MAKCik Bibah yang baru sahaja menjejakkan kakinya di
tingkat tiga rumah banglo mewah itu melangkah menuju ke sebuah bilik yang
pintunya tertutup kemas. Tiba di depan sebuah bilik, tangannya diketukkan
beberapa kali ke daun pintu.
“Masuklah!”
Bibir Mak Cik Bibah tersenyum
apabila mendengar laungan suara dari dalam. Perlahan-lahan, tangannya memusing
tombol bilik yang tidak berkunci. Sebaik kakinya melangkah ke dalam bilik,
bebola mata Mak Cik Bibah terus terarah kepada seorang anak muda yang sedang
bersila di atas katil.
“La, Rayyan tak habis
kemas lagi?” tegur Mak Cik Bibah diiringi senyuman.
“Sikit aje lagi. Tengah kemas-kemas
tadi tu terjumpa ni.” Tangan Rayyan menunjukkan album gambar yang sedang
ditatap.
Mak Cik Bibah hanya
tersenyum kelat. Dia tahu isi hati Rayyan ketika itu. Leka benar pemuda itu
membelek gambar-gambar yang menyimpan seribu satu kenangan keluarganya.
“Kalaulah umi masih ada
lagi mak cik...”
Suara yang keluar dari
bibir Rayyan membuatkan tangan Mak Cik Bibah yang sedang melipat sehelai baju-T
terhenti. Pandangannya diarahkan kepada Rayyan yang masih terus menatap gambar
arwah ibunya itu.
“Umi dah tak ada, kan?
Sudahlah tu...” ujar Mak Cik Bibah lebih kepada memujuk.
Dia juga turut berasa
kehilangan di atas pemergian majikannya itu.
Rayyan yang mendengar
hanya mengangguk lemah. Hakikat yang dia sendiri masih sukar untuk menerimanya
sehingga kini biarpun hampir tiga tahun berlalu, semenjak pemergian arwah
uminya yang tersayang.
Mak Cik Bibah kembali
menyambung kerjanya, melipat beberapa helai baju-T milik Rayyan yang masih
berada di atas katil.
“Malam ni Rayyan nak
makan apa? Cakap kat mak cik. Bolehlah Rayyan makan puas-puas. Nanti kat sana
tu belum tentu lagi nak jumpa makanan orang Melayu tau.” Mak Cik Bibah mula
berceloteh. Cuba menarik perhatian Rayyan daripada terus tenggelam dalam
emosinya.
Rayyan yang memandang
sekilas kepada Mak Cik Bibah hanya mengukirkan senyuman.
“Macamlah mak cik tak
tahu saya suka makan apa.”
“Masak lemak cili padi.
Malam ni mak cik masak ya?” balas Mak Cik Bibah.
Matanya terus memerhati
Rayyan yang masih tidak berubah arah pandangan matanya. Terus tertancap kepada
album gambar keluarganya itu.
Mak Cik Bibah menghela
nafas perlahan-lahan. Dia sendiri sedang cuba mengawal perasaannya apabila
melihat keadaan Rayyan. Kalau boleh, dia sendiri tidak ingin menzahirkan
emosinya di depan anak majikannya itu.
“Hah! Puteri tak telefon
Rayyan?” Mak Cik Bibah melepaskan soalan yang terlintas di benaknya. Mungkin kawan sejak zaman kanak-kanak itu
boleh menarik fokus Rayyan yang sedari tadi diberi kepada album gambar yang
sedang dipegangnya itu. Mungkin sejak dari pagi lagi apabila Rayyan tidak
keluar daripada biliknya.
“Puteri? Tak pun.
Kenapa? Dia ada telefon rumah ke tadi?” Terus Rayyan menoleh kepada pembantu
rumah itu tatkala mendengar nama gadis itu disebut.
Tersenyum-senyum Mak Cik
Bibah apabila melihat reaksi yang dipamerkan Rayyan.
“Oh! Kalau dengar aje
nama Puteri, terus gembira semacam. Kalau tadi tu...”
“Mana ada! Saya biasa
ajelah,” tingkah Rayyan, memintas cakap Mak Cik Bibah.
“Betullah. Kalau tadi tu
monyok semacam aje. Mak cik yang kat sini pun macam tak wujud aje,” tutur Mak
cik Bibah, seakan-akan berjauh hati.
