Home Novel Cinta Isteriku Sleeping Ugly
Isteriku Sleeping Ugly
Daisy Norhaida Othman
29/7/2015 12:28:34
69,392
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12

Penghujung tahun 2007, semester akhir.

HANA tersenyum girang apabila memandang langit yang cerah putih berseri. Sebentar lagi, dia akan menduduki peperiksaan akhir untuk kertas LAW 379. LAW 379 ialah kod yang diberikan oleh UiTM untuk kertas Business Law atau Undang-undang Perniagaan, kalau diertikan ke bahasa Melayu.

“Amboi! Berseri-seri muka. Kenapa? Seronok ke kejap lagi nak berpisah dengan saya?” tegur Ika seraya mencuit pinggang Hana.

Langkah mereka diteruskan untuk menuju ke Dewan Mini di mana akan berlangsungnya peperikasaan tersebut.

“Mana adalah. Bukan sebab tu saya seronok. Mestilah sedih nak berpisah dengan awak. Segala apa yang kita harungi bersama-sama selama tiga tahun ni bukannya mudah tau nak saya lupakan,” tutur Hana, jujur.

Ika yang mendengar semakin meleret senyumannya. Tangan Hana diraih sekali gus membuatkan rakan baiknya itu sedikit terkejut.

“Kenapa ni?”

“Yalah. Dah hari terakhir kan kita kat sini? Biarlah saya nak pegang tangan awak. Ingat tak macam kita kecik-kecik dulu? Bila kat sekolah rendah ke, tadika ke, kalau berjalan mesti pegang tangan macam ni, kan? Eleh, macam awak tak pernah,” tingkah Ika, terus tidak melepaskan tangan Hana.

“Hisy! Tepilah! Nak pegang tangan bagai, couple ke?”

Rina yang muncul dari belakang terus meredah di tengah-tengah pegangan tangan Ika dan Hana

“Woi! Seluas-luas jalan kat sini, sini jugak ke kau nak kena lalu hah?!” tempik Ika yang sudah mulai geram.

Rina terus berjalan tidak menghiraukan kata-kata Ika.

“Sudahlah tu. Biarkan. Dah memang perangai dia macam tu, kan? Lagipun, entah-entah dia gelabah ke, kita mana tahu?” tutur Hana memujuk Ika.

“Iyalah, gelabah ke, takut ke, panik ke, agak-agaklah. Bukan dia seorang yang nak ambil exam tu. Ramai lagi. Memang perangai dia tu suka nak sakitkan hati orang lain.”

Ika yang masih tidak berpuas hati mula menarik muncung. Hana yang melirik kawan baiknya itu tertawa kecil.

“Awak ni pun, kalau tak muncungkan mulut tu memang tak sah, kan? Dahlah, nanti habis terbang ilmu law yang ada dalam kepala awak tu.”

“Yalah. Ini pun dah macam tak berapa nak ingat ni. Err... pasal contract. Emm... apa ya? Awak ada bawa nota tak?”

“Mana ada. Tengok ni, sehelai sepinggang aje. Ini adalah.” Hana menunjukkan kotak penselnya.

“Lupa pulak. Awak memang tak pernah bawa nota kan bila nak ambil exam? Maklumlah, orang dah pandai. Rasanya saya ada bawa dalam beg ni.”

Ika terkial-kial mencari nota yang berada di dalam beg yang digalas di bahu sambil terus melangkah. Hana yang memerhati tersenyum terus. Bukan kerana dia merasakan dirinya pandai lalu tidak perlu dia membawa nota itu, tapi dia akan menjadi lebih gelabah kalau masih membaca di saat-saat akhir sebelum menduduki peperiksaan untuk satu-satu kertas itu. Kalau dibawa tapi tak digunakan, apa tujuannya, kan?

“Ada tak?”

“Hah! Alhamdulillah, ada pun. Ini dia.” Ika menggoyang-goyangkan beberapa kertas tangan yang sudah berada di tangannya.

“Ingat, nanti nak masuk dalam dewan, tinggalkan kat luar. Nanti tak pasal-pasal dituduh bawa ‘toyol,” ujar Hana lebih kepada peringatan.

‘Toyol’ adalah istilah yang diguna pakai di UiTM untuk nota yang dibawa masuk oleh pelajar secara curi-curi untuk membantu di dalam peperikasaan.

“Yalah. Tahulah saya. Kita kan dah semester terakhir. Dah tu, hari yang terakhir pulak, yahuuu!” Ika mula bersorak.

Hana sendiri berasa gembira. Bukan saja dia akan tamat belajar sebagai pelajar Diploma Pentadbiran Awam, tetapi dia juga akan merdeka sebagai orang suruhan kepada Rina Batrisya. Itulah yang paling diingininya sejak beberapa semester yang lepas. Berkat kesabarannya, hari ini akhirnya telah tiba juga.

