Home Novel Cinta Isteriku Sleeping Ugly
Isteriku Sleeping Ugly
Daisy Norhaida Othman
29/7/2015 12:28:34
69,395
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

JAM di pergelangan tangan dikerling lagi untuk ke sekian kalinya. 15 minit melepasi pukul 2.00 petang. Rayyan kembali gelisah seorang diri di kerusi yang didudukinya hampir sejam yang lalu. Matanya memerhati tetamu-tetamu yang baru memasuki Restoran Paya Serai di Hotel Hilton itu, kalau-kalau adanya kelibat orang yang sedang dinanti-nantikannya.

“Mana Puteri ni?” gumamnya perlahan.

Gelas air di atas meja yang hanya berbaki separuh dicapai. Jus tembikai disedut perlahan agar memasuki tekak sekali gus menyejukkan hati yang mula terasa sedikit panas. Janji temu yang diaturkan untuk bersama-sama menikmati makan tengah hari dengan Puteri itu membuatkan Rayyan terus setia menunggu di sebuah meja yang telah ditempah khas untuk mereka berdua.

Jemu memerhati skrin telefon, Rayyan memandang semula ke arah pintu masuk restoran. Nafas dihela perlahan-lahan. Kalau tidak jadi, mesti Puteri akan memaklumkan kepadanya, kan? Rayyan mula membuat pelbagai telahan. Terasa berat untuk kakinya melangkah meninggalkan restoran apabila mengenangkan ini adalah pertama kali dia akan bertemu semula dengan Puteri setelah hampir sembilan tahun dia membawa diri ke Amerika untuk menyambung pelajaran di sana.

Susuk tubuh yang baru tiba di situ membuatkan bibir Rayyan mula mengukirkan senyuman. Kelihatan Puteri yang bagaikan tercari-cari sesuatu itu. Rayyan mula berdiri sambil membetulkan kot hitamnya. Tangan kanan diangkat sedikit.

Puteri yang baru perasan kelibat lelaki itu mula mengatur langkah sambil membetulkan tali beg yang tersandang di bahu kanannya. Beberapa pasang mata yang turut berada di situ mula memerhati gerak langkahnya. Sempat Puteri memberikan senyuman kepada para tetamu yang duduk di tempat masing-masing seraya melepasi meja mereka untuk tiba di meja Rayyan.

“Rayyan!” Puteri menjerit kecil sebaik tiba di meja.

Kedua-dua tangannya didepakan sekali gus menghadiahkan pelukan percuma buat kawan istimewanya itu. Rayyan menerima dengan senang hati. Senyuman terus mekar di bibirnya. Hilang rasa panas yang mula berputik di hatinya sedari tadi. Hatinya mula berbunga bangga apabila menyedari tetamu-tetamu lelaki yang sedari tadi asyik melirik ke arah Puteri.

“You sihat?” Puteri melepaskan soalan sebaik pelukan dilerai.

Tangan kanannya turut naik mengusap lembut pipi kiri lelaki itu. Rayyan yang sempat mengerling ke arah tetamu-tetamu lelaki yang setia memerhati gelagat mereka bertambah bangga. Bangga beb dapat awek cun-melecun macam Puteri ini!

I okay. Macam yang you nampak, macam nilah. You? Oh, silakan.” Rayyan bergegas menarik sebuah kerusi di meja yang bertentangan dengan tempat duduknya sendiri.

Senyuman masih lagi tak lekang dari bibirnya.

Puteri melabuhkan punggungnya. Matanya masih tidak lepas memerhati Rayyan yang kini sudah mengambil tempat di depannya. Skarf bermotif flora yang melilit di leher dilonggarkan sedikit ikatannya sebelum mula membuka mulut.

“I sihat, tapi you tu...” Puteri mula menarik muncung.

Matanya mula menjeling bagaikan merajuk dengan Rayyan yang mula mengangkat kening kepadanya.

“I? Kenapa dengan I pulak? Apa yang I buat?” tukas Rayyan dalam senyuman.

Tak jemu matanya terus menatap raut wajah Puteri yang dirindui selama berpisah ini.

Pelayan yang baru tiba dengan menu di tangan membantutkan hasrat Puteri yang ingin menjawab soalan Rayyan itu.

“You nak makan apa? Tengok, macam-macam ada ni. Lama tau I tunggu you. Bukan setakat berkeroncong dah perut ni, silap-silap shuffle, joget semua dah ada.” Rayyan terus membebel sambil memerhati menu yang tersedia.

