Home Novel Cinta Isteriku Sleeping Ugly
Isteriku Sleeping Ugly
Daisy Norhaida Othman
29/7/2015 12:28:34
69,418
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

ASSALAMUALAIKUM.”

Satu ketukan yang diberikan di pintu sebelum pintu dikuak menarik pandangan mata Hana yang sedang berbaring di katil.

“Waalaikumussalam. Baru balik? Kata tadi nak makan sama-sama? Kononlah!” Hana mula menarik muncung apabila melihat Ika yang sudah melangkah ke dalam bilik.

“Alah, takkan merajuk kut? Ni, tengok ni, ada kan saya beli? Ni Ikalah! Mana pernah lupa janji,” sahut Ika bangga sambil menunjuk bungkusan beg plastik di tangannya.

Hana yang sedang menyandar di kepala katil sambil membaca sebuah buku hanya mengerling sekilas ke arah Ika yang sedang duduk di birai katilnya yang bertentangan dengan katilnya itu.

Ika tersengih sambil mengangkat kening.

“Mana ada saya merajuklah. Acah aje tadi tu,” balas Hana tersenyum.

Apatah lagi apabila matanya turut melihat beg plastik KFC yang ditunjukkan Ika tadi!

“Eh! Tahu tak...” Ika yang sudah berlalu untuk menggantikan bajunya mula membuka mulut untuk menyampaikan berita terbaru kepada Hana.

“Apanya? Awak tak nak mandi dulu ke?” tegur Hana apabila melihat Ika yang sudah berkemban dengan tualanya.

“Alah, panas lagi ni. Kan tak elok mandi kalau badan masih panas, kan?” Ika tersengih.

Dia yang sudah berlalu ke katilnya mula tidak sabar untuk bercerita.

“Alasan aje.” Hana yang sudah mencapai satu beg plastik tersenyum lebar apabila melihat isi kandungan beg plastik itu.

“Suka. Mentang-mentang zinger burger.” Ika yang memerhati gelagat Hana senang hati apabila melihat senyuman yang terukir di bibir Hana.

Dia sendiri turut mencapai beg plastik yang turut mengandungi isi kandungan yang sama seperti Hana. Makan burger maksudnya masa untuk bergosip!

“Dengar ni, teka tadi saya jumpa Rina tu dengan siapa?” Ika mula membesarkan matanya apabila melepaskan soalan kepada Hana yang sedang menggigit burger kegemarannya itu.

Beberapa ketika dibiarkan berlalu tanpa sebarang jawapan apabila mulut Hana dipenuhi dengan isi burger yang sedang dikunyah itu. Hanya matanya yang memerhati kepada Ika yang mengangkat keningnya kepada soalan yang masih belum diberikan jawapan.

“Tak payah teka pun saya dah tahulah,” jawab Hana berbasa-basi. Sekadar untuk memberikan respons kepada Ika yang masih menantikan jawapan daripadanya.

“Awak dah tahu?” Sedikit terjegil mata Ika apabila mendengar jawapan yang keluar daripada bibir Hana. Kawan baiknya itu hanya memberikan anggukan kepala berulang kali. Ika memerhati Hana yang kembali menggigit burger yang masih berada di tangannya.

“Pelik. Awak yang tak keluar ke Sungai Petani tu pun tahu Rina tu keluar dengan siapa?” Ika mula memuncungkan mulutnya.

Pandangan matanya tidak berubah. Masih melekap kepada Hana yang bersila di atas katil. Puas mengunyah burger yang berada di dalam mulut, Hana kembali membuka mulutnya.

“Sebabnya tadi dia datang sini. Jadi, saya tahulah dengan siapa dia nak keluar, sebab dia sendiri yang cakap. Adif, kan?” Hana memuncungkan mulutnya ke luar tingkap bilik.

Seolah-olah Adif berada di situ.

