Home Novel Cinta Isteriku Sleeping Ugly
Isteriku Sleeping Ugly
Daisy Norhaida Othman
29/7/2015 12:28:34
69,317
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

Sekarang, tahun 2014.

AYAH baliklah dulu. Tak payah tunggu orang,” tutur Hana buat ke sekian kalinya sebelum melangkah turun dari kereta milik ayahnya itu.

“Yalah, tahu. Hana dah cakap tadi, kan,” sahut ayahnya.

“Balik tau? Orang bukannya budak-budak lagi.” Hana membesarkan matanya.

Tertawa kecil Pak Cik Kamarudin dengan tingkah satu-satunya permata hati dia bersama isteri itu.

“Nanti bila dah sudah, Hana telefon ayah ya,” pesan Pak Cik Kamarudin.

Siapa yang tidak risau dengan keadaan anaknya itu yang boleh terlelap di mana-mana sahaja? Lebih-lebih lagi dengan apa yang telah terjadi kepada anaknya itu kira-kira tujuh tahun lepas.

“Kalau yang itu tak apa. Nanti Hana telefon, tapi sekarang ayah kena balik dulu,” ujar Hana bersungguh-sungguh sebelum menutup pintu kereta.

Pak Cik Kamarudin mengangguk, sebagai tanda jawapan.

Hana yang sudah beberapa tapak melangkah, menoleh semula ke belakang.

“Pergi, pergi...” desisnya perlahan.

Siap dengan gerak tangan kanan, persis ketika menghalau kucingnya yang berada di rumah.

“Budak ni...” Pak Cik Kamarudin tersenyum.

Nampak sangat anaknya itu inginkan dirinya untuk tidak berada di situ pada pagi itu. Enjin kereta yang baru sahaja dimatikan, dihidupkan semula setelah memerhati Hana yang masih belum melangkah masuk ke dalam bangunan tersebut.

Hana yang kemas mengenakan baju kurung dengan selendang biru muda yang berwarna sedondon dengan bajunya itu, tersenyum senang setelah melihat kereta ayahnya yang sudah melepasi pintu pagar.

Dia yang kini sudah berusia 27 tahun mula membuang langkah memasuki Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis itu yang terletak di Persiaran Wawasan, Kangar.

Sekeping kertas yang disimpan di dalam failnya sejak minggu lepas, mula dikeluarkan.

“Tingkat dua, kan?” gumam Hana seorang diri.

Kaki mula diatur. Matanya merayap memerhati sekeliling. Bangunan yang turut dikenali sebagai Mini Putrajaya oleh penduduk setempat itu kelihatan begitu moden di pandangan matanya. Biarpun tidak sebesar Putrajaya yang sebenar, mungkin ia mendapat jolokan namanya kerana ini merupakan pusat pentadbiran bagi negeri Perlis.

Kaki mula berjalan menuju ke lif. Sempat Hana menoleh ke belakang, memeriksa keadaan sekeliling. Kenapa hanya dia seorang sahaja? Tidak ada yang lain ke?

Hana mula melangkah ke dalam lif. Butang yang tertera nombor dua ditekan untuk membawanya ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis itu. Tiba di aras berkenaan, Hana melangkah keluar. Dia menoleh ke kiri. Kosong. Ke kanan pula dipandang. Kelihatan seorang lelaki di sebuah meja.

Fail dipeluk kemas sambil kaki mula melangkah lagi menuju ke meja berkenaan.

Selepas beberapa minit menunggu di tempat yang telah disediakan setelah mendaftarkan diri, tiba giliran Hana untuk ditemuduga.

“Masuk!” Satu suara lantang kedengaran.

Pintu mula dikuak. Sebaik kaki melangkah masuk, Hana menutup semula daun pintu berkenaan dengan tertib. Kaki mula diatur menuju ke sebuah meja di mana sudah ada dua orang lelaki yang akan menemuduga dirinya sebentar lagi.

“Assalamualaikum cik,” ucap Hana dengan memandang kedua-dua orang lelaki tersebut.

“Waalaikumussalam. Sila duduk.” Seorang lelaki yang berumur 40-an menunjukkan sebuah kerusi kosong yang terdapat di depan meja. Mungkin kira-kira 1 meter jaraknya dari meja berkenaan.

“Baiklah, Cik Hana Antasaha Kamarudin, am I right?” penemuduga itu memulakan bicaranya. Hana tahu inilah saatnya dia akan dinilai.