Tangannya mula mencapai
pula sehelai seluar jean berwarna biru gelap yang berada di atas katil.
Senyuman yang tadi
meniti di bibir Rayyan mulai melebar apabila mendengar luahan Mak Cik Bibah.
Album gambar yang sedari tadi ditatapnya mula dilepaskan ke atas katil. Dia
mula mendekatkan dirinya kepada Mak Cik Bibah. Terus, kepalanya direbahkan ke
atas paha wanita yang hanya tua beberapa tahun kalau dibandingkan dengan arwah
uminya itu.
“Oh! Mak cik merajuklah
ni?” Rayyan tersenyum apabila memandang riak wajah Mak Cik Bibah yang kelat.
“Tengok tu, orang nak
kemaskan pakaian dia, dia nak baring-baring kat sini pulak.” Mak Cik Bibah
hanya menjeling sebagai jawapan kepada soalan Rayyan.
Sengaja soalan itu dibiarkan berlalu
tanpa sebarang jawapan.
“Kalau bukan dengan mak
cik, dengan siapa lagi saya nak bermanja?” ujar Rayyan.
Tangannya melayang mencubit pipi Mak
Cik Bibah sebelum mengiringkan badannya ke kanan. Tangannya mula memeluk pula
lutut Mak Cik Bibah.
“Hisy! Budak ni...
pandai aje nak ambil hati kita.” Mak Cik Bibah menampar lembut bahu Rayyan yang
sedang mengiring.
Terhenti seketika
tangannya yang ingin melipat seluar jean milik anak muda itu. Wajah Rayyan yang
sedang berbaring di ribanya ditatap.
“Kenapa ni? Rayyan tak
suka ke nak pergi sana?” duga Mak Cik Bibah.
Cuba untuk menyelami hati Rayyan
yang sebahagiannya sukar ditelah. Keadaan bilik itu hening seketika apabila
tiada sesiapa yang membuka mulut. Soalan Mak Cik Bibah berlalu sepi.
Mak Cik Bibah sendiri
tidak tahu apa yang ingin dikatakannya lagi. Risau kalau-kalau buah bicaranya
akan hanya menggores perasaan Rayyan yang sudah sedia tergores.
“Saya rasa lebih baik
aje saya pergi mak cik. Belajar kat sana. Kat sini dah tak ada apa-apa pun.” Agak lama setelah waktu berlalu, barulah
Rayyan membuka mulutnya. Menyuarakan secebis isi hatinya yang dipendamkan
selama ini.
“Habis tu, mak cik ni
siapa? Bukannya siapa-siapa dengan Rayyan? Macam tu? Tu, Pak Cik Husin siapa?
Kami ni bukan keluarga Rayyan? Hmm?” Tangan Mak Cik Bibah mula menampar bahu
Rayyan.
Sedikit beremosi hatinya
apabila mendengar kata-kata Rayyan sebentar tadi.
Rayyan yang mendengar
hanya tersenyum. Tangan tua yang berada di bahunya itu dicapai dan digenggam
sebelum kembali membuka mulutnya semula.
“Mak cik tahukan bukan
macam tu maksud saya? Maksud saya, umi.” Mendatar suara Rayyan, cuba
menerangkan kata-katanya tadi.
Mata Mak Cik Bibah mula
digenangi air jernih. Tidak lagi berjaya menahan emosinya agar tidak terzahir
di depan Rayyan. Sudahlah sedari tadi dia sendiri teringat kepada majikannya
yang sudah tiada apabila melihatkan Rayyan yang sedang menatap album gambar itu.
Sekarang, apabila mengenangkan Rayyan yang bakal pergi meninggalkan rumah itu,
hatinya bertambah lirih.
“Kan puan dah tak ada.
Lepas ni Rayyan pula nak tinggalkan rumah ni. Lagilah sunyi.” Mak Cik Bibah
pula melepaskan emosinya yang terpendam.
Mendengarkan esakan
perlahan daripada Mak Cik Bibah, Rayyan mula mengiringkan tubuhnya semula.
Menelentang agar dapat menatap wajah yang turut tersemat dalam hatinya selain
daripada umi tersayang.
“Saya pergi bukannya tak
balik terus macam umi tu.”