Ika yang mendengar mula tersenyum. Dia mula membuka mulut, menggigit burgernya untuk kali yang kedua. Barulah berselera semula!

Hana yang memerhati reaksi Ika tidak menghiraukannya. Terus dia menikmati burger yang masih berbaki di tangannya. Kalau bukan dengan Adif, dengan siapa lagi Rina nak keluar? Macamlah satu UiTM ni tak tahu dengan siapa yang selalu dia berkepit. Perpustakaan dan medan selera bukan lagi tempat yang asing bagi dua orang pelajar itu.

“Salahlah. Bukan dengan Adif tu.” Ika mula memberitahu.

Kalau hendak tunggu Hana yang bertanya, esok pun belum tentu lagi. Dia yang terserempak dengan Rina di Central Square petang tadi, sudah tidak sabar hendak berkongsi cerita dengan Hana.

Terperanjat Hana yang baru hendak menyedut air. Terjongket kedua-dua keningnya ke atas apabila mendengar kata-kata Ika.

“Hah! Tulah, terkejut kan? Tadi...”

“Tapi tadi... tadi dia sendiri yang cakap...” Hana mula menggelabah. Tangannya menunjuk pula ke arah pintu bilik seolah-olah Rina sedang berdiri di situ.

“Apa yang dia cakap tak semestinya itu yang dia buat, kan? Jangan cakap kat saya yang awak boleh percayakan dia. Percayakan perempuan yang macam tu!” desis Ika geram.

Sejak hari pertama lagi dia dengan Rina sudah ditakdirkan untuk berseteru.

“Apa dia ingat dia sorang aje yang mampu beli semua benda-benda tu?” desis Ika perlahan apabila mengenangkan perangai berlagak Rina yang tidak bertempat itu.

“Taklah, bukan macam tu, tapi dia sendiri yang cakap tadi nak keluar dengan Adif,” tutur Hana. Terkebil-kebil matanya seiring dengan akalnya yang memproses maklumat yang disampaikan Ika tadi.

“Dah dia cakap, awak pun percayalah? Macam tu?” duga Ika.

“Bukan macam tu, tapi...” Hana berjeda tidak meneruskan kata-katanya.

Kenapa Rina berbohong? Dia tidak kisah kalau Rina berbohong kepadanya, sebab dia tahu, gadis itu tidak pernah pun berbaik-baik dengannya, tapi sekarang ada dua pihak yang sedang ditipu Rina.

“Dah tu?” Ika terus menyoal.

Dia mula berasa pelik dengan wajah Hana yang bertukar serius sedari tadi. Hilang moodnya untuk terus bergosip! Dah bertukar jadi sesi ala-ala tutorial di dalam kelas pula.

“Dengan siapa dia keluar?” Hana melepaskan soalannya kepada Ika.

Wajah kawan baiknya itu direnung.

“Dengan Adam Zafran,” jawab Ika.

Mulutnya yang ingin dibuka untuk menggigit burger yang berada di tangan, terbantut seketika apabila melihat raut wajah Hana yang berkerut.

“Adam Zafran pelajar business tu? Bukan dia sama batch dengan kita ke?” soal Hana lagi inginkan kepastian.

“Urmm... budak tulah. Budak mana lagi. Bukan main manja lagi Rina berkepit dengan dia kat CS tadi. Hisy! Tak tahu malu langsung!” Ika mencebik.

Terasa meluat apabila teringatkan gelagat Rina dengan Zafran di CS petang tadi.

“Yang awak ni kenapa? Muka ketat semacam aje,” tegur Ika apabila melihat Hana yang terkebil-kebil seorang diri. Hanya jarinya yang bermain-main dengan penyedut minuman yang sedang dipegangnya.

“Taklah, cuba awak fikir...”

“Alah, malaslah nak kena fikir-fikir ni.” Ika mula menarik muncung apabila mendengar kata-kata Hana.

