Home Novel Cinta Isteriku Sleeping Ugly
Isteriku Sleeping Ugly
Daisy Norhaida Othman
29/7/2015 12:28:34
69,368
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 16

TERKEBIL-KEBIL mata Hana memandang bangunan tinggi yang tersergam di depannya sebaik melangkah turun dari teksi. Pagi itu dia buat keputusan untuk datang sendiri kerana tidak ingin menyusahkan kawan baiknya itu.

“Ingat! Nanti pergi ke tingkat 16 ya.”

Peringatan daripada Ika semalam kembali terngiang-ngiang. Jam di pergelangan tangan yang hampir ke pukul 8.30 pagi membuatkan Hana mula mengatur langkah dengan debaran di hati.

“Entah kerja apalah yang Ika tu bagi kat aku,” gumam Hana.

Dia yang masih tidak tahu-menahu perihal kerja yang dijanjikan Ika, hanya mengikut kehendak kawan baiknya itu untuk datang ke situ. Kakinya terhenti sebaik masuk ke dalam bangunan yang kelihatan serba-serbi cukup moden dari segi perabot dan juga susun aturnya.

Cahaya lampu kuning malap yang menyimbah ke lantai dan beberapa ruangan yang kelihatan seperti ruang lobi hotel terpamer jelas di depan mata. Bunyi air pancur dari sebuah ornamen di salah satu sudut, menarik perhatian Hana. Terasa kini dirinya seakan-akan berada di sebuah hotel mewah.

Melihatkan pintu lif yang hampir tertutup, Hana mula berlari-lari anak. Kain baju kurungnya diangkat sedikit agar memudahkan pergerakan.

“Tunggu!” Hana mula melaung apabila dirasakan tidak sempat untuk tiba sebelum pintu lif tersebut tertutup sepenuhnya.

Kelihatan sebelah tangan menghalang muka pintu lif daripada tertutup sebaik mendengarkan suaranya.

“Terima kasih,” ucap Hana sebaik memboloskan diri ke dalam perut lif.

Sempat dia mengerling sekilas kepada lelaki yang menolongnya sebentar tadi.

“Hmm..” Terdengar suara lelaki itu yang menggumam.

Dia yang sedang membelek surat khabar tidak mengambil berat ucapan yang diberikan oleh gadis berkenaan. Bukan besar sangat pertolongannya tadi.

Punat yang ditekan, telah membawa Hana ke tingkat yang sepatutnya di bangunan yang setinggi 25 tingkat itu. Dia yang sudah melangkah keluar mula memandang ke kiri dan kanan yang sunyi. Langkah mula diatur perlahan-lahan untuk mencari kaunter pertanyaan.

Sebuah papan tanda yang terlekat pada dinding membuatkan langkah Hana terhenti. Nama yang tertera di atas papan tanda berkenaan mula dibaca.

“Fabuloustar?” Dia terjerit kecil.

Sebelah tangan mula naik menekup mulut sendiri. Hisy! Agak-agaklah Ika ni pun kalau nak bergurau. Takkanlah aku nak bekerja kat sini kut?

Hana mula menghala semula ke arah lif. Langkahnya kini persis seperti salah seorang peserta lumba jalan kaki. Takkanlah khidmat orang sepertinya diperlukan di syarikat penerbitan majalah fesyen tu? Ika ni mesti nak bergurau. Lainlah kalau Ika yang memang ada butik sendiri. Dia yang selalu mengikuti perkembangan fesyen semua ini dari zaman belajar lagi. Bukannya aku!

Telefon yang berbunyi mematikan aturan langkah Hana. Sebaik skrin disentuh, terus gadjet itu didekatkan di telinga setelah melihat nama yang tertera.

“Helo, Hana.” Meleret manja suara Ika di hujung talian.

“Helo, Ika. Agak-agaklah sikit kalau nak bergurau. Saya nak buat kerja apa kat sini?” Hana terus menyembur sebaik mendengar suara Ika. Geramnya!

“Sabarlah. Hisy, salam pun tak bagi.”

Hana mula melepaskan keluhan.

“Itulah kerjanya. Awak dah masuk ke belum ni? Dah jumpa...”

“Tak. Saya tak masuk lagi. Tak naklah!” sahut Hana.

Rasa macam nak menyerahkan lehernya untuk disembelih secara percuma aje kalau dia masuk ke dalam syarikat berkenaan.

“La, kenapa tak masuk lagi? Apa yang tak naknya? Tak bahayalah tempat tu.” Sempat lagi Ika bergurau.