Puteri hanya menjeling sekilas ke arah menu sebelum membuat keputusan.

“You oderlah apa pun. I ikut aje.”

“La, takkan ikut aje? Oderlah apa yang you rasa nak makan. Even kalau tak ada dalam menu ni pun, I akan pastikan dia orang masak apa yang you nak,” ujar Rayyan bersungguh-sungguh.

“Yalah tu,” sahut Puteri.

Bibirnya mula tersenyum. Dalam diam, dia mengakui kata-kata Rayyan. Siapa yang tidak kenal Tan Sri Rashid? Anaknya? Lagilah kan! Sungguh, dia gembira biarpun baru sekejap cuma berada di sisi lelaki ini. Maklumlah, anak VVIP, siapa yang tak gembira? Segala kehendak harus dipenuhi. Malah, apa jua yang dikehendaki mungkin bukan satu penghalang buat lelaki yang bergelar Rayyan Zikri itu. Jadi, sesiapa yang mendampinginya mestilah turut merasai tuah tersebut.

Pelayan yang muncul semula mencatat pesanan yang diberikan Rayyan. Puteri hanya diam membisu. Cuma sesekali dia membetulkan rambutnya yang baru saja ditatarias sebelum datang bertemu dengan Rayyan.

Selesai mencatat menu yang dipesan, pelayan lelaki tersebut terus berlalu. Puteri yang memerhati gerak langkah pelayan berkenaan, mula mengalihkan pandangannya kepada Rayyan.

“Kenapa ni? Muncung tak habis lagi, hmm?”

“Mana ada. You tu...” Puteri bersuara manja.

Matanya terus menjeling. Setelah lama tidak bersua muka, sekaranglah masanya untuk bermanja-manja dengan Rayyan.

“I? Dari tadi asyik cakap sebab I. Apa yang I dah buat?” sahut Rayyan sambil mula meraih tangan Puteri.

Rayyan mengelus lembut tangan Puteri.

“Yalah. You tu kat sana sampai sembilan tahun tau. Lama tu! Bukan you belajar empat atau lima tahun aje ke? Yang lebih tu apa yang you buat kat sana? Jangan-jangan...” Sengaja Puteri tidak menghabiskan kata-katanya.

Dia ingin memancing reaksi Rayyan. Tangannya turut ditarik daripada genggaman tangan jejaka itu.

Rayyan tersenyum mendengar patah kata daripada Puteri. Wajah gadis yang mula menarik muncung itu ditatap dalam-dalam. Dia sengaja tidak terus memberikan penjelasan kepada gadis itu. Gelas air dicapai bagi menghabiskan air yang masih berbaki.

“Tengoklah tu. Orang cakap dengan dia, buat tak dengar aje. Entah-entah memang betulkan you kat sana memang ada orang lain, ya tak?”

Puteri yang tidak lagi boleh menahan sabar terus melepaskan serkap jarangnya. Pedih hatinya apabila melihat Rayyan yang hanya diam membisu.

Rayyan yang sengaja ingin terus mengusik gadis di depannya, tertawa kecil mendengar kata-kata Puteri itu. Tangan gadis itu kembali diraih dan diusap lembut.

“Puteri, dah berapa lama kita kenal?”

“Entah!” sahut Puteri berbasa-basi.

Bahunya dijongketkan. Merajuklah tu!

Rayyan yang menerima respons daripada Puteri terus tersenyum. Makin bertambah niatnya ingin terus mengusik gadis tersebut. Genggaman tangannya dilepaskan. Riak wajahnya mula berubah serius.

Berkerut wajah Puteri apabila melihat perubahan Rayyan yang mendadak itu.

Well, dulu memang I suka kat you, tapi you tak bagi jawapan pun, kan? Jadi, sembilan tahun I kat sana, apa lagi yang I boleh buat? You faham-fahamlah. Kenalah I cari pengganti.”

Suara Rayyan yang didengari membuatkan Puteri terjeda. Dia menggeleng perlahan bagaikan tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya. Jadi, betullah telahannya selama ini. Rayyan sama saja seperti lelaki-lelaki lain!

Pelayan yang muncul semula dengan membawa menu yang dipesan membuatkan keadaan hening seketika. Sambil memerhati menu yang disajikan, Rayyan mencuri pandang ke arah Puteri. Dia menahan tawa melihat riak wajah gadis itu. Selesai menghidang makanan dan minuman, pelayan mula berlalu meninggalkan meja.

