Home Novel Cinta Isteriku Sleeping Ugly
Isteriku Sleeping Ugly
Daisy Norhaida Othman
29/7/2015 12:28:34
69,417
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

Penghujung tahun 2005.

HANA Antasha melangkah lemah menuruni anak tangga bas sebaik kenderaan awam itu berhenti di Stesen Bas Sahab Perdana hampir lima minit yang lalu. Sempat tapak tangannya menyapu air mata yang masih bersisa sebelum memijak anak tangga yang terakhir untuk keluar daripada perut bas Transnasional itu, juga sebagai orang yang terakhir.

Tali beg yang tersandang di bahu kanan dibetulkan sambil kaki terus melangkah menuju ke hujung stesen bas. Wajah seseorang yang menyelinap masuk ke dalam mindanya membuatkan Hana kembali sebak. Bukan sedih, tetapi geram! Air mata yang sedari tadi ingin ditahan, mengalir semula.

“Tak guna!” bisik Hana geram.

Wajahnya yang sedari tadi menunduk kembali diangkat untuk memandang ke depan. Bahagian hujung stesen bas itu yang gelap membuatkan wajahnya mula berkerut.

Air mata yang berada di pipi terus disapu apabila memerhati lampu yang sepatutnya menerangi bahagian hujung stesen bas itu, tidak berfungsi. Sama seperti minggu-minggu yang lepas.

“Eii... Bila nak betulkan lampu tu?” desis Hana perlahan.

Matanya memerhati sekeliling stesen bas yang masih dipenuhi orang pada ketika jam hampir ke pukul 8.00 malam, kecuali bahagian di hujung stesen bas itu sahaj.

“Nampaknya, aku seorang lagilah malam ni,” tutur Hana yakin apabila melihat kerusi-kerusi yang berada di bahagian hujung stesen bas itu kosong dan sepi. Kaki Hana terus melangkah sambil tangannya memeluk kemas sebuah fail.

Sebaik tiba di hujung stesen bas yang menempatkan bas untuk menuju ke UUM dan juga Pekan Kodiang itu, Hana mengambil tempat di sebuah kerusi betul-betul di depan sebuah bas HBR yang akan bergerak menuju ke Pekan Kodiang dalam masa 15 minit lagi.

Di kerusi itu, Hana melepaskan penatnya. Fail yang sedari tadi dipeluk erat diletakkan di kerusi di sisi kanannya yang kosong. Dia mula mengeliat untuk menghilangkan sengal-sengal di badannya setelah hampir sejam setengah berada di dalam bas dari Sungai Petani tadi.

Puas mengeliat, Hana melepaskan keluhan. Terngiang-ngiang kata pensyarah untuk subjek PAD 170, Politics and Government pada tengah hari tadi.

“Kalau saya dapat tahu perkara yang macam ni lagi, ingat Hana. Saya takkan teragak-agak untuk gagalkan kamu terus nanti!”

Hana mengetap bibirnya. Geram! Sakit hati yang kembali bertamu di dalam diri membuatkan matanya kembali senang untuk bergenang air. Keadaan bahagian itu yang bergelap membuatkan Hana terus melempiaskan emosinya seorang diri tanpa rasa malu. Dia tahu tiada sesiapa yang berada di situ. Teresak-esak dia menangisi nasib dirinya.

“Macam mana kalau aku gagal nanti? Tak mustahil perempuan itu akan buat lagi,” getus Hana sendirian. Raut wajah Rina Batrisya yang tersenyum sinis sambil mengangkat kening kepadanya kembali terbayang.

“I told you right?”

Kata-kata yang diberikan oleh Rina Batrisya kepada dirinya di tangga membuatkan lidah Hana kelu seribu bahasa untuk membalas. Tidak diduga, rancangannya untuk bertemu dengan Puan Sufi untuk menerangkan perkara yang sebenar, hanya memakan dirinya sendiri.

Air mata terus dirembeskan. Hana berasa sakit hati. Bukan hanya kepada Rina, malah kepada dirinya sendiri yang tidak pernah berani untuk melawan gadis itu.

“Rina Batrisya!” Hana menyebut nama gadis yang sekelas dengannya itu dengan rasa penuh geram. Terbayang raut wajah gadis yang tinggi lampai persis seorang model itu. Rambutnya yang ikal itu sering ditatarias dengan hiasan. Wajah cantiknya juga sering dikenakan solekan. Serba-serbi mengenai diri gadis itu dapat menarik perhatian sesiapa sahaja.

