SHASHA menutup pintu
rumah perlahan-lahan. Berkerut wajahnya biarpun pintu tersebut langsung tidak
berkeriut. Sesekali dia memandang ke arah tangga dan ruang tamu untuk
memastikan tiada sesiapa. Benar. Rumah banglo mewah itu memang sunyi sepi
ketika itu. Mana tidaknya, jam sudah pun melepasi angka 3.30 pagi.
Selesai menekan tombol, Shasha mula menghala ke tangga.
Tidak perlu terjengket-jengket. Ini kan tahun 2005, normallah semua ini, kan?
Buat apa nak takut atau risau sangat kalau balik pada waktu-waktu begini? Lagipun,
ini kan KL, bukannya kampung, kan? Dan perkara yang paling penting, kepada
siapa dia harus takut? Emak saudaranya? Tak mungkin. Bapa saudara tirinya itu?
Takkanlah kut. Rayyan? Tak langsung! Oh, ya, sekadar peringatan. Orang gaji dan
pemandu pak ciknya itu sila buat hal masing-masing ya.
Tiba di tingkat dua rumah banglo itu, Shasha mengatur
langkah menuju ke biliknya. Sesekali bibirnya menyanyi-nyanyi kecil lagu yang
menjadi halwa telinganya ketika berada di kelab malam tadi. Kaki mula melangkah
masuk ke dalam bilik sebaik pintu mula dikuak.
Clutch yang sedari tadi
digenggam, dicampak ke atas katil sebaik pintu ditutup. Shasha mula berlalu ke
arah meja soleknya. Wajahnya dibelek buat beberapa ketika.
“Kan cantik. Apa yang tak kena? Kenapa Rayyan tu jual
mahal sangat?” bisik Shasha seorang diri.
Sesekali jarinya menekan-nekan lembut bibir yang masih
berwarna merah dioles lipstik Revlon itu.
Puas meneliti wajah sendiri di dalam cermin, Shasha
melangkah beberapa tapak ke belakang. Matanya kini membelek bentuk tubuh yang
terserlah di dalam dress ketat separa
lutut yang dikenakan.
“Emm... tak sia-sia
auntyhabiskan duit untuk beli baju ni.” Shasha tersenyum sendirian apabila
berpuas hati dengan hasil yang terbias di dalam cermin.
Berpuas hati dengan segala bentuk yang dapat ditatap di
dalam cermin itu, dia membawa diri ke katil dan menghempaskan tubuhnya ke tilam
yang empuk. Matanya tepat memandang ke siling yang berwarna putih itu.
Penghawa dingin yang menebarkan udara yang nyaman di
dalam bilik tidak mampu membuatkan mata Shasha dipejamkan. Apatah lagi dia
sendiri tidak mempunyai niat sedemikian. Hanya satu benda yang ligat bermain di
dalam mindanya kini.
Mengenangkan kemungkinan akan rancangannya yang bakal
dilaksanakan nanti, membuatkan bibir Shasha mula menguntumkan senyuman. Matanya
mula mengerling ke arah jam di pergelangan tangan.
“3.45. Orang cakap, perkara yang baik, jangan
ditangguhkan, kan?”
Shasha bingkas bangun daripada perbaringan. Hatinya kini
sudah tekad. Walau apa yang terjadi, malam ini dia ingin melakukannya. Berjaya
atau tidak, itu tidak penting. Setidak-tidaknya nanti, dia tidak akan menyesal
kerana tidak pernah mencuba langsung.
Pintu bilik yang tertutup kemas kembali dibuka. Sempat
matanya mencuri pandang ke arah bilik yang bertentangan dengan biliknya. Pintu
bilik tidur emak saudara dan bapa saudaranya itu tertutup kemas. Sunyi sepi.
“Bagus. Nilah peluangnya,” bisik Shasha.
Tangannya kembali menarik daun pintu, perlahan-lahan agar
tidak mengganggu tidur emak saudara dan bapa saudaranya itu. Langkah kaki
diatur menuju ke arah anak tangga yang akan membawanya ke tingkat tiga rumah
banglo berkenaan.