“Gila tak bahaya? Awak pun tahukan saya macam mana. Tak pandailah semua ni. Lagi satu, awak pun tak cakap saya kena buat kerja apa, kan? Tak naklah!” Hana sekali lagi menyatakan pendiriannya.

Tak nak, tak nak, tapi kakinya masih lagi terpaku di situ!

“Tak cuba lagi, tapi dah cakap tak pandai? Mana awak tahu? Sekarang ni saya nak awak pergi masuk. Kawan saya dah tunggu awak kat dalam sana. Pergi masuk okey? Nanti awak tahulah apa kerja awak. Please, please... I love you!” ujar Ika sebelum mematikan talian.

“Helo! Helo! Ika! Ika!” Hana menjerit geram sebaik menyedari panggilan telah pun diputuskan oleh kawan baiknya itu setelah memandang ke skrin.

Gambar Ika yang tertera di skrin diketuk geram beberapa kali dengan jari telunjuknya.

“Ika ni,” desisnya perlahan.

Hana mula mengetap bibir. Dipandangnya lif yang hanya tinggal beberapa langkah sahaja dari tempatnya berdiri. Di sisi kanannya, sebuah pintu kaca yang tertutup juga turut kelihatan. Apa yang tinggal kini, adalah keputusannya.

“Nak pergi ke tak?” bisik Hana.

Dalam tidak sedar, keluhan mula dilepaskan. Kenapa hidupnya dirasakan begitu sukar? Ingatkan bila dah tamat belajar, boleh lepaskan diri daripada Rina dan mulakan hidup baru, tapi sekarang, tak ada apa-apa yang berubah pun di dalam hidupnya. Dia masih lagi seperti dulu. Tidak seperti Ika. Tunggu! Rina lagi? Kau ni Hana!

Hana cuba membuat perbandingan dirinya dengan Ika. Kawan baiknya itu telah pun berjaya membuka butik sendiri setelah mula berjinak-jinak dengan dunia perniagaan secara online. Setelah beberapa tahun memulakan business secara kecil-kecilan, kini Ika sudah mempunyai kerjayanya sendiri. Sedangkan dia? Masih lagi tercari-cari tapak untuk memulakan kerjaya. Apa pun tak ada!

Hana mula memandang ke arah pintu kaca. Nafas mula diambil. Sekali. Dua kali. Tiga kali. Empat... Lima... Hisy! Takkan tak cukup lagi, Hana? Pelik betul debaran di dadanya sekarang. Lebih kuat berbanding debaran yang ditanggung ketika hendak ditemu duga tempoh hari.

Hana mula memejamkan mata. Tunggu, tunggu! Bukan sekarang! Kalau jadi macam kes ‘Aaron Aziz’ hari tu, nanti siapa yang susah? Hana mula memperingati dirinya sendiri. Kaki mula bergerak. Bukan ke lif, tapi ke pintu sana tu!

Sebaik tiba di depan pintu, Hana mula menolak pintu kaca tersebut. Kaki mula melangkah masuk perlahan-lahan. Kelihatan sebuah kaunter yang dikerumuni beberapa orang. Ada lelaki dan juga perempuan. Dia yakin mereka semua adalah para pekerja di syarikat ini.

Hana memerhati gelagat mereka yang sedang berkerumun melihat sesuatu sehinggakan tidak perasan dia yang sudah berada di situ.

“Tengok ni, classkau baju dia! Ingat murah? Silap-silap, bertahunlah gaji kita kalau nak pakai macam ni!”

Kedengaran satu suara daripada kumpulan berkenaan. Hana membiarkan beberapa ketika. Takut pula dikatakan mengganggu nanti. Setelah beberapa ketika, dia mula membuka mulut.

“Assalamualaikum,” tegur Hana.

Suara yang didengari membuatkan semua pasang mata menoleh serentak kepadanya. Hana juga turut memandang kepada mereka semua yang terkebil-kebil memandang kepada dirinya. Okey. Satu saat. Dua saat. Tiga saat. Keadaan masih sunyi sepi. Kalau adanya cengkerik, pasti bunyinya cukup jelas kedengaran sekarang.

“Err... saya...”

“Ya? Nak cari siapa? Cik ni tersesat ke kat sini?” Seorang perempuan mula menghampiri diri Hana.

Hana memandang ke arah mereka yang sudah mula tertawa kecil.

“Err... tak, tak, saya memang nak...”