Hana membelek hujung lengan kemeja yang menyaluti tubuhnya.

“Kau kena sedar diri. Kau tu ugly. Euw!”

Kata-kata Rina yang pernah disuarakan kepadanya ketika berselisih di tandas satu ketika dahulu kembali bergema. Tidak berkelip mata Hana memerhati hujung kemeja yang melurut jatuh di pergelangan tangannya itu.

“Ugly? Kenapa? Sebab aku tak pakai baju-baju berjenama macam dia?” bisik Hana sambil menyinsing kembali kemeja berwarna ungu gelap itu. Sesekali kepala Hana mengangguk bagaikan menyetujui sesuatu. Ya, dia akui yang Rina Batrisya adalah seorang gadis yang cantik. Tidak pernah kalah dari segi pemakaian. Siap lengkap dengan aksesori dan juga beg tangan yang akan berganti setiap hari.

“Dia kan anak orang kaya.”

Kata-kata yang sering diberikan untuk menerangkan siapa Rina Batrisya di UiTM Sungai Petani itu. Itulah kata-kata pertama yang akan terpacul keluar dari mulut sesiapa yang memandang kepada gadis itu. Cantik? Sudah semestinya!

Air mata yang mengalir di pipi terus diseka dengan tapak tangan. Bukan Hana tidak ingin melawan dengan Rina untuk nasib dirinya, tetapi entah kenapa setiap kali berdepan dengan gadis itu, dia akan menjadi penakut.

Takut untuk membuka mulut. Lagipun, siapa yang akan menyokongnya? Dia kan Hana Antasha. Siapa Hana? Ala, si Sleeping Ugly tu!

Siapa Rina? Ala, yang cantik tu! Rina? Anak orang kaya tu, kan? Dengar kata pakaian dia yang dalam almari tu pun dah beribu-ribu ringgit tau!

Lalu, dengan situasi yang macam itu, macam mana dia dapat mengalahkan Rina Batrisya? Anak orang kaya yang sekelas dengannya sejak semester pertama lagi. Perempuan yang mula memandang sinis kepadanya sejak hari pertama mereka di UiTM itu.

“Aku kan Sleeping Ugly,” tutur Hana perlahan. Bibirnya tersenyum kelat mengenangkan nasib dirinya sendiri. Satu UiTM mengenali dirinya, tetapi bukan dalam cara yang sama seperti Rina dikenali. Dia tidak ubah seperti bahan jenaka. Tetapi Rina? Ramai pelajar lelaki yang terpaut hati kepada gadis yang berasal dari KL itu.

“Assalamualaikum!”

Satu suara mematikan lamunan Hana. Wajahnya terus dipalingkan ke sisi kanan untuk disembunyikan apabila menyedari kehadiran seseorang di sisi kirinya.

“Err... waalaikumussalam,” sahut Hana dengan teragak-agak.

Lelaki yang memerhati Hana itu mula mengerutkan wajahnya. Kenapa gadis itu membelakanginya? Sudahlah gelap, tidak nampak dengan jelas, kenapa dia buat macam tu?

Hana mengetap bibir. Dalam hati, dia berharap agar lelaki itu segera berlalu. Peminta sedekah ke? Takkanlah. Dia tahu pak cik yang selalu meminta itu hanya ada pada waktu petang sahaja.

“Err... saya nak tanya ni. Bas ke...”

“Sana!” Hana terus menuding tanpa berpaling.

Terkejut lelaki itu dengan lantunan suara si gadis yang masih tidak bersemuka dengannya itu.

“Err... mana awak tahu yang saya...”

“Sini bas yang nak pergi UUM dan Kodiang.” Laju Hana menjawab.

Kepala lelaki itu mengangguk. Mulai faham. Dia sendiri tidak dapat membaca dengan jelas tulisan yang tertera dek kegelapan di bahagian menunggu itu.

Ekor mata lelaki itu kembali jatuh kepada Hana. Masih seperti tadi. Membelakangi dirinya.

“Agaknya dia malu tak? Yalah, kan tadi dia menangis,” bisik lelaki itu. Hanya gadis itu yang tidak menyedari tingkahnya yang diperhatikan sebentar tadi.

“Saya tak ada sapu tangan, tapi err... ambillah ni.”

Wajah Hana berkerut apabila mendengar kata-kata lelaki itu.

“Apa pulak? Dah orang beritahu tadi tu, dahlah!” bentaknya dalam hati.