Yes, sir,” sahut Hana sambil mengangguk sekali. Soalan demi soalan diajukan kepada dirinya. Apa yang dia tahu, dijawab dan cuba disampaikan dengan sebaik yang mungkin. Biarpun penemuduga yang seorang lagi itu, seorang lelaki yang sudah beruban kepalanya, mungkin berusia dalam lingkungan 50-an hanya mendiamkan diri sedari tadi, tetap dipandang oleh Hana ketika memberikan jawapan. Dia tidak mahu dilihat seolah-olah hanya berbual dengan penemuduga yang pertama sahaja.

“Baiklah Cik Hana. Kalau tadi kita dah berbual pasal luar negara, sekarang kita berbalik ke dalam negara kita, negara Malaysia. Siapa Peguam Negara kita?”

Mata dipejamkan seketika. Terasa nyaman udara yang berada di sekelilingnya ketika ini. Hana menarik nafas. Debaran di dadanya sudah lama menghilang sejak berjaya menjawab soalan-soalan yang diaju oleh penemuduga tadi.

Nafas diambil lagi. Selesa. Aman. Keadaan ini begitu mendamaikan. Kepalanya dirasakan ringan. Sungguh membahagiakan.

“Ehem.. Cik Hana? Cik Hana?”

Suara siapa itu yang mengganggu dirinya? Tak nampakkah yang dia sedang bersantai begini? Cukup selesa. Tunggu! Tadi ada soalankan? Soalan apa ya?

“Cik Hana!” Suara itu lagi. Kali ini lebih lantang berbanding yang tadi.

Ya, dia sudah tahu. Itulah jawapannya.

“Aaron Aziz!”

Terlopong kedua-dua penemuduga itu dengan jawapan yang lahir dari bibir calon yang sedang berada di depan mereka. Sudahlah tadi bukan main sedap dia tidur, sekarang ini jawapannya? Biar betul!

Pardon me. Aaron Aziz?” Kali ini barulah kedengaran suara penemuduga yang kedua itu. Ohoo, dengar nama Aaron Aziz baru buka mulut ya?

Ya ALLAH! Dia tertidur lagi ke? Malunya! Entah apa tanggapan yang diberikan kepada dirinya kini. Lambat-lambat wajahnya yang menunduk mulai diangakat.

Kelihatan kedua-dua penemuduga itu tersenyum. Tidak! Entah-entah sedang menahan ketawa? Peguam Negara Malaysia, Aaron Aziz? Hisy, hisy! Hana, Hana, apa nak jadi ni? Sadis betullah!

I’m very-very sorry sir. I know the answer. It just that...” Hana mula menggelabah. Kenapa nama Aaron Aziz pula yang boleh terkeluar tadi? Adoi! Entah mana dia nak letakkan mukanya kini?

“Cik Hana tahukan kalau Cik Hana lulus temuduga ini, Cik Hana dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan?” Penemudga yang pertama melepaskan soalan.

“Ya,” Hana pantas menjawab.

“Saya cuma...”

Hana berdebar menantikan kata-kata penemuduga berkenaan. Cuma apa? Hana memandang kedua-dua penemuduga itu silih berganti. Kedua-dua penemuduga itu saling pandang memandang di antara satu sama lain. Mungkin hanya mereka berdua sahaja yang saling memahami bahasa isyarat yang sedang diberikan.

“Macam inilah. Cik Hana balik dulu dan tunggu jawapan daripada kami. Saya pun bukannya doktor dan tidak adil untuk saya terus mengadili Cik Hana.”

Riak wajah tenang milik Hana mula berkerut sebaik mendengar kata-kata penemuduga berkenaan. Apakah maksudnya? Dia bukan doktor? Nak mengadili? Apa ni?!

Hana terkebil-kebil. Tidak tahu patah perkataan yang harus diucapkan. Adakah dia akan gagal temuduga ini? Arghh!!!

“Yalah.” Akhirnya itu yang terkeluar dari bibir Hana. Dia mengangguk perlahan.

“Kalau macam tu, sampai sini saja. Terima kasih kerana sudi datang,” ucap penemuduga kedua seraya menghulurkan fail kepada Hana. Hana bingkas bangun. Tangan mula dihulur bagi menyambut kembali fail yang diberikan sebelum mula ditemuduga.

“Terima kasih juga atas masa encik berdua,” tutur Hana seraya menganggukkan sedikit kepalanya sebagai tanda menghormati kedua-dua penemuduga itu. Kelihatan kedua-dua lelaki itu tersenyum sambil memberikan anggukan kepala.

Hana mula mengatur langkah ke pintu. Debarannya yang sudah hilang kini diganti dengan satu pertanyaan. Bolehkah jawatan ini menjadi miliknya kelak?

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Daisy Norhaida Othman