“Ramainya!”

Ika memerhati para pelajar yang memenuhi pekarangan Dewan Mini. Pelbagai gelagat dapat diperhatikan. Ada yang berbual-bual kosong, bergelak ketawa dan tak kurang ada juga yang sedang membaca majalah dan surat khabar, relaks habis! Tentunya yang paling ramai adalah yang masih membelek-belek nota buat kali terakhir sebelum melangkah masuk ke dalam dewan nanti.

“Mahunya tak ramai. Bukan pelajar sepenuh masa aje kan macam kita ni, tapi kan pelajar jarak jauh, e-PJJ pun ada jugak.” Hana menunjuk ke arah satu kumpulan.

Ika ikut memerhati ke arah kumpulan lelaki dan perempuan yang kelihatan jauh lebih berumur jika dibandingkan dengan para pelajar yang lain.

“Itulah, terlupa.” Ika tersengih.

“Jomlah. Duduk kat situ dulu. Selesa sikit kalau awak nak baca.” Hana mula melangkah ke arah anak tangga.

Kaki lima dewan yang sesak dipenuhi para pelajar yang rata-ratanya bersila di situ sudah kelihatan tidak mempunyai ruang untuk dirinya dengan Ika lagi.

“Ingat tau, kalau saya tertidur nanti...”

“Tahulah saya nak kejutkan awak. Siapa yang kejutkan awak kalau bukan muka ini kan, Cik Hana?” tingkah Ika tanpa mengalihkan pandangannya yang jatuh ke atas helaian-helaian nota.

Hana tersenyum, mengiakan kebenaran di sebalik kata-kata kawan baiknya itu. Memang setiap kali dia tertidur sewaktu menduduki peperiksaan, Ikalah orangnya yang akan tolong mengejutkan dirinya. Mujur juga petugas-petugas peperiksaan memahami keadaannya itu.

Melihat Ika yang sedang fokus kepada pembacaannya, membuatkan Hana terus mendiamkan diri. Tidak ada hati untuk mengganggu kawannya itu. Jam di pergelangan tangan dikerling.

“Baru pukul 1.45,” getus Hana.

Peperiksaan yang bakal berlangsung pada pukul 2.00 petang itu masih berbaki 15 minit sebelum ia bermula. Hana mula gelisah. Tidak sabar rasanya ingin menduduki kertas yang terakhir itu dan mengakhiri apa yang dilaluinya selama tiga tahun ini.

Dia bersyukur selama tempoh tiga tahun ini, belum pernah dia gagal di dalam mana-mana subjek yang diambil. CGPA yang diperolehinya juga cukup memuaskan dengan tiga pointer dan ke atas.

“Saya nak ke tandas kejap.” Ika bingkas bangun.

“Jangan lambat sangat kat dalam tu. Nanti orang dah masuk tinggal awak aje yang belum.”

“Tak apa. Awak tolong jawab untuk saya sekali.” Sempat Ika bergurau sebelum berlalu pergi.

Hana tertawa kecil. Sempat lagi kawan baiknya itu mengenakannya. Beberapa helaian nota yang hampir melayang ditiup angin menarik perhatian Hana yang membuang pandangan memerhati gelagat para pelajar yang lain.

“Ika, Ika... kenapalah tak disimpan tadi?” omel Hana.

Tangannya bergerak menyusun satu per satu helaian nota untuk subjek Undang-undang Perniagaan itu.

“Hei, Ugly, kau ada pen? Pinjam satu. Pen aku habis dakwatlah pulak. Waktu-waktu macam ni nak susahkan aku!”

Tanpa perlu menoleh, Hana sudah tahu gerangan yang memanggilnya. Siapa lagi pelajar perempuan yang memanggilnya dengan nama gelaran begitu?

“Ada dalam...” Belum pun sempat Hana ingin menyahut, kotak penselnya telah pun berada di tangan Rina.

Sebenarnya, tidaklah kotak sangat pun. Lebih kepada sebuah bekas yang diperbuat daripada kain dan mempunyai satu zip. Bekas sederhana besar berwarna coklat tua itu padat diisi dengan pelbagai jenis alat tulis. Pen saja, sudah melebihi tujuh batang. Semuanya untuk kegunaan dirinya sendiri kalau-kalau ada kecemasan.

Hana menyambung semula kerjanya yang terhenti dek panggilan Rina tadi. Tidak sampai seminit, suara Rina kembali didengari.

“Aku pinjam eh. Nah!” Bekas alat tulis itu diberi semula kepada Hana.

Hana memerhati Rina yang sudah berlalu semula kepada kawan-kawannya.

“Ambil terus pun tak apa. Lepas ni kita takkan jumpa lagi,” bisik Hana sendirian.