Tangan Rayyan sekali
lagi mencuit pipi Mak Cik Bibah. Bibirnya menghadiahkan senyuman kepada
pembantu rumah yang lebih dianggap sebahagian daripada keluarganya itu.
“Kamu ni kan, kalau
bercakap tu beralaslah sikit!” Mak Cik Bibah mengerutkan wajahnya.
“Betullah, kan? Saya
pergi sana nak belajar. Bila dah habis, saya baliklah sini. Urmm... Puteri ada
ke telefon sini tadi?”
“Tengok tu, ingat lagi
tu. Tak ada. Dia tak telefon pun. Kenapa tak Rayyan aje yang telefon dia?” Mak
Cik Bibah memberikan cadangan.
Air mata yang masih
bersisa di pipinya diseka.
“Nantilah. Nak tidur
kejap.” Rayyan mula mengiringkan semula badannya.
Tangannya mula memeluk
kemas lutut Mak Cik Bibah.
“Hah! Pandailah kamu. Mak
cik nak kena masak ni. Ni semua, nak harapkan kamu sampai esok pun tak habis
lagi.” Mak Cik Bibah mula berleter apabila memandang atas katil Rayyan yang
masih bersepah dengan sebahagian pakaiannya yang belum berkemas.
“Biarlah, nanti saya tak
boleh tidur macam ni lagi,” tutur Rayyan.
Mak Cik Bibah tertawa kecil
mendengar kata-kata Rayyan.
“Kamu ingat kamu ni kecik
lagi ke? Budak-budak? Nak khawin esok lusa pun dah boleh tau. Dulu tu kalau 17,
18 tahun tu dah ada anak dua tiga orang dah.”
“Tulah pasal. Siapa
suruh mak cik tua cepat sangat? Kalau tak...”
“Hei! Budak ni. Kamu
ingat mak cik ni apa hah?” Mak Cik Bibah menjerit kecil dengan usikan nakal
Rayyan.
“Mak cik kan girlfriend saya. Dah lupa ke? Saya akan
sayang mak cik sampai bila-bila!”
Mak Cik Bibah terseyum senang
mendengar bicara Rayyan yang lebih kepada mengusik itu.
“WANGINYA! Dari atas lagi saya dah boleh bau kuah ni.” Rayyan yang
baru menuruni anak tangga, bergegas ke meja makan apabila hidungnya tertarik
dengan aroma masakan Mak Cik Bibah.
“Nak bodeklah tu,”
jeling Mak Cik Bibah yang baru meletakkan sejag air di atas meja makan.
Suaminya, Pak Cik Husin,
yang turut berada di meja makan hanya tersenyum memerhati tingkah Rayyan yang
terus menyendukkan nasi ke dalam pinggannya sebaik melabuhkan punggungnya di
kerusi. Seperti malam-malam sebelumnya, ketiadaaan penghuni rumah yang lain
membuatkan hanya mereka bertiga yang berada di meja makan untuk menikmati makan
malam.
Mak Cik Bibah yang baru
duduk di kerusi terus memerhati gelagat Rayyan yang menyudu kuah masak lemak
cili padi ikan kembung ke dalam pinggannya.
“Makanlah mak cik, pak
cik. Sedap ni!” tutur Rayyan sebelum memulakan suapannya yang pertama. Mak Cik
Bibah dan Pak Cik Husin yang memerhati tingkah anak majikan mereka itu saling
bertukar senyuman.
“Macam mana? Lulus?” tegur
Pak Cik Husin sambil menegakkan ibu jarinya kepada Rayyan.
“Ni bukan setakat lulus
aje ni. Dapat markah penuh lagi. Terbaiklah!” Rayyan tersenyum kepada Mak Cik
Bibah. Berpuas hati dengan air tangan
wanita itu yang tersaji di depan matanya kini. Bahkan, sudah pun mula memasuki
ke dalam perutnya.
Mak Cik Bibah tersenyum
bangga. Dalam banyak-banyak masakannya, itulah menu yang menjadi kegemaran
Rayyan. Masak lemak cili padi. Anak yang diasuhnya bersama-sama majikannya yang
telah tiada itu, sudah dianggap seperti anak sendiri.
