“OKAY class! Any question before I dismiss the class?” Suara lantang
Madam Mary, pensyarah berbangsa Cina untuk subjek bahasa Inggeris itu bergema
di dalam bilik kelas di mana berlangsungnya sesi tutorial untuk pagi itu.
“No.” Terdengar
beberapa suara perlahan daripada pelajar yang sudi menyahut pertanyaan daripada
pensyarah yang masih setia berdiri menanti jawapan daripada para pelajarnya.
Madam Mary tersenyum apabila menerima jawapan tersebut.
Dia mula mengatur langkah menuju ke meja. Sesekali dia mengerling kepada para
pelajarnya yang masing-masing sedang sibuk mengemas buku dan kertas yang masih
berada di atas meja.
“Emm... saya nak pergi perpustakaan lepas ni. Nak ikut
tak?” Dalina menyiku Hana yang duduk di sebelahnya.
“Tak apalah. Saya dah janji nak jumpa dengan Ika. Kelas
dia kat sebelah ni aje,” jawab Hana separuh berbisik.
Tangannya mula menggosok mata untuk menyegarkan diri
sendiri.
“Okey. Kalau ada apa-apa, cari aje saya kat situ. Sebab
lepas ni pun, kita ada kelas Puan Sufi, kan? Malaslah nak balik ke bilik. Hah!
Kerja Puan Sufi tu awak dah siap?”
“Emm...” Hana mengangguk sambil menggumam.
Masakan kerja yang dilakukan untuk dua orang itu belum
lagi disempurnakan. Apatah lagi setelah menerima amaran daripada Puan Sufi dan
juga Rina.
Selain Ika yang sudi berkawan dengannya, Dalina adalah
orang kedua yang boleh dipercayai Hana di UiTM ini. Dalinalah yang akan tolong
mengejutkan dirinya kalau dia sudah tertidur di dalam mana-mana kelas.
Hana memerhati sekeliling kelas yang sudah kosong dan
sepi sebelum jam yang tersangkut pada dinding mencuri pandangan matanya.
“Kenapa Ika tak keluar lagi ni?” gumam Hana sambil
mengerling ke arah pintu.
Janji yang sudah dibuat kepada Ika semalam untuk
bersarapan bersama-sama di medan selera membuatkan bibir Hana tersenyum senang.
Dari bersandar di kerusi, Hana mula menongkat dagu.
Nota-nota yang berada di atas meja hanya dipandang sekilas lalu sekadar mengisi
waktu yang masih bersisa sementara menunggu kedatangan Ika.
Dari menongkat dagu, sebelah lengannya mula dilunjurkan
di atas meja dan Hana mula merebahkan kepalanya. Huruf-huruf yang tertera di
depan matanya tidak lagi berjaya membuat Hana untuk terus membaca.
Pagi itu sekali lagi menjadi saksi Hana terus hanyut di
dalam lenanya di dalam kelas yang sunyi sepi itu. Cahaya matahari yang kian
menyuluh ke wajahnya juga tidak langsung mengganggu tidur Hana yang terus
nyenyak itu.
“TENGOK tu...”
Hafiz menjuihkan bibirnya ke satu arah apabila pintu dikuak.
“What? It’s her
right?” Zafran yang turut berada di dalam kumpulan itu memandang ke arah
sebuah meja yang berhampiran dengan tingkap di dalam kelas itu.
“Kita salah kelas ke? Tak, kan?” Syamsul yang sudah berada di dalam kelas
melangkah keluar semula untuk menyemak jadual yang tertera pada dinding di luar
kelas.
“Salah kelas apanya. Bukan kau orang tak tahu perangai si
Sleeping Ugly ni. Kat mana-mana pun dia boleh landing cantik punya! Silap-silap kat tengah padang tu pun boleh,”
tingkah Zafran sambil mula mengatur langkah.
“Hei! Kau nak buat apa tu? Biar ajelah. Nanti dia
bangunlah tu.” Hafiz mula berasa cuak apabila melihat kawannya yang sudah
tersenyum-senyum.
Langkah kaki Zafran terhenti seketika apabila mendengar
kata-kata Hafiz.
“Apa kau cakap? Bangun? Kau tak ingat waktu orientasi
dulu tu? Kalau tak ada err... apa nama minah tu?” Zafran memetik-metik jarinya
cuba untuk mengingati nama pelajar perempuan yang terbayang di dalam mindanya.
“Entah.” Hafiz menjongketkan bahunya.
“Ah! Apa-apalah nama minah tu. Kalau tak ada minah tu
yang tolong kejutkan, manalah si ugly
ni tahu nak bangun. Kan?” tutur Zafran.
