Home Novel Cinta Isteriku Sleeping Ugly
Isteriku Sleeping Ugly
Daisy Norhaida Othman
29/7/2015 12:28:34
69,297
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

SELESAI mandi, Hana melabuhkan punggungnya di birai katil. Tangannya berterusan mengeringkan rambut yang masih basah dengan kain tuala. Sesekali, bibirnya menyanyi-nyanyi kecil. Senang hati apabila dapat menghabiskan cuti dua hari di hujung minggu di rumah bersama-sama dengan keluarganya.

Matanya yang terarah kepada sudut yang menempatkan meja belajarnya membuatkan tangannya yang sedari tadi melakukan kerja terhenti perlahan-lahan. Hana mula melangkah menuju ke ruangan tersebut.

Kain mafela yang tersangkut di kerusi belajarnya dicapai. Aroma wangi yang dapat dicium Hana membuatkan tangannya terus mendekatkan kain mafela tersebut kepada hidungnya.

“Wanginya...” Bibir Hana terukir sebaris senyuman. Pertemuan yang tidak diduga dengan jejaka yang tidak dikenali di stesen bas semalam, mencuit semula memori Hana pada pagi itu.

“Siapa dia tu?” Hana menggumam seorang diri. Berkerut dahinya apabila memikirkan gerangan yang tidak dikenali itu.

“Baik hati.” Hana tersenyum lagi apabila memuji kebaikan hati jejaka di stesen bas semalam.

Belum pernah dia dilayan sebaik itu. Apatah lagi daripada seorang lelaki. Malah, belum pernah pun dia mempunyai mana-mana kawan baik sebelum ini sehinggalah dia bertemu dengan Ika di UiTM.

Dalam mengenang nasib dirinya, Hana mula melepaskan keluhan. Menyesali banyak perkara yang sudah terjadi dalam hidupnya kini.

“Apa nak jadi dengan aku ni?” Hana mula bermonolog di kerusinya sebaik mengambil tempat di situ.

Kalaulah dia tidak terlalu penakut untuk berdepan dengan segala permasalahan yang melanda dirinya kini... Lebih-lebih lagi apabila seraut wajah Rina Batrisya muncul kembali. Hana mula mengetap bibir menahan geram. Kenapa dia harus menjadi penakut apabila berdepan dengan gadis itu? Apa yang ada padanya?

“Tidak. Aku tak boleh lagi terus macam ni. Lepas ni, kalau Rina...”

Hana yang sedang merancang-rancang bagaimana untuk berdepan Rina, terganggu apabila telinganya mendengar bunyi telefon bimbit yang berada di atas katil.

“Siapa pulak? Takkan Ika kut?”

Risau kalau ada apa-apa yang mungkin membuatkan kawan baiknya itu berada di dalam kesusahan, tangan Hana laju mencapai gadjet tersebut sebelum mengambil tempat di atas katilnya. Terus, tanpa melihat gerangan si pemanggil, Hana mula menekan butang untuk menjawab.

“Hei! Kau pergi mana hah! Aku pergi bilik kau, kau tak ada. Oh, sekarang ni kau dah pandai nak lari-lari ya?”

Gulp! Hana menelan air liur. Telefon yang didekatkan di telinganya tadi, mula dijauhkan. Skrin telefon Nokia itu ditatap.

“Rina,” desis Hana.

Biarpun dengan suara yang menjerit kepadanya tadi sudah dikenal pasti, sengaja Hana ingin melihat sendiri untuk mengesahkan gerangan yang menghubunginya di pagi hari itu.

“Helo! Helo!” Telinga Hana kembali mendengar suara lantang Rina apabila gadjet itu kembali didekatkan di telinganya.

“Hei! Kau bisu ke apa ni? Pekak jugak eh?” Rina terus menyembur tanpa henti.

Sempat mata Hana mengerling jam loceng yang berada di atas meja belajarnya yang baru hendak menginjak ke pukul 9.00.

Hey, ugly! Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” Rina terus bersuara geram.

“Urmm...” Hana membalas dalam keterpaksaan.