Shasha mula memijak perlahan-lahan anak tangga. Kali ini,
dia mula menjengket. Risau kalau-kalau tingkahnya itu akan membuatkan targetnya yang berada di tingkat tiga
akan dikejutkan. Perlahan-lahan, satu demi satu anak tangga didaki. Tiba di
tingkat itu, dia berhenti seketika untuk mengambil nafas. Dadanya mulai
berdebar.
Namun, kakinya tetap melangkah perlahan-lahan menuju ke
salah sebuah bilik yang terdapat di sebelah kiri. Tiba di depan bilik, debaran
di dada semakin kuat. Shasha mula mengetap bibir. Dia mula meramas-ramas tangan
sendiri untuk memberikan keyakinan dan menghalau jauh perasaan takut yang mula
mneyerang.
“Janganlah kunci,” bisiknya perlahan sebaik tangan mula
merayap memegang tombol pintu.
Shasha mula memulas tombol tersebut dengan cukup
berhati-hati. Dia tidak ingin melakukan sebarang kesilapan walaupun sekecil
cuma. Yes! Hatinya bersorak meraikan
kejayaan pertama setelah mendapati pintu bilik berkenaan tidak berkunci.
Pintu bilik tersebut mula dikuak perlahan-lahan. Bau lavender mula mencuit deria hidunya.
Sekali gus membuatkan bibir Shasha mula mengulumkan senyuman apabila
terpandangkan susuk tubuh Rayyan yang sedang berada di atas katil.
Pintu ditutup semula dengan berhati-hati agar tidak
mengganggu lelaki itu yang sedang nyenyak tidur. Sebaik pintu ditutup, Shasha
mula mengorak langkah ke katil dengan perlahan-lahan. Bilik yang diterangi
dengan cahaya lampu merah suram itu tidak dapat menghalang pandangan mata
Shasha daripada terus memerhati raut wajah Rayyan yang diam tidak berkutik.
Wajahnya mula didekatkan kepada wajah Rayyan.
Tangannya mula naik untuk menyentuh raut wajah tersebut.
Ingin sekali rasanya menjamah wajah yang menjadi pujaan hatinya itu. Namun,
jari-jemari yang hampir mengenai kulit wajah Rayyan terus terhenti sebaik
teringatkan akan rancangannya. Shasha tidak ingin kalau hanya dengan sentuhan
itu akan membangunkan Rayyan dan sekali gus membuatkan rancangan yang ingin
direncanakan menjadi satu kegagalan lagi seperti malam-malam sebelumnya.
“Classless? Fine. Alang-alang mandi, biar basah. Nak
menyeluk pekasam tu, bukan akulah, okey!”
Kening Shasha terjongket sedikit ke atas. Tak kuasa lagi
rasanya nak berperibahasa di ketika ini. Apa yang penting, dia ingin
melakukannya sesegera yang mungkin.
Zip dress dari
jenama Dorothy Perkins yang dihadiahkan ibu saudaranya, mula ditarik
perlahan-lahan. Senyuman terus mekar di bibir Shasha sambil matanya tak lepas
daripada memandang Rayyan.
Dress yang tidak
berlengan itu memudahkan kerja Shasha. Hanya dengan sekali tarik, dress yang tadinya menyaluti tubuh
langsing Shasha, terus melurut jatuh ke atas permaidani gebu yang terhampar di
dalam bilik anak teruna Tan Sri Rashid itu.
“I’m coming, baby,”
getus Shasha, seakan-akan Rayyan mendengari apa yang sedang diperkatannya
ketika itu.
Kakinya mula melangkah menaiki katil. Perlahan-lahan,
Shasha menyusup masuk ke dalam selimut yang menyelimuti tubuh Rayyan. Tubuhnya
dibawa dekat kepada lelaki itu.
