Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 30

Maya masih bengang. “Apa benar yang kamu berdua fikirkan hingga nekad mengekori kami?” soal Jiah sambil meletakkan empat tin minuman sejuk. Dikerlingnya kedua pemuda itu silih berganti. “Cara kamu berdua ni menyusahkan kami tau tak?” lanjutnya semacam tidak berpuas hati. Sikap kedua mereka yang terus membisu seribu bahasa membuatkan gadis itu kejengkelan. “Penyibuk,” cicirnya sewaktu mendaratkan punggung.

“Nasib baik Amirul bagitahu. Kalau tak, agaknya malam ni mereka berdua tidur meringkuk kat hutan puaka tu.” Maya mencebik. Tiada senyuman terutus dari bibirnya. Selain berasa marah, dia juga dibelasah kebimbangan. Ayat-ayat terakhir yang tertumpah dari mulut Amirul senja tadi membuatkannya diketuk kegalauan. Terbayang-bayang olehnya siapa pula yang akan menjadi mangsa wanita berjubah itu selepas Johan.

Azhan dan Ferdy berkelebat mata. “Siapa Amirul tu?” tanya Ferdy setelah sekian lama membatu. Sementara Azhan pula tidak bertanya apa-apa kerana serasanya, dia sudah pernah mendengar nama tersebut terlucut dari mulut Maya.

Jiah mengetap bibir. “Tahu pula kamu bertanya siapa Amirul?” perlinya. Tin minuman yang dihidangkannya tadi dicapai satu. “Rasanya kamu tak perlu tahu siapa Amirul.” Sengaja dia berkata begitu untuk menjaga hati Maya. Dia tidak mahu menambahkan lagi bahang kemarahan gadis itu dengan merinci latar belakang Amirul. Lebih-lebih lagi jika tanpa izin Maya. Pada fikirannya, hanya Maya berhak menuai penjelasan mengenai pemuda misteri tersebut. Air muka kedua pemuda itu menjelaskan isi hati mereka terhadap keputusan Jiah. Lantas pandangan mereka mudik hala Maya.

“Amirul tu hantu. Seorang lelaki yang telah lama permisi dari dunia nyata dan hanya kami berdua saja yang boleh melihatnya,” ujarnya berbohong. Azhan dan Ferdy terperangah. Dengan muka semacam tidak percaya, Ferdy menekat selembar pertanyaan.

“Tak usahlah awak sibukkan hal Amirul. Dia tiada kena-mengena dengan awak mahu pun Azhan,” sampuk Jiah.

“Agaknya bayang-bayang yang dilihat oleh Fer adalah miliknya.” Azhan terus saja mengandaikan. Ternyata tekaannya menyentakkan Maya. Demikian juga Jiah. Ferdy tidak mengulas apa-apa.

“Tak mungkin.” Gadis itu bingkas dan menapak arah tingkap. Fikirannya berkecamuk memikirkan semua perkara termasuk babak ngeri yang bakal menimpa. Bakal terpentas dalam takdirnya. “Tak mungkin bayang-bayang tu adalah milik Amirul. Aku tak percaya,” katanya lagi sambil menggeleng-gelengkan kepala. Ketika ini hari dah pun menginjak malam. Suasana di luar sedikit gelita.

“Maya...”

“Aku sama sekali tak percaya lembaga yang menyorok di belakangku itu adalah Amirul. Amirul tu kan masih hidup. Masakan pula dia boleh menjelma sebagai hantu pula.” Kali ini ekor matanya menimpa Jiah. Ternyata ayat yang baru disusunnya itu telah memangkas hasrat dan rancangan Jiah.

“Kau cakap tadi Amirul tu dah mati kan?” Bingung pula Ferdy dibuat Maya dan Jiah.

Azhan merapikan duduk. “Mana satu yang betul ni? Amirul tu manusia ke atau pun hantu sebenarnya?” Meremang pula bulu tengkuknya pabila angin tiba-tiba berhembus lalu menjilat mukanya. Sempat dkerlingnya pintu utama yang ternganga luas. Kelihatan langsir yang terhimpun di kiri kanan pintu tersebut mengerbang tatkala diranduk angin. Pada masa yang sama, Maya seperti ternampak kelibat seseorang di seberang jalan iaitu di luar pagar rumahnya.

“Budak Amirul tu belum mati sebenarnya.” Terpaksalah Jiah menjawab pabila terintai gelagat Maya. “Dia tu kenalan kami dan tinggal di sekitar tempat ni,” sambungnya dan segera melontarkan pertanyaan melalui isyarat muka kepada Maya. Maya yang hanya memandang seketika ke arahnya tidak berkata apa-apa. Jiah tidak berpuas hati. Baginya, mesti ada sesuatu yang sedang berlaku di luar sana sekarang ni. Jika tidak masakan riak wajah Maya tiba-tiba berubah.

“Temankan aku kat dapur sekejap,” pintanya dan mujurlah Maya tidak keberatan. “Apa yang Maya nampak kat luar?” suanya berbisik.

“Kelibat orang,” jawab Maya dua patah.

Jiah terkejut. Pandangannya kian tajam. “Siapa agaknya ye?” Maya angkat bahu.

“Orang tu hilang selepas beberapa saat. Yang aku risau sekarang ni ialah giliran siapa selepas Johan.”

Jiah tersentak. “Kenapa dengan Johan?”

“Johan dah meninggal.”

Jiah terkejut. “Kat mana? Laut ke?”

