Home Novel Cinta Isteriku Sleeping Ugly
Isteriku Sleeping Ugly
Daisy Norhaida Othman
29/7/2015 12:28:34
69,407
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

RAYYAN yang sudah berada di anak tangga terakhir mula mengerutkan wajahnya apabila mendengar suara-suara dari meja makan. Perlahan-lahan dia mula mengatur langkah, memanjat semula tangga untuk menuju ke biliknya.

“Eh, tu pun Rayyan, uncle!”

Terhenti langkah kaki Rayyan apabila mendengar suara jeritan kecil daripada Shasha.

Come, Rayyan. Joining us for breakfast.

Suara Tan Sri Rashid pula kedengaran di hujung telinga Rayyan.

Satu keluhan kecil dilepaskan Rayyan, seiring dengan langkahnya yang dipaksa menghala ke meja makan. Sempat matanya memerhati senyuman yang diberikan Shasha.

“Duduklah,” pelawa Puan Sri Harlina, ibu tiri Rayyan apabila melihat kelibat anak tirinya itu yang sudah berada di meja makan.

Rayyan menarik sebuah kerusi yang berhampiran dengan ayahnya. Mata Tan Sri Rashid terus merenung anak lelakinya itu.

“Roti?” pelawa Puan Sri Harlina kepada anak tirinya sambil memberikan sekeping roti yang sudah siap disapukan mentega kacang.

Rayyan hanya menggeleng apabila melihat roti yang diberikan ibu tirinya itu. Tangannya mencapai seteko air yang berada di atas meja.

Flight kamu esok, kan?” tanya Tan Sri Rashid sebaik Rayyan selesai menuang air ke dalam cawan.

“Lusa,” jawab Rayyan sambil mengerling sekilas kepada ayahnya.

“Lusalah abang. Apalah abang ni? Itu pun tak ingat. Tengok muncung Rayyan tu.” Puan Sri Harlina mencuit lengan suaminya diiringi tawa kecil daripadanya dan juga Shasha.

Hati Rayyan langsung tidak tercuit dengan kata-kata ibu tirinya itu. Tangannya sekali lagi mengangkat cawan untuk menyisip air Nescafe itu untuk kali keduanya.

“Maaflah Rayyan. Babah ingatkan esok penerbangan tu,” ujar Tan Sri Rashid untuk mengambil hati anaknya yang langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi sedari tadi.

“Tak apa, ba. Bukannya penting pun, kan?” Mendatar suara yang lahir dari bibir Rayyan.

Air yang masih berbaki di dalam cawan terus dihabiskan.

Terdiam Tan Sri Rashid apabila mendengar bicara anaknya itu. Raut wajah tenang Rayyan terus ditatap dan cuba ditelah. Ke mana arah bicara anak bujangnya itu? Jujur atau tidak? Tiada langsung memek wajah Rayyan yang boleh dibaca untuk menterjemahkan perasaannya.

“Tak makan? Takkan minum aje?” Bebola mata Tan Sri Rashid melirik susuk tubuh Rayyan yang sudah bangun meninggalkan kerusi di meja makan.

“Tak apalah, kenyang.”

Jawapan yang keluar dari bibir Rayyan seiring dengan langkah kakinya yang diatur menuju ke anak tangga.

Pandangan mata Tan Sri Rashid terus menyorot kelibat Rayyang yang semakin menghilang apabila menapak anak tangga. Dia mula mengeluh perlahan mengenangkan sikap anak tunggalnya yang tidak lagi seperti dahulu. Apa yang tidak kena?

“Tak apa abang. Nanti tahulah Imacam mana nak pujuk dia, ya?” Jari-jemari Puan Sri Harlina merayap perlahan mengusap lengan suaminya.

Tiada kata yang dapat diungkapkan Tan Sri Rashid. Fikirannya mula berkecamuk apabila memikirkan satu demi satu masalah yang bersarang dalam lubuk hatinya.

“Makanlah, nanti lambat pulak abang nak masuk pejabat,” ujar Puan Sri Harlina apabila melihat suaminya yang masih merenung bihun goreng yang masih berbaki di dalam pinggan.

“Dah kenyang. Saya pergi dulu. Err... nanti awak...”

“Ya, saya akan tengok-tengokkan Rayyan tu. Adalah masalahnya tu agaknya. Nanti saya tanya, ya?” Puan Sri Harlina tersenyum sambil bingkas bangun dari kerusi.

“Tak apa. Awak temankan Shasha.” Tan Sri Rashid menghalang isterinya untuk menghantar pemergiannya hingga ke muka pintu.

Sempat bibirnya menghadiahkan sebaris senyuman buat Shasha yang terus melekat di kerusi sedari tadi.

“Yalah. Hati-hati ya.”

Puan Sri Harlina yang selesai bersalaman dengan suaminya terus memerhati kelibat Tan Sri Rashid sehingga menghilang. Susuk tubuh suaminya yang sudah tidak kelihatan di pandangan mata membuatkan senyuman yang sedari tadi terukir manis di bibir Puan Sri Harlina, mula terhakis perlahan-lahan.

“Mengada-ada!” desis Puan Sri Harlina apabila punggungnya kembali dihenyak di kerusi.

