HANA tergopoh-gapah melangkah menuruni anak tangga di
bangunan pentadbiran apabila menyedari waktu yang kian menghambat dirinya di
saat itu. Tercungap-cungap sedikit nafasnya sebaik anak tangga habis dituruni.
“Sempat ke tak ni?” Nada Hana berlagu bimbang apabila
mengerling jam di pergelangan tangannya.
Niatnya untuk menyempurnakan Solat Zohor sebelum kelas
yang bakal menyusul pada pakul 2.10 petang itu, mula kelihatan samar-samar.
Fail yang dipeluk kemas ditatap geram apabila kelihatan
beberapa helaian kertas tugasan ekonomi yang bakal menjadi kepunyaan Rina
kelak. Geram kerana untuk yang ke sekian kalinya, dia tewas lagi kepada Rina.
Hajat yang ditanam untuk melawan balik kata-kata arahan gadis itu terbang hilang
entah ke mana apabila berhadapan dengan Rina.
“Entah ilmu apa yang dia pakai.” Hana menggerutu seorang
diri.
Dalam tidak sedar, kakinya yang terus melangkah mula
tersasar dari laluan yang disediakan dan mula menghala ke longkang kecil yang
terdapat di sisi laluan pejalan kaki yang berbumbung itu.
“Aduh!”
Hana mengaduh kesakitan apabila sebelah kakinya sudah
terpelecok ke dalam longkang kecil yang dalamnya hanya beberapa inci itu.
Terlepas genggaman tangannya yang sedari tadi memeluk kemas sebuah fail yang
berwarna merah jambu.
Sempat mata Hana memerhati sekeliling. Waktu di mana
masing-masing sibuk untuk mengisi perut pada waktu makan tengah hari itu
membuatkan keadaan sekeliling di situ sunyi sepi.
Laju tangan Hana mencapai beberapa helai kertas yang melayang
keluar daripada failnya yang terjatuh. Dia yang masih belum bangun, mula
menggosok-gosok buku lalinya yang terasa sakit dek terpelecok tadi.
“Apalah malang sangat nasib aku ni? Lepas satu, satu yang
berlaku.” Hana mula mengeluh.
Wajahnya berkerut menahan perit setiap kali tangannya
mengurut-urut buku lalinya yang mulai membengkak.
“Assalamualaikum.”
Satu suara yang menyapa ke telinga Hana membuatkannya
sedikit tersentak.
“Err... waalaikumussalam.” Tergagap-gagap Hana menyambut
salam yang diberikan.
“Kertas awak, kan? Ada kat situ tadi.” Adif tersenyum
sambil menghulurkan dua helai kertas yang dipenuhi dengan tulisan tangan Hana.
“Err... ya.” Lambat-lambat Hana mengangguk apabila kertas
tersebut bertukar tangan.
“Awak kenapa? Terjatuh ke?” Adif melepaskan soalan yang
sudah bolah diagak akan jawapannya apabila melihat keadaan Hana yang terduduk
di sisi longkang kecil.
“Urmm...” Hana mengumam sambil terus mengangguk.
“Boleh bangun tak ni? Nak saya tolong? Kalau...”
“Tak apa! Tak apa! Saya okey!” Laju Hana menjawab sambil
menoleh sekilas kepada Adif yang setia berdiri.
Tangan kanannya turut menggawang sebagai tanda jawapan
‘tidak’ kepada tawaran pertolongan pelajar lelaki itu.
“Betul ke ni? Are
you sure?” Adif menyoal lagi sambil memerhati sekeliling.
Dia tahu nasib pelajar perempuan yang sering ditertawakan
itu. Kelas yang bakal menyusul akan membuatkan laluan itu bakal dipenuhi oleh
para pelajar bila-bila masa sahaja.
“Awak tahu kan kelas dah nak mula ni? Nanti kalau ada
siapa-siapa tengok awak macam ni...” ujar Adif lebih kepada memberi peringatan
kepada Hana.
Hana hanya mendengar tanpa memberikan sebarang respons.
Masakan dia tidak tahu maksud pelajar senior itu. Setelah memasukkan kertas
yang diberikan Adif sebentar tadi, Hana mula untuk berdiri.
Adif yang memerhati mula serba salah. Nak dipegang nanti,
takut dituduh mengambil kesempatan pula!
“Saya okey,” balas Hana apabila sudah berdiri.
Adif yang melirik ke arah Hana mula mengangguk. Ah! Kalau
dia sendiri tak nak dibantu, apalah dayanya lagi, kan?
“Baiklah, kalau macam tu. Saya pergi dulu,” balas Adif
sebelum melangkah.
Hana yang sedari tadi menunduk kerana menahan malu, mula
memerhati susuk tubuh lelaki itu yang sudah berada di anak tangga.
“Err... Abang Adif!” Hana menjerit kecil, melaung nama lelaki
itu.
