Home Novel Cinta Isteriku Sleeping Ugly
Isteriku Sleeping Ugly
Daisy Norhaida Othman
29/7/2015 12:28:34
69,314
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

IKA tidak lagi berjaya menahan tawanya apabila mendengar cerita daripada Hana. Riak wajah serius kawan baiknya itu hanya menambah rasa lucu dalam hatinya. Tawa yang meletus beberapa minit yang lalu masih lagi bersisa.

“Lucu sangat ke? Ni semua sebab saya dengar lagu Ombak Rindu dalam keretalah sebelum nak temu duga tu,” celah Hana apabila tawa kawan baiknya itu sudah reda.

Burger yang masih berbaki di tangan terus disuap ke dalam mulut. Sesekali matanya memerhati suasana di sekeliling KFC yang terletak di Mid Valley itu.

“Mestilah lawak. Peguam negara kita, Abang Aaron ke?” soal Ika dengan tawa yang hendak pecah semula.

“Abang?” Terjegil mata Hana apabila mendengar kata-kata Ika.

Terjongket kedua-dua keningnya ke atas.

“Alah, apa salahnya nak menggatal, kan? Sekali-sekala,” tukas Ika yang bagaikan memahami maksud di sebalik soalan Hana.

Sempat matanya dikenyitkan kepada kawan baiknya itu.

“Eii... Gatal. Abanglah sangat. Macamlah kau orang saling kenal.”

“Yalah. Mestilah abang, kan? Takkan nak panggil Kak Aaron pulak,” bahas Ika yang tidak ingin mengalah.

Tersedak Hana yang baru menyedut air. Hampir saja air yang masih berada di dalam mulutnya itu tersembur keluar.

“Ika!” Hana menjerit kecil kepada kawan baiknya yang mulai tertawa semula itu.

Dia yang baru hendak menikmati air milo aisnya tidak menjangkakan jawapan yang akan lahir daripada bibir Ika itu. Sudahnya, Hana mengesat mulutnya dengan tisu. Dia sendiri ikut ketawa kemudiannya apabila terbayangkan raut wajah aktor tersebut yang dibahasakan dengan panggilan ‘kakak’. Tak sesuai!

“Jadi, bila boleh dapat jawapan untuk temu duga tu?” Ika melepaskan soalannya setelah ketulan ayam yang terakhir di dalam pinggannya sudah licin dinikmati.

“Entah. Lagipun, saya sendiri tak berharap sangat,” balas Hana sambil menjongketkan bahunya.

“Bagus! Kalau macam tu, kita ikut pelan saya ajelah. Macam mana?” sahut Ika girang.

Hana mendiamkan diri. Rancangan Ika? Entahlah. Sejujurnya dia sendiri tidak tahu sama ada ingin bersetuju atau tidak dengan rancangan kawan baiknya itu yang ingin dia bekerja di Kuala Lumpur. Dia yang baru tiba di KL petang itu terus dibawa ke KFC Mid Valley oleh Ika untuk berborak setelah lama tidak bersua muka.

“Alah, tak payah nak fikir sangatlah. Setuju aje. Kalau setuju, esok jugak saya bawa awak ke tempat tu. Macam mana? Lagipun, memang kawan saya tu nak guna orang secepat yang mungkin.”

Hana mengerling Ika yang sedang merenung kepadanya.

“Esok? Cepatnya! Kerja apa?”

“Hah! Yang tu rahsia. Kalau saya beritahu sekarang, tak adalah kejutan nanti. Sekarang, habiskan air tu, lepas tu ikut saya balik. Kat rumah, kita borak sampai pagi!” Ika tersengih.

Tangannya sendiri sudah mula mencapai cawan kertas KFC yang masih mengandungi baki air minumannya untuk dihabiskan.

“Yalah tu sampai pagi. Kata esok nak kerja, kan? Lainlah awak. Ada butik sendiri,” tingkah Hana.

