Home Novel Cinta Cinta Yang Tertukar
Cinta Yang Tertukar
Hanan Rahman
25/5/2015 15:13:01
135,107
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 25

Nea memegang perutnya yang berkeroncong. “Lapar lagilah…” luahnya. Hajat mahu terus lena setelah menjamah biskut dengan segelas air milo bersama Izz tadi terus di batalkan. Mahu tidak mahu, terpaksa juga dia menjengah ke tingkat bawah. Mahu menyediakan sesuatu yang lebih mengenyangkan. Setelah sampai di tingkat bawah, di lihatnya Izz sedang menonton televisyan di ruang tamu.

“Kat rumah kau ni ada apa-apa yang boleh di masak ke?” Tanyanya.

“Ada,” jawab Izz tanpa mengalihkan pandangannya dari kaca televisyen.

Lalu Nea berlalu ke dapur. Dapat makan nasi dengan telur goreng pun sudah cukup bagus. Peti ais di buka. Tapi yang kelihatan hanya ada dua botol air mineral sahaja. Apa yang nak di masak? “Izz, fridge kau kosonglah. Aku nak masak apa kalau macam ni?” Jeritnya.

Tidak lama, Izz muncul di sisinya. “Bukan kat situ.” Dia kemudian bergerak ke kabinet berhampiran dan mengeluarkan sebungkus maggi perisa kari. “Ni.”

Nea membulatkan mata. “Maggi?”

“Yalah.”

“Sayur, ikan, ayam, beras tak ada ke? Aku tak nak maggi.”

Izz menggaru kepalanya. “Buat apa aku nak beli semua tu? Membazir. Aku bukannya selalu datang sini.”

“Habis tu aku nak makan apa?”

“Maggi.”

“Aku tak nak.”

“Kalau macam tu, makan pizza je lah. Esok kita pergi beli barang,” balas Izz.

“Tak kan nak keluar? Nanti papa nampak.”

“Habis tu kalau tak keluar, nak makan apa? Pizza memanjang? Dah jemu, makan maggi pula.”

“Aku bukannya suka-suka tak nak keluar.”

Izz mengeluh. Dia pun takut juga. Apa-apa boleh terjadi. Dunia ini kecil. Tidak mustahil boleh terserempak dengan Tan Sri Hisyam di mana-mana. “Aku tahulah. Tak apa, nanti aku ikhtiar cara lain. Ni, kau nak pizza tak?”

“Bolehlah dari tak ada. Tapi aku tak nak kongsi tau. Kita beli asing.”

“Badan kecil. Nafsu besar. Ada bela hantu raya ke kat dalam perut tu?” Sindir Izz sebelum kembali semula ke ruang tamu.

Nea mengetap bibir. “Dasar tenuk!”

***

Nea memicing anak telinganya. Dia salah dengarkah? Tak mungkin! Jelas di telinganya ada lebih dari satu suara di ruang tamu. Gelak tawa begitu jelas kedengaran. Perlahan-lahan kakinya melangkah ke arah datangnya suara itu.

“Nea. Sini,” panggil Izz setelah terlihat kelibat Nea.

Nea kaku. Faiz dan Afif. Kedua-duanya tersenyum lebar memandangnya. “Bi… bila korang sampai?”

“Adalah dalam dalam dua puluh minit,” jawab Faiz.

“Oh. Tak minum dulu?” Nea berbasa basi.

“Tak apa. Kita orang dah minum dah sebelum datang sini tadi,” kata Afif.

Nea terangguk-angguk. Setelah itu, dia diam. Tidak tahu apa lagi yang mahu di borakkan. Lagipun dia bukanlah rapat sangat dengan sahabat-sahabat Izz ini. Cuma pernah terserempak beberapa kali ketika mereka keluar dengan Izz. Tapi dia tahu, mereka ini juga turut mengatanya. Ketuanya? Siapa lagi kalau bukan Izz Anaqi.

“Eh, okeylah. Kita orang balik dulu. Tak nak kacau lama-lama orang tengah honeymoon ni,” seloroh Afif.

“Yalah. Nanti rasanya aku pun nak macam ni. Honeymoon dalam rumah. Best juga,” tambah Faiz sambil ketawa.

