Home Novel Seram/Misteri ANTOLOGI MISTIK JEMBALANG : PENUNGGU RUMAH PASUNG
ANTOLOGI MISTIK JEMBALANG : PENUNGGU RUMAH PASUNG
JESSY MOJURU
17/12/2014 23:45:51
14,187
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Senarai Bab
BAB 3

09:15 Malam


Rini bangkit lalu merapati Que. “Lepaskan diri abang dari kekangan rahsia silam tu. Maka semua misteri ini akan ternoktah, bang.” Que menggigit bibir. Bosan sungguh rasanya apabila disogok perkara yang tidak diketahui hujung pangkalnya.

“Rahsia apa yang awak nak aku hebahkan?”Diliriknya Rini.

“Abang lebih dari tahu pasal tu.”

“Kerana aku tidak tahulah, aku bertanya.” Suara Que berubah kasar. “Beritahu aku supaya aku tahu,” pintanya berusaha mendatarkan suara. Dia benar-benar tertekan, Jika boleh, dia tidak mahu berkasar dengan gadis itu. Buat masa ini, hanya gadis itu sahaja pilihan yang ada untuk dijadikan teman bicara. Dia tidak mengenali sesiapa di sini.

Rini tidak keruan dan kelihatan serba salah. “Boleh tak awak tolong aku?” pintanya selang beberapa saat.

“Nak tolong apa?” Rini bingung.

“Tolong supaya aku boleh ingat perkara yang berlaku sebelum ini.”

“Rini memang nak, tapi masalahnya Rini tak mampu.”

“Kenapa pula tak mampu?” Sebal pula rasanya. “Awak perasan tak? Awak banyak berdolak dalih, tahu tak?” Que berang. Mukanya berubah masam.

“Rini bukan berdolak dalih.Tetapi memang pun Rini tak tahu apa-apa,” kata Rini dengan muka seolah tidak bersalah.

“Jika begitu, macam mana aku nak huraikan rahsia yang awak katakan tu? Macam mana aku nak tamatkan cerita ni? Cuba awak jelaskan macam mana caranya untuk keluar dari kemelut ni?” Que benar-benar bosan.

“Rini pun tak tahu.”

Que mencebik. “Itulah pasal, jangan suruh aku huraikan apa-apa kalau awak sendiri langsung tak membantu.”

“Maafkan Rini, bang.”

Que mengguman kasar. Langkahnya dihela ke arah bangku. ”Sudah berapa lama aku berada dalam rumah ni? Sejakjam 7 lebih tadi atau dah lama sebenarnya?” Punggungnya dihenyak.

“Sekitar jam 7 tadi, bang?” Rini meningkahnya.

“Siapa yang hantar aku kat sini?”

“Rini tak tahu. Sebenarnya, abang dah pun tercongok di sini sewaktu Rini sampai.” Gadis itu menjelaskan. “Abang tak ingat apa-apa ke?”

Que menggelengkan kepala. “Rongga kepala aku kosong. Tiada sekepal pun memori tertinggal di dalamnya. Aku tak tahu siapa aku? Kenapa aku berada dalam rumah ni dan siapa menghantarku ke sini? Aku juga tak tahu awak siapa?” Tunaknya menghempuk muka Rini. Rini melarikan pandangan. “Lagi aku pelik... rumah ni berhantu.”

“Berhantu?”

“Ya! Berhantu!” Pemuda itu jadi geram kerana nada suara Rini seperti mempertikaikan dakwaannya.

“Rumah ni tak ada hantulah bang.”

“Sudahlah Rini! Jangan nak lekehkan aku.” Que meradang. “Tadi, aku ternampak batang-batang tubuh yang dah rentung.Bergelandangan kat luar tu. Lepas tu aku terdengar suara hantu berbual-bual.”

“Apa yang mereka bualkan?”

“Entah. Aku pun tak faham.” Que angkat bahu. “Hantu terakhir tu pula adalah seorang perempuan berambut panjang.” Rini segera mengangkat tangan, menyuruh Que berhenti. Cerita tersebut membuatkannya berasa seram amat sangat. “Aku tak perduli sama ada awak takut ataupun tidak. Sekarang ni, aku cuma nak cerita apa yang patut aku jelaskan.”

“Tapi...” Rini keresahan.

“Aku nak awak tahu apa yang aku lalui, aku nampak kat dalam rumah ni,” katanya bertegas. Dia sebenarnya bosan apabila gadis itu asyik menafikan kewujudan benda-benda mistik dalam rumah buruk ni. Disorotinya muka Rini sejenak. Dilihatnya gadis itu seperti bimbangkan sesuatu. “Awak takut ke?” suanya sengaja mahu menduga.