“Selepas ni, you akan jadi milikI, sayang,” bisik Shasha dengan mata yang terus galak menatap
seraut wajah tenang Rayyan.
“Emm... tak! Bukan selepas ni, itu dah lama sangat, kan?
Esok. Macam mana dengan esok? Esok jugak you
akan jadi milik I dan I akan jadi milik you. Macam mana? I like!” Shasha terus mengomel sendirian
di atas katil.
Selimut terus ditarik agar menutup tubuhnya yang hanya
dilitupi dengan pakaian dalam. Itulah rancangannya. Mana ada kucing yang nak
tolak ikan, kan? Mana ada buaya yang nak tolak bangkai. Tunggu! Ada ke
peribahasa tu? Ah! Lantaklah! Shasha terus mengulumkan senyuman. Tidak sabar
menanti hari esok yang bakal merubah status dirinya kelak.
SUASANA pagi di rumah
banglo mewah milik Tan Sri Rashid pagi itu, agak berbeza. Masing-masing yang
berada di ruang tamu membatukan diri. Hanya sesekali esakan Shasha kembali
kedengaran.
Mak Cik Bibah dan Pak Cik Husin yang berada di dapur juga
turut mendiamkan diri sedari tadi. Hanya sekadar keluhan panjang yang
dilepaskan oleh Mak Cik Bibah apabila mengenangkan kembali peristiwa Subuh
tadi.
“Sudahlah. Tak baik awak mengeluh macam tu Bibah. Benda
dah jadi,” tegur Pak Cik Husin.
“Saya tak percaya bang yang budak Rayyan tu akan buat
macam tu. Saya tahulah. Saya yang jaganya selama ni,” tutur Mak Cik Bibah
dengan nada emosi.
Baginya, sebelum perginya Puan Sri Fatima untuk
selama-lamanya, bahkan selepas kematian umi Rayyan itu, anak cik puannya itu
adalah anaknya juga. Dia dan Puan Sri Fatima yang sama-sama mendidik anak muda
itu. Mana mungkin sekarang ni Rayyan boleh melakukan kerja yang dilarang agama
itu?
“Ingat ya Kak Bibah. Kalau terjadi apa-apa kat saya, akak
tolong jaga Rayyan. Hanya akak yang saya percaya.”
Pesanan yang pernah dititipkan oleh arwah umi Rayyan itu
mula menghasilkan air di kolam mata Mak Cik Bibah. Pak Cik Husin yang menyedari
terus mendiamkan diri. Tidak ingin lagi meneruskan kata-kata yang mungkin akan
terus menggores perasaan isteri yang dikasihi.
Di ruang tamu, Rayyan merenung tajam ke arah Shasha yang
sedang ditenangkan ibu tirinya.
“Sabarlah, Sha. Abang?” Puan Sri Harlina memandang kepada
suaminya yang masih diam seribu bahasa.
Tan Sri Rahid menghela nafas. Pandangannya mula berubah
daripada Shasha yang asyik menangis kepada anak lelakinya yang turut berada di
ruang tamu itu.
“Kalau dah suka sama suka, kenapa nak jadi macam ni
pulak? Aunty nak Rayyan
bertanggungjawab ke atas Shasha. Takkan lepas habis madu, sepahnya dibuang
macam tu aje?” hujah Puan Sri Harlina.
Dia menjeling suaminya yang baru hendak membuka mulut.
Lambat sangat nak tunggu orang tua tu buka mulut!
“Tak apalah aunty.
Sha tak nak nak kalau...” Shasha meneruskan lakonannya.
Sempat lagi dalam hatinya memuji peribahasa yang
digunakan emak saudaranya itu.
“Mana boleh macam tu!” Suara Puan Sri Harlina mula
meninggi.
Sudah lama peluang keemasan ini ditunggu-tunggu olehnya,
akhirnya peluang itu sudah pun terhasil melalui usahanya dan Shasha selama ini.
“Tapi, Sha tak nak kalau kita paksa Rayyan, aunty.” Shasha meneruskan lakonannya
yang hanya dapat difahami ibu saudaranya itu.
