Home Novel Cinta Isteriku Sleeping Ugly
Isteriku Sleeping Ugly
Daisy Norhaida Othman
29/7/2015 12:28:34
69,298
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

HANA melepaskan keluhan sebaik kakinya mula memijak ke tanah di luar pagar UiTM itu. Matanya memerhati bas yang mula bergerak meninggalkan dirinya dan beberapa lagi orang pelajar yang menaiki kenderaan awam itu dari Sungai Petani.

Puas memerhati bas yang sudah menghilang daripada pandangan mata, Hana mengerling ke dalam pintu pagar. Memerhati pula beberapa orang pelajar yang sudah berjalan melepasi pondok pengawal yang terletak berhampiran dengan pintu pagar.

“Malasnya!” keluh Hana.

Berat kakinya untuk melangkah masuk apabila mengenangkan perkara-perkara yang bakal dilaluinya dalam tempoh seminggu lagi sebelum bertemu semula dengan hari Jumaat dan Sabtu seterusnya.

Fikirannya kembali kusut. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia akan kalah setiap kali berhadapan dengan Rina.

“Apa istimewanya Rina? Apa yang dia ada? Apa yang aku tak ada?” Hana mula membuat perbandingan antara dirinya dengan Rina.

Mengenangkan gadis itu, membuatkan Hana tersenyum seorang diri. Rasa-rasanya kalau dibuat undian di UiTM itu, tentu sahaja diri Rina akan dipilih kalau berdasarkan rupa paras. Hana yakin dengan hal itu. Barang-barang mewah? Ya, gadis itu juga memiliki itu semua kalau berbanding dirinya.

“Tapi, aku lagi pandai. Kalau tak, takkan dia suruh aku buat assignment-assignment yang susah tu? Kalau dia pandai, takkan dia jadi repeater? Tahu nak mengarahkan orang aje!” bentak Hana.

Kaki Hana terus melangkah menuju ke Kolej Masria. Kolej yang menjadi kediamannya di situ. Daripada tersenyum, Hana mula tertawa kecil sambil kakinya melangkah menaiki anak tangga.

“Harapkan muka aje, tapi otak? Harapkan aku jugak nak buatkan kerja-kerja tu.” Hana mula senang hati apabila membuat perbandingan dari segi kepandaian. Dia tahu, mungkin itu sahaja satu-satunya kelebihan yang dia ada berbanding Rina.

Hana yang sudah tiba di depan pintu biliknya, mula memulas tombol.

“Assalamualaikum!” Tangan Hana dilayangkan ke pintu.

Beberapa kali mengetuk di situ, Hana memandang ke lantai. Baru dia sedar yang sandal Ika tidak berada di situ.

“Jangan-jangan pergi tengok TV tak?” Hana membuat telahan sendiri.

Tangannya mula menggagau ke dalam poket beg untuk mencari anak kunci bilik. Sebaik pintu dibuka, Hana terus melangkah masuk. Kelihatan sekeping kertas kecil yang berada di atas bantalnya. Kertas kecil itu mula dicapai.

Saya keluar kejap. Nanti kita dinner sama-sama okey.

“Yalah tu. Entah nak balik pukul berapa, nak makan sama-sama?” tutur Hana yang selesai membaca nota yang ditinggalkan Ika untuknya. Hana mulai menguap. Dia mulai mengeliat untuk menghilangkan lenguh-lenguh di badannya. Dia yang sememangnya sudah berada di katil terus berbaring.

Selepas beberapa ketika, sesuatu yang mengganggu tidurnya memaksa Hana membuka mata. Baru sahaja dia merasai ketenangan apabila merebahkan tubuhnya tadi. Siapa yang mengganggu?

“Hei! Bangunlah. Dah sampai pun kau, kan? Mana assignment aku tu?”

Sebaik Hana membuka mata, kelihatan Rina yang sedang berdiri di tepi katilnya.

“Macam mana awak masuk?” Hana bersuara kaget.

Dia melihat pintu yang sudah terbuka. Rina tersenyum sinis apabila mendengar pertanyaan yang keluar daripada bibir Hana itu.

“Macam mana aku masuk? Tu, pintu tu. Dah kau tak kunci. Sempat lagi kan tengah-tengah hari ni pun kau nak membuta. Tidur, tidur, tidur.” Rina membebel, seakan-akan dia seorang ibu kepada Hana.

Hana hanya menyepikan diri. Dia sendiri mengaku akan kebenaran kata-kata Rina. Waktu tidurnya memang tidak ikut masa. Bahkan tempat sekali pun. Kalau sudah matanya terasa berat, di mana-mana pun boleh sahaja dia menutup matanya.

