Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 18


Sambil bersiul-siul, Johan mendaki anak tangga kerana tempat tinggalnya hanya berada di tingkat dua. Kala ini kotak fikirnya masih terisi wajah bujur sirih milik Maya. “Mesti Azhan ada hati kat si pelik tu selama ini,” bisiknya menjala prasangka. Tanpa diduga, dia berselisih jalan dengan Jiah dan Munira. “Hai!” sapanya mesra. Kedua gadis itu sekadar menebar senyuman. “Pergi mana?” Dikerlingnya Munira yang memakai baju tanpa lengan. Susuk tubuh gadis itu kelihatan menyerlah sangat.

“Kat kedai runcit,” jelas Jiah seraya meminta diri. Johan mengangguk dan tergesa-gesa menepi lantaran bimbangkan badan Munira yang agak gempal. Manalah tahu lorong tersebut tak cukup untuk Munira meloloskan diri. Senyumannya mengiringi pemergian kedua gadis tersebut. Dia hanya melanjutkan haluan setelah Jiah dan Munira lesap di mata.

“Mana Azhan?” Ferdy mengatupkan semula daun pintu.

“Tak tau. Dia pergi selepas mendapat panggilan telefon tadi,” beritahu Johan dan terus saja bergegas ke dapur. Dia mahu membasahkan rengkungnya yang terasa perit.

“Kamu tak nak bersolat Maghrib ke?”

“Wah! Awak dah semakin pandai sekarang yer.” Johan tersenyum-senyum. Pemuda tersebut sekadar menumpahkan secangkir senyuman. “Kejaplah.” Diselaknya pintu peti sejuk lalu mencari botol air miliknya. Dia terus saja memutar penutup lalu menggogok isinya.

“Rakusnya engkau ni,” seloroh Ferdy.

“Alah, mana ada lelaki yang tak rakus Fer. Awak ni buat-buat bodoh pula.” Johan mentertawakannya.

“Kereta Evo II kau tu dah okey ke?” Ferdy bermaksudkan kereta Kancil Johan.

“Belum lagi. Nantilah aku hantar kat kedai servis besok.” Pemuda itu beredar ke bilik tidurnya. “Hei letihnya,” keluhnya lantas menanggalkan baju dan melemparkannya arah bakul rotan. Namun lontarannya tersasar dan baju tersebut hanya tersepuk di perdu bakul. Dia ingin berwuduk dan menunaikan solat Maghrib. Sementara Ferdy pula sedang meninjau-ninjau isi peti sejuk. Hari ini gilirannya menyediakan hidangan malam.

Waktu ini Jiah dan Munira sedang sibuk bertanyakan lokasi Maya. Bunyi riuh-rendah dalam taman permainan kanak-kanak tersebut membuatkan kedua gadis itu beralih ke lokasi lain. Jiah terkejut setelah Maya menjelaskan lokasinya yang sebenar. Dia semacam tidak percaya apabila mengetahui Maya kini tinggal dalam kawasan perumahan mewah tersebut.

“Zak, apasal aku telefon Syah tak ada yang sambut?” aju Maya setelah terdengar suara deheman Zak berhampiran meja komputer.

“Tak tahu,” jawab Zak singkat. “Kenapa? Awak dah tak sabar nak tengok aku ke?” Tawanya berciciran.

“Ya. Aku memang dah tak sabar-sabar lagi nak tengok awak secara realiti. Aku nak tahu sejauh mana kebenaran kata-kata awak tu. Aku juga nak tengok muka Imelda.” Langkahnya dianjak semula arah meja komputer. “Aku juga nak tahu benarkah Imelda ada menjalin hubungan sulit dengan pak cik awak. Agaknya pak cik awak itulah lelaki gondok yang datang mengganggu aku kat stor tu. Cuba kau ingat muka pak cik awak,” suruh Maya sambil menarik kerusi tempatnya melabuhkan punggung.

“Aku dah cuba tapi masih gagal Maya. Maafkanlah aku.”

Maya merengus kasar. “Susah betullah awak ni. Benda kecil macam ni pun susah nak buat,” katanya kesal sungguh. “Ada masa nanti aku nak menceroboh masuk kat dalam bilik awak. Mesti awak ada menyimpan album berisi gambar-gambar keluarga awak.”