Hana terus membatu. Tidak ada hati ingin menoleh. Biarlah. Dia berharap agar lelaki itu akan segera berlalu.

“Ambillah. Kesat air mata awak tu. Sebagai tanda terima kasih saya jugak. Urmm... terima kasih. Saya pergi dulu,” tutur lelaki itu sebelum berlalu.

Sesekali, kepalanya menggeleng dengan gelagat Hana. Bibir tersenyum sebaris. Malu sangat gayanya!

Beberapa minit menunggu dan setelah yakin yang si penegur tadi tidak lagi berdiri di sisinya, Hana mula menoleh perlahan-lahan. Kelihatan seorang lelaki yang menggalas beg berwarna hitam yang sedang melangkah menjauhi tempat duduknya.

Pandangan mata Hana jatuh pula kepada sehelai kain yang tersangkut di kerusi tempat duduknya. Tangannya mencapai kain lembut yang berwarna hitam itu.

“Mafela? Lelaki tu bagi kat aku?” Dengan sehelai mafela di tangan, Hana berdiri.

Matanya memerhati lelaki yang sedang berjalan yang diyakini lelaki yang menegurnya tadi.

Wajarkah dia mengejar lelaki itu? Setidak-tidaknya ucapan terima kasih perlu diberikan. Tapi, betulkah tindakannya itu?

Hana mula berbelah bahagi sama ada mahu mengejar lelaki itu atau tidak. Dia mula mengetap bibir. Berharap, setidak-tidaknya lelaki itu akan menoleh kepadanya. Dapatlah wajah lelaki itu ditatap biarpun sekali cuma.

Hana terus menanti. Dia tahu mustahil dia ada keberanian untuk mengejar lelaki itu. Entah kenapa, kakinya bagaikan dipasak di lantai simen tempat dia berdiri sekarang. Hanya matanya yang terus memerhati langkah lelaki itu yang semakin menjauh daripada dirinya.

Lelaki itu terus melangkah, menyeberangi jalan menuju ke kaunter bas ekspres. Hana kembali duduk di kerusinya apabila kelibat lelaki itu tidak lagi kelihatan.

Kain mafela yang berada di tangannya kini direnung.

“Ambillah. Kesat air mata awak tu. Sebagai tanda terima kasih saya jugak.”

Terngiang-ngiang suara lelaki tadi di hujung telinga Hana.

Hana kembali menoleh ke seberang jalan. Memerhati kalau-kalau adanya lelaki yang berseluar jean biru gelap dan juga berjaket hitam.

Tiada.

“Terima kasih,” bibir Hana menutur perlahan. Seakan-akan si pemilik mafela itu ada di depannya.

BANGUN! Bangun! Kenapa tidur kat sini?”

Satu suara mengejutkan Hana Antasha yang terpisat-pisat membuka matanya. Kelihatan dua orang perempuan yang sedang memandang pelik kepadanya.

“Err...” Hana kelu. Dia memerhati sekeliling. Keadaan sekeliling yang ramai dengan para pelajar baru seperti dirinya yang bersama-sama dengan ibu bapa masing-masing membuatkan dirinya terasa malu. Apatah lagi, beberapa pasang mata turut terarah kepada mereka bertiga.

“Kenapa tidur di sini? Dah daftar?” tanya salah seorang daripada perempuan yang mengejutkan Hana tadi.

“Err... saya... err... tak.” Tergagap-gagap Hana ingin menjawab. Kepalanya menggeleng perlahan.

“La, tak daftar lagi? Dahlah tak daftar, yang awak tidur sini siapa yang suruh?”

Hana terus diam membisu. Berdebar jantungnya mendengar pertanyaan yang dia sendiri tidak ada jawapan untuk diberikan. Wajahnya menunduk. Tidak berani mendongak untuk bersemuka dengan kedua-dua perempuan tersebut.

“Dahlah tu. Awak ni...” Perempuan yang mengenakan cermin mata menyiku lengan kawannya yang menyoal Hana tadi.

“Kalau kita biarkan...” Belum sempat perempuan yang masih belum berpuas hati itu ingin meneruskan kata-katanya, kawannya yang bercermin mata itu terlebih dahulu membuka mulut.

“Adik, kalau adik tak daftar lagi, sila pergi ke Dewan Masria untuk mendaftar. Lepas daftar, baru tahu kolej mana adik akan ditempatkan. Nanti, kakak kat dalam tu akan beritahu nombor bilik dan serahkan kunci bilik sekali. Kat sana tu.” Perempuan bercermin mata itu tersenyum kepada Hana yang memberikan sepenuh perhatian kepada kata-katanya.