“Ya. Rini memang takut.”

“Jadi? Kenapa awak masih enggan mempercayai cerita pasal hantu tu?”

“Sebabnya, abang belum pun sehari berada dalam rumah ni. Sedangkan Rini pula, sudah bertahun berada di sini. Tapi tak pernah sekalipun Rini melihat benda-benda tu tercongok kat tempat ni. Jelasnya, Rini tak pernah mendapat gangguan.”

“Barangkali Rini bukan sasaran mereka. Rinikata, aku menyimpan sejumlah rahsia kan? Pada fikiran aku, ada kemungkinan rahsia yang Rini maksudkan tu berkait rapat dengan benda-benda halus tu.” Que cuba meneka. Rini mengangguk tanda bersetuju. Mereka berdua membatu seketika. Masing-masing cuba mencari jalan keluar dari terus-terusan dibesit misteri tersebut. “Rini tahu tak apa-apa pasal keluarga aku?”

“Rini tak tahu bang. Tapi mustahil abang tak ingat?”

“Itulah masalahnya, abang tak ingat apa-apa.” Que berasa tertekan. “Kalau boleh, abang nak bergantung harap pada Rini.”

Rini memandangnya seketika lantas mengeluh. “Maafkan Rini, bang. Rasanya abang hanya membuang masa jika cuba berharap pada Rini. Rini pun tak tahu macam mana nak tolong abang.”

“Aku tak perduli. Yang aku tahu, awak mesti tolong aku.”

Rini mengulum bibir. Dia melangut seketika. Dicerlingnya Que apabila berasakan lelaki itu masih memandangnya. “Abang buat Rini bingung.” Keluhannya bertebaran. Dia memandang arah lain sebelum memandang Que semula. “Hantu yang abang nampak tu ada mengatakan apa-apa ke?” risiknya ingin tahu.

Que mengangguk. “Hantu tu cakap...kenapa tinggalkan dia?”

“Rini dah faham.” Rini mula serius.

“Apa yang awak faham?” soalnya turut serius. Mereka berdua tersentak apabila pintu rumah tiba-tiba terbuka luas.Seolah ada seseorang yang telah menolaknya dari luar.


RINI terpekik apabila mentol lampu tiba-tiba meletup. Suasana bertukar gelap gelita. Que yang masih dibayangi imej hantu perempuan berambut panjang mula menggeletar. Dia jadi takut dan lemah longlai. Segala bayangan mengasak serentak dinding fikirnya. Kewujudan Rini di situ, sedikit pun tidak membantu untuknya pulih dari dihambat ingatan menyeramkan itu. “Bertenanglah,” bisiknya apabila Rini merapatinya.

“Rini takutlah bang.” Gadis itu berbisik. Dilihatnya batang tubuh Que bagaikan lembaga hitam tidak berwajah. Pemandangan tersebut menaikkan bulu romanya.

“Paksa diri awak supaya bertenang.” Que cuba berlagak berani. Langkahnya diatur perlahan ke arah pintu yang terpokah. Rini pula berjalan teragak-agak di belakangnya. “Cuba padam semua ketakutan awak tu,” suruhnya berbasa basi.

“Jari-jari abang sejuk,” kata Rini pula apabila terpegang jemari Que. “Ni mesti abang pun takut macam Rini kan?”

“Takut adalahsifat normal. Sekarang ni, kita berdua kena paksa diri untuk mengawal ketakutan tu. Perasaan tu tak boleh dibiarkan menular, nanti buruk padahnya.”

“Benda tu boleh membunuh ke bang?” bisik gadis itu perlahan.

“Pasal tu aku tak tahu,” kata Que ikhlas. Dibiarkannya Rini memegang bilah jari jemarinya. Dia amat berharap agar perbuatan tersebut dapat menenangkan gadistersebut.

“Kita nak ke mana?”

“Kat luar. Tempat tu terang sedikit berbanding kat dalam ni.”

“Kalau ikutkan hati, Rini tak mahu tercongok kat dalam ni. Tapi Rini juga tak nak tercancang kat luar. Rini takut.”

“Kita tiada pilihan. Kat dalam ni gelap sangat. Dekat luar tu okey sikit.” Que terperanjat apabila ternampak sebatang tubuh berdiri di sebalik belukar. Ketika ini, dia dan Rini sudah berada di hujung tangga. “Bagitahu aku kalau awak ternampak sesuatu.”

“Contohnya?”