“Awak buatlah apa yang terbaik mengikut keperluan awak Maya. Kenapa awak tak masuk aje bilik aku tu sekarang?”

“Macam mana nak masuk kalau tak ada kunci? Syah pula menyepikan diri sama seperti Zurhan. Kazumi pula tak nak berhubung dengan aku lagi.”

“Macam merajuk je awak ni?” Zak mentertawakannya.

“Memanglah aku merajuk. Aku sakit hati dengan semua orang. Aku nak selesaikan misteri ni tapi aku tak tau mana nak mula,” rungut Maya dengan wajah rusuh. “Syah bagitau yang awak hanya menunggu waktu untuk permisi sekarang ini. Jadi ini bermakna masa untukku menyelamatkanmu sudah terlalu singkat.” Maya menarik nafas. “Aku tak akan dapat memaafkan diri seandai awak terus-terusan terpenjara dalam benua tu.”

Zak menghela nafas. Dia berasa terharu. “Terima kasih Maya kerana sudi membantuku meloloskan diri dari karma ini,” kata Zak perlahan.

“Kau cuma perlukan sedikit memori Zak. Kiriman yang Kazumi cakapkan tu pun belum tiba.”

“Kiriman apa pula tu? Maklumat yang kau cakapkan dulu tu ke?”

“Ya.” Maya menyandarkan belakang sambil menolak ke belakang rambutnya. Cermin matanya ditanggalkan. Entah mengapa dia berasa rimas dan berbahang sungguh. Dia kemudiannya bangkit lalu melangkah arah meja solek. Laci meja ditariknya dan seutas gelang getah diambilnya. Rambutnya yang kembang disikat sebelum dihimpun kemudian diikat satu. Tidak diketahuinya Zak sedang menikmati raut wajahnya ketika ini.

“Awak tahu tak kediaman ini amat menyeramkan? Kalaulah bukan kerana awak Zak, rasanya aku dah lama berambus dari tempat ni. Bukan sekali dua aku dihambat oleh hantu wanita berjubah dan lelaki gondok tu. Bahkan bukan sekali dua lohong telingaku disumbat dengan bunyi-bunyi ganjil termasuk suara ugutan tu. Aku takut Zak tapi aku tetap gagah diri untuk bertahan.” Tak tertahan Maya meluahkan apa yang terbuku di hati.

Zak mengeluh. Benaknya berserabut memikirkan kata-kata Maya. “Kenapa mereka berdua berada di sini Maya? Seingat aku, mereka berdualah yang menculik aku dulu.”

“Zak, cuba awak usahakan untuk mengingati apa yang telah berlaku sebelum dan selepas penculikan serta kejadian nahas tu?”

“Aku sudah ceritakan semuanya padamu Maya.”

“Takkan itu saja.” Maya tidak berpuas hati.

“Aku pun dah tak tahu nak ceritakan apa lagi Maya. Cuma itu saja yang masih bertahan dalam tempurung kepalaku.”

Keluhan Maya berdetasan. “Aku tak salahkan awak. Oh ya, kawan-kawanku ada menghubungiku baru-baru ini,” beritahunya.

“Agaknya mereka bimbangkan kau.”

“Ya begitulah. Hanya Jiah dan Munira kawan rapat yang aku miliki. Cuma mereka berdua saja yang sudi nak berkawan denganku.”

“Begitu rupanya. Mereka tu awak kenal kat mana? Maksud aku mereka berdua tu rakan sekampung ke atau pun...” Kedengaran suara Zak di sebelahnya.

“Mereka tak sekampung denganku. Aku mengenali mereka melalui kelas bahasa Inggeris kat Stamford College.”

“Awak ikut kelas bahasa Inggeris ke?” pangkas Zak. “Tak mengapalah, bila dah tercelik dari koma nanti aku akan ajar Maya sehingga jadi pandai,” kata Zak seakan memujuk. Maya tersenyum tatkala mendengar cadangannya.

“Betulkah awak nak ajar ni? Dengar cerita awak baru habis belajar kat oversea.”