“Apa pulak paksa? Dah memang suka sama suka, kan? Betul
tak, Rayyan, apa yang aunty cakap ni?
Abang?” Sekali lagi Puan Sri Harlina menoleh ke arah suaminya.
“Rayyan, babah fikir...”
“Tunggu dulu, babah. You...” Rayyan menuding ke arah
Shasha.
Shasha yang sedari tadi asyik teresak-esak mula
menghentikan esakannya. Matanya turut memandang ke arah Rayyan.
“Apa cerita mengarut you tu? You cakap I dah memang
tunggu you kat sini semalam, kan? Then,
kita pergi terus ke bilik I, macam tu?” Rayyan mengangkat keningnya kepada
Shasha.
“Err... emm...” Kepala Shasha mula mengangguk.
Itulah cerita versinya yang diberitahu kepada Tan Sri
Rashid pagi ini.
“Lepas masuk bilik, kita pun berseronok, gitu? Sampailah
youtertidur kat bilik Idan bila Subuh tadi, Mak Cik Bibah
datang nak kejutkanIdan jumpa youdalam bilik, kan?” Rayyan melepaskan soalan lagi.
“Betulkan Sha? Nak soal apa lagi Rayyan? Dah memang
sah-sah Shasha ada dalam bilik kamu, kan? Dari semalam sampai ke Subuh tadi.
Mustahil tak terjadi apa-apa antara kamu berdua. Mana ada kucing yang tak
sentuh ikan kalau dah ada depan mata.” Puan Sri tersenyum sinis.
Kali ini, anak tirinya itu tidak dapat melarikan diri
lagi.
“Kita kena selidik betul-betul dulu. Tak boleh nak
salahkan Rayyan seorang dalam hal ni. Tepuk sebelah tangan takkan berbunyi.”
Tan Sri Rashid turut meluahkan pandangannya.
Nafasnya kembali dihela. Terasa kusut pemikirannya ketika
ini dengan masalah yang timbul.
Rayyan mengangguk. Dalam hati dia bersyukur dengan
kepercayaan yang masih ada untuknya dalam hati babahnya itu.
“I bagi peluang kat you, Sha. Ada apa-apa lagi yang you
nak tambah untuk cerita dramayou
tu?” Rayyan memandang ke arah Shasha dan ibu tirinya silih berganti.
Puan Sri Harlina mengerling kepada Shasha. Anak saudaranya
itu hanya menggeleng.
Tan Sri Rashid yang bertindak sebagai pemerhati,
menantikan kata-kata yang ingin dilontarkan anak bujangnya itu.
“Nak tanya apa lagi? Khawin aje terus sebelum kamu pergi
US esok! Kan senang?” tukas Puan Sri Harlina.
“Senang untuk siapa? Untuk aunty? Atau, untuk Sha?” soal Rayyan sambil tersenyum sinis.
Kepalanya digeleng perlahan. Ada hati dua orang wanita
itu ingin perangkapnya? Benarlah kata-kata madah pujangga, dalam kepandaian
seseorang itu, kadang-kadang akan terserlah juga kebodohannya.
Mujur saja, sejak Subuh tadi dia dilihat oleh Mak Cik
Bibah bersama-sama Shasha yang tiba-tiba sudah berada sekatil dengannya, dia
sudah mendapat akal untuk berdepan dengan situasi yang sudah boleh diduga itu.
Itu pun setelah jenuh memikir. Dia tidak rela mengahwini perempuan seperti
Shasha. Apatah lagi untuk satu kesalahan yang tidak pernah dilakukannya.
“Rayyan...” Meleret suara Tan Sri Rashid menegur
percakapan anaknya.
Setidak-tidaknya, Puan Sri Harlina perlu dihormati di
depan dirinya.
“Abang tengoklah tu, tengok perangai anak abang tu. Bukan
main lagi mulutnya kalau bercakap. Sudahlah buat salah, tapi tak nak mengaku.
