Home Novel Cinta Isteriku Sleeping Ugly
Isteriku Sleeping Ugly
Daisy Norhaida Othman
29/7/2015 12:28:34
69,386
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

MAKCik Bibah yang baru sahaja menjejakkan kakinya di tingkat tiga rumah banglo mewah itu melangkah menuju ke sebuah bilik yang pintunya tertutup kemas. Tiba di depan sebuah bilik, tangannya diketukkan beberapa kali ke daun pintu.

“Masuklah!”

Bibir Mak Cik Bibah tersenyum apabila mendengar laungan suara dari dalam. Perlahan-lahan, tangannya memusing tombol bilik yang tidak berkunci. Sebaik kakinya melangkah ke dalam bilik, bebola mata Mak Cik Bibah terus terarah kepada seorang anak muda yang sedang bersila di atas katil.

“La, Rayyan tak habis kemas lagi?” tegur Mak Cik Bibah diiringi senyuman.

“Sikit aje lagi. Tengah kemas-kemas tadi tu terjumpa ni.” Tangan Rayyan menunjukkan album gambar yang sedang ditatap.

Mak Cik Bibah hanya tersenyum kelat. Dia tahu isi hati Rayyan ketika itu. Leka benar pemuda itu membelek gambar-gambar yang menyimpan seribu satu kenangan keluarganya.

“Kalaulah umi masih ada lagi mak cik...”

Suara yang keluar dari bibir Rayyan membuatkan tangan Mak Cik Bibah yang sedang melipat sehelai baju-T terhenti. Pandangannya diarahkan kepada Rayyan yang masih terus menatap gambar arwah ibunya itu.

“Umi dah tak ada, kan? Sudahlah tu...” ujar Mak Cik Bibah lebih kepada memujuk.

Dia juga turut berasa kehilangan di atas pemergian majikannya itu.

Rayyan yang mendengar hanya mengangguk lemah. Hakikat yang dia sendiri masih sukar untuk menerimanya sehingga kini biarpun hampir tiga tahun berlalu, semenjak pemergian arwah uminya yang tersayang.

Mak Cik Bibah kembali menyambung kerjanya, melipat beberapa helai baju-T milik Rayyan yang masih berada di atas katil.

“Malam ni Rayyan nak makan apa? Cakap kat mak cik. Bolehlah Rayyan makan puas-puas. Nanti kat sana tu belum tentu lagi nak jumpa makanan orang Melayu tau.” Mak Cik Bibah mula berceloteh. Cuba menarik perhatian Rayyan daripada terus tenggelam dalam emosinya.

Rayyan yang memandang sekilas kepada Mak Cik Bibah hanya mengukirkan senyuman.

“Macamlah mak cik tak tahu saya suka makan apa.”

“Masak lemak cili padi. Malam ni mak cik masak ya?” balas Mak Cik Bibah.

Matanya terus memerhati Rayyan yang masih tidak berubah arah pandangan matanya. Terus tertancap kepada album gambar keluarganya itu.

Mak Cik Bibah menghela nafas perlahan-lahan. Dia sendiri sedang cuba mengawal perasaannya apabila melihat keadaan Rayyan. Kalau boleh, dia sendiri tidak ingin menzahirkan emosinya di depan anak majikannya itu.

“Hah! Puteri tak telefon Rayyan?” Mak Cik Bibah melepaskan soalan yang terlintas di benaknya. Mungkin kawan sejak zaman kanak-kanak itu boleh menarik fokus Rayyan yang sedari tadi diberi kepada album gambar yang sedang dipegangnya itu. Mungkin sejak dari pagi lagi apabila Rayyan tidak keluar daripada biliknya.

“Puteri? Tak pun. Kenapa? Dia ada telefon rumah ke tadi?” Terus Rayyan menoleh kepada pembantu rumah itu tatkala mendengar nama gadis itu disebut.

Tersenyum-senyum Mak Cik Bibah apabila melihat reaksi yang dipamerkan Rayyan.

“Oh! Kalau dengar aje nama Puteri, terus gembira semacam. Kalau tadi tu...”

“Mana ada! Saya biasa ajelah,” tingkah Rayyan, memintas cakap Mak Cik Bibah.