“Hei! Cepatlah!” Rina menolak bahu Hana apabila melihat gadis itu yang kaku bagaikan patung di atas katilnya.

“Mana assignment aku tu? Kau ingat aku nak tunggu kau kat sini terus? Aku pun ada banyak kerja lagi tau. Kejap lagi aku nak jumpa Adif tu,” beritahu Rina bangga.

Hana terus mencapai fail yang berada di sebelah bantalnya. Rina yang memerhati hanya mencebik. Sesekali, dia membelek dirinya sendiri di depan cermin yang terdapat pada dinding.

“Kalau aku pakai macam ni, kau agak-agak okey ke? Cantik tak?” Rina memandang sekilas kepada Hana untuk mendengar pendapat gadis itu.

Hana yang mendengar meneliti pemakaian Rina. Seluar jean dan baju-T sendat yang menyaluti tubuh Rina membuatkan dahinya berkerut.

“Err... bukan ke kalau tak pakai baju lengan panjang, salah? Nanti mesti pak cik atau mak cik gad tahan,” jawab Hana. Rina yang sedang meneliti dirinya di dalam cermin menoleh kepada Hana.

“Itu aku tahulah! Kau ingat aku bodoh? Ni...” Rina menunjuk kepada lengan kirinya yang terdedah.

“Keluar nanti aku tutuplah. Pakai sweater ke...”

“Tapi, bukan ke baju tu...” Hana teragak-agak untuk menyuarakan pendapatnya.

Kalau dengan baju-T sendat macam tu, boleh lepas ke kalau nak keluar?

“Ah! Kau bukannya tahu apa-apa pasal fesyen. Macamlah apa yang kau pakai tu elok sangat!” tempelak Rina sambil memuncungkan mulutnya ke arah Hana.

Seluar jean, baju-T lengan panjang dan juga tudung. Euw!

Hana meneliti dirinya sendiri apabila mendengar kata-kata Rina. Apa yang tidak kena? Cara pemakaiannya mengikut etika berpakaian yang diwartakan oleh UiTM. Salah satunya, baju yang dikenakan mesti melebihi punggung untuk pelajar perempua.

“Dahlah. Kalau dengar pendapat kau, bukannya ada faedah pun!” tingkah Rina sambil tangannya menyambar assignment yang berada di tangan Hana sebelum berlalu ke pintu.

“Ingat, Hana!” Rina mengerling kepada Hana yang masih berteleku di atas katilnya.

Dia yang sudah memakai seliparnya memandang ke kiri dan kanan aras empat yang sunyi itu.

“Kau jangan pandai-pandai lagi nak mengadu sana sini. Kau ingat ada orang nak percayakan kau? Tengok hari tu, siapa yang susah?” Rina tersenyum mengejek.

Hana hanya terkebil-kebil mendengar kata-kata Rina yang lebih kepada amaran itu. Apa lagi yang dia mampu dia lakukan?

“Ingat! Kalau kau pandai-pandai lagi nak mengadu kat Puan Sufi, aku akan pastikan kau gagal subjek ni. Mesti kau tak nak, kan?” Rina mengangkat keningnya.

Hana menganggguk lemah mengiakan pertanyaan Rina.

Rina tersenyum puas menerima respons Hana. Sleeping Ugly yang dungu!

Good girl!” tutur Rina sebelum melangkah pergi.

“Gagal? Aku tak nak jadi repeater! Tak nak!” bentak Hana dalam hati.

Biarlah CGPA dia tidak sebagus mana, tapi repeater... Tidak sama sekali!

“Dahlah buruk, hodoh, dungu pulak tu. Semuanya ada kat dia,” getus Rina tersenyum senang sambil membelek-belek hasil tugasan yang sudah berada di tangannya.

Bibirnya terus mengutuk Hana, orang yang bertanggungjawab di sebalik tugasan tersebut untuk semester ini.

Puas dengan hasil kerja Hana, Rina yang sedang menuruni anak tangga Kolej Masria itu meneliti baju yang tersarung di tubuhnya.

“Cantik apa baju ni. Si Sleeping Ugly tu bukannya tahu nak menghargai fesyen. Apa dia ingat baju ni murah?” Rina terus membebel seorang diri. Melepaskan geram kepada Hana yang tidak tahu menghargai cita rasa fesyennya.

Sebaik melangkah keluar daripada Kolej Masria, Rina mula menggagau telefon bimbit yang berada di dalam poket seluarnya. Jarinya terus menekan mencari nama orang yang ingin dihubungi.