“Jadi, awak setujulah ni ya? Yes! Boleh saya beritahu kawan saya yang awak dah setuju.” Ika mula mencapai beg tangan yang berada di sisinya.

Kalut dia mencari telefon bimbit yang tersimpan di dalam perut beg yang berwarna jingga itu.

“Eh, nantilah dulu! Bila masa saya cakap setuju? Kalau ya pun bagilah saya fikir dulu.” Hana mula menegah.

Tidak cukup dengan itu, telefon kawan baiknya itu turut dirampas.

“La, nak fikir apanya lagi Cik Hana? Sekarang ni awak dah pun ada kat sini, kan? Come on! Inilah salah satu peluang untuk awak. Kat sini, kat KL, kita kena bijak nak manfaatkan peluang yang ada depan mata. Kalau tak, orang lain akan sambar. Lagipun...”

“Tapi, err...”

“Apa? Awak takut apa yang orang lain akan cakap? Takut apa yang orang lain akan fikirkan? Zaman sekarang, kita kena berani, Hana. Jangan terlalu nak fikirkan apa yang orang lain cakap, apa yang orang lain fikir pasal kita. Asalkan tak menyalahi agama, undang-undang, pedulilah semua tu! Sebenarnya, orang lain pun sama jugak macam kita. Kalau kita risau apa yang orang lain fikir pasal kita, cara kita, dia orang pun sebenarnya macam tu jugak. Betul tak? Mana ada manusia yang sempurna dalam dunia ni,” hujah Ika panjang lebar.

Hana yang medengar mula menghela nafasnya. Dia tahu, dari dulu lagi memang Ika seorang yang berani. Tidak pernah sekali pun kawan baiknya itu dibuli sesiapa, tapi dia? Kalaulah dia seberani Ika, mesti dia tidak akan dibuli oleh perempuan ahli sihir yang kejam seperti si Rina tu. Alah, takkan Rina lagi. Sudahlah Hana!

“Apa yang awak menungkan tu? Betul tak apa yang saya cakap?”

Suara Ika menarik kembali perhatian Hana.

“Memanglah betul. Dah panjang berjela macam tu, mana boleh salah, kan?” usik Hana.

Tangan Ika mula naik menyinggah ke lengan Hana lalu dicubitnya perlahan.

“Sakitlah!” Hana menyeringai.

“Oh, dah pandai nak kenakan orang ya sekarang ni. Kalau dah betul apa yang saya cakap, jadi kita ikut ajelah rancangan saya tu. Awak akan bekerja kat sini, okey?”

“Tapi nanti...” Kata-kata Hana terhenti apabila melihat Ika yang mula menarik muka.

Kawan baiknya itu mula bersandar ke kerusi dengan tangan yang disilangkan di dada.

“Dengarlah dulu. Memanglah kalau nak bekerja tu boleh, tapi awak sendiri tahukan masalah saya yang satu tu? Nanti kalau terjadi apa-apa masalah, saya tak naklah kalau nama awak pun turut terbabit jugak. Turut dapat nama yang buruk jugak nanti.” Laju Hana menerangkan permasalahan yang bersarang dalam kepalanya semenjak menerima panggilan daripada Ika minggu lepas yang memintanya untuk datang bekerja di KL.

Luahan yang dibuat Hana mula membuatkan Ika tersenyum.

“Kalau itu aje masalahnya, jangan bimbang. Lagipun, kan saya cakap, orang yang nak guna pekerja ni, kawan saya jugak, kan? Jadi, dia faham. Awak jangan risaulah bab tu. Insya-ALLAH, takkan ada masalah. Jadi, kira jadilah ni ya?” tanya Ika, bernada girang.

Raut wajahnya kembali ceria.

“Hmm...” Hana mengangguk.

Siapa yang tak nak bekerja? Takkanlah dia nak jadi penganggur seumur hidupnya, kan? Tapi nanti kalau ada masalah... Ah! Kau kena berani Hana. Tadi, Ika pun cakap macam tu, kan?

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Daisy Norhaida Othman