“Siapa cakap? Ni mesti Syah ataupun budak Kazumi tu,” teka Zak cuba mengandaikan. Maya sekadar tersenyum. “Aku tak ingat apa-apa Maya. Mungkin memang benar aku baru menamatkan pengajian di luar negara dan mungkin juga semua itu tidak benar.”

“Aku akan cari buktinya Zak.” Maya bertekad. Mereka berdua berbual-bual lagi. “Aku letihlah Zak. Engkau janganlah pergi dulu sebelum aku terlelap ya.” Dia bangkit lalu memugar langkah hala katil.

“Okey. Maya usahlah risau... aku akan berjaga di sini sehingga besok pagi.”

“Janji tau.” Maya segera berbaring dan menarik selimut hingga ke paras dada. “Zak duduklah kat situ dan nyanyikan aku sebuah lagu.”

“Lagu apa? Maya takut ya?” duganya. Maya sekadar mengguman lalu mengatupkan kedua belah matanya. Entah mengapa dia berasa sungguh mengantuk. Almaklum, sudah beberapa hari ini tidurnya tak lena lantaran dihambat kejadian-kejadian yang menakutkan. Kehadiran Zak sedikit sebanyak berjaya mengusir segala ketakutannya. Dia berasa tenang dan selamat. Zak merenungnya.

“Nyanyilah...” suruh Maya amat perlahan. Zak mendecitkan hujung lidah dan cuba mengingat sebaris lagu. “Zak...” Suara Maya semakin berat.

“Okey. Hmm... lagu Nina Karina alias Maya.” Maya mengguman lalu tersenyum dengan kedua belah mata masih terkatup rapat. Tanpa bertangguh Zak segera menyanyikan lagu tersebut dengan vokal perlahan namun kedengaran mantap dan amat merdu.

Sebak di dada kulihat wajah.... Maya... puteri jelita

Menggunung kasih cinta pertama

Yang tersurat hanya bisikan semalam...

Kerasnya ombak mengusir pantai...

Memaksa pasir untuk berubah

Tidak hatiku adakah hatimu... walaupun pedih

Tanpa purnama malam gelita

Tanpa rahsia hilanglah takhta

Tanpamu bisakah aku setia....

Oh Maya....

Oh lupakah dia...

Cinta dan gelora kau hadiah untukku...

Tanpa purnama malam gelita

Tanpa rahsia hilanglah takhta

Tanpamu bisakah aku setia......

Dia hanya berhenti sejurus kemudian. Dilihatnya Maya sudah pun terlelap. Nafas dilepaskannya lantas bergegas ke birai tingkap. Pandangannya dilontarkan arah jalan raya. Dia terkejut apabila melihat sebuah kereta Honda tersadai di situ. Sementara pemilik kereta itu pula duduk bertenggek atas bonet depan. Lelaki itu seperti sedang termenung. “Zurhan,” sebut Zak perlahan. Dia cuba menarah ingatan untuk mengenal pasti Zurhan.

“Kenalkan... ini Zurhan...” Dia tersentak apabila suara Imelda kedengaran bergema dalam tempurung kepalanya. Mengetuk dinding ingatannya.

Kunjungan Jiah dan Munira sikit pun tidak memeranjatkan Maya. Dia seperti tahu-tahu saja kedua rakannya itu akan menjelanginya hari ini. “Badan Maya nampak susut sedikit. Siang malam Maya menulis saja ke?” tanya Munira sambil meneguk minuman tin yang disodorkan oleh Maya tadi. Maya tersenyum. Berusaha memadam kehambaran yang menghiasi wajahnya. Demikian juga letih yang bergenang dalam danau matanya.

“Kerja apa lagi yang termampu aku buat selain menulis Ira. Menulis ni kan dah jadi periuk nasiku. Aku tak nak mengharapkan sangat harta keluarga.”

“Walau macam mana pun Maya kena jaga kesihatan. Otak manusia ni macam jentera. Kalau dah rosak, susah nak baiki,” kata Munira bersungguh-sungguh. Jiah sekadar mengangguk tanda mengiakan.