Tangannya turut ditunjukkan ke satu arah.

“Terima kasih, akak.” Hana berbahasa setelah mendengar kata-kata perempuan itu.

Terus beg yang berada di tanah diangkat dan dibawa bersama-sama dengannya menuju ke dewan.

Hana terpinga-pinga sebaik melangkah masuk ke dalam dewan yang sederhana besar itu. Matanya memerhati sekeliling isi dewan yang dapat ditatap oleh pandangan matanya. Ada beberapa buah kaunter yang disediakan di situ. Juga terdapat beberapa barisan panjang yang sedang beratur di depan kaunter-kaunter tersebut.

“Mana satu ni? Tadi akak tu tak cakap pula ada banyak kaunter,” gumam Hana seorang diri di muka pintu dewan. Lambat-lambat kakinya melangkah masuk ke dalam dewan sambil tangan kirinya membawa sebuah beg pakaiannya. Tangan kanannya memegang sampul surat yang mengandungi laporan perubatannya. Tidak pasti dengan apa yang harus dilakukannya, Hana menuju ke sebuah barisan dan beratur di situ.

Seorang pelajar perempuan yang berada di depannya menoleh sekilas ke arah Hana. Diperhatikan gadis yang mengenakan baju kurung berwarna putih yang mempunyai corak bunga berwarna merah jambu itu. Tudung polos yang berwarna putih menutup kemas kepalanya.

“Err... awak pun baru nak daftar? Sampai lewat jugak ke?”

“Taklah. Err... tadi saya dah sampai, tapi...” Mati kata-kata Hana. Macam mana dia harus berterus terang? Memberitahu yang dia tertidur di bawah pokok hampir 15 minit yang lalu?

“Oh, ni mesti sibuk angkut barang-barang ni, kan?” Perempuan itu tersenyum dengan andaiannya sendiri. Hana yang berdepan dengan keramahan perempuan itu turut tersenyum.

“By the way, I’m Syafika Hanisa. Panggil Ika aje.” Ika tersenyum sambil menghulurkan tangannya. Hana menyambut tangan gadis itu. Tersenyum-senyum dia sambil memerhati gadis yang mengenakan seluar slek hitam bersama-sama kemeja biru muda itu. Rambut panjang paras pinggangnya ditocang kemas. Cukup formal.

“Saya, Hana Antasha binti Kamarudin. Panggil Hana aje.”

“Hana.” Ika mengangguk-angguk.

Selesai bersalam, dia memandang semula ke depan. Cuba mengira berapa orang lagi yang sedang berada di depannya sebelum giliran dirinya berurusan di kaunter.

“Course?” Ika menoleh semula kepada Hana.

“Public Administration,” jawab Hana.

“Eh, samalah!” Ika terjerit kecil bagaikan tidak percaya.

Hana hanya tersenyum melihat keletah gadis itu. Siap lengannya dipegang oleh Ika dek teruja dengan jawapan yang diberikannya kepada gadis itu.

“Harap-harap kita akan dapat satu bilik.” Ika bersuara, penuh mengharap.

“Emm...” Hana hanya menggumam perlahan.

“Satu bilik? Belum tentu lagi Ika betul-betul maksudkan kata-katanya itu kalau dia dah kenal aku lepas ni,” bisik Hana sendirian.

Hampir 10 minit menunggu, tiba giliran Ika untuk berurusan. Setelah menyerahkan beberapa dokumen seperti yang dikehendaki, terdengar suara kakak yang bertugas di kaunter itu.

“Bilik awak M1-04-03.”

“Saya nak satu bilik dengan dia ni, boleh tak?” Ika pantas menarik tangan Hana yang sedang berdiri di belakangnya.

“Tapi...”

“Please...” Ika terus merayu dengan membuat muka kesian.

Hana yang hanya memerhati dan mendengar terus kelu. Selepas beberapa ketika, setelah kakak itu menyemak senarai yang berada di atas mejanya, kepalanya kembali mendongak memandang Ika dan Hana.

“Baiklah.” Ringkas jawapan yang keluar daripada bibir kakak senior yang bertindak sebagai OC itu.

Bas yang berhenti di Pekan Kodiang kembali membawa Hana ke alam nyata. Bibirnya tersenyum mengingati pertemuan pertamanya dengan Ika, yang kini bergelar sahabat baiknya di UiTM itu.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Daisy Norhaida Othman