“Betullah. Kalau tadi tu monyok semacam aje. Mak cik yang kat sini pun macam tak wujud aje,” tutur Mak cik Bibah, seakan-akan berjauh hati.

Tangannya mula mencapai pula sehelai seluar jean berwarna biru gelap yang berada di atas katil.

Senyuman yang tadi meniti di bibir Rayyan mulai melebar apabila mendengar luahan Mak Cik Bibah. Album gambar yang sedari tadi ditatapnya mula dilepaskan ke atas katil. Dia mula mendekatkan dirinya kepada Mak Cik Bibah. Terus, kepalanya direbahkan ke atas paha wanita yang hanya tua beberapa tahun kalau dibandingkan dengan arwah uminya itu.

“Oh! Mak cik merajuklah ni?” Rayyan tersenyum apabila memandang riak wajah Mak Cik Bibah yang kelat.

“Tengok tu, orang nak kemaskan pakaian dia, dia nak baring-baring kat sini pulak.” Mak Cik Bibah hanya menjeling sebagai jawapan kepada soalan Rayyan.

Sengaja soalan itu dibiarkan berlalu tanpa sebarang jawapan.

“Kalau bukan dengan mak cik, dengan siapa lagi saya nak bermanja?” ujar Rayyan.

Tangannya melayang mencubit pipi Mak Cik Bibah sebelum mengiringkan badannya ke kanan. Tangannya mula memeluk pula lutut Mak Cik Bibah.

“Hisy! Budak ni... pandai aje nak ambil hati kita.” Mak Cik Bibah menampar lembut bahu Rayyan yang sedang mengiring.

Terhenti seketika tangannya yang ingin melipat seluar jean milik anak muda itu. Wajah Rayyan yang sedang berbaring di ribanya ditatap.

“Kenapa ni? Rayyan tak suka ke nak pergi sana?” duga Mak Cik Bibah.

Cuba untuk menyelami hati Rayyan yang sebahagiannya sukar ditelah. Keadaan bilik itu hening seketika apabila tiada sesiapa yang membuka mulut. Soalan Mak Cik Bibah berlalu sepi.

Mak Cik Bibah sendiri tidak tahu apa yang ingin dikatakannya lagi. Risau kalau-kalau buah bicaranya akan hanya menggores perasaan Rayyan yang sudah sedia tergores.

“Saya rasa lebih baik aje saya pergi mak cik. Belajar kat sana. Kat sini dah tak ada apa-apa pun.” Agak lama setelah waktu berlalu, barulah Rayyan membuka mulutnya. Menyuarakan secebis isi hatinya yang dipendamkan selama ini.

“Habis tu, mak cik ni siapa? Bukannya siapa-siapa dengan Rayyan? Macam tu? Tu, Pak Cik Husin siapa? Kami ni bukan keluarga Rayyan? Hmm?” Tangan Mak Cik Bibah mula menampar bahu Rayyan.

Sedikit beremosi hatinya apabila mendengar kata-kata Rayyan sebentar tadi.

Rayyan yang mendengar hanya tersenyum. Tangan tua yang berada di bahunya itu dicapai dan digenggam sebelum kembali membuka mulutnya semula.

“Mak cik tahukan bukan macam tu maksud saya? Maksud saya, umi.” Mendatar suara Rayyan, cuba menerangkan kata-katanya tadi.

Mata Mak Cik Bibah mula digenangi air jernih. Tidak lagi berjaya menahan emosinya agar tidak terzahir di depan Rayyan. Sudahlah sedari tadi dia sendiri teringat kepada majikannya yang sudah tiada apabila melihatkan Rayyan yang sedang menatap album gambar itu. Sekarang, apabila mengenangkan Rayyan yang bakal pergi meninggalkan rumah itu, hatinya bertambah lirih.

“Kan puan dah tak ada. Lepas ni Rayyan pula nak tinggalkan rumah ni. Lagilah sunyi.” Mak Cik Bibah pula melepaskan emosinya yang terpendam.

Mendengarkan esakan perlahan daripada Mak Cik Bibah, Rayyan mula mengiringkan tubuhnya semula. Menelentang agar dapat menatap wajah yang turut tersemat dalam hatinya selain daripada umi tersayang.

“Saya pergi bukannya tak balik terus macam umi tu.”