Hana menutup mata sambil kepalanya digeleng-gelengkan. Baru sebentar tadi, dia memasang hajat untuk tidak terus menunduk kepada gadis itu.

Good! Then I think you know what to do, right?” Suara Rina yang kedengaran di telefon kembali lembut.

Tidak seperti tadi. Seperti orang yang sedang histeria sahaja intonasinya.

“Emm...” balas Hana lagi.

Apa lagi yang dia mampu jawab di saat itu? Dia sudah tahu apa yang membuatkan Rina menghubunginya dengan emosi sebegitu.

“Helo! Tu aje yang kau tahu cakap? Emm? Apa kau dah bisu ke pagi-pagi ni? Kau jangan ingat kau tak ada kat bilik kau tu, kau boleh lari daripada aku. Hari Ahad, Isnin, takkan kau tak balik sini, kan?” tutur Rina.

Hana yang mendengar terdiam. Kata-kata Rina yang berbaur ugutan seperti itu sudah terbiasa di hujung telinganya.

“Hei! Kau jangan nak cabar aku, Hana! Kau dengar tak apa yang aku sedang cakapkan ni!” Suara Rina kembali nyaring di hujung telefon.

“Dengar, dengar.” Pantas Hana menyahut. Kecut perutnya apabila mendengar jerkahan Rina.

“Dengar, dengar, tapi nanti masalah jugak yang kau buat. Kau tahukan apa sebabnya aku telefon?” Rina melepaskan soalannya.

Assignment,” balas Hana ringkas. Masakan dia tidak tahu kalau itulah punca sebenar mengapa Rina sanggup menelefonnya pagi-pagi sebegini.

“Bagus! Tahu pun kau, kan? Jadi, macam biasa, kau akan siapkan satu salinan untuk aku. Dan macam biasa jugak, jangan sama macam yang kau punya pulak. Kalau tak, nanti, siapa yang susah? Kau jugak...” balas Rina dengan nada mengejek kepada Hana.

Hana terus menyepikan diri. Tiada hati untuk membalas kata-kata Rina. Dia tahu, tidak ada gunanya untuk terus bertekak dengan gadis itu. Bertekak? Emm... seingatnya, belum pernah pun dia melawan kata-kata Rina.

“Kau dengar tak ni? Betul tak apa yang aku cakap tadi? Nanti siapa yang susah, kau jugak, kan?” Suara Rina kembali menyentak Hana.

“Err... ya,” balas Hana menyetujui dengan kata-kata yang lahir dari mulut Rina.

“Bagus. Apa yang aku tahu, hari Ahad ni, aku punya assignment dah siap. Oh! Jangan lupa, binding jugak tau? Kau ni betul bendul. Kalau aku tak cakap satu-satu, bukannya nak dibuat. Bindingyang macam Puan Sufi nak tu. Buat kemas-kemas sikit. Sama yang macam kau jugak. Faham?” Rina terus memberikan arahan.

“Faham,” sahut Hana.

Ya ALLAH! Hampir sahaja air matanya mulai gugur.

Good!”

Sepatah kata itu menjadi akhir kata kepada perbualan mereka berdua di pagi itu. Hana menghempaskan telefon bimbitnya ke atas tilam. Geram! Kedua-dua tangannya mula menongkat kepala yang menunduk.

“Apa dah jadi? Bukan tadi aku dah tak nak ikut cakap dia lepas ni? Baru dengar suara sikit, dah kecut. Dah takut.” Hana mula memarahi dirinya sendiri. Sakit hati apabila rancangan yang baru hendak diatur untuk tidak terus menurut kata-kata gadis itu sejak mereka berada di semester satu lagi, hanya berlalu sebegitu sahaja.

Mata Hana terkebil-kebil memandang tilamnya. Dengan mata yang berkaca-kaca, kenangan ketika sesi orientasi pelajar-pelajar baru mula hadir di dalam minda tanpa dipinta.

AWAK! Ya, awaklah! Tolong kejutkan yang di belakang tu.” Seorang pelajar lelaki senior menunjuk ke satu arah.

