Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 34

Sementara Jiah dan Azhan pula dalam perjalanan balik ketika ini. Tidak banyak yang mereka bualkan. Mungkin kerana masih dibayangi oleh wajah-wajah sedih milik ahli keluarga Munira. Mungkin juga kerana masih dihantui oleh isak pilu ibu dan kakak-kakak Munira.

“Kesian Munira. Dia menjadi mangsa kedua enigma ini.” Jiah menumpahkan isi hati.

“Dah ajal dia. Kita nak buat macam mana. Bukan salah serta silap Maya jika Johan dan Munira menjadi mangsa. Semua ini berlaku secara kebetulan. Kita pun tau syaitan sentiasa ada cara untuk menguasai diri dan pemikiran kita.” Keluhan Azhan terhembus. “Jom singgah minum. Lagi pun hari masih awal. Jangan-jangan Maya pun belum balik,” ajaknya sambil menyasarkan haluan kereta.

Jiah tidak mengiakan selain sekadar mengguman. Saat yang sama sebuah Subaru melintas deras menghala kawasan Sepanggar. Laju dan deras sungguh semacam sedang beraksi dalam litar lumba. “Jiah! Awak tak apa-apa?” Dicuitnya lengan gadis itu. Jiah terkejut lantas menoleh arahnya. “Apa yang awak pandang?” Dilihatnya muka gadis itu tegang sungguh seolah ada sesuatu sedang mengisar benaknya.

“Kereta Subaru tadi,” jelas Jiah sambil menunjukkan laluan bertentangan di sebelah.

“Kereta Subaru?” Jiah mengangguk. “Milik siapa?”

“Syah,” katanya sepatah. “Tadi Subaru tu melintas deras menuju ke Teluk Sepanggar. Deras sungguh hingga anginnya terasa menolak kereta ni. Awak tak perasan ke kereta ni terhinggut sedikit?”

Azhan menggelengkan kepala lantas tersengih. “Tak ada pun. Kereta ni biasa je sewaktu membelok tadi. Agaknya awak cuma berimaginasi. Kalau benar Subaru tu ada melintas tadi, mustahil deruman enjinnya tak kedengaran menggegarkan tempat ni.”

Jiah mencebik. “Tak mengapalah kalau awak tak percaya. Patutlah Maya malas nak berurusan dengan kau orang semua.”

“Mengapa pula begitu.”

“Sebabnya kamu bukan jenis yang mudah mempercayai cerita orang. Melainkan suka mempersoalkan. Kalau aku dah cakap macam tu... macam tu lah! Kenapa awak nak mempertikaikan dan mempersoalkannya lagi?” Jiah benar-benar tidak berpuas hati.

Azhan terdiam sejenak. “Janganlah marah pula.”

“Dahlah! Hantar aku balik!” bentak gadis itu kini meminta dihantar.

“Kita singgahlah dulu sekejap.” Menyesal pula rasanya kerana merosakkan mood gadis itu. Kini dia terlepas peluang untuk terus menggali rahsia Maya. Perbualan sebelum ini memang tidak mencukupi untuknya. Jiah menggelengkan kepala. Mukanya kian masam dan mulut terkatup rapat. Dia benar-benar hilang selera hendak membasahkan tekaknya. Apatah lagi mahu bertukar kata dan berulit wajah dengan Azhan.

“Hantar aku balik atau pun aku hantar awak balik.” Dia bertegas. Azhan menarik nafas. Dirasakannya Maya dan Jiah sama saja. Sensitif sangat dan panas baran. Sedikit pun tidak mahu bertolak-ansur walau kesilapan mereka hanya sebesar kuman. Mahu tidak mahu terpaksalah Azhan mengalah dengan menghantar Jiah balik. Tambahan pula motornya ada di rumah Maya. Maya pula tidak keluar dari bilik sewaktu ketibaan mereka berdua.

Dia enggan memperlihatkan batang tubuh dan mukanya kerana situasi ini hanya akan melambatkan Azhan di tempat ini. Mustahil Azhan tak mengambil kesempatan nak bersembang dengannya setelah melihatnya. Maka sebaiknya berkurung dalam bilik dan mengintai mereka berdua. Dilihatnya muka Jiah masam mencuka. Manakala Azhan pula seperti sedang tenat menanggung kegalauan. Entah apa benar yang meresahkan hingga berkhaifiat sedemikian rupa.

