Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 12


Maya tersentak apabila terpandang kain gebarnya bergerak sendiri. “Aku ni.” Kedengaran satu suara dan Maya kelegaan. “Aku naikkan selimut tu bila tengok kau macam kesejukan. Berehatlah.”

“Aku dah tak mengantuk lagi.” Maya berjerih bangun lalu duduk menyandar. Wajahnya tampak kusam dan lesu dengan rambut bergumpal. “Keratan akhbar tu ada kat atas meja komputer. Engkau bacalah. Aku nak pergi mandi dulu.” Maya menepikan kain selimut. Dia terus saja mengambil sepasang pakaian dan sehelai tuala kemudian menyelinap ke dalam kamar mandi. Maya berasa segar selepas membersihkan diri. Selesai memakai pakaian lengkap, Maya pun keluar dari kamar mandi sambil mengesat-ngesat rambutnya yang basah.

“Maya, kau tahukah bahawa kau cantik sebenarnya.” Suara itu bagaikan terkesima apabila melihat Maya.

“Aku tak ada selera nak bergurau ni.” Maya bergegas ke meja solek lalu menyikat rambutnya yang kusut.

“Aku tak bergurau Maya. Hmm, rupanya namaku Zakrul Hakimi.”

Maya tergelak sinis. “Kelakar dan kesian betullah awak ni. Sampai nama pun dah lupa. Entah apa saja yang masih tersisa dalam kepala otak awak tu.”

“Hirdyanna tu siapa agaknya ya?”

“Agaknya dia tu Dyanna.” Maya menapak hala meja komputer lalu melepaskan keluhan.

“Aizat Harith tu siapa pula?”

“Hisy! Manalah aku tahu. Patut-patut awaklah yang lebih tahu fasalnya sebab terlibat dalam kemalangan tu.” Maya mencebik. “Nampaknya telahan kita salah. Hirdyanna dan Imelda tu bukan orang sama. Tapi pelik juga sebab awak dan Zurhan memang terlibat dalam kemalangan tu. Kat keratan ni cuma awak, kekasih Zurhan dan mangsa bernama Aizat Harith tu saja yang disebut. Yang dua orang lagi tu siapa dan ke mana perginya?”

“Mungkin Hirdyanna tu adalah wanita berjubah dan Aizat pula adalah lelaki gondok sebagaimana yang awak nampak dalam mimpi.”

“Tak mungkin. Kat dalam keratan ni, Hirdyanna memakai baju T berwarna biru dan berseluar jeans warna biru juga. Aizat pula baru berusia 18 tahun. Tak mungkin lelaki gondok bertubuh tegap itu berusia 18 tahun,” sangkal Maya kurang bersetuju.

“Ya tak ya juga.”

“Cuba kau baca bahagian ni. Mak cik Hirdyanna bagitahu, kali terakhir Hirdyanna keluar rumah dengan berpakaian baju T berwarna biru dan berseluar jeans biru. Kat sini ada menyatakan kau baru habis belajar di University Of Stockholm dan menganggur. Kau juga pemilik sebuah kereta Subaru yang dijumpai tersadai dekat Teluk Sepanggar. Sementara pemandunya pula iaitu awak hilang entah ke mana. Dalam laporan ini, kes ini diklafikasikan sebagai kes culik kerana awak dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kedua tangan serta kaki terikat.”

Suara itu cuba mengingat. “Ya. Wanita berjubah tu telah mengarahkan lelaki gondok tu memukul aku kat pinggir Teluk Sepanggar. Entah apa benar salah dan dosa aku hingga dibelasah separuh mati.” Ada nada benci, kesal dan bengang mengisi setiap tual kata-katanya selepas berjaya mengingati sedikit dari kejadian tersebut.

“Mulai dari sekarang awak harus ingat, nama awak adalah Mohd. Zakrul Hakimi. Awak berusahalah ingat. Sikit pun tak apa. Sekurang-kurangnya maklumat tersebut memudahkan aku untuk membongkas misteri yang terkambus selama ini. Aku amat berharap supaya Kazumi dapat memberikan aku sedikit maklumat mengenai awak. Aku nak tahu di mana awak berada ketika ni,” katanya sambil menekan-nekan perut. Terasa sakit pula perutnya.