Apatah lagi, mereka
suami isteri ditakdirkan tidak mempunyai zuriat sendiri biarpun hampir 20 tahun
mendirikan rumah tangga. Jadi, semenjak bekerja di rumah itu, Rayyanlah racun
apabila dia mula membuat perangai, tetapi Rayyan jugalah penawar dengan segala
usikan-usikan nakalnya. Sekarang, dia memanggil pula Mak Cik Bibah sebagai
‘teman wanitanya’. Ada-ada saja!
“Hah! Mak cik,
senyum-senyum tu kenapa? Ada apa-apa ke ni?” Rayyan menegur Mak Cik Bibah
sambil mengangkat keningnya.
Pak Cik Husin yang baru
menjamah nasi mengerling kepada isterinya yang masih belum menyentuh makanan
mahupun minuman itu.
“Kamu ni pandai-pandai
aje. Kenapa? Salah ke kalau mak cik senyum?” Mak Cik Bibah bersuara. Tangannya
mula menyendukkan nasi ke dalam pinggan.
“Salah tu tak, tapi
manalah tahu kalau mak cik ada ingatkan siapa-siapa ke?” Rayyan terus mengusik.
Suka hatinya apabila
dapat melihat jelingan mata Mak Cik Bibah apabila sering diusik olehnya
sebegitu. Kalau bukan jelingan, pasti wanita yang dianggap seperti ibu keduanya
itu akan mula menarik muncung.
“Pandai-pandai aje kamu
ni. Sudah, makan tu. Makan banyak-banyak. Nanti...” Mati kata-kata yang ingin
diluahkan Mak Cik Bibah.
Sedikit demi sedikit
hatinya mula dikuasai emosi apabila mengenangkan Rayyan yang bakal melanjutkan
pelajarannya ke Amerika Syarikat.
Rayyan yang sedang
mengunyah makanannya memerhati wajah Mak Cik Bibah yang menunduk. Tangan
kirinya mula menjalar mengenggam tangan wanita itu.
“Dahlah. Tak payahlah
nak sedih sangat. Saya pergi bukannya lama pun. Kejap aje. Urmm... empat lima
tahun macam tu. Lepas tu baliklah sini. Sedar tak sedar, bila mak cik buka aje
mata, terus saya ada kat sini,” tutur
Rayyan, cuba menghiburkan hati Mak cik Bibah.
Pak Cik Husin yang sedari tadi
mendiamkan diri tersenyum mendengar bicara Rayyan.
“Dah, makan Rayyan.
Jangan dilayan sangat emosi mak cik kamu ni. Makin dilayan nanti, tak tahulah
apa jadi. Sekarang ni kamu masih lagi ada depan mata dia dah jadi macam ni.
Kalau esok-esok kamu dah pergi, mahunya sebaldi air mata dia tu. Kalau sebaldi
tak mengapa jugak, kalau banjir?”
Pak Cik Husin menjeling
sambil tangannya terus menyuap nasi. Sempat dia memerhati renungan tidak puas
hati yang diberikan isterinya.
“Makanlah mak cik. Tak
payahlah nak sedih-sedih macam ni. Kalau boleh saya pun nak terus sambung belajar
kat sini, tapi mak cik fahamkan keadaan sini macam mana?” ungkap Rayyan sambil
terus memerhati Mak Cik Bibah.
Kepala wanita itu
mengangguk perlahan diiringi satu keluhan. Mustahil dia tidak mengerti situasi
yang harus dihadapi Rayyan seandainya anak muda itu memilih untuk terus belajar
di situ.
“Nah! Saya dah sendukkan
kuah untuk mak cik. Makanlah, sedap ni!”
Suara Rayyan menarik
kembali perhatian Mak Cik Bibah yang sedikit tersasar dari alam nyata. Senyuman
yang terukir di bibir anak majikannya itu turut dibalas untuk menyenangkan hati
Rayyan.
“Macamlah mak cik tak
tahu sedap ke tak. Mak cik yang masak, kan?” balas Mak Cik Bibah sambil
tangannya mula menjamah makanan yang terhidang.
“Oh! Sedap ya? Maksudnya
mak cik masuk bakal angkat sendirilah ya? Macam tu?” tutur Rayyan berpura-pura
terkejut dengan kata-kata pembantu rumahnya itu.
“Rayyan! Kamu ni...”
Hilang kata-kata yang
ingin dikeluarkan Mak Cik Bibah apabila melihat Rayyan dan suaminya yang sedang
tertawa. Sekali lagi Rayyan menang pada malam itu dengan usikannya.
