Sekarang,
tahun 2014.
“AYAH baliklah
dulu. Tak payah tunggu orang,” tutur Hana buat ke sekian kalinya sebelum
melangkah turun dari kereta milik ayahnya itu.
“Yalah, tahu. Hana dah cakap tadi, kan,” sahut ayahnya.
“Balik tau? Orang bukannya budak-budak lagi.” Hana
membesarkan matanya.
Tertawa kecil Pak Cik Kamarudin dengan tingkah
satu-satunya permata hati dia bersama isteri itu.
“Nanti bila dah sudah, Hana telefon ayah ya,” pesan Pak
Cik Kamarudin.
Siapa yang tidak risau dengan keadaan anaknya itu yang
boleh terlelap di mana-mana sahaja? Lebih-lebih lagi dengan apa yang telah
terjadi kepada anaknya itu kira-kira tujuh tahun lepas.
“Kalau yang itu tak apa. Nanti Hana telefon, tapi
sekarang ayah kena balik dulu,” ujar Hana bersungguh-sungguh sebelum menutup
pintu kereta.
Pak Cik Kamarudin mengangguk, sebagai tanda jawapan.
Hana yang sudah beberapa tapak melangkah, menoleh semula
ke belakang.
“Pergi, pergi...”
desisnya perlahan.
Siap dengan gerak tangan kanan, persis ketika menghalau
kucingnya yang berada di rumah.
“Budak ni...” Pak Cik Kamarudin tersenyum.
Nampak sangat anaknya itu inginkan dirinya untuk tidak
berada di situ pada pagi itu. Enjin kereta yang baru sahaja dimatikan,
dihidupkan semula setelah memerhati Hana yang masih belum melangkah masuk ke
dalam bangunan tersebut.
Hana yang kemas mengenakan baju kurung dengan selendang
biru muda yang berwarna sedondon dengan bajunya itu, tersenyum senang setelah
melihat kereta ayahnya yang sudah melepasi pintu pagar.
Dia yang kini sudah berusia 27 tahun mula membuang
langkah memasuki Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis itu yang terletak di
Persiaran Wawasan, Kangar.
Sekeping kertas yang disimpan di dalam failnya sejak
minggu lepas, mula dikeluarkan.
“Tingkat dua, kan?” gumam Hana seorang diri.
Kaki mula diatur. Matanya merayap memerhati sekeliling.
Bangunan yang turut dikenali sebagai Mini Putrajaya oleh penduduk setempat itu
kelihatan begitu moden di pandangan matanya. Biarpun tidak sebesar Putrajaya
yang sebenar, mungkin ia mendapat jolokan namanya kerana ini merupakan pusat
pentadbiran bagi negeri Perlis.
Kaki mula berjalan menuju ke lif. Sempat Hana menoleh ke
belakang, memeriksa keadaan sekeliling. Kenapa hanya dia seorang sahaja? Tidak
ada yang lain ke?
Hana mula melangkah ke dalam lif. Butang yang tertera
nombor dua ditekan untuk membawanya ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri
Perlis itu. Tiba di aras berkenaan, Hana melangkah keluar. Dia menoleh ke kiri.
Kosong. Ke kanan pula dipandang. Kelihatan seorang lelaki di sebuah meja.
Fail dipeluk kemas
sambil kaki mula melangkah lagi menuju ke meja berkenaan.
Selepas beberapa minit menunggu di tempat yang telah
disediakan setelah mendaftarkan diri, tiba giliran Hana untuk ditemuduga.
“Masuk!” Satu
suara lantang kedengaran.
Pintu mula dikuak. Sebaik kaki melangkah masuk, Hana
menutup semula daun pintu berkenaan dengan tertib. Kaki mula diatur menuju ke
sebuah meja di mana sudah ada dua orang lelaki yang akan menemuduga dirinya
sebentar lagi.
“Assalamualaikum cik,” ucap Hana dengan memandang
kedua-dua orang lelaki tersebut.
“Waalaikumussalam. Sila duduk.” Seorang lelaki yang
berumur 40-an menunjukkan sebuah kerusi kosong yang terdapat di depan meja.
Mungkin kira-kira 1 meter jaraknya dari meja berkenaan.
“Baiklah, Cik Hana Antasaha Kamarudin, am I right?” penemuduga itu memulakan
bicaranya. Hana tahu inilah saatnya dia akan dinilai.