“Aku nak isi perut dulu.” Maya berlalu ke dapur. Dia ingin memasak mee goreng. “Kau nak makan ke Zakrul? Kalau nak, aku masak lebih sikit!” laungnya dari dapur. Zak tidak segera menjawab melainkan menyusul Maya ke dapur.

“Tak apalah Maya. Panggil Zak je lagi sedap,” ujarnya lantas terkekeh. Maya sekadar mengguman. Selesai memasak, Maya kembali ke meja komputer sambil membawa pinggan getah berisi mee goreng. “Aku ambilkan kau air kosong ya,” tawar Zak dan tidak lama kemudian kelihatan sebiji gelas kaca menuju perlahan arah Maya. Maya terlopong dengan mulut penuh dengan mee goreng.

Bulat matanya memerhatikan gelas berisi air itu. Agaknya Maya risau sekiranya gelas kaca tersebut jatuh lalu pecah berserakan. Zak ketawa perlahan. “Engkau ni Maya lucu betullah. Sebenarnya, aku seronok berkawan dengan kau. Kau ni unik tapi berotak geliga. Aku betul-betul bangga dan gembira sepanjang mengenalimu. Dan yang paling aku tak lupa ialah cermin mata berbingkai tebal dan pendakap gigi kau tu. Macam watak Betty La Fea...”

“Yalah tu Zak. Semalam, aku ingatkan kau yang datang bertandang. Rupa-rupanya hantu wanita berjubah tu. Dia bagi amaran supaya tidak meneruskan usaha ini. Dia cakap aku akan menerima padah dan natijah seandai masih berdegil.”

“Ya ke?” Zak terkejut. “Ini tak boleh jadi.”

“Nasib baiklah Zurhan datang menemani aku tepat pada masanya. Dia hanya beredar sebelum azan subuh berkumandang.”

Keluhan Zak kedengaran. “Zurhan lagi?” Dia menghela nafas. “Nampaknya Zurhan menyukai awak dan awak pun menyukai dia.” Zak kesal. Hatinya meruntun.

“Kami cuma kawan dan dia menyukai aku sebagai seorang sahabat. Hmm... kita semua ni hanya kawan biasa je.”

“Tak adalah. Aku nak couple dengan kau selepas pulih dari koma nanti,” kata Zak serius.

Maya terpempan. “Jangan cakap apa-apa lagi. Benci aku dengar gurauan macam tu.” Maya bingkas. Dia mahu menghantar pinggan dan gelas yang telah digunakannya tadi ke sinki. “Engkau anak Tan Sri ke Zak? Kazumi bagitau, kau ni anak tunggal Tan Sri Kamarul dan ada menubuhkan kelab kereta. Pagi besok aku nak pergi ke kedai siber untuk melawat website kelab kereta awak tu. Mustahil kelab kereta awak tu tak ada laman web. Aku nak cari maklumat fasal diri kau.”

“Lagi bagus macam tu. Aku pun dah lupa siapa diri aku yang sebenarnya. Semoga kau berjaya Maya. Aku amat mengharapkan keberhasilanmu. Lagipun, aku dah tak sabar-sabar lagi mahu menghirup udara pagi. Mahu menikmati keindahan dan kehijauan alam maya ini. Aku dah jenuh terbaring dan terkedang kaku dalam bilik pengap tu. Aku dah benci dan muak mendengar suara Imelda mengalunkan kata-kata. Dia cakap, sedarlah dan kahwinlah dengan aku.”

“Itu saja ke?”

“Ya Maya. Nampaknya dia dah tak sabar-sabar mahu menikah denganku. Entah apa benar tujuannya. Dan yang paling aku tak suka, dia bawa lelaki masuk kat dalam bilik tu dan berbisik sambil ketawa sinis. Aku dapat dengar suara mereka berdua Maya.” Keluhannya terhambur. “Hanya kedua orang tuaku sudi membisikkan kata-kata semangat dan perangsang." Zak menarik nafas seketika.

“Bila terdengar rintihan dan isakan umi... aku berasa bersalah. Bukan aku tak nak sedar dari lelap yang panjang. Aku nak lebih dari itu tapi masalahnya aku tak mampu. Sebab itulah aku menggandarkan semua harapan ke bahumu. Aku amat berharap agar Maya dapat membantuku untuk meloloskan diri dari benua ini,” luah Zak bersungguh-sungguh. Maya berasa belas dan amat bersimpati tatkala mendengar semua tu.