Izz tersengih. Kawan-kawannya memang gila! “Dah lah. Pergi balik. Dan jangan menyibuk nak datang sini lagi.”

“Baik bos. Nampaknya tahun depan Rasya dah ada genglah ni,” kata Faiz lagi.

Nea mengerutkan dahi. “Siapa Rasya?”

Baby joe. Masa korang kahwin hari tu Joe ada bawa anak dia. Maybe you tak perasan.”

“Oh ya ke?” Namun dalam hati, sudah berbakul sumpah seranahnya. Mulut tak ada insurans! Perkara sensitif itu juga yang di sebut. Geramnya!!

“Dah lah. Balik, balik.” Izz mencelah.

Faiz dan Afif mencebik. “Yalah, yalah. Bye Nea.”

Nea tersenyum sahaja. Pemergian mereka berdua hanya di hantar dengan pandangan mata yang menjengkelkan. Perangai sama teruk dengan Izz. “Kenapa dia orang datang sini?” tanyanya sebaik sahaja Izz menutup pintu.

“Hantar bantuan,” jawab Izz.

“Bantuan?”

“Ikut aku.” Tangan Nea di tarik menuju ke dapur.

“Eh.” Nea tidak sempat memghalang. Dan setelah tiba di dapur, dia terkedu. Ada dua bungkusan beg plastik sederhana besar terletak di atas meja. “Apa ni?”

“Semua yang kau nak ada kat dalam ni. Cukuplah untuk dua hari lagi kita kat sini.”

Pantas Nea menjengah isi di dalam beg plastik itu. Benar. Semuanya ada. Dari bahan kering sehinggalah yang basah. “Kau suruh dia orang beli semua ni?”

“Yalah. Kita kan tengah bersembunyi. Tak boleh keluar. Jadi kenalah minta bantuan secara rahsia kalau nak survive,” balas Izz.

“Dia orang tak buka mulut ke nanti?” Tanya Nea gusar.

“Dia orang kawan yang paling boleh di percaya.”

“Yalah tu,” cebik Nea. Izz dulu pun mengaku orang yang paling boleh di percaya. Tapi hakikatnya… hampeh!

“Kau ni reti masak ke?”

Nea mengecilkan matanya. “Kalau aku masak sedap, kau nak bagi aku apa?”

Izz tergelak. “Aku bagi… bagi… kebahagiaan.”

“Hesy! Tak apalah. Terima kasih banyak-banyak. Simpan je lah kebahagiaan kau tu.”

“Orang bagi tak nak. Nanti aku tak bagi, merengek-rengek minta.”

“Aku boleh cari bahagia sendiri,” balas Nea sebal. Rasa mahu di cili pula mulut Izz.

“Yalah. Aku doakan kau jumpa bahagia yang kau cari,” ujar Izz tapi dalam nada bergurau.

Nea mendengus. “Ni, aku nak cakap sikit. Aku tak suka apa yang kau cakap tadi. Boleh menimbulkan salah faham.”

“Yang mana?”

“Pergi balik. Jangan menyibuk nak datang sini lagi. Yang tu. Tak pasal-pasal dalam kepala Afif dengan Faiz fikir benda lain.”

Izz pura-pura mengerutkan dahi. “Benda lain? Benda lain apa?”

“Jangan buat-buat tak fahamlah.”

“Betul. Aku tak faham. Ke kau yang fikir benda lain ni?” Izz mengangkat-angkat kening. Nea semakin di hampiri.

Cepat-cepat Nea menutup telinganya. “Dah lah. Malas nak dengar.”

“Malas nak dengar? Ruginya…”

Nea berundur ke belakang bila Izz semakin menghimpitnya. “Kau nak buat apa ni?”

Izz menguis pipi Nea. “Aku nak bagi kau tengok sebab kau kan tak nak dengar.” Lalu tanpa amaran, hidung Nea di kucup lembut.

Nea tergamam. Terkebil-kebil matanya. Izz yang sudah gila atau… dia? Dan dia tersedar saat tawa Izz meledak. Nea tersentak. Tapi Izz sudah tiada di hadapannya. “Izz!! Tak guna!” jeritnya kuat. Pantas dia berlari mengejar Izz. Cumanya dia sudah terlambat bila kedengaran Izz menutup dan mengunci pintu bilik.

Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanan Rahman