“ISY! Mati aku
kalau macam ni. Macam mana boleh terlupa pulak ni?” Rina menggerutu seorang
diri di meja.
Rakan-rakan sekelasnya yang mula beransur meninggalkan
dewan kuliah tidak dihiraukan.
“Kau kenapa? Nak bertapa kat sini? Jomlah! Semua orang
dah balik ni.”
Suara Airin menarik pandangan mata Rina yang sedang dalam
kegelisahan.
“Tak semua. Tu, ada lagi dia kat sini.” Miza yang sudah
menyiku Airin memuncungkan mulutnya ke satu arah.
Airin dan Rina mula menoleh ke arah belakang kelas.
Kelihatan Hana sedang mengemaskan buku dan nota-notanya.
“Ah! Si Ugly tu memang lembap pun. Buat kerja apa pun
semuanya lambat. Kalau tak diketuk, tak berjalanlah jawabnya.” Rina mula
menjeling.
Buat sakit matanya aje apabila melihat Hana yang masih
lagi tidak bangun dari kerusi. Pandangannya kembali dihadapkan kepada telefon
yang berada di genggaman.
“Sedap aje kan mulut kau kalau bercakap. Lembaplah,
lambatlah. Dahlah tu, cakap macamlah dia tak ada kat sini. Buatnya dia dengar?”
luah Airin sambil mengerling Hana.
“Kenapa kalau dia dengar? Kau takut? Hei, ada aku kisah?
Lantaklah!” Rina mula membentak.
Bibirnya mula dijuihkan. Biarlah kalau Hana dengar pun,
dah memang betul dia tak kisah. Takut? Jauh sekali!
Airin yang baru hendak membuka mulut, terkedu apabila
sekali lagi lengannya disiku Miza.
“Biarlah,” bisik Miza sepatah sambil menjongketkan
kening.
“Urmm...” Airin mula menghela nafas.
Kalau hendak terus bertikam lidah pun, apa yang dia akan
dapat? Penat aje, kan?
“Dahlah, kalau kau nak duduk sini, teruskan niat suci kau
tu ya. Aku dengan Miza nak balik. Tapau mi goreng ke, nasi goreng ke,
petang-petang macam ni baru best!”
Airin mula mengatur langkah ke pintu.
Tak kuasa nak terus menghadap Rina yang 24 jam perangai
mengada-adanya itu mengalahkan seorang puteri raja saja lagaknya.
“Wei! Tunggulah. Aku ada masalah sikit ni.” Rina mula
menggelabah apabila melihat kelibat Airin dan Miza yang sudah hilang daripada
pandangan matanya sebaik pintu dewan kuliah ditutup.
“Hisy! Tak guna betullah. Bukannya aku suruh tunggu
berjam-jam pun.” Rina yang sudah berdiri tadi kembali menghenyakkan punggungnya
di kerusi.
Kepalanya mula berserabut kembali apabila melihat skrin
telefon.
Ingat tau petang ni.
Mesej yang dikirim Adif kembali dibaca perlahan. Matanya
dipejam seketika, seakan-akan mesej yang diterima itu merupakan satu masalah
besar, seperti permasalahan negara yang perlu ditanggung olehnya kini.
“Petang ni aku dan janji dengan Zaf tu. Bila masa pulak
aku berjanji dengan si ustaz ni?” omel Rina.
Satu keluhan turut dilepaskan. Dalam minda, dia mula
mengira-ngira sudah berapa kali dia memungkiri janji yang dibuatnya kepada Adif
pada minggu ini.
“Baru dua kali, kan? Ke dah tiga?” Berkerut dahi Rina.
Bibirnya mula diketap. Geram! Geram sebab dirinya masih
lagi gagal untuk buat notes di
kalendar telefonnya tentang permasalahan ini. Sudah berapa kali dia asyik
bertangguh untuk meletakkan temu janjinya yang ingin diasing-asingkan untuk
Zafran dan juga Adif.
“Macam mana ni? Apa yang aku nak buat sekarang? Kalau tak
pergi, mesti merajuk pula ustaz tu nanti.” Terbayang seraut wajah Adif yang
akan mencuka kalau janji kali ini tidak dipenuhi juga seperti janji-janjinya
yang lain pada minggu ini.