“Aku rasa bukan kau tak mampu. Kau lebih dari mampu sebenarnya. Cuma kecederaan teruk yang menimpamu bagaikan tembok penghalang untukmu bangkit semula. Kecederaan serius itu telah menyebabkanmu menjadi tidak bermaya. Mungkin ketika ini hanya nadimu berdenyut dengan jasad semakin hari semakin lemah.”

“Aku tak ingin berada selamanya dalam benua ini Maya. Tolonglah selamatkan aku,” rayu Zak dengan suara getir. Ungkapan dan andaian Maya tadi menggalaukannya. “Aku tak nak mati sebelum waktunya. Masih terlalu banyak perkara yang perlu aku lakukan dan langsaikan. Tambahan pula, keluargaku masih perlukan aku untuk menyambung keturunan mereka. Kalau aku mati tentu abah akan berkahwin lagi untuk mendapatkan zuriat. Kesian kat umi.” Suara Zak kedengaran sedih.

“Aku tengah berusahalah ni,” kata Maya apabila berasakan tangannya didorong. Sehelai kertas kosong diambilnya lalu melakarkan beberapa nama. “Menurut Zurhan terdapat dua mangsa lagi yang tertinggal dalam nahas tu. Hirdyanna dan Aizat berada dalam kereta ketiga iaitu kereta yang telah terbakar lalu rentung. Sementara lelaki tinggi lampai yang awak nampak tu adalah pemilik kereta pertama. Sekarang, persoalannya ialah ke mana perginya penghuni kereta kedua? Awak sendiri pun nampakkan tiada sesiapa yang keluar dari kereta tu selepas ianya terhimpit ke tiang elektrik?”

“Ya Maya. Tapi tak taulah jika penghuni kereta kedua itu turut tercampak sebagaimana halnya aku sebelum terseret arah tiang elektrik. Manalah tahu mereka juga mengalami nasib yang sama denganku. Tercampak dan turut menyaksikan kejadian tersebut.”

“Masuk akal juga apa yang awak cakapkan tu. Okey kesimpulannya sekarang, dua mangsa hilang, tiga orang pula dijumpai maka semuanya lima orang. Sementara Zurhan pula menjadi saksi. Jadi maknanya enam orang semuanya.”

“Pelik sungguh macam mana Zurhan boleh berada di situ secara kebetulan. Betul-betul tak masuk akal. Aku berasa curigalah kat dia.” Maya tidak menjawab. “Aku bukannya nak menghasut kau. Ataupun sengaja memburuk-burukkan Zurhan tetapi tak salahkan cakap macam tu?”

“Memanglah tak salah. Dan... dan ke mana perginya lelaki tinggi lampai tu?”

“Agaknya lelaki tinggi lampai tu adalah Zurhan. Kan Zurhan pun tinggi lampai orangnya,” teka Zak. Maya angguk-angguk seraya berkata masuk akal juga.

“Tapi... tapi Zurhan masih hidup...”

“Manalah tau ada orang yang telah menyelamatkan dia selepas kejadian tu.”

“Mustahil. Kalau betullah apa yang awak bagitau aku dulu.. memang tidak masuk akal langsung jika lelaki tinggi lampai itu masih hidup. Bayangkan bagaimana keadaannya selepas dirempuh oleh sebiji kereta. Dahlah keretanya sendiri terbabas dalam parit. Lepas tu jasadnya pula dihentam kuat oleh sebuah kereta yang sedang meluncur laju. Awak rasa.. tak ke mampus orang yang kena langgar tu?” Maya menggeleng-gelengkan kepala dan segera beristiqfar.

“Betul juga apa yang Maya cakapkan tu. Mungkin lelaki tinggi lampai tu juga dah menemui ajal. Tapi persoalannya... mayatnya tidak dijumpai. Bahkan laporan dalam akhbar ni juga tidak menyebut sedikit pun mengenai dirinya. Walau bagaimana pun, mustahil pihak polis tidak mengetahui siapakah pemilik kenderaan yang terbabas tu.”

“Aku akan siasat perkara ni.”

“Macam mana kau nak siasat kalau asyik berkurung je dalam rumah ni?”

“Alah, aku tahulah nak buat macam mana. Engkau janganlah risau sangat.” Maya ke dapur sekejap untuk minum air kosong. Tekaknya terasa kering pula setelah berbahas dengan Zak.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.