Tangan Rayyan sekali lagi mencuit pipi Mak Cik Bibah. Bibirnya menghadiahkan senyuman kepada pembantu rumah yang lebih dianggap sebahagian daripada keluarganya itu.

“Kamu ni kan, kalau bercakap tu beralaslah sikit!” Mak Cik Bibah mengerutkan wajahnya.

“Betullah, kan? Saya pergi sana nak belajar. Bila dah habis, saya baliklah sini. Urmm... Puteri ada ke telefon sini tadi?”

“Tengok tu, ingat lagi tu. Tak ada. Dia tak telefon pun. Kenapa tak Rayyan aje yang telefon dia?” Mak Cik Bibah memberikan cadangan.

Air mata yang masih bersisa di pipinya diseka.

“Nantilah. Nak tidur kejap.” Rayyan mula mengiringkan semula badannya.

Tangannya mula memeluk kemas lutut Mak Cik Bibah.

“Hah! Pandailah kamu. Mak cik nak kena masak ni. Ni semua, nak harapkan kamu sampai esok pun tak habis lagi.” Mak Cik Bibah mula berleter apabila memandang atas katil Rayyan yang masih bersepah dengan sebahagian pakaiannya yang belum berkemas.

“Biarlah, nanti saya tak boleh tidur macam ni lagi,” tutur Rayyan.

Mak Cik Bibah tertawa kecil mendengar kata-kata Rayyan.

“Kamu ingat kamu ni kecik lagi ke? Budak-budak? Nak khawin esok lusa pun dah boleh tau. Dulu tu kalau 17, 18 tahun tu dah ada anak dua tiga orang dah.”

“Tulah pasal. Siapa suruh mak cik tua cepat sangat? Kalau tak...”

“Hei! Budak ni. Kamu ingat mak cik ni apa hah?” Mak Cik Bibah menjerit kecil dengan usikan nakal Rayyan.

“Mak cik kan girlfriend saya. Dah lupa ke? Saya akan sayang mak cik sampai bila-bila!”

Mak Cik Bibah terseyum senang mendengar bicara Rayyan yang lebih kepada mengusik itu.

WANGINYA! Dari atas lagi saya dah boleh bau kuah ni.” Rayyan yang baru menuruni anak tangga, bergegas ke meja makan apabila hidungnya tertarik dengan aroma masakan Mak Cik Bibah.

“Nak bodeklah tu,” jeling Mak Cik Bibah yang baru meletakkan sejag air di atas meja makan.

Suaminya, Pak Cik Husin, yang turut berada di meja makan hanya tersenyum memerhati tingkah Rayyan yang terus menyendukkan nasi ke dalam pinggannya sebaik melabuhkan punggungnya di kerusi. Seperti malam-malam sebelumnya, ketiadaaan penghuni rumah yang lain membuatkan hanya mereka bertiga yang berada di meja makan untuk menikmati makan malam.

Mak Cik Bibah yang baru duduk di kerusi terus memerhati gelagat Rayyan yang menyudu kuah masak lemak cili padi ikan kembung ke dalam pinggannya.

“Makanlah mak cik, pak cik. Sedap ni!” tutur Rayyan sebelum memulakan suapannya yang pertama. Mak Cik Bibah dan Pak Cik Husin yang memerhati tingkah anak majikan mereka itu saling bertukar senyuman.

“Macam mana? Lulus?” tegur Pak Cik Husin sambil menegakkan ibu jarinya kepada Rayyan.

“Ni bukan setakat lulus aje ni. Dapat markah penuh lagi. Terbaiklah!” Rayyan tersenyum kepada Mak Cik Bibah. Berpuas hati dengan air tangan wanita itu yang tersaji di depan matanya kini. Bahkan, sudah pun mula memasuki ke dalam perutnya.

Mak Cik Bibah tersenyum bangga. Dalam banyak-banyak masakannya, itulah menu yang menjadi kegemaran Rayyan. Masak lemak cili padi. Anak yang diasuhnya bersama-sama majikannya yang telah tiada itu, sudah dianggap seperti anak sendiri.