Spontan langkah kaki Adif terhenti apabila mendengar
suara Hana. Terus kepalanya menoleh ke arah pelajar juniornya itu.
“Te... terima kasih. Ni...” Hana mengangkat failnya yang
berwarna merah jambu itu, isyarat kepada kertas-kertas yang terkandung di
dalamnya.
“Sama-sama!” balas Adif yang turut melaung dari anak
tangga.
Bibirnya mula tersenyum apabila memandang Hana yang mulai
melangkah. Dalam tidak sedar, dia menggeleng perlahan apabila mengenangkan
nasib pelajar juniornya itu.
Adif sedar yang pelajar junior itu menjadi bahan usikan
pelajar-pelajar yang lain kerana sifatnya yang satu itu. Tidur yang tidak
mengira tempat mahupun masa!
“Hana...” Perlahan nama itu diseru oleh ulas bibir Adif.
Sayup-sayup kelibat juniornya itu semakin menghilang
daripada pandangan matanya.
“Ugly. Sleeping Ugly. Kenapalah malang sangat nasib kau?”
Adif menggumam seorang diri.
Nama timangan yang diberikan Rina itu ternyata melekat
sehingga kini. Ke mana-mana sahaja langkah kaki gadis itu, Ugly sudah sinonim
dengan diri Hana di dalam kampus UiTM ini.
Telefon yang berdering di dalam poket seluar mula
mengubah pandangan mata Adif yang terus memerhati susuk Hana yang sudah
menghilang.
“Assalamualaikum,” ucapnya.
“Hai, sayang! Ops! Err... Assalamualaikum.”
Berkerut wajah Adif apabila mendengar suara yang sudah
terbiasa di hujung telinganya.
“I kan yang bagi
salam tadi? You ni tahu jawab salam ke tak?”
“Tersasullah sayang. Waalaikumussalam.” Suara manja Rina
kembali kedengaran.
“Emm...” Adif melepaskan nafas.
Telinganya terus saja ditadahkan untuk mendengar ucapan
maaf daripada buah hati yang tidak dapat berjumpa dengannya untuk sama-sama
menikmati makan tengah hari tadi.
Janji yang tidak ditepati oleh Rina seperti juga semalam.
“EH! Nak pergi
ke mana tu? Kan awal lagi ni? Awak dah lapar ke?” tegur Ika apabila melihat
Hana yang tergesa-gesa mengenakan tudung sebaik selesai menunaikan Solat Asar.
“Taklah. Saya nak pergi ke medan selera,” sahut Hana
tanpa menoleh.
Siap mengenakan tudung, dia melangkah menuju ke meja belajarnya.
Ika yang sedang menelaah di meja belajar hanya memerhati tingkah sahabat
baiknya itu.
“Medan selera? Kalau tak lapar lagi, kenapa nak pergi
sana Cik Hana oii?” tanya Ika yang masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang
diterima.
Sempat matanya mengerling jam loceng di atas meja yang
menginjak ke pukul 5.30 petang.
“Err... tu... saya nak...”
Terjongket sebelah kening Ika apabila menatap sahabat
baiknya itu yang tergagap-gagap untuk memberikan jawapan. Sebelah tangan Hana
pula sedang memegang kertas kerja yang sudah siap dibinding.
Ika yang sudah duduk di kerusinya selama hampir sejam
yang lalu bingkas bangun apabila melihat Hana yang ingin berlalu. Terus
tangannya meragut assignment yang
sedang dipegang Hana.
“Tengok!” tutur Ika yang sudah berjaya merampas tugasan
tersebut dari tangan Hana.
Matanya terus menatap muka hadapan tugasan yang jelas
tertera nama empunya diri.
Persis seorang pensyarah, Ika menyingkap sehelai demi
sehelai muka surat untuk menatap sekali lalu isi kandungan. Sesekali matanya
mengerling kepada Hana yang kelihatan gelisah.
“Ekonomi?” soal Ika.
“Emm...” gumam Hana dengan memberikan anggukkan.
Hana mengeluh perlahan. Dia sendiri tahu yang dia tak
mampu untuk menyembunyikan apa-apa daripada pengetahuan sahabat baiknya itu.
“Ni bukan kerja berkumpulan, kan?” soal Ika lagi sambil
mengangkat assignment tersebut dengan
sebelah tangan.
Pandangan matanya mula dikecilkan apabila merenung Hana.
Hana yang menjeling terus diam membungkam. Dia yang sudah
berada hampir dengan pintu, melangkah semula ke katil dan mengambil tempat di
birai.
“Awak dah tahu, kan? Macamlah awak tak faham,” tutur Hana
perlahan.