“Tak payahlah! Kalau Maya tak muncul itu bermakna dia sedang tidur,” cantas Jiah pabila Azhan menumpahkan kasadnya hendak singgah untuk berborak dengan Maya. Jiah kemudiannya bergegas masuk dan tidak mengacuhkan Azhan yang masih terhangak-hangak di luar. Azhan akhirnya beredar pergi setelah berputus asa.

“Ada hati nak ambil tahu hal orang tapi susah betul nak percaya cakap orang,” bebelnya sambil melangkah ke dapur. Dia ingin membasahkan rengkungnya yang terasa kontang. Selesai minum Jiah menyelinap ke dalam biliknya. Sempat tunaknya mengintai arah tangga menuju ke tingkat atas. Sunyi seolah tidak berpenghuni. “Maya tengah tidur agaknya,” andainya sambil melangkah masuk ke dalam bilik. Dia berasa penat sungguh.

Peluang ini digunakan Maya untuk bertanyakan sesuatu mengenai Zurhan. “Mesti Syah kenal sangat Zurhan berbanding Zak.” Syah yang duduk bertenggek atas Subarunya hanya melemparkan senyuman. Dia tidak segera menjawab melainkan bertele-tele dengan menyuakan topik lain. “Aku memang sibuk sekarang ni. Apapun, aku tak keberatan kalau awak nak ajak aku bersembang. Tambahan pula memang ada benda yang aku nak tanyakan kat kau.” Disorotinya muka Syah. Tunaknya dialihkan berselang seminit.

Teluk Sepanggar. Di sinilah mereka berdua berada ketika ini. Waktu ini bayu hanya berhembus perlahan. Namun kedinginannya tetap terasa menyengat kulit ari-ari. “Aku tak kenal sangat Zurhan Maya. Dia ahli baru dalam kelab Subaru. Dia seorang lelaki yang pendiam dan banyak menyimpan rahsia. Sebagaimana yang aku tahu dan aku beritahu dulu, dia dan Imelda pernah menyirat kasih. Dan dalam diam juga, Imelda menjalin hubungan dengan adik lelaki Tan Sri. Waktu yang sama, Imelda mengikat tali pertunangan dengan Zak.”

“Cantik sangat ke Imelda tu?” Ada kebencian dan kekesalan mengisi setiap puntung kata yang tercampak dari mulutnya.

Syah tersenyum. “Kuasa wanita terletak pada kecantikan, hujung lidah dan struktur tubuhnya. Demikianlah kiranya Imelda. Namun wanita itu kecundang setelah berdepan dengan Zak. Ternyata Zak bukan lelaki jenis pemuja atau mudah taksub terhadap kecantikan seseorang. Kerana kekalahan inilah Imelda memilih jalan singkat iaitu menyihir Zak. Hanya aku, Zurhan dan adik lelaki Tan Sri je yang tahu hal ini. Zak tak tahu apa-apa dan rasanya sampai bila-bila pun dia tak akan tahu walau sebenih pun rahsia ini.”

“Ya ke? Syah macam yakin sangat yang Zak tak tahu apa-apa. Dah berapa lama Syah tak berjumpa dengan Zak?”

“Sejak Zak koma dan terkedang kaku macam patung bernyawa.”

Maya menolak rambutnya ke belakang. Dia hilang kepercayaan terhadap keikhlasan Syah selepas menadah setempayan penjelasan dari Zurhan. Dia berasakan Syah hanya bermuka-muka dengannya dan Zak selama ini. “Semua kebenaran akan terbongkar jua Syah. Sampai bila mahu berselindung dan berlagak baik. Aku rasa kau lebih dari tahu di mana Zurhan berada sekarang. Bukankah kau salah seorang dari konco-konco Imelda?” Maya semakin berani. Tunaknya semakin tajam menikam.

Syah terkilan. “Apa yang kau cakapkan ni Maya? Aku tak faham.”

“Kau memang tak faham ke atau pura-pura tak faham?”

Wajah Syah mendadak merudum. “Kenapa dengan awak Maya? Apa masalah awak?”

