HANA melepaskan keluhan sebaik kakinya mula memijak ke tanah
di luar pagar UiTM itu. Matanya memerhati bas yang mula bergerak meninggalkan
dirinya dan beberapa lagi orang pelajar yang menaiki kenderaan awam itu dari
Sungai Petani.
Puas memerhati bas yang sudah menghilang daripada
pandangan mata, Hana mengerling ke dalam pintu pagar. Memerhati pula beberapa
orang pelajar yang sudah berjalan melepasi pondok pengawal yang terletak
berhampiran dengan pintu pagar.
“Malasnya!” keluh Hana.
Berat kakinya untuk melangkah masuk apabila mengenangkan
perkara-perkara yang bakal dilaluinya dalam tempoh seminggu lagi sebelum
bertemu semula dengan hari Jumaat dan Sabtu seterusnya.
Fikirannya kembali kusut. Dia sendiri tidak tahu kenapa
dia akan kalah setiap kali berhadapan dengan Rina.
“Apa istimewanya Rina? Apa yang dia ada? Apa yang aku tak
ada?” Hana mula membuat perbandingan antara dirinya dengan Rina.
Mengenangkan gadis itu, membuatkan Hana tersenyum seorang
diri. Rasa-rasanya kalau dibuat undian di UiTM itu, tentu sahaja diri Rina akan
dipilih kalau berdasarkan rupa paras. Hana yakin dengan hal itu. Barang-barang
mewah? Ya, gadis itu juga memiliki itu semua kalau berbanding dirinya.
“Tapi, aku lagi pandai. Kalau tak, takkan dia suruh aku
buat assignment-assignment yang susah tu? Kalau dia pandai, takkan dia jadi repeater? Tahu nak mengarahkan orang
aje!” bentak Hana.
Kaki Hana terus melangkah menuju ke Kolej Masria. Kolej
yang menjadi kediamannya di situ. Daripada tersenyum, Hana mula tertawa kecil
sambil kakinya melangkah menaiki anak tangga.
“Harapkan muka aje, tapi otak? Harapkan aku jugak nak
buatkan kerja-kerja tu.” Hana mula senang hati apabila membuat perbandingan
dari segi kepandaian. Dia tahu, mungkin
itu sahaja satu-satunya kelebihan yang dia ada berbanding Rina.
Hana yang sudah tiba di depan pintu biliknya, mula
memulas tombol.
“Assalamualaikum!” Tangan Hana dilayangkan ke pintu.
Beberapa kali mengetuk di situ, Hana memandang ke lantai.
Baru dia sedar yang sandal Ika tidak berada di situ.
“Jangan-jangan pergi tengok TV tak?” Hana membuat telahan
sendiri.
Tangannya mula menggagau ke dalam poket beg untuk mencari anak kunci bilik.
Sebaik pintu dibuka, Hana terus melangkah masuk. Kelihatan sekeping kertas
kecil yang berada di atas bantalnya. Kertas kecil itu mula dicapai.
Saya keluar kejap. Nanti kita
dinner sama-sama okey.
“Yalah tu. Entah nak balik pukul berapa, nak makan
sama-sama?” tutur Hana yang selesai membaca nota yang ditinggalkan Ika
untuknya. Hana mulai menguap. Dia mulai mengeliat untuk menghilangkan
lenguh-lenguh di badannya. Dia yang sememangnya sudah berada di katil terus
berbaring.
Selepas beberapa ketika, sesuatu yang mengganggu tidurnya
memaksa Hana membuka mata. Baru sahaja dia merasai ketenangan apabila
merebahkan tubuhnya tadi. Siapa yang mengganggu?
“Hei! Bangunlah. Dah sampai pun kau, kan? Mana assignment aku tu?”
Sebaik Hana membuka mata, kelihatan Rina yang sedang berdiri di tepi
katilnya.
“Macam mana awak masuk?” Hana bersuara kaget.
Dia melihat pintu yang sudah terbuka. Rina tersenyum
sinis apabila mendengar pertanyaan yang keluar daripada bibir Hana itu.
“Macam mana aku masuk? Tu, pintu tu. Dah kau tak kunci.
Sempat lagi kan tengah-tengah hari ni pun kau nak membuta. Tidur, tidur,
tidur.” Rina membebel, seakan-akan dia seorang ibu kepada Hana.
Hana hanya menyepikan diri. Dia sendiri mengaku akan
kebenaran kata-kata Rina. Waktu tidurnya memang tidak ikut masa. Bahkan tempat
sekali pun. Kalau sudah matanya terasa berat, di mana-mana pun boleh sahaja dia
menutup matanya.