Ada hati lagi nak...”
“Siapa? Siapa yang buat salah sekarang ni?” Rayyan yang
tidak dapat lagi membendung rasa sabarnya, mulai bangun.
Matanya mencerlung, menyorot ibu tirinya dan Shasha silih
berganti. Shasha yang mula dipagut ketakutan mula memaut lengan emak
saudaranya.
“Oh, sebab dia ada dalam bilik saya, jadi sayalah yang
kena bertanggungjawab? Macam tu? Kalau saya ada dalam bilik aunty?”
Tersentak Puan Sri Harlina dengan soalan yang tidak
diduga itu. Terjegil matanya memandang kepada Rayyan.
“Rayyan!”
Suara keras Tan Sri Rashid mula kedengaran. Dia yang
tadinya duduk di sofa mula berdiri. Dia tidak menyangka akan mendengar perkara
sebegitu akan lahir dari bibir anaknya sendiri.
“I’m sorry,
babah, tapi Rayyan takkan khawin dengan perempuan murah macam ni. Never!”
Rayyan memandang kepada babahnya.
Perempuan jenis apa Shasha tu kalau sanggup berkeadaan
sedemikian rupa ketika berada di atas katil dengannya semalam? Entah bila
perempuan itu menyeludup masuk ke biliknya, dia tidak sedar. Apa yang
dikesalkan ialah kesilapannya sendiri yang terlupa untuk mengunci pintu bilik.
Tan Sri Rashid terjeda. Bab khawin ni bukannya satu
perkara yang boleh dibuat main-main. Kalau empunya diri tidak mahu, takkan
hendak dipaksa? Tapi, Shasha macam mana?
“Habis tu, siapa yang nak bertanggungjawab kat Shasha ni?
Senang, kan? Lepas dah berseronok...”
“Seronok? Semalam? I dah bagi peluang kat you, Sha, jadi
lepas ni you jangan nak berdolak-dalih lagi.” Rayyan menuding ke arah Shasha
yang diam tidak berkutik.
“Babah, kalau betul Rayyan tunggu dia kat sini dan bawa
dia terus masuk ke bilik Rayyan, mana perginya barang-barang dia yang lain?
Mana perginya beg tangan dia ke? Apa-apalah benda yang dia selalu bawa bila nak
keluar. Mana?” Rayyan memandang ke arah ayahnya.
Tan Sri Rashid menghela nafas. Punggungnya kembali
dilabuhkan ke sofa. Dalam hati, dia akui timbul sedikit kelegaan. Bersyukur
kerana anaknya itu masih tidak melepasi batasan agama. Matanya mula memandang
ke arah Shasha yang tidak lagi bersuara.
Gulp! Shasha menelan air liur. Tak guna! Clutch hitam hadiah sempena hari
lahirnya daripada ibu saudaranya itu bukankah berada di dalam biliknya semalam?
“Shasha.” Tan Sri Rashid mula memanggil.
Kelihatan anak saudara kepada isterinya hanya menunduk.
Tidak menoleh kepadanya. Shasha yang duduk bersebelahan dengan ibu saudaranya
itu tidak berani menanggapi pandangan daripada Tan Sri Rashid.
Puan Sri Harlina tertawa sinis. Bab itu yang hendak
ditimbulkan anak tirinya itu?
“Kalau dah tuannya ada dalam bilik tu, mestilah beg ke
atau barang-barang yang lain pun ada kat dalam tu jugak. Macam baju Shasha ni,”
ujar Puan Sri Harlina, sinis sambil menjeling.
Bukannya dia tak perasan akan dress Shasha yang terdapat di atas permaidani bilik anak tirinya
itu pagi tadi. Dia sendiri tidak menyangka perkara yang diharap-harapkan
akhirnya terlaksana juga apabila mendengar kekecohan pagi tadi.