“Jom makan! I lapar ni.” Rayyan mula mencapai sudu dan garpu.

Pandangan mata Puteri kepadanya sengaja tidak diendahkan. Mulutnya mula mengunyah nasi yang baru disuap.

“Hmm... sedap! Sempurna!” Rayyan mengangguk perlahan.

Berpuas hati dengan masakan yang dijamahnya kini. Tidak sia-sia dia menanti lebih kurang sejam di situ dengan hasil yang tersaji di depan matanya sekarang.

Rayyan menjeling Puteri yang langsung tidak menyentuh makanan yang terhidang. Sudu dan garpu mula diletakkan kembali. Napkin yang terlapik di atas paha, diangkat dan dikesat sekali ke mulut sebelum memulakan bicara.

“Kenapa tak makan? You tak suka ke dengan semua ni?” Mata Rayyan memerhati lauk-pauk yang terhidang.

Kuah masak lemak ikan kembung yang menjadi kegemarannya turut tersaji di atas meja. Menu yang dipesan khas oleh Rayyan setelah mengetahui Ketua Chef di restoran ini iaitu Chef Hisyam sememangnya pakar menyediakan hidangan masakan kampung. Kehebatan Chef Hisyam sendiri pernah dipaparkan di dalam beberapa buah majalah termasuk Majalah Cosmopolitan di ruangan Life Stylist.

Puteri kan pernah menjadi Cover Girl untuk majalah tersebut, tentulah Rayyan tahu.

“Tak ada selera!” tukas Puteri sambil menjeling.

Padahal, perutnya sendiri sudah minta diisi sedari tadi. Sudahlah dia tidak sempat menjamah sarapan, ingatkan hendak bersama-sama menikmati makan tengah hari dengan Rayyan sambil bermanja-manja, tetapi jawapan daripada lelaki itu membuatkan seleranya mati kini.

Rayyan yang terus memerhati reaksi Puteri mula meraih kembali tangan gadis itu. Kali ini, tangannya menggenggam erat tangan Puteri yang dirasakan ingin ditarik kembali daripada genggaman tangannya.

“Okey, I mengaku kalah. Tadi tu I gurau ajelah. Ya, memang I mengaku sembilan tahun I kat sana, tapi tak ada seorang pun yang berada dalam hati I. Tak ada orang lain kecuali you. Hanya you. Cukup penjelasan I ni untuk buat you makan? Come on! I tak suka tengok you macam ni. Tadi pun you cakap you tak makan lagi kan waktu I telefon you? Nanti kalau perut tu masuk angin, siapa yang susah? So...” Rayyan mula melepaskan genggaman tangannya.

Sudu mula dicapai dan nasi mula disudu lalu dihalakan ke mulut Puteri.

So sekarang, tolong makan okey?”

Bibir Puteri mula terlukis sebaris senyuman. Suara serius Rayyan menyatakan hal tersebut terasa cukup menyakinkan dirinya. Mulut mula dibuka menyambut sudu yang dihulurkan. Rayyan yang memerhati tersenyum senang sebelum dia sendiri menyambung menikmati makanan tengah hari mereka berdua.

“You tahu kan kenapa I tinggal kat sana lama-lama? Bukannya you tak tahu anak saudara ibu tiri I tu, si Shasha.”

“La, sebab tu ke you sanggup tinggal kat sana lama-lama? Sebab dia? Dia ganggu you lagi ke?” Puteri cuba mengorek rahsia.

Masakan Shasha yang tinggal serumah dengan Rayyan itu tidak dikenali.

“Urmm... I dah fikir masak-masak, selagi I tak khawin, selagi itulah agaknya dia akan terus kacau I. So, apa kata kita khawin. You pun sayangkan I kan macam mana I sayangkan you. Tadi tu bukan main muncung lagi,” usik Rayyan.

Mata Puteri terkebil-kebil. Bibirnya bergerak sedikit. Nak senyum ke tak? Khawin? Memanglah dia sukakan Rayyan, tapi tak pernah pula terfikir nak berkhawin sekarang. Apatah lagi kerjayanya baru sahaja hendak berkembang.

“Nanti kita khawin ya?”

Suara Rayyan menarik kembali perhatian Puteri yang tersasar.

“Err... hmm...” Suara yang lahir antara dengar dan tidak.

Puteri cuba mengawal riak wajahnya. Khawin? Sekarang? Hisy! Takkanlah?

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Daisy Norhaida Othman