Maya mengangguk. “Dia dan ayahnya pergi menangkap ikan malam semalam.” Jiah menarik nafas. Wajahnya bungkam. “Tadi Amirul tanya, aku dah dapat ke petanda kedua sesudah petanda pertama dulu? Bahkan dia sempat menyuruh aku supaya lebih berhati-hati.”

Jiah berubah tegang dan semakin kewalangan selepas tersantap penjelasan tersebut. “Maya janganlah takutkan aku pula,” katanya sambil meraba tengkuknya. Azhan dan Ferdy yang masih tersadai di ruang tamu berpandangan. Mereka hairan pabila terdengar kedua gadis itu berbisikkan di dapur..

“Nampaknya mereka berdua menyorokkan sesuatu dari pengetahuan kita,” bisik Ferdy kekesalan. Jika diikutkan hati, dia mahu berkongsi segala cerita dengan kedua-dua gadis tersebut. Dia tidak mahu tertinggal walau secebis pun cerita.

“Maya memang begitu.”

“Aku tak puas hatilah dengan dia tu. Kita bermati-matian nak tolong dia keluar dari kepompong masalah ini. Tapi dia macam nak tak nak je.”

“Suka hati dialah nak terima ke atau tidak. Kita jangan paksa dia sebab dia tu bukanlah jenis yang suka dipaksa.” Ringkas saja jawapan yang diberikan Azhan. Rasanya dia lebih mengenali watak dalaman dan luaran Maya berbanding Ferdy. Ferdy tidak berkata apa-apa lagi. Walau di hati bercambah rasa tak puas hati namun dipendamkannya saja. Usai berbisik, Maya dan Jiah beriringan keluar. Tiada senyuman tersangkut di bibir mereka sekalipun telah sesuku berlalu. “Lama nampak.”

“Suka hati kamilah nak berlama-lama kat dapur. Tak payah nak ambil tahu. Cukuplah peranan kamu berdua sebelum ini. Jangan nak menyibuk lagi,” tempelak Jiah pula. “Bila kamu berdua nak pergi?”

“Mengusir nampak.” Sengih Azhan berubah pahit. Dikerlingnya Ferdy yang semakin berasa tak selesa. Almaklum, pemuda itu mengharapkan kerjasama dan bukan sikap dingin seperti ini.

Jiah mengguman. “Tahu tak apa. Lagi pun hari dah nazak benar. Takkan kamu berdua nak tidur kat sini pula,” ujarnya kian sinis. Maya tidak berkata apa-apa. Dibiarkannya saja Jiah berkata sesuka hati. Azhan dan Ferdy berulit pandang. Mereka berdua kemudian memandang Maya serentak. Sinar mata mereka seperti menuntut segeluk bicara. Maya angkat bahu dan meletakkan alasan nak berehat. Keluhan Ferdy terpancut. Dia berasa kecewa dan mengandaikan Maya memang tidak sudi berkongsi semua cerita.

“Nak buat macam mana. Orang dah tak sudi,” tingkahnya sewaktu mengangkut punggung hala pintu. Nada suaranya menjelaskan kehampaan. Maya dan Jiah tidak mengendahkan rungutannya. Lagi pun tiada apa yang hendak disimpatikan.

“Kami meminta maaf fasal kejadian tadi. Kami juga tak sangka tindakan tu telah menyusahkan kamu berdua.” Azhan sempat menitipkan kemaafan sebelum meminta diri.

“Meluat pula aku tengok Ferdy tu. Sibuk benar,” bebel Jiah selepas kedua pemuda itu pergi. Maya tidak segera menjawab kerana sedang sibuk mengatupkan semua langsir. “Kelibat tadi muncul lagi ke?” suanya pabila melihat Maya terhendap-hendap di tebing tingkap. Maya menggeleng.

“Aku bukannya nak mengendap kelibat tu.”

“Habis tu engkau mengendap siapa?”

“Tiada siapa-siapa. Sekadar mahu memastikan Azhan dan Ferdy tidak berpatah semula. Pelik aku tengok Ferdy tu. Sibuk sangat nak ambil tahu hal aku.” Punggungnya dilabuhkan.

“Aku lagilah rasa pelik bercampur hairan. Dah tu mengeluh-ngeluh pula depan kita berdua. Heh perangai lelaki tu buat aku geram je tau.” Jiah mencebik. Saki-baki minumannya diteguk. Mereka berdua membatu sejenak. “Maya dah dapat ke petanda kedua tu?” Maya menggeleng. Setin minuman diambilnya. Terasa kontang pula rengkungnya setelah agak lama menahan dahaga. “Harap-harap bukan giliran aku.”

Suara Jiah hampir tidak kedengaran. Maya enggan mengulas. Saat ini dia sedang mengimbas semula semua babak-babak yang telah dilaluinya sepanjang minggu ini. Jiah juga tidak berkata apa-apa. Dia sebenarnya keletihan memukat kata. Maka sebaiknya membisu dan memikirkan hal lain. “Kau dah buka ke telefon tu?”

Maya terkejut apabila diajukan soalan tersebut. “Belum. Nantilah besok.”

“Kenapa tak buka je sekarang? Aku pun nak tengok juga.”

“Sabarlah. Masih banyak masa. Lagi pun pemilik telefon tu dah mati. Nanti hantunya datang kalau kita buka telefon tu malam-malam macam ni.” Sengaja Maya berkata begitu untuk menakutkan Jiah. Dia tidak mahu terus-terusan didesak begitu. Baginya, semua itu adalah urusannya dan Jiah tidak layak campur tangan. Jiah tidak berkata apa-apa lagi lantaran berasa seram.

Previous: Bab 29
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.