Mujur juga adanya Pak Cik Husin yang bertindak
menenangkan anak tirinya itu. Kalau tidak, mesti teruk anak saudaranya itu
dikerjakan Rayyan yang berang apabila terjaga daripada tidurnya pagi tadi
setelah didatangi Mak Cik Bibah.
“Jawablah. Kenapa nak diam? Cakap kat aunty kesayangan you ni, mana perginya
beg you tu? Ada ke dalam bilik I?” Rayyan mengerling kepaada babahnya yang
turut memandang kepada ibu saudara dan anak saudaranya itu.
“Ada kan Sha? Mesti ada dalam bilik Rayyan, kan?” soal
Puan Sri Harlina girang sambil memegang bahu Shasha.
“Shasha? Hal ni bukannya benda mainan. Jangan sampai uncle...”
Shasha menggeleng lemah. Hatinya mula gerun memikirkan
kata-kata yang ingin dilontarkan bapa saudaranya itu. Pelbagai telahan dan
kemungkinan yang menyerang fikirannya sekarang. Dia tidak ingin kehilangan
kemewahan yang dikecapinya sekarang ini. Kemewahan hasil tanggungan Tan Sri
Rashid itu.
“Macam mana nak ada kalau dah berbohong? Kalau betul
cerita Shasha, Rayyan tunggu dia kat sini dan bawa terus dia ke bilik, mesti
semua barang-barang dia ada sekali, kan? Tapi sayang, dalam kelam-kabut tu you
terlupa satu benda. Terlupa nak fikir mana logiknya cerita you tu, kan? Kalau
macam tu aje, senanglah jawabnya. Masuk bilik aje terus kena khawin. What a life!” Rayyan tertawa kecil.
Sekadar nak sakitkan hati emak tirinya yang wajahnya
sudah merah padam.
Tanpa menunggu sebarang kata daripada sesiapa, Rayyan
berlalu ke dapur. Perutnya mula berkocak.
“Alhamdulillah,” getus Rayyan perlahan sambil terus
mengatur langkah.
Kali ini, dia terlepas lagi daripada perangkap durjana
Shasha yang tidak pernah jemu untuk mendapatkannya. Harapnya di masa akan
datang, ALLAH akan sentiasa ada bersama dengannya untuk menangkis perempuan
seperti Shasha itu.
Di ruang tamu, Tan Sri Rashid masih berjaya mengawal
kemarahannya.
“Apa yang tak cukup lagi, Sha? Agaknya kehidupan kat KL
ni tak sesuai untuk Sha, kan?” Tan Sri Rashid mula bersuara.
Matanya mengerling ke arah isterinya.
“Ss... Saya tak tahu apa-apa bang. Sumpah! Sha, apa nak
jadi dengan Sha ni hah? Aunty ni pun
dah terpedaya dengan tipu helah Sha. Tak sangka aunty boleh tuduh budak yang baik macam Rayyan tu sampai macam tu
sekali. Syukurlah semuanya dah terdedah.” Puan Sri Harlina menjeling kepada
anak saudaranya itu.
“Sha tak nak uncle
kalau kena balik kampung. Sha nak tinggal kat sini dengan aunty dan jugak uncle.
Sumpah! Sha takkan buat lagi. Takkan!” Shasha kembali berair mata.
Kali ini, jujur. Takut kalau Tan Sri Rashid tidak ingin
lagi menanggung dirinya dan yang lebih takut, kalau dia perlu pulang ke
kampung. Meninggalkan segala kemewahan yang dirasainya selama tiga tahun ini.
“Kalau benda macam ni berulang lagi, ingat, Sha! Awak pun
Lina,” ujar Tan Sri Rashid dengan nada yang keras sebelum bangun meninggalkan ruang tamu itu.
Melihatkan suaminya yang sudah menghilangkan diri menaiki
anak tangga, Puan Sri Harlina menoleh kepada Shasha yang duduk di sisi kirinya.
“Bodoh! Benda yang macam tu pun tak boleh nak handle?” desis Puan Sri Harlina
perlahan.
Shasha hanya mampu diam membungkam.