Bibirnya kembali tersenyum mengenangkan hari-hari yang bakal mendatang tanpa kelibat gadis yang menjunjung nama Rina Batrisya itu.

Beberapa minit kemudian, sudah terdengar suara petugas peperiksaan yang memanggil para pelajar yang mengikuti kursus Pentadbiran Awam untuk memasuki ke dalam dewan.

HANA memerhati kerusi yang sudah dikhaskan untuk pelajar Pentadbiran Awam. Di papan kenyataan yang terletak di luar dewan telah pun dinyatakan nombor meja 1 hingga 40 sememangnya untuk pelajar jurusan Pentadbiran Awam. Dua tempat duduk yang masih kosong bernombor 38 dan 39 menarik perhatian. Bolehlah dia duduk bersebelahan dengan Ika nanti. Kalau dia tertidur, kawan baiknya itu boleh membantu mengejutkan dirinya.

Sebaik mengambil tempat di kerusi, Hana menarik nafas dalam-dalam. Dia yakin semua orang yang berada di dalam Dewan Mini itu mesti merasakan debaran yang sama.

Good luck!” bisik satu suara di sisi kirinya.

Hana mengerling.

“Awak pun.” Hana tersenyum kepada Rina.

Sedikit rasa pelik menjelma dalam diri. Belum pernah Rina mengucapkan ‘selamat’ kepadanya. Baik di dalam ujian kuiz mahupun peperiksaan akhir sebegini.

“Agaknya sebab hari ni hari terakhir, kan?” getus Hana, ingin melontar jauh-jauh fikiran jahat yang mula menyerang.

Kelihatan para petugas yang sibuk memeriksa kertas-kertas di bahagian depan. Hana tidak peduli kertas soalan atau kertas tulis yang disediakan untuk para pelajar. Apa yang penting, dia ingin fokus dan menjawab sebaik yang mungkin.

Tepat pukul 2.00 petang, semua pelajar yang berada di dalam Dewan Mini mula menyingkap kertas soalan setelah mendengar arahan daripada petugas peperiksaan.

“Alhamdulillah,” bisik Hana sendirian setelah meneliti soalan-soalan yang tercetak di atas kertas.

Bibirnya mula menguntumkan senyuman. Bahagian A tidaklah sesukar mana. Apatah lagi kesemua 25 soalannya adalah soalan objektif yang disediakan pilihan jawapan. Bahagian B yang memerlukan dia menjawab di dalam bentuk esei juga kelihatannya tidaklah sepayah mana.

Hana mula mencapai sebatang pen. Beberapa isi penting mula dicoretkan di atas kertas soalan agar dia tidak terlupa nanti. Beberapa minit dimanfaatkan untuk melakukan perkara tersebut. Setelah yakin tiada apa lagi yang tertinggal, Hana mula menjawab soalan-soalan di bahagian A. Hampir setengah jam diperuntukkan di bahagian itu, dia mula beralih ke bahagian B. Matanya terasa layu. Beberapa minit terpejam, terdengar ketukan di atas meja.

Hana mula membuka mata. Kelihatan seorang petugas peperiksaan memandangnya dengan wajahnya yang berkerut. Hana yang berasa malu mencapai semula pen yang berada di atas kertas kembali menjawab.

Hanya tinggal beberapa baris ayat yang perlu ditulis bagi menyempurnakan soalan ketiga yang juga soalan terakhir di bahagian B itu. Sesekali, Hana berhenti untuk menghilangkan lenguh jari-jemarinya yang menulis hampir sejam setengah tanpa henti. Setiap kali dia tertidur, setiap kali itulah dia akan dikejutkan Ika atau petugas yang melewati mejanya.

“Siap,” gumam Hana.

Tangannya mula menyingkap lembaran kertas jawapan untuk menyemak jawapan yang diberikan olehnya. Sempat matanya memandang para pelajar lain yang masih tekun menulis.

Jam yang tersangkut pada dinding di depan dewan, ditatap. Tepat menunjukkan pukul 4.00 petang. Masih berbaki sejam untuk pelajar-pelajar menyempurnakan jawapan masing-masing untuk subjek yang diperuntukkan masa selama tiga jam itu.

Alat tulis mula dicapai dari atas meja. Hana sudah bersedia untuk meninggalkan Dewan Mini. Ini kerana peraturan telah pun dinyatakan dengan jelas oleh petugas peperiksaan tadi bahawa setengah jam yang pertama dan setengah jam yang terakhir, tiada mana-mana pelajar yang dibenarkan meninggalkan dewan peperiksaan.

Aku dah habis menjawab. Buat apa nak tunggu, kan? Detik hati Hana. Tidak tega dia menghabiskan masanya berteleku di meja sedangkan sudah tidak ada apa-apa yang hendak dilakukannya di situ.