“Benda aneh atau apa-apa saja yang membuatkan awak seram.”

“Okey.” Rini hairan apabila Que hanya berdiri di situ. “Sampai di sini saja ke?”

“Ya. Dekat rumput tu banyak nyamuk.” Demikian alasan yang disajikan oleh Que. Punca sebenar, dia risaukan susuk tubuh yang dilihatnya masih tercongok di sebalik belukar. “Tak sangka, hantu pun pandai menyorok kan?”

“Maksud abang?”

“Tak ada apa-apa maksud. Saja mahu berbual dengan awak.”

Rini sekadar berdehem tanda mendengar. Pandangannya dibiarkan merewang ke semua arah. “Sampai bila kita berdua nak berdiri dekat sini, bang?”

Ternyata soalannya menyedarkan Que mengenai sesuatu. “Entahlah.”

“Abang kena fikirkan sesuatu. Kita tak ada mentol baru untuk gantikan lampu yang dah rosak tu.”

“Aku tahu.” Que termenung seketika.

“Abang?” Rini menggerakkan lengan Que selepas 10 minit berlalu. “Abang dah fikir ke macam mana caranya?”

“Dah. Tapi masalahnya kita tiada pemetik api untuk menghidupkan unggun.”

“Maksud abang... abang nak buat unggun api kat sini ke?”

“Ya.” Que semakin curiga apabila melihat susuk tubuh misteri itu masih mengendap mereka berdua. “Rumah buruk ni kosong tidak berisi apa-apa. Kenapa mereka hantar aku kat sini tanpa bekalan makanan? Beg pakaian pun aku tak nampak.”

“Mungkin pasal abang tak lama kat sini?” Rini meneka.

Que mengeluh. Dia masih tidak berpuas hati. “Aku masih tidak faham apa sebenarnya yang sedang berlaku? Kenapa aku dihantar ke sini dan dibiarkan terkapa-kapa hingga malam?”

“Abang sakit.”

“Bodohnya mereka. Kenapa mereka berani tinggalkan orang sakit kat sini? Apa yang mereka fikirkan hingga tergamak bertindak begitu?” Que semakin tidak berpuas hati. Rini tidak berkata apa-apa. Ternyata kata-katanya tadi menaikkan suhu hati Que.

“Mungkin mereka ada alasan dan sebab yang munasabah.” Rini tidak serik meneka. Que hanya memandangnya dalam kesamaran malam. Lelaki itu tidak berkata apa-apa selain termenung.

“Rini.” Haluan mukanya kembali menghadap Rini. Rini memandangnya dan bertanya kenapa. “Aku tak faham. Aku sakit apa sebenarnya ya?”

Rini angkat bahu tanda tidak tahu. “Setahu Rini, abang berada dalam hospital selama ni.” Dahi Que berkerut. Penjelasan tersebut menyentakkannya.

“Takkan aku sakit jiwa pula?” Mukanya merudum. “Sungguh tak masuk akal.Awak nampak aku normal,bukan?” Anggukan Rini adalah satu kepastian dan jawapan untuknya.


10:07 Malam.


ENTAH, sejak bila Rini terlelap di sebelahnya. Gadis itu tertidur dalam keadaan masih duduk. Quebingkas lantaran bosan dihendap lembaga misteri yang masih terhangak-hangak di sebalik belukar. “Awak ni hantu ke apa?” bisiknya lantai mencapai sebatang kayu buruk. Dia hampir tersungkur di depan apabila kaki kirinya tersangkut tumbuhan menjalar. Que sempat berkata celaka sebelum menggerumukkan tubuh.

Ditimangnya batang kayu yang dipegangnya seraya berfikir. Dia teragak-agak mahu meneruskan kasadnya. “Ah.. lantaklah,” ujarnya lantas meneruskan perjalanan. Dia tahu, tindakannya hanya sia-sia jika lembaga yang hendak diserangnya itu adalah hantu. Que menelengkan kepala apabila terdengar suara berbisik-bisik. Suara tersebut seolah datang dari arah belukar di mana lembaga aneh itu menyorok.

Kedua kening Que bercantum. Dia berasa hairan kerana suara-suara tersebut seperti milikorang yang sama. Bahasa pertuturannya juga amat jelas dan mudah difahami. “Tak mungkin lembaga tu adalah manusia,” bisiknya tanpa suara. “Dalam alam ini, hanya aku dan Rini manusia. Selebihnya pula hanyalah kelibat-kelibat hantu,” tukasnya cuba meyakinkan diri.