“Saya?” Ika yang terpinga-pinga, menoleh ke arah belakangnya.

“Ya ALLAH! Hana,” desis Ika yang mulai kaget apabila melihat kawan yang baru dikenalinya semalam tertidur. Pasti Hana kena marah dengan senior-senior yang bertugas sebagai OC lepas ni!

Tangan Ika mula menggerakkan tubuh Hana yang sudah terlentok di tiang bola jaring yang menjadi tempat sandarnya.

“Hana! Hana!” Ika terus memanggil-manggil nama gadis yang sedang lena itu.

Sesekali, ekor matanya memandang sekeliling apabila semua pelajar yang berada di situ memandang ke arah mereka.

“Tak sedar lagi?” Pelajar lelaki senior itu bertanya semula.

“Err... dah, dah. Kejap lagi,” tukas Ika, berbohong. Tangannya terus menggoncang-goncang bahu Hana. Terpisat-pisat Hana bangun apabila terasa dirinya diganggu. Diperhatinya wajah Ika yang berkerut.

“Awak tertidur lagi,” ujar Ika seakan-akan berbisik menerangkan perkara yang telah berlaku.

Hana terkejut. Tertidur lagi? Adoi! Matilah dirinya lepas ni.

Terus, dari bersandar dia kembali membetulkan duduknya di padang itu. Tangannya turut membetulkan kain tudung yang tersarung di kepala. Sesekali, dia berdeham untuk menghilangkan debaran di dadanya.

“Kenapa? Tak cukup tidur ke semalam?”

Kedengaran satu suara sinis dari barisan hadapan yang sedang menghadap para OC untuk mendengar taklimat aktiviti mereka pada pagi itu. Lambat-lambat Hana mengangkat wajahnya. Mencari suara yang sememangnya dituju kepadanya.

“Saya tanya awak ni!” Perempuan itu bersuara lagi.

Hana mendiamkan diri. Wajarkah dia menjawab atau terus membatukan diri? Bebola matanya menatap seraut wajah yang dikenalinya. Kakak itulah yang memarahinya semalam kerana belum mendaftar dan tertidur di bawah pokok.

“Err... maaf.” Hana bersuara, perlahan. Wajahnya kembali ditundukkan apabila menyedari beberapa pasang mata yang berhampiran masih memandang kepadanya. Malunya!

“Apa? Apa awak cakap? Saya tak dengar!” Senior perempuan itu memandang kepada Hana.

Masih lagi tidak berpuas hati.

“Saya minta maaf.” Hana menguatkan suaranya.

“Okey! Okey! Dahlah tu.” Salah seorang OC yang bertugas mula mencelah.

Dikerlingnya sekilas kepada Hana yang berada di belakang sekali di dalam barisan kedua itu.

“Dia ingat dia nak jadi Sleeping Beauty ke apa. Ada pula putera raja nak tolong bangunkan. Kalau cantik waktu tidur tu tak apa jugak. Ni tak, ugly!” Satu suara kedengaran.

Kata-kata itu disambut dengan hilai ketawa daripada mereka yang berada di padang pada pagi itu.

Air mata yang mengalir di pipi, pantas membawa Hana ke alam nyata. Kenangan itu masih kekal di dalam mindanya sehingga sekarang.

“Rina Batrisya!” Hana menutur nama itu untuk yang ke sekian kalinya dengan penuh geram. Gadis itulah yang menyemburkan gelaran itu kepadanya. Sleeping Ugly! Mustahil Hana dapat melupakan bagaimana dia ditertawakan pada pagi sesi orientasi itu oleh mereka semua. Semuanya kecuali Ika.

Ika yang banyak menolong dirinya. Sejak kejadian di sesi orientasi itu, dia yakin Ika jujur untuk berkawan dengan dirinya.

“Ah! Sudahlah. Macam mana pun memang aku nak kena buat jugak assignment tu untuk Rina. Lebih baik aku keluar ambil angin dulu,” ujar Hana melepaskan keluhan apabila mengenangkan bebanan tugasan untuk dua orang yang ditanggungnya kini.