RAYYANyang sedang membaca buku di sofa
berhampiran tingkap biliknya dek tidak dapat melelapkan mata, tersentak apabila
mendengar bunyi pintu yang dikuak dari luar. Terus pandangannya terarah ke arah
susuk tubuh yang sedang melangkah ke arahnya.
“Shasha! Apa yang you
buat kat sini?!”
Sebuah buku yang berada
di tangannya sejak setengah jam yang lalu dilepaskan ke atas meja. Rayyan mula
bangun daripada perbaringannya apabila melihat Shasha yang kian menghampiri.
“Syy...” Gadis itu
meletakkan jari telunjuk di bibirnya sendiri. Isyarat agar Rayyan mendiamkan
dirinya daripada terus berkata-kata.
Rayyan mengerling jam di
tangannya. Hampir ke pukul 3.30 pagi. Pandangannya berubah pula kepada Shasha,
melirik dress ketat berwarna hitam
yang membaluti tubuh gadis itu.
“You tak tidur lagi?”
Shasha bersuara, seakan-akan berbisik.
Bibirnya terus murah
menghadiahkan senyuman kepada Rayyan yang masih merenung kepadanya.
“Keluar. I tak nak
bergaduh dengan yousekarang.
Keluar.” Tangan Rayyan mengarah ke pintu.
Shasha hanya menjongketkan
bahunya. Seakan-akan tidak kisah dengan apa yang dikatakan Rayyan. Dia mula
melabuhkan punggungnya di birai katil.
“Not badkatil you ni kan,” ujar Shasha sambil tangannya
menepuk-nepuk tilam.
Pandangannya mula dihadapkan kembali
kepada Rayyan yang masih tidak berganjak sedari tadi.
“Apa yang you nak hah? I
cakap tadi...”
“Soalan yang bagus! Urmm...
apa yangInak ya? I nak tidur sini malam ni, boleh?” Shasha bersuara manja. Tangannya mengusap-usap tilam yang menjadi
alas duduknya kini.
“Keluar,Shasha! Idah cakap tadiI tak nak
bergaduh dengan you sekarang. Jadi, tolong keluar!”
“You ni kan, entah
apa-apa entah. Apa salahnya kalau kita kongsi katil ni? Hmm? Tak salah, kan?” tingkah
Shasha.
Dia yang tadinya duduk,
terus menelentang di atas tilam. Dress
ketatnya yang cukup-cukup menutup lutut tersingkap sedikit ke atas, sekali gus
menyerlahkan paras pahanya, menjadi tatapan percuma kepada Rayyan yang masih
bersabar dengan kelakukannya.
“Cukup! Bangun! Bangun!”
Rayyan yang tidak berjaya lagi membendung emosinya terus meluru ke katil dan
menyentak lengan gadis itu yang sedang berbaring.
“Hei, sakitlah! You ni
tak gentleman tau!” Shasha tertawa
kecil biarpun diseret Rayyan menghala ke pintu.
Wajah lelaki yang sebaya
dengannya itu ditatap dalam-dalam dengan senyuman yang masih meniti di ulas
bibir terang dioles lipstik merah menyala.
Sebaik pintu dibuka,
Rayyan menolak gadis itu keluar. Sakit hatinya apabila melihat Shasha yang
berterusan tersenyum kepadanya.
“You know, Rayyan...”
“You listen to me!” tingkah Rayyan sambil menuding jarinya kepada
Shasha.
“Just so you know, you orang yang paling teruk pernah Ikenal. Dan mungkin perempuan yang...”
Rayyan menggelengkan kepalanya perlahan.
Tidak tergamak untuk
mengeluarkan kata-kata keji kepada perempuan yang kalis malu seperti Shasha.
“Yang apa? Hmm? I tahu
yang you tahu you pun sukakan I jugak, kan? Sebab tulah you tak cakap I
perempuan yang macam mana. Kan? Betul tak?”
Rayyan tersenyum sinis
mendengar luahan kata-kata Shasha.
“You perempuan yang classless.Dengar? Classless!” desis Rayyan sebelum terus menutup pintu.
Kali ini, pintu biliknya
terus dikunci untuk memastikan Shasha, anak saudara kepada ibu tirinya itu
tidak akan lagi mengganggu dirinya sama seperti malam-malam sebelumnya.