Shasha yang sedari tadi tersenyum semakin mekar senyumannya apabila mendengar suara yang lahir dari bibir emak saudaranya itu.

“Aik, tadi bukan ke aunty cakap nak tengok Rayyan, kan? Pergilah.” Lengan Shasha disikukan kepada lengan mak ciknya itu.

“Kamu jangan nak cari pasal pagi-pagi ni Shasha!” Keras suara yang dikeluarkan oleh Puan Sri Harlina kepada anak saudaranya.

Sakit hatinya yang ditahan-tahan sedari tadi dengan kelakukan Rayyan kini kembali dididihkan dengan kata-kata usikan Shasha. Lebih-lebih lagi apabila telinganya turut mendengar tawa kecil yang dilepaskan gadis itu, seakan-akan mengejek dirinya.

“Kamu tu...”

Shasha yang sedang menghirup air di cawannya menoleh kepada Puan Sri Harlina apabila mendengar kata-kata emak saudaranya itu.

“Sha? Kenapa pula?” Selamba Shasha membalas sambil membesarkan matanya kepada Puan Sri Harlina.

Puan Sri Harlina mengerling sekilas ke arah anak tangga sebelum kembali membuka mulutnya. Kini, adalah masa yang sesuai untuk melepaskan soalan yang berlegar di dalam mindanya semenjak bangun seawal jam 8.00 pagi tadi. 8.00 pagi? Awallah tu buat Puan Sri Harlina! Selalunya pukul 10.00 atau 11.00 pagi adalah waktu untuknya memulakan hari.

“Kenapa kamu ada dalam bilik kamu semalam? Apa dah jadi?” Puan Sri memperlahankan suaranya, seakan-akan berbisik.

Tidak ingin sesiapa mendengar akan perbualannya dengan Shasha, sekali gus mengetahui akan apa yang dirancangkan selama ini.

“Apa dah jadi? Aunty ni, buat-buat tak tahu pulak. Macam biasa, sebab tak jadi apa-apalah Sha ada dalam bilik Sha. Kalau dah jadi...” Meleret suara Shasha dengan nada manja sambil mengangkat keningnya.

Kepala Puan Sri Harlina menggeleng perlahan. Menyesal kerana apa yang diharapkan masih juga tidak berlaku.

“Kenapa kamu ni lembap sangat? Susah sangat ke nak buat semua tu?” desis Puan Sri Harlina sambil melemparkan jelingannnya sebagai tanda tidak menyenangi akan khabar berita yang diberikan Shasha.

Shasha turut mengerling geram kepada emak saudaranya itu. Emosinya yang stabil sedari tadi mulai tergugat apabila mendengar soalan yang diberikan.

Aunty ingat senang ke? Dah banyak kali tau Sha usaha, tapi dah tak jadi, nak buat macam mana. Bukannya Sha tak buat apa yang aunty ajar tu, tapi tu...” Shasha memuncungkan mulutnya ke arah anak tangga.

Puan Sri Harlina tidak menghiraukan kata-kata anak saudaranya itu. Bahkan, langsung tidak melihat ke arah yang ditunjukkan Shasha.

“Dia yang tak nak. Aunty tahu apa yang dia cakap kat Sha semalam? Classless. Classless!” Shasha melepaskan geramnya.

Geram yang dipendamkan apabila mendengar kata-kata yang dilempiaskan Rayyan kepada dirinya semalam.

“Jadi? Kalau dia cakap macam tu, kamu nak menyerah? Nak biarkan?” Puan Sri Harlina tersenyum sinis apabila menatap seraut wajah Shasha yang mula menarik muncung.

“Bukanlah macam tu, tapi... er... Sha pun tahu malu jugak.” Perlahan Shasha meluahkan apa yang terbuku dalam hatinya.

Puan Sri Harlina melepaskan tawanya apabila kata-kata Shasha memanuhi gegendang telinganya.

Hey, come on! Normallah semua ni zaman sekarang. Kalau kamu tak ikat Rayyan sekarang, bila lagi? Dia kat US nanti, lima enam tahun. Dan dalam tempoh tu, tak mustahil kalau dia boleh jumpa someone. Kamu? Apa nak jadi dengan kamu? Cita-cita kamu nak jadi menantu Tan Sri Rashid? Cita-cita kamu nak jadi seseorangyang dikenali? Urmm?” Puan Sri berhujah panjang sekali gus memberikan peringatan kepada Shasha.

Shasha hanya meneguk air liur. Menantu Tan Sri Rashid? Ya, itulah cita-citanya. Cita-cita yang mula berputik apabila dia sering mengikuti perkembangan usahawan Melayu berjaya itu di media massa mahupun media cetak. Cita-citanya itu semakin menampakkan harapan yang cerah apabila emak saudaranya ditakdirkan mengahwini lelaki berjaya itu yang kematian isterinya.

Pandangan mata Shasha jatuh kepada emak saudaranya yang masih menikmati sarapan pagi.

“Ya, kalau aunty boleh, aku pun mesti boleh, tapi si Rayyan tu, jual mahallah pulak. Tak guna!”

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Daisy Norhaida Othman