“Eh, nak pergi mana tu?” Mak Cik Hashima menegur anak daranya yang siap berseluar panjang hitam dan berbaju-T biru gelap yang baru menampakkan diri di ruang tamu.

Hana yang sedang menyarungkan tudungnya ke kepala sempat melemparkan senyuman kepada emaknya yang berada di sofa.

“Nak pergi beli surat khabar,” jawab Hana apabila selesai mengenakan tudung.

Mak Cik Hashima yang sedang menonton TV hanya memerhati tingkah anak gadisnya itu.

“Yalah tu. Cakap nak beli surat khabar, tapi silap-silap, sampai ke sana Hana pergi, kan?” Tangan Mak cik Hashima menuding ke satu arah. Hana hanya tersengih. Mustahil dia dapat berbohong kepada emaknya.

“Alah, mak, bukannya jauh pun,” balas Hana seakan-akan membenarkan apa yang dikatakan emaknya itu.

Wajah Mak Cik Hashima mula berkerut apabila mendengar jawapan anaknya.

“Yang Hana ni suka sangat pergi tengok vila tu kenapa? Dahlah jalan sana tu sunyi. Kalaulah ada apa-apa nanti...” ujar Mak Cik Hashima, mula berasa bimbang.

“Mana ada apa mak.” Hana yang baru melangkah ke muka pintu terhenti.

Bibirnya mula mengukirkan senyuman untuk menyedapkan hati emaknya itu. Sekali gus, cuba membuatkan emaknya tidak berlagu bimbang mengenai dirinya nanti.

“Manalah tahu. Kat situ bukannya orang kerap lalu pun. Lagipun, vila tu dah lama terbiar. Manalah tahu kalau-kalau semak-samun tu ada ular ke apa.” Mak Cik Hashima yang tidak berpuas hati masih ingin berdebat.

“Hana yang selalu pergi, kan? Hana tahulah. Mana ada apa-apa pun. Lagipun, Hana tengok dari luar aje. Pintu pagar pun berkunci. Mana boleh masuk. Yang semak-samun tu kat sebelah dalam. Hana kat luar aje,” ujar Hana, seakan-akan membela diri.

Mak Cik Hashima melepaskan keluhan kecil. Mustahil dapat dihalang niat anak gadisnya yang sudah bersiap sedia untuk melangkah keluar itu.

“Saja aje Hana ni. Jadikan surat khabar tu sebagai alasan, kan? Kalau ayah dah beli tadi?” duga Mak cik Hashima, ingin memancing reaksi Hana.

“Err... kalau ayah dah beli, Hana keluar jugak. Nak beli... emm... hah! Gula-gula.” Hana tersengih.

“Kalau dah alasan tu kan...” Mak cik Hashima tersenyum dengan jawapan anak perempuannya yang berusia 18 tahun itu. Matanya menghantar pemergian Hana yang sudah melangkah keluar dari rumah.

Hana mencapai basikalnya yang berwarna ungu gelap itu. Sesekali, bibirnya tersenyum melihat basikal yang masih lagi berada di dalam keadaan elok itu. Basikal yang banyak berbakti kepadanya sejak dia bersekolah di tingkatan satu.

Sebaik keluar dari pintu pagar rumahnya yang terletak di Taman Kodiang itu, Hana mula menunggang basikalnya menuju ke sebuah kedai buku yang terletak di dalam kawasan perumahan itu.

“Dah cuti ke sekarang ni?” Abang Asnol yang menjadi pemilik kedai buku itu memandang pelik kepada Hana apabila menyambut duit yang diberikan oleh gadis itu.

“Taklah. Esok saya balik UiTMlah. Saja nak balik rumah cuti Jumaat dengan Sabtu ni,” terang Hana sebaik duit baki bertukar tangan.

“Oh! Ingatkan dah cuti semester. Kamu ni memang tak boleh berpisah lama-lama dengan keluarga ya?” Abang Asnol mula tersenyum mengusik.