“Hei! Cepatlah!” Rina menolak bahu Hana apabila melihat
gadis itu yang kaku bagaikan patung di atas katilnya.
“Mana assignment
aku tu? Kau ingat aku nak tunggu kau kat sini terus? Aku pun ada banyak kerja
lagi tau. Kejap lagi aku nak jumpa Adif tu,”
beritahu Rina bangga.
Hana terus mencapai fail yang berada di sebelah
bantalnya. Rina yang memerhati hanya mencebik. Sesekali, dia membelek dirinya
sendiri di depan cermin yang terdapat pada dinding.
“Kalau aku pakai macam ni, kau agak-agak okey ke? Cantik
tak?” Rina memandang sekilas kepada Hana untuk mendengar pendapat gadis itu.
Hana yang mendengar meneliti pemakaian Rina. Seluar jean
dan baju-T sendat yang menyaluti tubuh Rina membuatkan dahinya berkerut.
“Err... bukan ke kalau tak pakai baju lengan panjang,
salah? Nanti mesti pak cik atau mak cik gad tahan,” jawab Hana. Rina yang sedang meneliti dirinya di dalam
cermin menoleh kepada Hana.
“Itu aku tahulah! Kau ingat aku bodoh? Ni...” Rina
menunjuk kepada lengan kirinya yang terdedah.
“Keluar nanti aku tutuplah. Pakai sweater ke...”
“Tapi, bukan ke baju tu...” Hana teragak-agak untuk
menyuarakan pendapatnya.
Kalau dengan baju-T sendat macam tu, boleh lepas ke kalau nak keluar?
“Ah! Kau bukannya tahu apa-apa pasal fesyen. Macamlah apa
yang kau pakai tu elok sangat!” tempelak Rina sambil memuncungkan mulutnya ke
arah Hana.
Seluar jean, baju-T lengan panjang dan juga tudung. Euw!
Hana meneliti dirinya sendiri apabila mendengar kata-kata
Rina. Apa yang tidak kena? Cara pemakaiannya mengikut etika berpakaian yang diwartakan
oleh UiTM. Salah satunya, baju yang dikenakan mesti melebihi punggung untuk
pelajar perempua.
“Dahlah. Kalau dengar pendapat kau, bukannya ada faedah
pun!” tingkah Rina sambil tangannya menyambar assignment yang berada di tangan Hana sebelum berlalu ke pintu.
“Ingat, Hana!” Rina mengerling kepada Hana yang masih
berteleku di atas katilnya.
Dia yang sudah memakai seliparnya memandang ke kiri dan kanan aras empat
yang sunyi itu.
“Kau jangan pandai-pandai lagi nak mengadu sana sini. Kau
ingat ada orang nak percayakan kau? Tengok hari tu, siapa yang susah?” Rina
tersenyum mengejek.
Hana hanya terkebil-kebil mendengar kata-kata Rina yang lebih kepada amaran
itu. Apa lagi yang dia mampu dia lakukan?
“Ingat! Kalau kau pandai-pandai lagi nak mengadu kat Puan
Sufi, aku akan pastikan kau gagal subjek ni. Mesti kau tak nak, kan?” Rina
mengangkat keningnya.
Hana menganggguk lemah mengiakan pertanyaan Rina.
Rina tersenyum puas menerima respons Hana. Sleeping Ugly
yang dungu!
“Good girl!”
tutur Rina sebelum melangkah pergi.
“Gagal? Aku tak nak jadi repeater! Tak nak!” bentak Hana dalam hati.
Biarlah CGPA dia tidak sebagus mana, tapi repeater... Tidak sama sekali!
“Dahlah buruk, hodoh, dungu pulak tu. Semuanya ada kat
dia,” getus Rina tersenyum senang sambil membelek-belek hasil tugasan yang
sudah berada di tangannya.
Bibirnya terus mengutuk Hana, orang yang bertanggungjawab di sebalik
tugasan tersebut untuk semester ini.
Puas dengan hasil kerja Hana, Rina yang sedang menuruni
anak tangga Kolej Masria itu meneliti baju yang tersarung di tubuhnya.
“Cantik apa baju ni. Si Sleeping Ugly tu bukannya tahu
nak menghargai fesyen. Apa dia ingat baju ni murah?” Rina terus membebel seorang
diri. Melepaskan geram kepada Hana yang
tidak tahu menghargai cita rasa fesyennya.
Sebaik melangkah keluar daripada Kolej Masria, Rina mula
menggagau telefon bimbit yang berada di dalam poket seluarnya. Jarinya terus
menekan mencari nama orang yang ingin dihubungi.