Dia harus memaksa diri untuk percaya bahawa dunia ini hanya dihuni olehnya dan Rini. Langkahnya tergencat sewaktu mahu menyelit ke dalam belukar. Rentak tari nafasnya bersipongang tatkala melihat satu kepala terjengul di situ. Kepala yang muncul dari perdu belukar puar itu kinimendongak ke arahnya. Matanya yang hitam berkilat mengingatkan Que kepada hantu perempuan berambut panjang.

Tiba-tiba kepala itu mengangakan mulut luas-luas. Gigi-giginya yang berceruak tajam mengerikan Que.Que mengundur dan jatuh terbongkang di belakang pabila terlanggar sesuatu. Dia terkejut bila tertangkap bunyi ranting-ranting patah dipijak. Lantas menoleh namun satu benda terlebih dulu melayah deras ke mukanya hingga terteleng. Que tersungkur pengsan.

Lembaga legam yang berdiri di belakangnya berkalih dan memandangnya seketika. Sejurus, lembaga itu mula mengheret tubuh Que ke hujung tangga. Lembaga itu berhenti dan menanti.Sesusuk tubuh muncul dari sebalik belukar dan terkocoh-kocoh mendapatkan lembaga tersebut.

“Herman, kenapa aku seperti kenal orang ni?”

“Cepatlah. Jangan buang masa. Kita kena kembali ke hujung jalan untuk mengambil Zaidi.”

Mereka berbisik dalam nada perlahan. Gelagat mereka berdua seolah sedang membincangkan sesuatu. Tanpa bertangguh, lembaga itu memanggul tubuh Que lalu membawanya naik ke atas rumah. Sementara rakannya pula mendaki anak tangga dan terkejut apabila terdengar desahan nafas milik Rini. Rini yang baru terjaga segera menyorok.

Matanya mencerun, cuba menembusi kepekatan malam. Dia berasa hairan apabila melihat tubuh Que berada dalam genggaman kedua lembaga misteri tersebut. “Siapakah mereka?” getusnya tanpa suara. “Mereka nak buat apa kat Que?” Benaknya terasa berserabut ditunjal persoalan. Dilihatnya salah seorang dari lembaga itu cuba memperbaiki mentol lampu.

Lampu marak namun cahaya yang menyimbah masih suram. “Nampaknya mereka bukan hantu,” bisiknya kelegaan. Sungguhpun begitu, Rini enggan keluar dari lokasi persembunyiannya. Dia mahu melihat dan menunggu apa yang akan berlaku seterusnya. Tidak lama kemudian, kedua lembaga yang nampak samar pada pandangan mata kasar Rini melangkah turun.

“Betullah rumah pasung ni berhantu.” Salah seorang dari mereka bersuara.

“Awak ternampak hantu ke tadi?”

“Aku terdengar desahan nafas. Bunyinya lirih dan menyeramkan.”

“Jika begitu, kita harus cepat. Tak adil kalau Zaidi terlepas saat-saat ni.”

Perbualan tersebut meyakinkan Rini bahawa kedua tetamu itu adalah manusia. Tanpa bertangguh, dia keluar dari tempatnya menyorok. Kedua lembaga itu terkejut beruk tatkalakelibatnya, lantas membuang langkah seribu. Rini ternganga lalu menoleh ke belakang. Tiada sesiapa pun tercancang di situ. Situasi ini menimbulkan kehairanannya.

“Mereka berdua memecut seperti ternampak hantu.” Rini tiba-tiba berasa seram. Dia menoleh lagi kemudian memerhatikan persekitarannya. Dilihatnya belukar-belukar yang merimbun memenuhi pekarangan bergerak. Pemandangan tersebut berjaya mengusir Rini dari situ. Dia segera mendaki anak tangga menuju ke atas rumah.

Kedua mata gadis itu terbeliak tatkala melihat keadaan diri Que. “Abang?” serunya lantas menerpa. Mukanya berkerut setelah ternampak kesan lebam di pelipis kiri Que. Ekor matanya kemudian menjamah rantai besi yang mengikat kaki kanan pemuda tersebut. “Sampai hati mereka buat abang macam ni.”

Dia mencangkung lalu memegang rantai tersebut. Matanya meliar ke semua arah. “Bodohnya orang-orang tu,” rungutnya lalu bangun. Dia meninjau-ninjau seketika. Mencari sesuatu yang barangkali tersorok, tersisip ataupun tercampak di situ. Tiba-tiba dia terpandang benda yang dicarinya tersangkut dekat pintu utama. Senyumnya merekah. Dia berasa lega teramat sangat.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.