Apatah lagi, mereka suami isteri ditakdirkan tidak mempunyai zuriat sendiri biarpun hampir 20 tahun mendirikan rumah tangga. Jadi, semenjak bekerja di rumah itu, Rayyanlah racun apabila dia mula membuat perangai, tetapi Rayyan jugalah penawar dengan segala usikan-usikan nakalnya. Sekarang, dia memanggil pula Mak Cik Bibah sebagai ‘teman wanitanya’. Ada-ada saja!

“Hah! Mak cik, senyum-senyum tu kenapa? Ada apa-apa ke ni?” Rayyan menegur Mak Cik Bibah sambil mengangkat keningnya.

Pak Cik Husin yang baru menjamah nasi mengerling kepada isterinya yang masih belum menyentuh makanan mahupun minuman itu.

“Kamu ni pandai-pandai aje. Kenapa? Salah ke kalau mak cik senyum?” Mak Cik Bibah bersuara. Tangannya mula menyendukkan nasi ke dalam pinggan.

“Salah tu tak, tapi manalah tahu kalau mak cik ada ingatkan siapa-siapa ke?” Rayyan terus mengusik.

Suka hatinya apabila dapat melihat jelingan mata Mak Cik Bibah apabila sering diusik olehnya sebegitu. Kalau bukan jelingan, pasti wanita yang dianggap seperti ibu keduanya itu akan mula menarik muncung.

“Pandai-pandai aje kamu ni. Sudah, makan tu. Makan banyak-banyak. Nanti...” Mati kata-kata yang ingin diluahkan Mak Cik Bibah.

Sedikit demi sedikit hatinya mula dikuasai emosi apabila mengenangkan Rayyan yang bakal melanjutkan pelajarannya ke Amerika Syarikat.

Rayyan yang sedang mengunyah makanannya memerhati wajah Mak Cik Bibah yang menunduk. Tangan kirinya mula menjalar mengenggam tangan wanita itu.

“Dahlah. Tak payahlah nak sedih sangat. Saya pergi bukannya lama pun. Kejap aje. Urmm... empat lima tahun macam tu. Lepas tu baliklah sini. Sedar tak sedar, bila mak cik buka aje mata, terus saya ada kat sini,” tutur Rayyan, cuba menghiburkan hati Mak cik Bibah.

Pak Cik Husin yang sedari tadi mendiamkan diri tersenyum mendengar bicara Rayyan.

“Dah, makan Rayyan. Jangan dilayan sangat emosi mak cik kamu ni. Makin dilayan nanti, tak tahulah apa jadi. Sekarang ni kamu masih lagi ada depan mata dia dah jadi macam ni. Kalau esok-esok kamu dah pergi, mahunya sebaldi air mata dia tu. Kalau sebaldi tak mengapa jugak, kalau banjir?”

Pak Cik Husin menjeling sambil tangannya terus menyuap nasi. Sempat dia memerhati renungan tidak puas hati yang diberikan isterinya.

“Makanlah mak cik. Tak payahlah nak sedih-sedih macam ni. Kalau boleh saya pun nak terus sambung belajar kat sini, tapi mak cik fahamkan keadaan sini macam mana?” ungkap Rayyan sambil terus memerhati Mak Cik Bibah.

Kepala wanita itu mengangguk perlahan diiringi satu keluhan. Mustahil dia tidak mengerti situasi yang harus dihadapi Rayyan seandainya anak muda itu memilih untuk terus belajar di situ.

“Nah! Saya dah sendukkan kuah untuk mak cik. Makanlah, sedap ni!”

Suara Rayyan menarik kembali perhatian Mak Cik Bibah yang sedikit tersasar dari alam nyata. Senyuman yang terukir di bibir anak majikannya itu turut dibalas untuk menyenangkan hati Rayyan.

“Macamlah mak cik tak tahu sedap ke tak. Mak cik yang masak, kan?” balas Mak Cik Bibah sambil tangannya mula menjamah makanan yang terhidang.

“Oh! Sedap ya? Maksudnya mak cik masuk bakal angkat sendirilah ya? Macam tu?” tutur Rayyan berpura-pura terkejut dengan kata-kata pembantu rumahnya itu.

“Rayyan! Kamu ni...”

Hilang kata-kata yang ingin dikeluarkan Mak Cik Bibah apabila melihat Rayyan dan suaminya yang sedang tertawa. Sekali lagi Rayyan menang pada malam itu dengan usikannya.