Zip kotak penselnya ditarik. Sekeping kertas kecil berwarna putih yang ditimbuni alat tulisnya menarik perhatiannya.

“Apa ni?” Tangan Hana membuka sedikit kertas yang elok terlipat di dalam kotak penselnya tanpa dikeluarkan.

Ritma jantung yang berdegup normal mula tergugat apabila matanya dapat menatap biarpun sedikit cuma apa yang tertulis di atas kertas itu. Hana mula menggelabah. Kepalanya mula diangkat. Dia memerhati sekeliling dewan. Kelihatan beberapa petugas peperiksaan berada di depan dewan. Beberapa yang lain pula sedang berjalan melewati meja-meja yang disusun dengan jarak yang diselang lebih kurang satu meter itu.

Hana cuba mengawal diri. Nafasnya yang tidak teratur mula menyebabkan kolam matanya digenangi air. Pantas, matanya disapu. Tidak! Dia tidak boleh gagal dalam subjek ini. Dia tidak boleh menimbulkan sebarang syak wasangka kepada para petugas peperiksaan. Walaupun dia tidak tahu bila dan macam mana nota itu boleh terselit di dalam kotak penselnya, dia tidak ingin gagal di semester terakhir ini.

Seorang petugas yang kian menghampiri mejanya, membuatkan tangan Hana pantas menarik zip menutup semula kotak penselnya setelah pen dan cecair pemadam dimasukkan. Apa yang tinggal sekarang ialah dia hanya perlu bangun dari tempat duduknya, meninggalkan kertas jawapannya di atas meja dan berjalan keluar dari Dewan Mini itu. Itu sahaja. Semuanya akan berakhir. Ya! Dia harus segera meninggalkan dewan tersebut. Sekarang!

Hana menolak kerusi yang didudukinya hampir dua jam yang lalu ke belakang, perlahan-lahan. Tangannya sedikit menggeletar. Dia tidak ingin gagal. Tidak! Setelah bersusah payah selama tiga tahun, ini tidak seharusnya terjadi kepada dirinya. Bukan sekarang.

Mata Hana mengerling sekeliling. Perlahan-lahan dia bangun dan mengatur langkah menuju ke pintu yang jaraknya lebih kurang lima meter dari mejanya. Kotak penselnya dipegang erat, seakan-akan itu adalah hartanya yang paling berharga. Harta yang perlu dilindungi hatta nyawanya menjadi pertaruhan sekalipun.

Kaki dipercepatkan. Semua ini harus berakhir segera. Dia tidak meniru dari kertas tersebut, tapi siapa yang akan percaya? Sudahlah dia adalah orang pertama yang melangkah keluar, akan adakah orang yang akan percaya dirinya kalau semua itu terdedah?

Tangan yang sudah berada di daun pintu membuatkan Hana sedikit lega. Sebaik daun pintu ditarik...

“Tunggu!”

Satu suara yang menjerit di dalam keadaaan yang sunyi sepi itu jelas menusuki deria pendengaran Hana. Tipu, kalau dia cakap tak dengar dan ingin meneruskan langkahnya. Hana menahan gelodak di dadanya.

“Awak, tunggu dulu!” Suara seorang petugas perempuan kian menghampiri.

Tangan Hana masih memegang erat daun pintu Dewan Mini. Dia tidak ingin melepaskan daun pintu itu. Apa yang berbaki tadi, dia hanya perlu membuang setapak langkahnya ke luar sebelum dipanggil.

“Saya minta maaf, tapi saya perlu periksa kotak pensel awak tu.” Petugas tersebut menunjuk ke arah kotak pensel yang digenggam kemas oleh Hana.

Terasa berat tangannya untuk menghulurkan bekas alat tulisnya itu kepada petugas tersebut.

Petugas tersebut yang menanti beberapa ketika mula mengambil sendiri kotak pensel dari tangan Hana. Hana mengetap bibir. Kolam matanya sekali lagi digenangi air. Dia menoleh ke belakang memerhati beberapa pasang mata yang masih setia memandangnya. Kelihatan Ika yang sedang mengangkat kening kepadanya.

“Apa ni?” Suara petugas tersebut menarik kembali perhatian Hana.

Kelihatan sekeping kertas yang sudah dibuka lipatannya sudah berada di tangan petugas yang berkerut wajahnya itu.

“Bu... bukan... bukan saya. Percayalah!” Hana mula tidak keruan.

Air matanya sudah dilempiaskan. Hanya itu saja kata-kata yang mampu dituturkan ketika itu.

“Ikut saya.” Petugas itu memulakan langkah tanpa menanti patah kata daripada Hana. Kepala Hana mulai bingung. Apa yang akan terjadi kepadanya selepas ini?

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Daisy Norhaida Othman