Perempuan tersebut yang tadinya berada di depan Hana mula mengelilinginya sambil memandang ke atas dan ke bawah. Hana hanya mendiamkan diri. Apa, dia kelihatan seperti Kaabah ke sampai perempuan ni nak bertawaf bagai? Hisy! Takkanlah dia kena berdepan dengan spesies Rina lagi? Oh, tidak!

Perempuan tersebut memerhati baju kurung dan pashmina yang menutup kepala gadis di depannya kini sebelum memandang kepada kawan-kawannya.

“Macam nilah. Saya rasa memang betul agaknya cik ni tersalah tempat. Sebab setahu saya, memang kami tak ada sebarangpelanggan yang macam cik ni. Err... I mean urm...” Perempuan tersebut memandang semula kepada kawan-kawannya.

Special case!” sahut salah seorang daripada mereka.

Yup! Special! Itulah maksud saya tadi,” sahut perempuan tersebut sambil memetik jarinya.

Baju kurung, pashmina. Tunggu! Beg tangan dia original ke tak? Jenama apa tu? Semua ni nak masuk Fabuloustar? Oh, tolonglah!

Hana terdiam. Tidak ada patah kata yang dapat difikirkan sekarang untuk diluahkan. Kenapa hatinya terasa? Bukan dengan kata-kata perempuan yang tidak dikenali itu, tapi terasa seakan-akan dirinya kini telah kembali semula ke UiTM. Di mana Rinalah ketuanya, raja, permaisuri dan segala-galanya! Tapi dia? Takkanlah ini titik untuknya bermula sebagai seorang yang berkerjaya kelak?

“Dengar tak ni? Saya rasa lebih baik cik...”

“Erin, mana surat I yang semalam tu?” Satu suara menarik perhatian mereka semua.

Seorang lelaki yang baru muncul... Kejap! Lelaki ke tu? Kenapa dia lembut semacam?

Hana memandang ke arah seorang ‘lelaki’ yang baru tiba di situ. Seluar denim merahnya singkat. Atas buku lali. Tengok! Stoking pun tak pakai. Baju-T putih di dalam dengan sehelai jaket hitam menutupi tubuhnya. Siap pakai topi lagi. Sehelai skarf melilit di lehernya. Sejuk sangat ke Malaysia ni? Bukannya ada empat musim pun. Lainlah kalau ada empat musim dan sekarang ini musim sejuk!

Lelaki tersebut yang mengerling sekali lalu kepada Hana, kemudian menoleh semula untuk kali yang kedua. Matanya dikecilkan. Dia mula menghampiri gadis itu.

“Kejap ya Jojo. I nak uruskan dia ni kejap,” beritahu Erin sambil menunjuk ke arah Hana.

“La, sayang! Lama tau I tunggu you kat bawah tadi. Dah sampai pun you rupa-rupanya!”

Sayang? Terjegil mata Hana apabila mendengar dirinya yang dibahasakan sayang oleh ‘lelaki’ itu. Terasa bagaikan mereka berdua mempunyai skandal pula. Eh, tadi perempuan ni cakap nama dia Jojo, kan? Tak baiklah kau Hana nak terus menilai orang. Nama dia Jojo okey!

Wait a minute! Jo, you kenal ke dengan err... dia ni?” Erin menunjuk ke arah Hana yang terus terkebil-kebil.

“Kenallah!” sahut Jojo girang.

“Kenal?!” Mereka yang masih berkumpul di kaunter pula bersuara.

Kenapa mereka semua ni terkejut sangat? Apa, aku ni bukan manusia ke? Ke dia orang nampak aku macam monyet? Huh! Semperit betullah dia orang ni. Hana mula mengetap bibir. Dah tak tahu apa lagi perasaannya kini. Bercampur baur.

You must be Hana, right? I’m Jo. Jojo, kawan Ika.” Jojo menerangkan kepada Hana yang kelihatan termangu-mangu.

Nampak sangat kau ni blur, Hana! Yalah, Ika pun tak cakap yang kawan dia adalah yang ini, kan?

“Kejap, kejap. Jadi, dia ni...” Erin menuding ke atas dan ke bawah kepada Hana.

“Datang sini cari you, gitu?”

“Ya. Kenapa?” Jojo mengangkat keningnya kepada Erin.

Pelik dengan soalan Erin yang berbaur kehairanan itu. Kenapa? Apa yang tidak kena dengan kawan kepada kawannya itu? Jojo mengerling semula kepada Hana. Matanya mula melirik memerhati penampilan gadis itu. Kepalanya mengangguk perlahan bagaikan memahami sesuatu.