Hendak dilepaskan Adif, terasa mustahil. Mustahil sangat!
Khairul Adif membuatkan dirinya terasa bangga apabila berdamping di sisi lelaki
itu.
“Zafran...” Sebaris nama lelaki itu terucap tanpa diduga.
Wajah Zafran yang tersenyum hadir tanpa dipinta di ruang
mindanya. Lelaki yang berjaya mencuit hatinya. Lelaki yang akan membuatkannya
tersenyum dan tertawa setiap kali bersua muka. Ada saja cerita dan jenakanya.
Cerita bagaimana Zafran menuang air ke atas muka Sleeping Ugly tempoh hari
adalah yang paling terpahat dalam ingatannya. Bahkan, dia sendiri memuji
tindakan Zafran itu. Pendek kata, dia dan Zafran memang sekepala! Lalu,
bagaiamana dia harus meninggalkan lelaki itu? Mustahil!
Semuanya mustahil ya Cik Rina? Berat sungguh permasalahan
yang ditanggung Cik Rina ni kan? Masalah yang dicari sendiri sebenarnya!
Hana yang melewati tempat duduknya untuk menuju ke pintu,
mencuri pandangan mata Rina. Rakan sekelasnya itu dilirik ke atas dan ke bawah.
Kepalanya mula digeleng perlahan apabila melihat pakaian yang membaluti tubuh
Hana.
“Apa bendalah yang dia pakai tu? Baju kurung? Euww!
Agaknya kain jenis apa? Emm... takkan nak beli kat Jakel kut? Sini bukannya ada
cawangan Jakel. Mesti yang pasar malam punya.Pasti!”
Tadi menggeleng, kini terangguk-angguk pula dengan
telahan yang dibuatnya sendiri.
Matanya terus memerhati Hana. Hairan bagaiamana perempuan
itu boleh mengenakan pakaian yang sedemikian rupa untuk ke kelas. Tapi, yang
lebih menghairankan dirinya, bagaimana perempuan seperti Hana boleh wujud di
muka bumi ini? Bagaimana?
“Sepadanlah dengan Adif tu. Seorang asyik dengan baju
kurung, yang seorang lagi asyik dengan salam. Jawab salamlah, bagi salamlah,
yang itu tak elok yang ini tak manis.”
Hana yang semakin menghampiri pintu mula mengulumkan
senyuman. Yes! Hari ini Rina tak
suruh dia buat apa-apa pun. Hari ini boleh menjadi hari dalam sejarah!
“Sepadan? Adif, Ugly, emm... Yes! Kenapa aku tak terfikir dari tadi lagi?” Rina mula mencapai
beg LV yang menjadi kebanggaannya itu.
Kenapa? Tak percaya? Percayalah yang Rina Batrisya mampu
untuk memiliki beg tersebut yang mencecah RM3,000. Oh, ya! Semestinya dengan
menggunakan duit ibu bapanya!
Hana terus melangkah dengan senang hati. Hari ni adalah
hari yang penuh dengan sejarah sepanjang dia bergelar pelajar di UiTM ini.
Belum pernah sehari pun yang berlalu tanpa Rina menyuruhnya melakukan apa-apa.
Jadi, hari ni adalah hari kemerdeka.
“Hei, Ugly! Tunggu! Tunggu!” Rina mula menjerit sambil
mempercepatkan langkahnya untuk menghalang Hana.
Hana memejamkan matanya seraya melepaskan keluhan. Belum
merdeka lagi jawabnya hari ni! Kakinya sudah pun terhenti di muka pintu. Hanya
menantikan Rina yang sedang menghampirinya sekali gus akan memberikan arahan
untuk dilaksanakannya seperti biasa.
“Kau pun nak balik, kan?” soal Rina apabila sudah
berhadapan dengan Hana.
Ekor matanya terus menatap baju kurung merah jambu yang
dikenakan Hana. Terasa jengkel dengan apa yang sedang diperhatikannya, Rina
terus menarik daun pintu.
