Home Novel Cinta Isteriku Sleeping Ugly
Isteriku Sleeping Ugly
Daisy Norhaida Othman
29/7/2015 12:28:34
69,387
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

MATA Rina terkebil-kebil memandang dinding putih biliknya. Entah berapa lama dia mengiring sebegitu, dia sendiri tidak pasti. Terasa lenguh di bahu, dia mula mengubah posisi. Kali ini menelentang pula dengan menghalakan pandangannya ke besi yang menjadi pengalas tilam untuk katil dua tingkat itu.

Bibirnya diketap geram apabila mengingati peristiwa petang tadi di medan selera. Belum pernah dia berhadapan dengan situasi yang memalukan dirinya sebegitu rupa. Kejadian itulah yang menyebabkannya begitu sukar untuk menemui lena pada malam ini. Lalu, kaki mula diturunkan dari katil.

Sempat Rina mengerling kepada Airin dan dua orang lagi rakan sebiliknya yang sudah lama hanyut dibuai mimpi. Hanya dia seorang yang menanggung resah di hati. Tidak, bukannya resah, tetapi lebih kepada perasaan malu dan amarah yang berpadu menjadi satu dalam hati.

Kaki diatur perlahan-lahan menuju ke tingkap bilik Kolej Mahsuri itu. Tangannya mula menyingkap tabir. Matanya mula dikecilkan sebaik terpandangkan bangunan Kolej Malinja yang tersergam di depan mata. Kebanyakan bilik telah pun bergelap. Hanya satu atau dua bilik yang masih diterangi cahaya lampu pada pukul 1.45 pagi itu.

“Tak guna kau Adif!” desis Rina sambil mengetap bibir.

Dadanya mula berombak kecil, menahan marah yang mula bertamu semula.

Rina memejamkan mata. Kejadian petang tadi kembali diulang tayang di dalam mindanya. Dia yang berasa gembira kerana berjaya menyuruh Hana pergi menemui Adif itu, menghabiskan masa dengan menikmati hidangan ringan bersama-sama dengan Zafran yang senantiasa berjaya menghiburkan hatinya. Namun, gelak ketawa yang menghiasi meja mereka pada petang tadi hanya bertahan sementara cuma dengan kedatangan Adif yang tidak disangka-sangka.

“A... Adif, I boleh jelaskan...” Rina memandang Adif dan Zafran silih berganti.

Zafran hanya berlagak selamba sambil terus menyedut air teh aisnya yang masih berbaki di dalam gelas.

“Iya? Nak jelaskan kenapa youada kat sini? Dengan dia ni? Hmm... agaknya younak dapatkan ubat sakit you daripada dia ni, macam tu?” Adif menuding ke arah Zafran, pelajar lelaki yang merupakan juniornya itu turut mengikuti kursus yang sama seperti dirinya iaitu Pengurusan Perniagaan.

“Sebenarnya Adif...” ujar Rina, tergagap-gagap.

Akalnya dikerah untuk mencari idea bagi meyakinkan Adif kenapa dia berada di situ bersama-sama dengan Zafran.

Beberapa pasang mata yang berada di meja berhampiran bertindak sebagai pemerhati setia. Drama episod terbaru yang menampilkan barisan pelakon yang juga baru di pandangan mata mereka. Walaupun tidak selalu terjadi pergaduhan antara pasangan di dalam UiTM ini yang boleh menarik perhatian, namun apa yang sedang dipertontonkan di depan mata kini amat menarik dengan penampilan tiga orang sekali gus.

That’s okay, Rin. You pun mesti dah penat, kan? Kejap nak tipu sana, kejap nak tipu sini. Mana nak belajar lagi. Lagipun, orang selalu cakap, three is always crowd. Jadi, untuk mempermudahkan urusan kerja you dan untuk menjaga maruah I, kita putus.” Adif mengangkat keningnya kepada Rina yang tersentak dengan keputusan yang diberikan.

“Tapi Adif, bagi peluang kat I nak explain.”

Explain? Explain what? Yang you ingat I senang-senang percayakan you selama ni dan sebab tu you mudah nak tipu I, kan? Macam tu?” Suara Adif mulai meninggi.

Hilang seketika kesabarannya yang ditahan-tahan sedari tadi apabila memandang raut wajah hipokrit Rina.

Rina yang sudah berdiri, sempat menjeling ke arah beberapa orang pelajar yang saling berbisik sesama sendiri. Ah, itu tak penting. Apa yang penting sekarang ini ialah Adif.

“Adif, I...”

No need. Mulai hari ni, I dengan you habis setakat ni. Lebih baik I yang tinggalkan you daripada you nak buat macam tu kat I satu hari nanti. By the way, semoga bahagia,” tutur Adif sebelum mula melangkah.

Rina menyapu air mata yang mengalir di pipi. Dia mula mendengus geram mengingati kata-kata Adif petang tadi.

“Lebih baik dia yang tinggalkan aku? Aku, Rina Batrisyalah! Ada aku hairan sangat dengan lelaki macam dia tu? Aku boleh dapat jauh yang lebih baik daripada dialah,” desis Rina geram.

Raut wajah Adif yang sejak tadi terpahat di dalam kepalanya kini diganti dengan raut wajah seseorang yang muncul.

“Kalau tak kerana dia, mesti semua ni takkan terjadi. Entah apa yang dia pergi mengadu kat Adif!” Rina kembali mengetap bibir apabila raut wajah Hana menjelma dalam minda.

Sebelum ini, apa yang dicakapkannya kepada Adif, apa saja yang diberitahu kepada lelaki itu, semunya dipercayai. Tak pernah ada pun masalah yang terjadi antara mereka berdua. Langsung tak pernah. Kenapa setelah dia meminta Hana untuk pergi bertemu dengan lelaki itu barulah semua ini berlaku? Apa yang diberitahu oleh gadis dungu itu kepada Adif?

“Kalau dia cakap macam yang aku suruh mesti semua ni takkan terjadi, kan?” Rina mula memikirkan logiknya.

Baginya, tiada orang lain yang harus dipersalahkan di dalam hal ini kecuali Hana, si Sleeping Ugly itu!

“Jangan-jangan, kau sendiri pun sukakan Adif tu, kan? Jadi, bila ada peluang, kau mestilah nak rampas.”

Rina mengangguk perlahan, mengiakan telahan yang mula merasuk ke dalam kepalanya. Jari-jemarinya diramas geram. Dia berlalu semula ke katil dan mengambil tempat di birai.

“Huh! Nampak saja suci, macam baik hati, tapi hati dialah yang paling busuk. Jaga kau Ugly. Aku takkan biarkan kau lepas ni. Aku akan berikan hadiah yang kau takkan lupakan seumur hidup!”

Rina mula tersenyum jahat. Rancangan yang terbentuk dalam kepalanya akan dilaksanakan sebaik yang mungkin. Air mukanya yang telah dijatuhkan harus ditebus oleh Sleeping Ugly yang dungu itu!

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Daisy Norhaida Othman