“You tanya I kenapa? Maksud I... tengoklah dia, Jo. You must be kidding, right? Kan?” Tidak cukup bertanyakan kepada Jojo, Erin menoleh ke arah kawan-kawannya yang masih lagi berkumpul untuk mendapatkan sokongan.

Hana yang menjadi pemerhati dan pendengar setia mulai yakin kini dia akan berdepan dengan spesies Rina sekali lagi.

“Kenapa? Sebab dia tak pakai baju macam baju you hari ni? Hmm... Miss Selfridge, kan? Kenapa? Apa salahnya? Oh, sekarang I ingat. Siapa yang macam tu sebelum ni? Yang datang sini dengan baju kurung jugak, nak cari kerja. Kalau I tak silap, dia ni.” Jojo mula menuding kepada Hana yang hanya terkebil-kebil memandang.

Kelihatan Erin yang bagaikan serba salah. Matanya mula menjeling kepada Hana mengikut jari telunjuk Jojo yang mengarah kepada gadis itu.

“Dia ni lagi baik daripada you tau? You tu yang dulu bukan main comot aje. Sekurang-kurangnya dia ni, look presentable but you? Ingat! Kalau tak kerana I, you pun tak jadi macam ni hari ni, kan? Betul tak? Kau orang pun!” tambah Jojo sambil menuding ke arah mereka yang lain dengan suara separa manjanya.

“Cari surat I dan bagi kat I sebelum tengah hari ni. Dan kau orang pun jangan tahu nak bergosip aje. You, sayang, tolong ikut I.” Jojo memandang Hana sebagai isyarat untuk mengikutnya.

Hana yang terpinga-pinga hanya menurut sahaja langkah ‘lelaki’ itu. Eh, Jojo. Ya, langkah Jojo. Wah! Lelaki ini siap menyandang sebuah beg lagi. Apa yang dia letak dalam beg tu? Bukan selalu tu perempuan saja ke yang bawa beg tangan? Tapi, beg dia hanya sederhana besar dan reka bentuknya pun seakan-akan beg orang perempuan.

“Err... Cik Jo. Kita nak ke mana ni?” soal Hana yang masih mengikut langkah lelaki itu dari belakang.

“Ke left wing. Sana, right wing. Pejabat kita. Tapi you akan tolongI kat studio, boleh? Studio sebelah sana.” Rancak Jojo bercerita, siap dengan gerak tangannya sekali yang sekejap menunjuk ke arah belakang mereka dan kemudian mengarah ke depan pula.

“Apa sebenarnya kerja saya ya, Cik Jo?” soal Hana yang tidak lagi berjaya menahan rasa ingin tahunya.

Jojo tidak menghiraukan soalan yang diberi. Dia hanya meneruskan langkah. Kini, sebuah pintu berwarna coklat kehitaman kelihatan di depan mata mereka.

Well, inilah studionya. Kat sini kita akan saling bekerjasama dengan jurugambar, pengarah seni dan ramai lagi. Tapi, yang paling penting, mestilah model!”

Sebaik melangkah masuk, Jojo meletakkan begnya di sebuah meja, kemudian terus menerangkan kepada Hana dengan penuh teruja.

Hana yang sibuk menjeling sekeliling tidak dapat memberikan perhatian kepada kata-kata lelaki itu.

“You dengar tak ni, darling?” Suara manja itu kembali menarik fokus Hana.

“Err... Cik Jo, tapi apa sebenarnya ker...”

“Tunggu! Panggil IJojo. Bukannya cik. Rimaslah!Panggil I apa, dear?” Jojo menyoal dalam senyuman.

“Jojo,” sahut Hana sepatah.

Dear? Mula-mula sayang, lepas tu darlingdan sekarang dear? Pelik-peliklah orang kat sini!

Good girl. Kerja youadalah untuk tolong I. Dan kerja I adalah, ehem... I lah penata fesyen untuk Fabuloustar!” ujar Jojo penuh bersemangat.

Siap beri pose dengan tangan kanan di pinggangnya dan tangan kiri di angkat sedikit tinggi, ala-ala model lagi!

Hana terkebil-kebil memerhati Jojo yang tersenyum di depannya. Penata fesyen? Apa tu? Fesyen apa? Apa yang dia nak kena buat? Adoi! Pening, pening!

Previous: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Daisy Norhaida Othman