Dia sendiri kalau boleh tidak ingin perkara tersebut
berlarutan, tapi apalah dayanya? Setiap kali berhadapan dengan Rina, ternyata
semangatnya menjadi lemah. Kalau tak, takkanlah sampai terpelecok kakinya
tengah hari tadi dek kerana terlalu memikirkan perihal assignment Rina tu?
“Sebab saya fahamlah saya tak suka tengok semua ni.
Kenapalah dengan awak ni Hana?” Ika mula membebel, kesal dengan apa yang
berlaku kepada kawan baiknya itu.
Dia yang turut mengambil tempat di birai katil itu mula
memaut bahu Hana.
“Dah nasib saya Ika,” sahut Hana lemah.
“Tapi, sampai bila? Jangan cakap kat saya sampai semester
akhir awak nak terus buat semua kerja untuk dia. Banyaklah lemak dia kalau
macam tu! Yang dia, terus nak bersenang-lenang!” Nada Ika terus berubah 100
peratus.
Daripada duduk, terus berdiri sambil bercekak pinggang.
Nampak sangat Ika ni tak berpuas hati dengan Rina!
Hana hanya menadah telinga mendengar omelan daripada Ika.
Terasa dirinya bersemangat setiap kali mendengar kata-kata daripada kawan
baiknya itu.
Betul! Sampai bila aku nak jadi kuli Rina tu? Betul apa
yang Ika cakap. Takkan sampai semester akhir nanti kut aku nak terus buat semua
kerja-kerja dia? Tapi...
Hana terus berperang dengan perasaannya sendiri. Memang
dia tidak menafikan semangatnya berapi-api setiap kali mendengar kata-kata Ika,
tapi sayangnya tak lama. Apabila berhadapan dengan Rina, hilang entah ke mana
kata-kata yang sudah disusun untuk diluahkan kepada gadis itu. Lesap macam itu
saja!
“Awak dengar tak ni Hana apa yang saya cakap? Awak kena
lawan perempuan tu! Jangan biar dia terus buli awak macam ni. Kalau...”
“Ika, macamlah awak tak ingat apa yang jadi hari tu
dengan Puan Sufi. Bukannya saya tak nak, tapi kalau benda yang sama berulang
lagi?” Hana mula bersuara.
Sesungguhnya, ugutan Rina amat melekat di dalam kepalanya
sehingga kini semenjak kes tersebut.
Ika terdiam. Dia sendiri mula ketandusan idea. Bagaimana
caranya untuk membuatkan perbuatan Rina itu dapat didedahkan? Dia tahu ideanya
kepada Hana agar terus pergi berjumpa dengan Puan Sufi itu hanya memakan diri
kawan baiknya itu apabila ternyata Rina yang bertindak terlebih dahulu.
“Dahlah. Saya pergi dulu. Nanti tak pasal-pasal mengamuk
pula dia kalau saya terlambat,” ujar Hana yang ingin menutup perbualan mereka.
Isu sama yang tak akan ada jalan penyelesaiannya buat
masa sekarang.
Ika hanya mampu memerhati Hana yang sudah melangkah
keluar dari bilik yang dihuni mereka berdua.
“Sampai macam tu sekali Hana ni takutkan perempuan tu?”
omel Ika perlahan.
Apalah yang kawan baiknya itu fikirkan sehingga boleh
patuh macam tu saja kepada Rina?
“Yang Rina tu pula dia ingat dia siapa? Banyak cantik
muka dia, ada hati nak perintah-perintah orang macam tu. Buat kerjalah, jangan
lambatlah. Eii... Kalau akulah kat tempat Hana, mampuslah dia aku kerjakan!”
Ika mengepal-ngepal buku limanya.
Luahan rasa terus dibuat walaupun tiada siapa yang
mendengarnya di dalam bilik itu.
“Rina. Rina Batrisya!” Ika menutur nama itu dengan penuh
emosi.
Nama sama yang tertera di muka hadapan tugasan subjek
Ekonomi yang akan diserahkan Hana sebentar lagi.
“Ada ubi ada batas, Rina. Kau tak tahu aku siapa.
Tunggulah! Satu hari nanti baru kau tahu langit tu tinggi atau rendah. Waktu
tu, kalau kau menangis air mata darah sekali pun, tiada siapa akan dapat tolong
kau. I promise you that!”
Terangguk-angguk kepala Ika yang sedang membuang
pandangannya ke arah medan selera yang boleh dilihat dari tingkap biliknya yang
berada di tingkat empat itu. Pertemuan pertamanya dan pertemuan-pertemuan
seterusnya antara dia dengan Rina hanya semakin menjelaskan sikap sombong gadis
itu yang tidak bertempat.
Kata-kata yang keluar dari bibir Rina umpama racun yang
cukup berbisa buat dirinya. Racun yang berbisa itulah yang menyuburkan dendam
di hati Ika yang hanya menanti masa untuk dilunaskan.
“Tak apa, Hana. Saya akan balas untuk awak nanti!”