Maya tersengih sinis. “Dulu awak cakap, Zurhan merajuk lantas menghilangkan diri. Walhal hakikat sebenarnya, awak dan Imelda telah menganiaya Zurhan. Kamu berdua termasuk seorang lelaki telah membunuh Zurhan.”

Syah terkejut. Mukanya mendadak bertukar warna. “Maya...”

“Aku tak perlukan kawan seperti awak, Syah. Semua tembelang awak dah habis terbongkar. Aku dan Zak dah tahu awak siapa sebenarnya. Awak dan Imelda bersekongkol dan ada pakatan sulit. Sebab itulah awak dan Imelda sengaja membiarkan lelaki yang tidak dikenali itu berada dalam rumah Zak. Apa sebenarnya tujuan awak, Syah? Awak nak tamatkan riwayat Zak ke?” tuduh Maya tanpa mengacuhkan lagi hati dan perasaan Syah. Dia hilang hormat dan kepercayaan selepas mengetahui keadaan sebenar. Syah tampak terkilan dan tergamam.

Tanpa sebenih kata, dia meloncat turun lalu melangkah setapak ke depan. Pandangannya dibiarkan berlabuh di dataran lautan. Entah apa benar yang sedang menggodek balang fikirnya waktu ini. “Semuanya kerana Imelda, Maya. Aku, Zurhan dan pak cik Zak memuja dan mencintai wanita yang sama. Daya tarikan yang ada pada dirinya terlalu kuat hingga kami bertiga gagal mengawal perasaan. Penyesalan itu pula hanya bercambah selepas semuanya berlaku dan menjadi satu tragedi.”

Maya tersenyum sinis. “Jangan samakan Zurhan dengan awak dan bapa saudara Zak. Hati Zurhan lebih mulia berbanding kamu berdua...”

“Mulia?” Syah ketawa terbahak-bahak. Riak wajah dan Tingkah-lakunya mendadak berubah. Didekatinya Maya lantas disentuhnya lengan Maya. Maya tiba-tiba berasakan dirinya melayah deras ke udara. Menembusi lapisan-lapisan berkabus yang hitam bukat. Maya kemudiannya tiba ke sebuah tempat. Ia seperti sebuah belantara yang dipenuhi pokok-pokok yang kaku tidak bernyawa.

Dan rasanya Maya pernah mengunjungi lokasi ini suatu ketika dulu. Lokasi di mana dia ternampak wanita berjubah sedang melayah deras menuju arahnya. Waktu itu dia dan Zak sudah pun menyibak tirai perkenalan. Dan kerana terdesaklah dia mencicirkan ayat-ayat berbau rayuan. Dia benar-benar berharap supaya Zak datang melepaskannya dari kekal terkurung dalam belantara ini.

Maya berasakan dirinya seperti tercampak atas hamparan rumput. Sebagaimana dulu, kali ini Maya turut ternampak setitik cahaya yang semacam bara api dari kejauhan. Kerana seriklah Maya tidak menguak langkah. Dia hanya terpaku di tempatnya dan hanya tunaknya menggelintar. Mengintai semua ceruk yang kelam dan usang. “Maya, macam mana awak boleh berada di sini?” sapa satu suara. Ia semacam milik Johan. Maya menoleh ke belakang dan sesusuk tubuh kelihatan berselindung di sebalik pokok.

“Baliklah Maya.” Maya terkejut pabila terdengar suara Munira pula. Bulu tengkuknya spontan menyangkak. Dia berasa amat takut sekali. Setahunya Munira dan Johan dah permisi. Sudah disumbat ke dalam liang lahat. Maya terus mencari-cari dan terperanjat apabila ternampak sekujur tubuh yang agak gempal tercancang di depan. Lembaga itu bergerak sedikit-sedikit ke arahnya. “Amirul pun ada di sini Maya. Kawan-kawan awak yang lain tu pun ada. Mereka hidup berkeliaran di tempat ini Maya...”

Maya berundur apabila suara itu semakin dekat. Demikian juga pemilik suara lirih itu. “Jangan ganggu aku Ira,” bisik Maya terus saja berundur ke belakang.