Hana seperti biasa, mengikuti langkah gadis itu. Ibarat
pekerja yang sedang mengikuti majikannya yang siap sedia menerima arahan
bila-bila masa.
“Aku nak kau pergi ke pintu pagar kat depan sana.” Rina
mula memberikan arahan pertamanya.
“Pintu pagar? Nak buat apa?” Terlepas suara Hana yang
terkejut dengan permintaan Rina yang dirasakan pelik di pendengarannya.
“Yang kau nak oversangat
kenapa? Bukannya aku nak suruh kau keluar dari UiTM ni pun. Aku cuma nak kau
pergi kat pintu pagar sana dan jumpa dengan Adif.”
“Hah? Ju... jumpa...”
Hana mula menelan air liur.
Terbayang seraut wajah seniornya itu. Kenapa pula dia
yang harus pergi menemui lelaki itu?
“Yalah, aku nak kau pergi jumpa dia. Yang kau nak gelabah
ni kenapa? Bukannya aku nak kau pergi dating
dengan Adif tu pun. Aku nak kau pergi jumpa dia dan beritahu yang aku tak dapat
nak keluar dengan dia petang ni sebab aku tak sihat,” tutur Rina lancar akan
rancangan yang baru direncanakan lebih kurang lima minit yang lalu.
Idea yang baru berkunjung tiba apabila melihat si
Sleeping Ugly.
“Tak sihat?” Wajah Hana berkerut.
Susuk tubuh Rina yang sedang terpacak di depannya kini
tidak pula menampakkan sebarang tanda-tanda ganjil di pandangan matanya.
“Kau siapa nak ambil tahu semua tu? Aku sihat ke, sakit ke,
tak ada kena-mengena dengan kau, kan?” Rina mula membesarkan matanya.
Dipandangnya Hana ke atas dan ke bawah untuk menambahkan
‘special effect’ ke dalam diri Hana.
Biar gerun sikit!
Hana terjeda. Mengaku tidak, membangkang juga tidak. Rina
mula menjeling. Ada hati nak melawan dirinya? Sudahlah Ugly!
“Kenapa, kau tak nak pergi?” duga Rina sambil mengerling
sekilas.
Tali beg kesayangannya yang tersangkut di bahu
dibetulkan.
“Bukan macam tu... err... tapi...” Kata-kata Hana mula
tersangkut-sangkut.
Sudahlah pintu pagar tu jauh dari dewan kuliah ni, jam
pula dah hampir ke pukul 5.45 petang. Nak berjalan ke sana semata-mata nak
sampaikan pesanan yang tak seberapa tu dan kemudiannya nak berjalan balik ke
bilik, pukul berapa dia hendak menunaikan Solat Asar?
“Jadi, betullah kau tak nak buat? Kau dah berani nak
melawan aku kan sekarang ni?” Rina mula terasa panas hati.
Terasa semakin halus Hana di pandangan matanya.
“Bukan macam tu. Kan... err... kan awak ada tu... Kan
boleh mesej aje, kan?” Hana menuding ke arah tangan Rina.
“Ini, aku punya pasallah! Aku nak mesej dia ke, nak
telefonke, aku tahulah nak buat
macam mana. Sekarang ni, aku nak kau yang pergi sana. Cakap kat Adif apa yang
aku beritahu kau tadi, faham?!” Suara Rina mula meninggi.
Hilang pertimbangannya apabila berhadapan dengan sikap
Hana yang bagaikan mempersoalkan dirinya pula. Tahulah dia macam mana nak
gunakan telefonnya, kenapa nak persoalkan?
“Yalah,” balas Hana mengalah.
Untung saja tiada sesiapa di kawasan dewan kuliah itu
pada waktu sekarang. Kalau tidak, pasti sekali lagi dia akan menjadi mangsa
drama Rina pada petang itu.
Rina tersenyum puas hati apabila melihat Hana yang mula
mengatur langkah.
“Ingat apa yang aku pesan tu!”
“Ya,” sahut Hana lemah.
Dia orang punya masalah, kenapa nak libatkan aku sekali?
