Home Novel Cinta Isteriku Sleeping Ugly
Isteriku Sleeping Ugly
Daisy Norhaida Othman
29/7/2015 12:28:34
69,434
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

OKAY class! Any question before I dismiss the class?” Suara lantang Madam Mary, pensyarah berbangsa Cina untuk subjek bahasa Inggeris itu bergema di dalam bilik kelas di mana berlangsungnya sesi tutorial untuk pagi itu.

No.” Terdengar beberapa suara perlahan daripada pelajar yang sudi menyahut pertanyaan daripada pensyarah yang masih setia berdiri menanti jawapan daripada para pelajarnya.

Madam Mary tersenyum apabila menerima jawapan tersebut. Dia mula mengatur langkah menuju ke meja. Sesekali dia mengerling kepada para pelajarnya yang masing-masing sedang sibuk mengemas buku dan kertas yang masih berada di atas meja.

“Emm... saya nak pergi perpustakaan lepas ni. Nak ikut tak?” Dalina menyiku Hana yang duduk di sebelahnya.

“Tak apalah. Saya dah janji nak jumpa dengan Ika. Kelas dia kat sebelah ni aje,” jawab Hana separuh berbisik.

Tangannya mula menggosok mata untuk menyegarkan diri sendiri.

“Okey. Kalau ada apa-apa, cari aje saya kat situ. Sebab lepas ni pun, kita ada kelas Puan Sufi, kan? Malaslah nak balik ke bilik. Hah! Kerja Puan Sufi tu awak dah siap?”

“Emm...” Hana mengangguk sambil menggumam.

Masakan kerja yang dilakukan untuk dua orang itu belum lagi disempurnakan. Apatah lagi setelah menerima amaran daripada Puan Sufi dan juga Rina.

Selain Ika yang sudi berkawan dengannya, Dalina adalah orang kedua yang boleh dipercayai Hana di UiTM ini. Dalinalah yang akan tolong mengejutkan dirinya kalau dia sudah tertidur di dalam mana-mana kelas.

Hana memerhati sekeliling kelas yang sudah kosong dan sepi sebelum jam yang tersangkut pada dinding mencuri pandangan matanya.

“Kenapa Ika tak keluar lagi ni?” gumam Hana sambil mengerling ke arah pintu.

Janji yang sudah dibuat kepada Ika semalam untuk bersarapan bersama-sama di medan selera membuatkan bibir Hana tersenyum senang.

Dari bersandar di kerusi, Hana mula menongkat dagu. Nota-nota yang berada di atas meja hanya dipandang sekilas lalu sekadar mengisi waktu yang masih bersisa sementara menunggu kedatangan Ika.

Dari menongkat dagu, sebelah lengannya mula dilunjurkan di atas meja dan Hana mula merebahkan kepalanya. Huruf-huruf yang tertera di depan matanya tidak lagi berjaya membuat Hana untuk terus membaca.

Pagi itu sekali lagi menjadi saksi Hana terus hanyut di dalam lenanya di dalam kelas yang sunyi sepi itu. Cahaya matahari yang kian menyuluh ke wajahnya juga tidak langsung mengganggu tidur Hana yang terus nyenyak itu.

TENGOK tu...” Hafiz menjuihkan bibirnya ke satu arah apabila pintu dikuak.

What? It’s her right?” Zafran yang turut berada di dalam kumpulan itu memandang ke arah sebuah meja yang berhampiran dengan tingkap di dalam kelas itu.

“Kita salah kelas ke? Tak, kan?” Syamsul yang sudah berada di dalam kelas melangkah keluar semula untuk menyemak jadual yang tertera pada dinding di luar kelas.

“Salah kelas apanya. Bukan kau orang tak tahu perangai si Sleeping Ugly ni. Kat mana-mana pun dia boleh landing cantik punya! Silap-silap kat tengah padang tu pun boleh,” tingkah Zafran sambil mula mengatur langkah.

“Hei! Kau nak buat apa tu? Biar ajelah. Nanti dia bangunlah tu.” Hafiz mula berasa cuak apabila melihat kawannya yang sudah tersenyum-senyum.

Langkah kaki Zafran terhenti seketika apabila mendengar kata-kata Hafiz.

“Apa kau cakap? Bangun? Kau tak ingat waktu orientasi dulu tu? Kalau tak ada err... apa nama minah tu?” Zafran memetik-metik jarinya cuba untuk mengingati nama pelajar perempuan yang terbayang di dalam mindanya.

“Entah.” Hafiz menjongketkan bahunya.

“Ah! Apa-apalah nama minah tu. Kalau tak ada minah tu yang tolong kejutkan, manalah si ugly ni tahu nak bangun. Kan?” tutur Zafran.