“Helo, Adif. Jadi kan kita nak jumpa petang ni?” Rina terus melepaskan soalan yang bermain di benaknya.

“Hisy! You ni kan... tak tahu nak bagi salam ke? Terus terjah macam tu aje.” Kedengaran suara Adif di cuping telinga Rina.

Ulas bibir gadis itu yang dioleskan pengilat bibir terukir sebaris senyuman mendengar omelan daripada pelajar lelaki yang bertaraf senior kepadanya.

“Alah,maaflah sayang.” Rina mula bersuara manja.

Dia tahu sudah banyak kali perbuatannya itu ditegur Adif. Setiap kali kalau menghubungi pelajar lelaki itu, harus dimulai dengan salam. Kalau Adif yang menghubunginya, salam lelaki itu harus dijawab. Ah, macam ustazlah pulak nak bersalam bagai.

“Hmm? You dengar tak ni?” Suara Adif kembali kedengaran. Ayat-ayat manja Rina yang baru hendak disusun terbang entah ke mana.

“Dengar,” jawab Rina nak tak nak. Terus dia mula menyusun strategi baru.

“Tapi, tadi kan I dah cakap maaf,” jawab Rina membela dirinya.

“Oh, maaf? Selalu tu apa yangI cakap?” Suara Adif kedengaran tidak berpuas hati.

Rina mengetap bibir. Geram! Hisy! Tak sukalah dengan semua ni. Kenapalah Adif ni suka sangat nak besarkan isu tu? Salam aje kan? Bukannya ada apa-apa pun.

“Yalah, yalah. Salah I. Assalamualaikum. Puas hati?” balas Rina.

“Ni bukan soal puas hati atau tak, tapi you tu perempuan. Belajarlah untuk beradab sikit. Takkan tak boleh?” bidas Adif.

Rina terus menadah telinga. Untung sahaja Adif tergolong di dalam kumpulan lelaki yang kacak di UiTM ni. Dahlah kacak, terkenal di kalangan pelajar-pelajar perempuan, baik freshies mahupun senior. Faktor tambahan yang membuatkan dia lebih tertarik kepada Adif adalah kerana lelaki itu sama taraf denganya, anak Datuk!

“Okey, okey. Salah I. Err... I terlupalah. Kan dah terbiasa.” Rina mula merengek manja dengan harapan agar Adif tidak terus memperbesarkan isu yang sama.

“Yalah, yalah,” balas Adif mengalah.

Rina mengulumkan senyuman. Yes! Berjaya lagi kali ni!

“Sayang, jadi tak kita nak jumpa petang ni?” Rina melepaskan kembali soalan yang masih belum diperolehi jawapan.

“I okey aje. Kenapa? You tak jadi ke? Tak boleh?”

“Taklah! MestilahI jadi. Kalau tak, takkan Inak telefonyou, nak pastikan. Jadi petang ni, you tunggu I kat depan pintu pagar okey?” balas Rina girang dengan berita pengesahan yang diterima daripada Adif.

“Okey. Assalamulaikum.”

“Err... waalaikumussalam,” sahut Rina sebelum menamatkan perbualan.

Selesai menamatkan perbualan, Rina mencebik.

“Salamlah, apalah. Nasib baiklah kau tu kacak, Adif. Kalau tak, jangan haraplah aku nak bersabar dengan kerenah kau. Kalau tak, dah lama boleh jalan!” Rina melempiaskan geramnya yang sedari tadi ditahan-tahan.

“Adif, Khairul Adif.” Seiring dengan langkahnya yang diatur menuju ke kolej kediamannya, Kolej Mahsuri, bibir Rina menyebut nama pelajar lelaki senior yang didampinginya sejak semester yang lepas.

Sejak sesi orientasi lagi, dia telah terpaut hati apabila melihat pelajar lelaki senior yang baginya cukup kacak di kalangan mereka yang lain ketika itu. Sibuk matanya melilau untuk mencuri pandang ke arah kad matrik Adif apabila seniornya itu datang menjengah ke kumpulannya, semata-mata untuk mengetahui nama pelajar tersebut.

“Kacak, kaya, siapa yang tak nak?” Rina tersenyum seorang diri ketika dia sudah memijak anak tangga untuk menuju ke tingkat dua.

Dalam hati, terselit perasaan bangga apabila salam persahabatan yang dihulurkannya disambut Adif.

Lebih-lebih lagi apabila dia mendapat tahu ketika itu, hampir selama tiga semester Adif berada di situ, belum pernah Adif berkawan secara serius dengan mana-mana pelajar perempuan yang lain.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Daisy Norhaida Othman