“Awak harus bertanggungjawab Maya. Semua ini diangkarakan oleh awak.” Maya berpaling ke belakang pabila tertangkap suara Johan. Dilihatnya lelaki itu kini berada sejauh tiga jengkal darinya. Situasi tersebut melumpuhkan pergerakan Maya. Maya mengalihkan pandangan hala depan dan terperanjat apabila melihat mayat Munira sudah pun tercancang sebatang di depannya. Maya memandang arah lain kemudian melarikan diri. Pelik. Dia tidak ke mana-mana melainkan berlari setempat. “Awak nak pergi mana lagi Maya?” Johan ketawa lirih. Bunyinya agak sumbang dan bergema-gema.

“Maya! Mayaa!” Maya tersentak dan terus saja bangun dengan mata terbeliak. “Awak okey ke?” Suara Zak berjaya menenangkan Maya. Maya tidak berkata apa-apa melainkan beredar ke kamar mandi untuk membasuh mukanya. Selepas itu dia berganjak ke birai tingkap. Nampaknya hari dah malam. “Maya bermimpi tadi,” kata Zak perlahan. Dia semakin kerap berada di situ selepas ingatannya dah pulih sedikit.

“Ya. Aku bermimpikan Syah.” Nafasnya dihela. “Jiah masih kat bawah atau dah keluar semula?”

“Dia ada kat biliknya. Maya berehatlah dulu.”

“Gambar Imelda tu aku belum tengok. Nantilah aku tengok,” beritahu Maya apabila teringatkan gambar tersebut. “Aku terlupa sebenarnya.” Dihampirinya meja komputer lalu menghidupkan PC. Dia ingin menulis dan mahu menurapkan pengalaman tadi ke dalam karyanya.

“Tak mengapa. Maya bermimpi buruk ke tadi?”

“Ya. Aku tercampak dalam sebuah belantara yang dihuni oleh hantu Johan dan Munira. Mereka yang lain turut berada di situ.”

“Siapa?”

“Tak tahu. Munira yang cakap macam tu. Katanya mereka yang lain juga berada di situ.” Keluhan Maya bersepai. “Aku termimpikan Syah. Dia bagitau bahawa selain Zurhan dan pak cik awak... dia juga memuja dan mencintai Imelda. Bahkan dia turut bagitau aku hanya dia dan Zurhan saja mengetahui awak telah disihir oleh Imelda. Tetapi rahsia ini mereka tidak bongkarkan.”

“Mungkin perkara inilah yang hendak disampaikan oleh Zurhan kepadaku. Dia mahu aku tahu bahawa aku telah disihir oleh Imelda. Sungguh aku tak sangka Imelda begitu terdesak hingga tergamak melakukan perbuatan syirik. Dia tak tahu ke hukum-hakamnya menduakan Allah?”

“Dia tu bodoh. Otaknya singkat,” cemuh Maya pula kejengkelan. “Zak rasa Imelda tu masih hidup ke atau dah lama mampus?”

“Entahlah Maya. Aku hanya akan dapat memastikannya selepas terjaga dari koma nanti.” Keluhan Zak berterabur. “Okeylah Maya. Aku keluar dulu. Awak menulislah. Bila dah sedar nanti aku nak baca nukilan awak.” Berselang dua saat kedengaran derap kaki Zak menuju ke luar. Maya tersenyum senang. Sejak dua menjak ni, dia berasakan hubungannya dengan Zak semakin rapat. Walau pun Zak wujud sebagai halimunan, namun Maya dapat merasakan kewujudan Zak dalam rumah ini. Sambil menyebut nama Zak, Maya membuka fail berisi manuskrip-manuskripnya.

Dicarinya tajuk Maya Mistik seraya membukanya. Nampaknya karangan tersebut sudah mencecah 400 muka surat. Sambil mengemudikan jentera fikir, Maya memulakan karangan. Peristiwa yang berlaku dalam mimpinya diturap semula ke dalam karyanya. Tiada apa yang tercicir walau secebis cerita. Sejam berlalu dan kekusyukannya menulis membuatkannya terlupa akan Jiah yang bersendirian di bawah.

“Kejap,” katanya perlahan selepas terfikir nak bersembang dengan Jiah. Dia mahu menghabiskan dulu satu muka surat sebelum berganjak ke tingkat bawah. “Lebih baik aku habiskan dulu bab ni. Alang-alang tinggal tiga muka surat lagi. Bagus habiskan,” bisiknya lagi sebagai alasan dan cadangan.
Previous: Bab 33
Next: Bab 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.