Kakinya mula melangkah semula mendekati meja di mana Hana sedang berada.

“Dah tu? Wei! Apa yang kau nak buat tu?” Hafiz menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia mula berasa cuak.

Edi yang sedari tadi memerhati mula tertawa apabila sudah mengagak tindakan yang bakal dilakukan oleh kawan mereka itu.

“Betullah kita tak salah ke...” Syamsul yang baru melangkah semula ke dalam kelas setelah memeriksa jadual yang terlekat di luar bilik kelas itu, tidak meneruskan kata-katanya apabila memerhati Zafran yang sudah berdiri di depan meja Hana.

“Apa yang dia nak buat tu?” Syamsul menyiku lengan Hafiz.

“Wei! Kau ni, agak-agaklah!” Hafiz bersuara tanda protes.

Edi yang sudah mengambil tempat duduk di belakang kelas mula membuka mulut.

“Biarlah! Bukannya salah pun. Teruskan Zaf!” ujar Edi, seakan-akan memberikan semangat dan galakan kepada kawan mereka untuk melaksanakan hajatnya itu.

Zafran yang sudah berdiri di depan meja tersenyum sambil menegakkan ibu jarinya. Penutup sebotol air mineral yang baru dibeli di kedai koperasi di kolej sebelum datang ke kelas, mula dibuka.

“Kau nak... Hisy, takkanlah.” Syamsul mengerutkan wajahnya apabila melihat botol air yang digenggam Zafran sudah diangkat di atas kepala Hana yang masih tidur.

“Satu, dua, ti...” Zafran terus mengira dan botol air yang sudah dicondongkan itu hanya menanti masa untuk melimpahkan isi kandungannya.

“Tiga!”

Terpinga-pinga Hana apabila sesuatu yang dingin menyapa wajahnya. Dia yang terkejut terus bangun sambil menyapu-nyapu wajah dan tudungnya yang sudah basah.

Zafran dan Edi yang berasa lucu mula meledakkan ketawa mereka.

“Hei! Apa ni?” Hana memandang kepada Zafran yang tercegat di depan mejanya.

“Apa ni? Kau tak tahu ke? Ni airlah. Air mineral. Aku baru beli tadi. Kau untung tau sebab ni air aje. Kalau asid?” Zafran terus ketawa apabila melihat wajah Hana yang basah dengan air yang hampir separuh dihabiskan ke atas gadis itu.

“Kalau asid, leburlah jawabnya!” tingkah Edi yang berada di belakang kelas.

Hana terdiam. Tangannya terus menyapu air yang masih bersisa pada wajah. Sesekali lengan baju kurungnya turut dilapkan ke muka untuk mengeringkan air.

Dia memandang Zafran yang terus tertawa geli hati dengan pandangan geram. Kemudian, dia memandang sekeliling kelas mencari siapa lagi yang masih berada di situ. Kelibat Hafiz dan Syamsul yang berada di satu sudut jelas kelihatan sedang memandang ke arahnya. Edi yang sedang tertawa juga dapat dilihat matanya.

Hana yang mula berasa malu mula mengemas nota-notanya. Dia ingin segera meninggalkan bilik tersebut. Untung sahaja hanya mereka berlima yang berada di situ. Kalau tidak, dia yakin, pastinya suasana akan lebih gamat lagi.

“Itulah, siapa suruh tidur. Tidurlah lagi. Sana sini kau boleh tidur, kan?”

Celoteh Zafran tidak diendahkan. Hana terus memasukkan nota-notanya ke dalam beg.

“Alah, takkan kau marah kut. Relakslah. Kalau bukan kau penyeri kat UiTM ni, siapa lagi kan? Betul tak?”

“Yalah. Betul tu. Dahlah kau tak cantik. Kalau marah, lagilah bertambah tak cantik!” Suara Edi yang menjadi penyokong setia terus menyahut dan menokok tambah kata-kata kawannya itu.

Hana terus bergegas melangkah menuju ke pintu dan mula melangkah keluar dari ruang yang bingit dengan gelak ketawa Zafran dan Edi. Tiba di luar, sakit hati yang ditahan mula membuatkan kelopak matanya digenangi air.

“Apa salah aku? Aku tak buat apa-apa pun kat dia orang,” getus Hana.

Kenapa Zafran tergamak melakukan sedemikian rupa? Kalau sekali, bahkan dua kali, mungkin dia boleh bersabar, tapi ini adalah kali yang ketiga.

“Nanti mesti ada balasan untuk mamat tu! Biar kena tumbuk ke, baru dia tahu!”

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Daisy Norhaida Othman