Mengenangkan dirinya yang masih lagi mempunyai hutang Asar yang belum terlunas,
Hana mula melangkah sedikit laju meninggalkan dewan kuliah sekali gus menuju ke
arah pintu pagar seperti yang dikendaki oleh Rina.
“Dungu!” Rina menjeling sebelum mula melangkah. Hasrat
hatinya ingin segera tiba di medan selera untuk berjumpa dengan Zafran. Memang
betul dia boleh mengirimkan pesanan ringkas kepada Adif, tetapi akan percayakah
Adif kepadanya setelah beberapa kali dia mengingkari janji? Dengan menyuruh
Hana, dia yakin Adif akan mempercayainya. Mustahil orang seperti Hana akan
berbohong, kan? Bijak, Rina!
“I’m smart.”
Rina tersenyum puas.
Satu butang di telefonnya ditekan. Setelah berpuas hati,
telefon itu sudah dioff, gadjet itu dimasukkan ke dalam beg. Biar
tidak ada sebarang gangguan nanti ketika dia berdua-duaan dengan Zafran. Bibir
mula menguntumkan senyuman. Lalu, dia mula mengatur langkah persis seorang
model melakukan catwalk menuju ke
medan selera.
HANAyang sudah
perasankan kelibat Adif yang sedang berdiri berhampiran pintu pagar UiTM itu,
terhenti sejenak. Sedikit mengah dek berjalan pantas untuk mengejar masa yang
kian meninggalkan diri. Dadanya berdebar tiba-tiba. Dia mula mengetap bibir.
“Ingat apa yang aku pesan tu!”
Suara lantang Rina yang terngiang-ngiang memaksa kakinya
melangkah semula untuk mendapatkan Adif di pintu pagar. Dalam keterpaksaan,
Hana memberanikan diri melawan debar di dadanya. Perasaannya bercampur baur
sekarang ini. Malu, takut, gelabah semuanya ada. Bak satu iklan di TV tu,
macam-macam ada!
“Assalamualaikum,” sapa Hana sebaik tiba berhampiran
Adif.
“Waalaikumussalam.” Adif yang sedang memandang jam di
pergelangan tangannya mulai mendongak.
Sebaris senyuman yang menghiasi bibirnya mulai terhakis
perlahan-lahan. Susuk tubuh yang tercegat di depannya kini bukannya seperti
yang diharap-harapkan untuk tiba di situ hampir 20 minit yang lalu.
Hana mulai tertunduk. Malu dan gementar semakin menebal
dalam dirinya. Apatah lagi apabila terpandangkan dua orang mak gad yang berada
di pondok pengawal, memerhati ke arah mereka berdua.
Adif sendiri terjeda. Walaupun timbul pelbagai persoalan
di dalam benaknya kini, terasa susah pula untuk dilepaskan keluar kepada
pelajar juniornya itu.
“Kenapa...”
“Err... Abang Adif, boleh tak kita cakap kat sana?”
Suara Hana mematikan kata-kata Adif yang ingin
dilontarkan menjadi soalan.
Tanpa menantikan respons daripada Adif, Hana mulai
melangkah. Terasa tebal kulit mukanya untuk terus berbual-bual di situ dengan
diperhatikan oleh dua orang mak cik yang bertugas sebagai pengawal keselamatan
di UiTM itu yang hampir sebaya dengan ibunya sendiri.
Beberapa tapak melangkah meninggalkan pintu pagar, Hana
mulai berhenti. Matanya mengerling sekilas kepada Adif yang sudah berada di
sisinya kini.
“Rina tak sihat. Dia tak dapat nak keluar dengan Abang
Adif hari ni. Jadi, dia minta saya tolong datang beritahu kat abang,” tutur
Hana dengan sebaris nafas.
Fuh! Leganya. Terasa satu beban bagaikan diangkat dari
bahunya kini. Hana menghela nafas kelegaan. Janganlah hendaknya seniornya itu
bertanyakan itu ini lagi kepadanya selepas ini.
Hana mengerling lagi kepada Adif. Seniornya itu hanya
mendiamkan diri. Hanya kepalanya yang mengangguk perlahan. Terselit perasaan
bersalah dalam hatinya kerana terpaksa berbohong kepada lelaki itu.