Maya tersenyum kecil. “Jangan risaulah. Aku tak apa-apa. Hmm... Azhan mana? Dia tak ikut kamu berdua ke?” ajunya mengalih topik. Sekilas, tertangkap olehnya bayangan seseorang di dapur. Berderau seketika darahnya. Denyut nadinya jadi tak menentu. Dia sungguh terkejut namun diusahakannya untuk mengawal semua perasaan tersebut. Dia tidak mahu menumbuhkan syak wasangka kedua temannya dengan bersikap tak keruan. Cukuplah dengan keganjilannya sebelum ini. Namun Jiah dan Munira tidak sebodoh yang disangka. Perubahan ketara yang terpalit pada riak wajah Maya membuatkan mereka berdua terus saja menduga.

“Ada yang tidak kena ke dalam rumah ni?” Soalan tersebut bagaikan satu kejutan buat Maya. “Tak usah sorokkan apa-apa dari pengetahuan kami, Maya. Tak ada maknanya melakukan semua tu. Sebagai kawan, Maya kena berterus terang supaya senang kami nak membantu. Azhan tu pun turut bimbangkan Maya.” Jiah beria-ia benar.

“Seperkara lagi, kenapa sejak dua menjak ni Maya sering matikan telefon. Dah tu, kami call pun Maya tak jawab. Apa masalah Maya sebenarnya? Jiran-jiran Maya tu bersikap tak senonoh ke? Ataupun ada sesuatu yang amat merunsingkan Maya? Sesuatu yang mungkin terlalu peribadi dan tidak boleh dikongsikan bersama.” jerat Jiah lagi berusaha menjebak Maya.

Maya masih seperti tadi. Enggan mengupas hakikat sebenar bahkan turut menafikan punca kegalauannya. Jiah dan Munira berkelebat mata dan jawapan Maya tidak memuaskan hati mereka. “Maya, sebenarnya tujuan kami datang berkunjung ni sebab nak minta kebenaran untuk menumpang tidur kat sini.” Munira terpaksa berdusta setelah beberapa minit membatu. Jiah tampak terkejut namun tidak pula mengupas kata-katanya.

Pada fikirannya, tentu Munira ada sebab apabila tiba-tiba mengatur gerak-gempur seumpama ini. Maya hanya tersenyum mendengarnya malah berkata tiada masalah. “Mungkin selama seminggu ataupun beberapa minggu ni.” Munira melanjutkan dan Maya tetap berkata tiada masalah. “Betul ke Maya tak kisah? Maya kan suka menyendiri dalam rumah ni tanpa kehadiran sesiapa.” Gadis itu ragu-ragu.

“Memanglah. Tapi aku tak kisah jika kamu berdua nak menumpang buat sementara waktu. Kenapa dengan apartment kamu? Kamu belum bayar sewa ke? Nurul tak menyewa dengan kamu lagi ke?” soalnya bertalu-talu. Senyumannya terkuak di bibir. Dia gembira sebenarnya. Sekurang-kurangnya dia berteman selepas ini. Jiah mengangguk.

“Sebab itulah kami terpaksa menghilangkan diri sekejap. Supaya tuan rumah pun tak datang menagih hutang buat sementara waktu. Selepas seminggu ni, barulah kami ada duit untuk bayar sewa.” Munira menjelaskan dan Maya seperti percaya.

“Aku terpaksa ambil keputusan mendadak. Tiada cara untuk kita mengetahui masalah sebenarnya jika tidak terkebil-kebil di sini sepanjang hari,” bisik Munira sewaktu Maya permisi ke dapur. Jiah angguk-angguk tanda faham. “Kali ini aku nak tau apa sebenarnya yang berlaku pada Maya sepanjang penulisan karya mistik tu. Tambahan pula rumah sewa barunya ini besar dan selesa pula. Tak macam rumah sewa lamanya tu.”

Jiah mengulum bibir. “Habis? Kain baju kita macam mana?”

“Kita pergi ambillah petang ni. Kita ajak Maya sekali. Tentu Azhan pun teringin sangat nak berjumpa dengan Maya. Sekurang-kurangnya berpeluang juga Azhan dan Maya berulit kata walau hanya seketika.”

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.