“Dengarlah dulu. Tadi Rina kata dia nak keluar dengan Adif, tapi alih-alih awak cakap, dia keluar dengan Zafran. Maksudnya sekarang ada dua orang yang kena tipu dengan dia, kan?” Hana mengangkat kening apabila melepaskan teori yang bermain-main di dalam kepalanya sedari tadi.

“Emm...” Ika mengetap bibir.

Sesekali, kepalanya dianggukkan.

“Sama ada Adif dan Zafran tu kena tipu atau hanya seorang aje daripada dia orang yang kena main dengan minah tu,” tingkah Ika dengan andaiannya.

“Adif!” Serentak Hana dan Ika menutur nama tersebut apabila pandangan mata mereka bertaut.

“Sebabnya satu UiTM ni tahu kut yang minah tu selalu berkepit dengan Adif. Takkan Zafran tu tak tahu? Tak perasan atau tak pernah terserempak dengan dia orang kat mana-mana, kan? Tu, kat medan selera tu, selalu sangat.” Ika mengerling ke luar tingkap.

Hana termangu-mangu. Kenapa Rina sanggup menipu Adif tu? Apa yang tak kena?

“Dia tipu tu satu hal, tapi Zafran tu...” Hilang kata-kata Hana apabila seraut wajah lelaki yang berkulit sawo matang itu menjelma di ruang benaknya.

“Bodoh! Sebab dia bodohlah, dia sanggup jadi spare tyre Rina tu!” tempelak Ika.

Hana mengerling kepada Ika.

“Amboi! Senang aje awak cakap dia bodoh, kan? Tak baik tau!”

“Betul apa yang saya cakap. Takkanlah dia tak tahu yang Rina tu rapat dengan Adif? Kalau daripada apa yang mata ni tengok...” tutur Ika sambil menunjuk kepada kedua-dua matanya.

“Lagak dia orang tu bukannya setakat kawan aje. Siap berpegang-pegang tangan, makan pun bersuap, apa bendanya tu? Tak jadi spare tyre kalau dah mesra macam tu? Tak ke bodoh namanya?” Ika membesarkan matanya.

Geram apabila memperkatakan perihal Rina.

Hana membatukan diri. Dalam hati, dia mengiakan kebenaran kata-kata kawan baiknya itu. Memanglah bodoh kalau sanggup jadi ‘simpanan’ kalau dah tahu Rina tu ada hubungan dengan Adif.

“Dahlah, tak payah bercakap pasal dia orang tu. Bukannya ada faedah pun,” tutur Hana sekali gus mematikan niat Ika yang ingin membuka mulutnya lagi.

“Betul jugak. Habis tu tadi, kenapa Rina datang sini? Tadi awak cakap dia datang bilik kita, kan?” soal Ika sebelum kembali menyambung menikmati burgernya.

“Err... pasal assignment. Kan ke kami satu kumpulan,” jawab Hana berbohong.

“Satu kumpulan?” Ika tersenyum sinis.

Kepalanya digeleng beberapa kali. Anak matanya terus memandang kepada Hana yang sedang menyedut air.

“Satu kumpulan apanya kalau awak aje yang buat kerja? Dia? Berseronok sana sini!” tempelak Ika, geram.

Hana yang sudah boleh mengagak arah bicara Ika hanya mendiamkan diri. Dia tahu kawan baiknya itu akan terus membebel melepaskan rasa tidak puas hatinya.

“Walaupun Puan Sufi tak percaya dengan cerita awak, tapi saya percaya. Cuma salahnya, kita tak ada bukti aje. Kalau ada, memang siaplah Rina tu!” Ika terus melepaskan emosinya.

Dia yang tahu permasalahan yang pernah timbul dahulu turut berasa simpati kepada kawan baiknya.

“Dahlah. Tak guna cakap pasal tu lagi. Beria-ia saya bercerita hal yang sebenar kat Puan Sufi, tapi alih-alih dia tak percaya pun. Siap bagi amaran lagi. Sia-sia aje apa yang kita rancangkan tu,” luah Hana kecewa.