Hana cuma tersenyum kelat. Berpisah lama-lama? Siapa cakap dia tak boleh? Kalau sahaja keadaan di UiTM itu tidak memberikan tekanan kepadanya saban minggu, malah saban hari! Dan yang paling best kalau sahaja si pengarah itu dan ini, Rina Batrisya, tidak wujud di bumi ini, harus dia berkampung di sana saban hujung minggu.

“Tak boleh. Itu dah macam zalim pulak.” Hana mula mengelamun apabila kakinya sudah berada di pedal basikal.

Perlahan-lahan, dia mengayuh sambil menikmati angin pagi itu.

“Setidak-tidaknya kalau saja dia tak wujud di UiTM tu. Atau lebih tepat lagi dalam hidup aku.” Hana mula melepaskan nafas.

Sedikit kepenatan mula menguasai diri apabila kakinya mula mengayuh sedikit laju.

Sambil menikmati pemandangan sekeliling, di kiri dan kanan jalan raya yang rata-ratanya terdapat beberapa buah rumah dan kedai runcit, Hana tersenyum senang hati. Sedikit sebanyak, hatinya terubat apabila memandang kawasan yang sudah terbiasa itu. Melayang seketika fikirannya daripada terus mengingati tugasan yang perlu disempurnakan untuk dua orang sekali gus.

Sedar tidak sedar, basikal yang ditunggangi sudah membawa Hana tiba di destinasi yang ingin ditujuinya iaitu di Batu Dua, Jalan Changloon. Sebaik melangkah turun dari basikalnya, Hana menyorong basikal itu sehingga hampir ke pintu pagar sebuah vila yang tersergam di atas tanah milik persendirian itu. Meliar mata Hana memerhati sekeliling halaman vila tersebut yang tidak lagi bersemak-samun seperti minggu lepas, kali terakhir dia datang ke situ.

“Pelik! Tuan dia dah balik ke?” Hana berbicara sendirian di pintu pagar itu.

Vila berwarna putih dan berbumbung ungu gelap, sama seperti warna basikal milik Hana itu menarik pandangan matanya lagi untuk yang ke sekian kalinya. Terkebil-kebil dia di depan pintu pagar itu sambil memerhati vila yang berjaya menarik minatnya sejak dia masih di bangku sekolah menengah lagi.

“Besar, cantik... Bila agaknya aku boleh ada rumah macam ni?” Hana memuji vila yang hanya boleh ditatap dari luar itu.

Itu pun sudah cukup baginya untuk terus bertandang ke situ apabila dia ada kelapangan. Vila yang terletak beberapa meter dari pintu pagar itu dapat dilihat dengan agak jelas setelah tiada lagi semak-samun yang memenuhi halaman vila berkenaan.

Bibir Hana menguntumkan senyuman apabila pintu vila itu kini jelas di pandangan matanya. Tidak seperti minggu lepas apabila dia berkunjung ke situ.

Hana mengetap bibir apabila melihat tiada lagi mangga yang berada di pintu pagar itu. Perlahan-lahan tangannya menolak pintu pagar yang diyakini tidak berkunci itu.

“Hoi!” Satu sergahan menyentak Hana.

Terjegil mata Hana apabila melihat seseorang yang sedang berdiri sambil bercekak pinggang di depan pintu vila itu. Kelam-kabut Hana mendapatkan basikalnya yang ditongkatkan tadi untuk segera meninggalkan kawasan tersebut.

“Tunggu!” Suara itu menjerit lagi.

Hana yang sudah berada di atas basikalnya tidak menghiraukan suara yang semakin menghampiri itu. Terus tanpa bertangguh, kakinya mula mengayuh pedal basikal dengan laju.

“Hoi! Apa yang kau buat kat sini hah?!” Suara itu semakin lantang.

Hana tidak peduli. Kakinya terus mengayuh laju. Risau kalau-kalau si pemilik suara itu akan mengejarnya. Apa yang pasti, dia harus menjauhi vila itu dengan segera. Untung sahaja tadi, wajahnya tidak dapat dilihat oleh orang yang menegurnya.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Daisy Norhaida Othman