh yang merindik pada bahagian leher.

“Apa yang nak jadi dengan aku ni?” ucapnya termengah-mengah.

Selimut ditolak ke tepi. Bella bangun perlahan-lahan. Kakinya memulakan langkah bergerak ke kamar mandi. Namun sebelum pintu kamar mandi itu ditolak, ketakutan mula menjengah ke hati Bella. Imbasan mimpi ngerinya tadi mula menerjah pantas ke minda. Bella mengorak beberapa langkah ke belakang dan melangkah keluar dari bilik peraduannya. Kamar anak-anak menjadi tujuan.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.