Ika turut melepaskan keluhan. Dia yang memberikan cadangan kepada Hana untuk terus pergi berjumpa dengan pensyarah tersebut dan menerangkan hal yang sebenar bahawa tugasan yang diberikan sebelum ini adalah hasil kerja Hana dan bukannya Rina.

“Saya pun tak sangka jadi macam tu. Mesti Rina pergi jumpa Puan Sufi dulu, kan? Licik betul perempuan tu!” Ika mengetap bibir. Geram!

“Saya pun tak tahu apa yang dia buat. Mungkin betul jugak dia yang pergi jumpa Puan Sufi terlebih dahulu. Sebab tu bila dengar cerita saya, Puan Sufi macam nak tak nak aje,” tutur Hana yakin apabila mengimbau semula pertemuannya dengan Puan Sufi yang berlangsung di bilik pensyarah wanita berkenaan.

Kalau Rina boleh menukar cerita yang sebenar, tak mustahil dia boleh terus buat macam tu lagi. Aku tak nak gagal! Detik hati kecil Hana apabila mengingatkan amaran baik daripada Puan Sufi mahupun daripada Rina.

“Rina tu memang tak berguna! Dia yang suruh awak buat kerja dia, tapi Puan Sufi pula boleh percaya yang sebaliknya. Percayakan cakap perempuan bodoh tu!” bentak Ika emosi.

Dia sendiri pelik macam mana Puan Sufi boleh percaya dengan kata-kata Rina.

“Dahlah. Kan tadi dah cakap tak payahlah kita cakap pasal hal ni lagi. Awak tu yang emosi sangat kenapa? Cemburu ke Rina keluar dengan Zafran tu?” usik Hana cuba mengubah topik perbualan.

“Cemburu? Tolong sikit. Saya tak berminat dengan lelaki tak ada otak macam tu. Muka, urmm... boleh tahan...” Ika mengangguk.

Hana yang memerhati keletah kawannya itu cuma tersenyum.

“Tapi sini...” Jari Ika naik menunjuk kepada kepalanya.

“Kosong!” Bertemu jari telunjuk dan ibu jari Ika membentuk huruf ‘O’ apabila ditunjukkan kepada Hana.

“Tak baik tahu awak ni Ika. Dari tadi lagi asyik cakap macam tu,” tegur Hana.

Kawan baiknya yang masih lagi berkemban tu hanya tersengih apabila menerima teguran itu. Mulutnya terus mengunyah burger yang masih berbaki.

Hana yang masih mengacau-ngacau air dengan penyedut minumannya, melepaskan keluhan. Mindanya terus menerawang memikirkan hal Rina yang langsung tiada kaitan dengan dirinya.

“Ehem! Awak tu yang termenung bukan main lagi. Ke, awak yang cemburu?” Ika tersenyum-senyum kepada Hana yang menoleh kepadanya.

“Saya cemburu? Sebab?”

“Sebab Adif,” jawab Ika sambil mengangkat keningnya beberapa kali.

“Hisy! Tak kuasa saya. Ikut suka hati dia oranglah apa yang dia orang nak buat. Yang saya tahu, saya datang sini nak belajar, grad dan lepas tu nak kerja,” balas Hana.

“Yalah, Cik Skema. Saya tahu cita-cita awak tu. Orang usik ajelah!” Ika yang ingin berlalu ke luar bilik sempat mencucuk jarinya ke pinggang Hana.

Berderai ketawa kedua-dua orang gadis itu menyerikan bilik yang hanya dihuni oleh mereka berdua.

“Pergilah mandi. Dah busuk tau!” jerit Hana biarpun pintu telah pun ditutup Ika yang ingin menuju ke bilik air.

Senyuman yang terukir di bibir Hana semakin melebar apabila kata-kata Ika terngiang-ngiang di hujung telinganya.