“Saya balik dulu. Asalammualaikum.” Hana terus melangkah.
Tak ingin dia terus berlama-lama di situ apabila
mengenangkan Asarnya yang belum tertunai. Entah sempat atau tak untuk
melunaskannya pada petang itu.
“Nanti!”
“Habis!” desis Hana apabila terdengar jeritan kecil
daripada Adif.
Seniornya itu mula berlari-lari anak untuk menyaingi
langkahnya.
“Awak cakap Rina tak sihat, betul?” soal Adif yang
berjaya memintas langkahnya.
Hana tertunduk. Tidak berani bertentang mata dengan Adif
yang berada di depannya.
“Awak cakap tadi Rina tak sihat, betul?” Adif menyoal
lagi.
Hana mula terasa dirinya berada di dalam sebuah bilik
mahkamah biarpun belum pernah sekalipun dia menjejakkan kaki di situ sepanjang
hidupnya. Kini, dia perlu menjawab soalan yang diajukan oleh ‘peguam’ Adif.
“Urmm...” Hana mengangguk lambat-lambat.
Serba salah sebenarnya.
“Sakit apa ya?” Adif melepaskan lagi soalannya.
Rentak jantung yang baru berdetak normal kembali digugat
dengan soalan kedua Adif. Hana mulai panik. Sakit apa tadi tak pula disebut
Rina, kan?
“Err... dia... emm... Rina sakit...”
“Bukannya apa. Sebagai kawan dia, saya pun berhak tahu
kan dia sakit apa, betul tak?” Adif kembali menyoal biarpun belum lagi lahir
jawapan daripada mulut Hana.
“Ya, ya.” Hana terus bersetuju.
Kepalanya masih lagi menunduk. Harapannya, janganlah Adif
terus menyoal lagi. Cukuplah setakat itu saja. Kenapa dia pula yang kena berhadapan
dengan semua ini? Argh!
“Oh, ya! Tadi awak jumpa dia kat bilik atau kat kelas?”
Nada peguam kembali didengari oleh Hana.
“Kelas,” jawab Hana jujur.
Adif yang sudah boleh mengagakkan jawapan daripada
pemakaian Hana dan juga buku dan fail yang berada di dalam pelukan gadis itu,
kini memberikan anggukan, tanda berpuas hati. Point taken! Rina, aku dah tahu!
“Err... boleh saya balik?” Lambat-lambat Hana mula
bersuara.
Takut untuk mengganggu Adif yang bagaikan mengelamun
seketika itu.
“Ya, terima kasih.” Adif mula memberikan laluan untuk
Hana melangkah.
Tanpa bertangguh, Hana mulai berjalan. Perasaan gusar dek
diasak soalan demi soalan daripada Adif tadi mulai menghilang, tapi kenapa ada
satu perasaan baru? Sudahlah begitu, semakin kuat pula perasaan itu mencengkam
lubuk hatinya. Dalam tidak sedar, Hana mula terhenti. Kepala ditoleh ke
belakang. Memerhati Adif yang setia berdiri di situ. Dia menapak semula ke arah
lelaki itu.
“Err... Abang, ss... saya... saya minta maaf,” tutur
Hana.
Adif yang terpinga-pinga dengan kedatangan semula Hana,
terkebil-kebil dengan ucapan itu.
Belum pun sempat dia hendak membuka mulut, juniornya itu
terlebih dahulu melangkah. Hendak dikejar, terasa kakinya bagaikan dipasak ke
bumi. Hanya pandangan matanya yang menghantar pemergian gadis itu yang
tergesa-gesa melangkah meninggalkan dirinya.
Adif tersenyum seorang diri mengenangkan gelagat Hana.
Matanya masih lagi dapat melihat susuk tubuh yang sedang melangkah pantas itu.
Dia tahu bukannya salah gadis itu pun. Bukannya Hana yang berhak untuk menerima
apa yang hendak dikatakannya sekarang ini. Orang yang tak sepatutnya pula yang
mengucapkan kata-kata maaf itu kepadanya, tetapi Rina?