“Yes, sir,”
sahut Hana sambil mengangguk sekali. Soalan demi soalan diajukan kepada
dirinya. Apa yang dia tahu, dijawab dan cuba disampaikan dengan sebaik yang
mungkin. Biarpun penemuduga yang seorang lagi itu, seorang lelaki yang sudah
beruban kepalanya, mungkin berusia dalam lingkungan 50-an hanya mendiamkan diri
sedari tadi, tetap dipandang oleh Hana ketika memberikan jawapan. Dia tidak
mahu dilihat seolah-olah hanya berbual dengan penemuduga yang pertama sahaja.
“Baiklah Cik Hana. Kalau tadi kita dah berbual pasal luar
negara, sekarang kita berbalik ke dalam negara kita, negara Malaysia. Siapa
Peguam Negara kita?”
Mata dipejamkan seketika. Terasa nyaman udara yang berada
di sekelilingnya ketika ini. Hana menarik nafas. Debaran di dadanya sudah lama
menghilang sejak berjaya menjawab soalan-soalan yang diaju oleh penemuduga
tadi.
Nafas diambil lagi. Selesa. Aman. Keadaan ini begitu mendamaikan.
Kepalanya dirasakan ringan. Sungguh membahagiakan.
“Ehem.. Cik Hana? Cik Hana?”
Suara siapa itu yang mengganggu dirinya? Tak nampakkah
yang dia sedang bersantai begini? Cukup selesa. Tunggu! Tadi ada soalankan?
Soalan apa ya?
“Cik Hana!” Suara itu lagi. Kali ini lebih lantang
berbanding yang tadi.
Ya, dia sudah tahu. Itulah jawapannya.
“Aaron Aziz!”
Terlopong kedua-dua penemuduga itu dengan jawapan
yang lahir dari bibir calon yang sedang
berada di depan mereka. Sudahlah tadi bukan main sedap dia tidur, sekarang ini
jawapannya? Biar betul!
“Pardon me.
Aaron Aziz?” Kali ini barulah kedengaran suara penemuduga yang kedua itu. Ohoo,
dengar nama Aaron Aziz baru buka mulut ya?
Ya ALLAH! Dia tertidur lagi ke? Malunya! Entah apa
tanggapan yang diberikan kepada dirinya kini. Lambat-lambat wajahnya yang
menunduk mulai diangakat.
Kelihatan kedua-dua penemuduga itu tersenyum. Tidak!
Entah-entah sedang menahan ketawa? Peguam Negara Malaysia, Aaron Aziz? Hisy,
hisy! Hana, Hana, apa nak jadi ni? Sadis betullah!
“I’m very-very
sorry sir. I know the answer. It just that...” Hana mula menggelabah.
Kenapa nama Aaron Aziz pula yang boleh terkeluar tadi? Adoi! Entah mana dia nak
letakkan mukanya kini?
“Cik Hana tahukan
kalau Cik Hana lulus temuduga ini, Cik Hana dikehendaki menjalani pemeriksaan
kesihatan?” Penemudga yang pertama melepaskan soalan.
“Ya,” Hana pantas
menjawab.
“Saya cuma...”
Hana berdebar menantikan kata-kata penemuduga berkenaan.
Cuma apa? Hana memandang kedua-dua penemuduga itu silih berganti. Kedua-dua
penemuduga itu saling pandang memandang di antara satu sama lain. Mungkin hanya
mereka berdua sahaja yang saling memahami bahasa isyarat yang sedang diberikan.
“Macam inilah. Cik Hana balik dulu dan tunggu jawapan
daripada kami. Saya pun bukannya doktor dan tidak adil untuk saya terus
mengadili Cik Hana.”
Riak wajah tenang milik Hana mula berkerut sebaik
mendengar kata-kata penemuduga berkenaan. Apakah maksudnya? Dia bukan doktor?
Nak mengadili? Apa ni?!
Hana terkebil-kebil. Tidak tahu patah perkataan yang
harus diucapkan. Adakah dia akan gagal temuduga ini? Arghh!!!
“Yalah.” Akhirnya itu yang terkeluar dari bibir Hana. Dia
mengangguk perlahan.
“Kalau macam tu, sampai sini saja. Terima kasih kerana
sudi datang,” ucap penemuduga kedua seraya menghulurkan fail kepada Hana. Hana
bingkas bangun. Tangan mula dihulur bagi menyambut kembali fail yang diberikan
sebelum mula ditemuduga.
“Terima kasih juga atas masa encik berdua,” tutur Hana
seraya menganggukkan sedikit kepalanya sebagai tanda menghormati kedua-dua
penemuduga itu. Kelihatan kedua-dua lelaki itu tersenyum sambil memberikan
anggukan kepala.
Hana mula mengatur langkah ke pintu. Debarannya yang
sudah hilang kini diganti dengan satu pertanyaan. Bolehkah jawatan ini menjadi
miliknya kelak?