“Adif? Hisy! Siapa yang suka?” Hana menjongketkan bahunya.

Gerangan seseorang yang menerjah mindanya lebih mencuri tempat di hatinya berbanding pemilik nama yang dituturkan Ika tadi.

“Siapa dia?” bisik Hana seorang diri di atas katil.

Kakinya mula melangkah menuruni katil. Cawan air KFC yang masih berada di tangannya diletakkan di atas meja belajar sebelum mula melangkah menuju ke almari yang disediakan oleh pihak UiTM.

Pintu almari yang bertutup itu ditarik perlahan-lahan. Beg yang berada di dalam almari itu mula dicapai. Laju tangan Hana menarik zip beg tersebut. Sehelai kain mafela yang berada di situ dikeluarkan.

Leka Hana menikmati kelembutan kain yang berada di dalam genggaman tangannya itu. Peristiwa pada hari Khamis yang lalu di Stesen Bas Sahab Perdana bermain semula di dalam benaknya.

“Siapa awak?” soal Hana seorang diri kepada mafela.

Seakan-akan kain tersebut dapat memberikannya jawapan yang masih tidak berjawab.

“Macam mana dia tahu aku menangis?” Hana terus menggumam. Soalan yang turut tidak mempunyai jawapan sehingga kini.

Sejak hari Khamis yang lalu, sebahagian dirinya terus diselubungi tanda tanya perihal lelaki misteri itu. Juga, dalam hatinya terdetik sedikit rasa kesal. Kesal kerana tidak mempunyai keberanian untuk pergi bersemuka dengan lelaki itu.

Hana terus tersenyum. Terasa dirinya terbuai-buai setiap kali menatap kain mafela itu. Tenang. Aman. Gembira. Ah! Semuanya adalah. Kalau sahaja dia berani pada hari itu, tentu dia sudah tahu siapa gerangan lelaki yang baik hati itu.

Bunyi pintu yang ditolak, menyentakkan Hana. Cepat-cepat dia memasukkan kembali kain mafela itu ke dalam beg sebelum menutup pintu almari. Kelihatan Ika yang sudah melangkah ke dalam bilik sambil menyanyi kecil-kecil.

“Sejuklah mandi malam-malam ni.”

“Emm...” Hana hanya menggumam apabila mendengar suara Ika.

Dia yang sudah kembali ke katil terus berbaring di situ. Di dalam kepalanya, dia mula membuat pertimbangan. Wajarkah dia berkongsi cerita perihal jejaka mafela itu kepada Ika? Tapi, malulah!

“Emm... Ika, awak pernah tak suka kat orang yang awak tak pernah kenal?” Hana memulakan mukadimahnya.

“Apa? Tak kenal? Gila ke apa nak suka kat orang yang kita tak kenal.” Ika tertawa kecil.

Dia yang sudah lengkap mengenakan baju tidur kembali melabuhkan punggung di birai katil. Tangannya terus mengelap rambut yang masih basah.

“Maksud saya err... macam tak pernah tengok muka dia. Ada ke orang yang boleh saling suka kalau tak kenal macam tu?” Hana mengerling sekilas kepada Ika.

“Oh! Apa pula tak ada? Macam orang yang chattingguna Internet tu. Kan ada yang bercinta dan lepas tu berkhawin. Asalnya berbual aje kat dunia maya. Tak kenal, tak pernah berjumpa. Err... macam tu ke maksud awak?” soal Ika inginkan kepastian.

“Yalah. Kiranya tak salahlah kan? Tak semestinya kenal, bertentang mata baru boleh suka. Betul tak?”

Yup!” Ika mengangguk.

Tangannya terus mengirai-ngirai rambut yang masih basah dengan tuala.

Jawapan Ika membuatkan Hana terus tersenyum. Jadi, kalau dia juga sukakan jejaka mafela itu, tidak salahlah kan? Yahoo!

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Daisy Norhaida Othman