RAYYANyang sedang membaca buku di sofa berhampiran tingkap biliknya dek tidak dapat melelapkan mata, tersentak apabila mendengar bunyi pintu yang dikuak dari luar. Terus pandangannya terarah ke arah susuk tubuh yang sedang melangkah ke arahnya.

“Shasha! Apa yang you buat kat sini?!”

Sebuah buku yang berada di tangannya sejak setengah jam yang lalu dilepaskan ke atas meja. Rayyan mula bangun daripada perbaringannya apabila melihat Shasha yang kian menghampiri.

“Syy...” Gadis itu meletakkan jari telunjuk di bibirnya sendiri. Isyarat agar Rayyan mendiamkan dirinya daripada terus berkata-kata.

Rayyan mengerling jam di tangannya. Hampir ke pukul 3.30 pagi. Pandangannya berubah pula kepada Shasha, melirik dress ketat berwarna hitam yang membaluti tubuh gadis itu.

“You tak tidur lagi?” Shasha bersuara, seakan-akan berbisik.

Bibirnya terus murah menghadiahkan senyuman kepada Rayyan yang masih merenung kepadanya.

“Keluar. I tak nak bergaduh dengan yousekarang. Keluar.” Tangan Rayyan mengarah ke pintu.

Shasha hanya menjongketkan bahunya. Seakan-akan tidak kisah dengan apa yang dikatakan Rayyan. Dia mula melabuhkan punggungnya di birai katil.

Not badkatil you ni kan,” ujar Shasha sambil tangannya menepuk-nepuk tilam.

Pandangannya mula dihadapkan kembali kepada Rayyan yang masih tidak berganjak sedari tadi.

“Apa yang you nak hah? I cakap tadi...”

“Soalan yang bagus! Urmm... apa yangInak ya? I nak tidur sini malam ni, boleh?” Shasha bersuara manja. Tangannya mengusap-usap tilam yang menjadi alas duduknya kini.

“Keluar,Shasha! Idah cakap tadiI tak nak bergaduh dengan you sekarang. Jadi, tolong keluar!”

“You ni kan, entah apa-apa entah. Apa salahnya kalau kita kongsi katil ni? Hmm? Tak salah, kan?” tingkah Shasha.

Dia yang tadinya duduk, terus menelentang di atas tilam. Dress ketatnya yang cukup-cukup menutup lutut tersingkap sedikit ke atas, sekali gus menyerlahkan paras pahanya, menjadi tatapan percuma kepada Rayyan yang masih bersabar dengan kelakukannya.

“Cukup! Bangun! Bangun!” Rayyan yang tidak berjaya lagi membendung emosinya terus meluru ke katil dan menyentak lengan gadis itu yang sedang berbaring.

“Hei, sakitlah! You ni tak gentleman tau!” Shasha tertawa kecil biarpun diseret Rayyan menghala ke pintu.

Wajah lelaki yang sebaya dengannya itu ditatap dalam-dalam dengan senyuman yang masih meniti di ulas bibir terang dioles lipstik merah menyala.

Sebaik pintu dibuka, Rayyan menolak gadis itu keluar. Sakit hatinya apabila melihat Shasha yang berterusan tersenyum kepadanya.

You know, Rayyan...”

You listen to me!” tingkah Rayyan sambil menuding jarinya kepada Shasha.

Just so you know, you orang yang paling teruk pernah Ikenal. Dan mungkin perempuan yang...” Rayyan menggelengkan kepalanya perlahan.

Tidak tergamak untuk mengeluarkan kata-kata keji kepada perempuan yang kalis malu seperti Shasha.

“Yang apa? Hmm? I tahu yang you tahu you pun sukakan I jugak, kan? Sebab tulah you tak cakap I perempuan yang macam mana. Kan? Betul tak?”

Rayyan tersenyum sinis mendengar luahan kata-kata Shasha.

“You perempuan yang classless.Dengar? Classless!” desis Rayyan sebelum terus menutup pintu.

Kali ini, pintu biliknya terus dikunci untuk memastikan Shasha, anak saudara kepada ibu tirinya itu tidak akan lagi mengganggu dirinya sama seperti malam-malam sebelumnya.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Daisy Norhaida Othman