“Helo, Adif. Jadi kan kita nak jumpa petang ni?” Rina
terus melepaskan soalan yang bermain di benaknya.
“Hisy! You ni kan... tak tahu nak bagi salam ke? Terus
terjah macam tu aje.” Kedengaran suara Adif di cuping telinga Rina.
Ulas bibir gadis itu yang dioleskan pengilat bibir
terukir sebaris senyuman mendengar omelan daripada pelajar lelaki yang bertaraf
senior kepadanya.
“Alah,maaflah
sayang.” Rina mula bersuara manja.
Dia tahu sudah banyak kali perbuatannya itu ditegur
Adif. Setiap kali kalau menghubungi
pelajar lelaki itu, harus dimulai dengan salam. Kalau Adif yang menghubunginya,
salam lelaki itu harus dijawab. Ah, macam ustazlah pulak nak bersalam bagai.
“Hmm? You dengar tak ni?” Suara Adif kembali kedengaran. Ayat-ayat manja Rina yang baru hendak disusun
terbang entah ke mana.
“Dengar,” jawab Rina nak tak nak. Terus dia mula menyusun strategi baru.
“Tapi, tadi kan I dah cakap maaf,” jawab Rina membela
dirinya.
“Oh, maaf?
Selalu tu apa yangI cakap?” Suara
Adif kedengaran tidak berpuas hati.
Rina mengetap bibir. Geram! Hisy! Tak sukalah dengan
semua ni. Kenapalah Adif ni suka sangat nak besarkan isu tu? Salam aje kan?
Bukannya ada apa-apa pun.
“Yalah, yalah. Salah
I. Assalamualaikum. Puas hati?” balas Rina.
“Ni bukan soal puas hati atau tak, tapi you tu perempuan.
Belajarlah untuk beradab sikit. Takkan tak boleh?” bidas Adif.
Rina terus menadah telinga. Untung sahaja Adif tergolong
di dalam kumpulan lelaki yang kacak di UiTM ni. Dahlah kacak, terkenal di
kalangan pelajar-pelajar perempuan, baik
freshies mahupun senior. Faktor tambahan yang membuatkan dia lebih tertarik
kepada Adif adalah kerana lelaki itu sama taraf denganya, anak Datuk!
“Okey, okey. Salah I. Err... I terlupalah. Kan dah
terbiasa.” Rina mula merengek manja dengan harapan agar Adif tidak terus
memperbesarkan isu yang sama.
“Yalah, yalah,” balas Adif mengalah.
Rina mengulumkan senyuman. Yes! Berjaya lagi kali ni!
“Sayang, jadi tak kita nak jumpa petang ni?” Rina
melepaskan kembali soalan yang masih belum diperolehi jawapan.
“I okey aje. Kenapa? You tak jadi ke? Tak boleh?”
“Taklah! MestilahI
jadi. Kalau tak, takkan Inak telefonyou,
nak pastikan. Jadi petang ni, you tunggu I kat depan pintu pagar okey?”
balas Rina girang dengan berita pengesahan yang diterima daripada Adif.
“Okey. Assalamulaikum.”
“Err... waalaikumussalam,” sahut Rina sebelum menamatkan
perbualan.
Selesai menamatkan perbualan, Rina mencebik.
“Salamlah, apalah. Nasib baiklah kau tu kacak, Adif. Kalau tak, jangan haraplah aku nak bersabar
dengan kerenah kau. Kalau tak, dah lama boleh jalan!” Rina melempiaskan
geramnya yang sedari tadi ditahan-tahan.
“Adif, Khairul Adif.” Seiring dengan langkahnya yang
diatur menuju ke kolej kediamannya, Kolej Mahsuri, bibir Rina menyebut nama
pelajar lelaki senior yang didampinginya sejak semester yang lepas.
Sejak sesi orientasi lagi, dia telah terpaut hati apabila
melihat pelajar lelaki senior yang baginya cukup kacak di kalangan mereka yang
lain ketika itu. Sibuk matanya melilau untuk mencuri pandang ke arah kad matrik
Adif apabila seniornya itu datang menjengah ke kumpulannya, semata-mata untuk
mengetahui nama pelajar tersebut.
“Kacak, kaya, siapa yang tak nak?” Rina tersenyum seorang
diri ketika dia sudah memijak anak tangga untuk menuju ke tingkat dua.
Dalam hati, terselit perasaan bangga apabila salam persahabatan yang
dihulurkannya disambut Adif.
Lebih-lebih lagi apabila dia mendapat tahu ketika itu,
hampir selama tiga semester Adif berada di situ, belum pernah Adif berkawan
secara serius dengan mana-mana pelajar perempuan yang lain.