Kakinya mula melangkah semula mendekati meja di mana Hana
sedang berada.
“Dah tu? Wei! Apa yang kau nak buat tu?” Hafiz
menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia mula berasa cuak.
Edi yang sedari tadi memerhati mula tertawa apabila sudah
mengagak tindakan yang bakal dilakukan oleh kawan mereka itu.
“Betullah kita tak salah ke...” Syamsul yang baru
melangkah semula ke dalam kelas setelah memeriksa jadual yang terlekat di luar
bilik kelas itu, tidak meneruskan kata-katanya apabila memerhati Zafran yang
sudah berdiri di depan meja Hana.
“Apa yang dia nak buat tu?” Syamsul menyiku lengan Hafiz.
“Wei! Kau ni, agak-agaklah!” Hafiz bersuara tanda protes.
Edi yang sudah mengambil tempat duduk di belakang kelas
mula membuka mulut.
“Biarlah! Bukannya salah pun. Teruskan Zaf!” ujar Edi,
seakan-akan memberikan semangat dan galakan kepada kawan mereka untuk
melaksanakan hajatnya itu.
Zafran yang sudah berdiri di depan meja tersenyum sambil
menegakkan ibu jarinya. Penutup sebotol air mineral yang baru dibeli di kedai
koperasi di kolej sebelum datang ke kelas, mula dibuka.
“Kau nak... Hisy, takkanlah.” Syamsul mengerutkan
wajahnya apabila melihat botol air yang digenggam Zafran sudah diangkat di atas
kepala Hana yang masih tidur.
“Satu, dua, ti...” Zafran terus mengira dan botol air
yang sudah dicondongkan itu hanya menanti masa untuk melimpahkan isi
kandungannya.
“Tiga!”
Terpinga-pinga Hana apabila sesuatu yang dingin menyapa
wajahnya. Dia yang terkejut terus bangun sambil menyapu-nyapu wajah dan
tudungnya yang sudah basah.
Zafran dan Edi yang berasa lucu mula meledakkan ketawa
mereka.
“Hei! Apa ni?” Hana memandang kepada Zafran yang tercegat
di depan mejanya.
“Apa ni? Kau tak tahu ke? Ni airlah. Air mineral. Aku
baru beli tadi. Kau untung tau sebab ni air aje. Kalau asid?” Zafran terus
ketawa apabila melihat wajah Hana yang basah dengan air yang hampir separuh
dihabiskan ke atas gadis itu.
“Kalau asid, leburlah jawabnya!” tingkah Edi yang berada
di belakang kelas.
Hana terdiam. Tangannya terus menyapu air yang masih
bersisa pada wajah. Sesekali lengan baju kurungnya turut dilapkan ke muka untuk
mengeringkan air.
Dia memandang Zafran yang terus tertawa geli hati dengan
pandangan geram. Kemudian, dia memandang sekeliling kelas mencari siapa lagi
yang masih berada di situ. Kelibat Hafiz dan Syamsul yang berada di satu sudut
jelas kelihatan sedang memandang ke arahnya. Edi yang sedang tertawa juga dapat
dilihat matanya.
Hana yang mula berasa malu mula mengemas nota-notanya.
Dia ingin segera meninggalkan bilik tersebut. Untung sahaja hanya mereka
berlima yang berada di situ. Kalau tidak, dia yakin, pastinya suasana akan
lebih gamat lagi.
“Itulah, siapa suruh tidur. Tidurlah lagi. Sana sini kau
boleh tidur, kan?”
Celoteh Zafran tidak diendahkan. Hana terus memasukkan
nota-notanya ke dalam beg.
“Alah, takkan kau marah kut. Relakslah. Kalau bukan kau
penyeri kat UiTM ni, siapa lagi kan? Betul tak?”
“Yalah. Betul tu. Dahlah kau tak cantik. Kalau marah,
lagilah bertambah tak cantik!” Suara Edi yang menjadi penyokong setia terus
menyahut dan menokok tambah kata-kata kawannya itu.
Hana terus bergegas melangkah menuju ke pintu dan mula
melangkah keluar dari ruang yang bingit dengan gelak ketawa Zafran dan Edi.
Tiba di luar, sakit hati yang ditahan mula membuatkan kelopak matanya digenangi
air.
“Apa salah aku? Aku tak buat apa-apa pun kat dia orang,”
getus Hana.
Kenapa Zafran tergamak melakukan sedemikian rupa? Kalau
sekali, bahkan dua kali, mungkin dia boleh bersabar, tapi ini adalah kali yang
ketiga.
“Nanti mesti ada balasan untuk mamat tu! Biar kena tumbuk
ke, baru dia tahu!”