Home Novel Thriller/Aksi LUCIFER
LUCIFER
JESSY MOJURU
28/3/2016 03:26:15
21,188
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
BAB 14


“Siapa yang buat lelaki gila tu macam tu?” Tak tertahan Four bertanya. Marco yang sedang mengayuh sekadar memandangnya.

“Aku,” jawab Kaira sepatah. Disorotinya muka Four seolah sedang menduga sesuatu. “Awak tak suka?” ajunya. Four tidak berkata apa-apa. Tunaknya dihela hala lain sebelum kembali menghempuk wajah bujur sireh Kaira. Kaira masih menanti. Namun tiada apa yang terlontar dari mulut lelaki tersebut. Dia akhirnya mengalih pandang.

Mereka bertiga kembali sunyi. “Aku dah periksa hujung cenuram tu. Ada gua kat hujungnya.” Kaira dan Marco memandangnya serentak. “Belukar, tumbuhan menjalar dan pepohonan renek tumbuh subur kat bawah cenuram tu. Aku risaukan ular ataupun binatang berbisa yang boleh membunuh.”

“Jika begitu, kita kena buat dua kumpulan. Kumpulan pertama ikut haluan cenuram. Kumpulan kedua ikut arah lain. Cuma masalah sekarang, kita belum tahu destinasi kita. Jadi sudah tentu perjalanan kita agak rambang.”

Four mengangguk seperti bersetuju. “Itulah yang akan berlaku. Kita umpama meraba dalam gelap.” Dia mengguman. “Betullah cakap awak, Cik Kaira. Kedua gadis itu tak seharusnya menyertai misi berani mati ni. Kita semua ke sini untuk bermain dengan maut. Sasha dan Luna tak seharusnya berada di sini.”

“Suruh sesiapa hantar mereka balik,” cadang Marco setelah sekian lama membatu.

“Buang masa. Luna sudah berada dalam genggaman manusia gila tu. Daratan pun jauh dari sini. Maknanya, tiada apa yang boleh kita buat selain mengatur strategi seterusnya.” Demikian huraian Four.

Kaira duduk membongkok. Ekor matanya memandang hujung kakinya. Gadis itu kemudiannya memandang muka Four dan Marco. “Kita akan membentuk dua kumpulan. Kumpulan pertama akan ikut aku. Manakala kumpulan kedua ikut awak.” Dia seperti bertegas. Walhal tugas pembahagian kumpulan tersebut adalah di bawah kuasa Four selaku ketua misi.

Four tidak segera bersuara. Dia sebenarnya tidak bersetuju. Tetapi nampaknya, dia tiada pilihan untuk mengatakan tidak. Bergerak bersama dalam satu kumpulan bukanlah tindakan bijak. Lebih-lebih lagi, mereka masih kekaburan lokasi kediaman manusia-manusia psiko tersebut. “Macam mana? Awak setuju?” tanya Kaira.

Pemuda itu memandangnya. “Hanya itu sahaja pilihan yang ada. Jadi aku tiada sebab untuk tidak bersetuju.”

“Ya. Kita tidak banyak pilihan.” Marco menambah.

“Sampai kat kapal nanti, aku akan ajak semua berhimpun untuk bermesyuarat. Kita mesti bertindak laju sebelum pihak lawan datang menyerang.”

“Terbaik Four,” puji Marco. “Ahli yang lemah dan yang kuat kena agih-agihkan.”

“Sasha ikut kumpulan awak. Aku rasa, keadaan Sasha lebih baik jika berada dalam jagaan awak.” Kaira mencadangkan.

“Aku tak ada bantahan jika itulah keputusan awak.” Raut wajah Four seperti tidak bersetuju Sasha menyertai kumpulannya.

“Bagus. Ahli selebihnya kita buat undian. Buat masa sekarang, kita belum dapat mengenal pasti mana-mana ahli yang lemah dan yang kuat kuat. Adakala fizikal nampak lemah, tapi semangat kuat… tenaga dalaman tak seperti apa yang kita lihat kat luar.”

“Betul. Manusia akan menjadi diri sebenar setelah tiba saatnya. Contoh, sewaktu berdepan dengan maut.”

“Bagus. Nampaknya awak faham aku.” Ternyata ayat Four mengujakan Kaira. Four jarang membantah selepas tersantap aksinya sewaktu berlegar dalam pulau. Dia dapat merasakan, lelaki itu mula mempercayai dan menghormatinya. Elemen tersebut membuatkan Kaira berasa dihargai. Seawal perkenalan, dia dan Four seringkali bercanggah pendapat.

Sungguhpun begitu, Four banyak mengalah. Mungkin kerana disebabkan Kaira adalah cucu kesayangan majikannya. Hampir sejam lamanya perahu yang dinaiki mereka bertiga menelusuri dada laut sebelum akhirnya tiba. “Sunyi aje?” Marco hairan.

Mereka bertiga memanjat naik. Dan terkejut apabila melihat darah merah bertaburan di merata tempat. Four dan Marco berpandangan. Manakala Kaira terus saja bergegas masuk. Suasana dalam perahu juga hening seperti tidak berpenghuni. Kaira menoleh apabila terdengar bunyi derap kaki. Four yang sedang berjalan perlahan halanya hanya memberikan isyarat muka.

Kaira mengangguk. Mereka berdua segera bekerjasama memeriksa semua ruangan. Namun gagal menemui sesiapa. Situasi tersebut meresahkan mereka. Mereka kembali mendapatkan Marco. “Nampaknya kapal ini kosong tak berpenghuni.” Four resah.

“Agaknya apa yang telah berlaku?”

“Mungkin mereka diserang oleh manusia psiko tu.” Kaira turut rusuh. Pandangannya berciciran. Menimpa perlantaian kapal yang dikotori darah. Four dan Marco menghela nafas berat. Mereka bertiga membatu seketika. Angin laut berhembus perlahan. Cuaca ketika ini agak mendung. Setengah jam berlalu. Kaira akhirnya memandang Four.

Riak wajahnya seakan menagih pendapat berhubung situasi mereka ketika ini. “Aku pun buntu. Aku tak tahu mana nak cari mereka semua.” Four berpeluk tubuh. Dia dan Marco bertentang wajah. “Awak turun kat perut kapal. Periksa perahu tu. Masih ada atau dah tak ada kat tempatnya,” suruhnya. Marco mengangguk pantas. Dia bingkas dan beredar ke bawah.


KAIRA mudik ke tubir kapal. Dia terkejut apabila ternampak sesusuk tubuh terapung-apung di atas permukaan air. “Nad?” bisiknya berdasarkan warna baju yang dipakai oleh Nad. Four memandangnya. Lelaki itu bangun dan mendekati Kaira. Kaira menjuih bibir ke permukaan laut. Hati Four berdebar. Pandangannya dijatuhkan.

Dia terkejut apabila ternampak Mayat Nad terapung-apung di situ. Kelihatan batang leher Nad dikelar hingga hampir terputus. Bahagian dada dan bahunya robek seperti terkena pisau bermata lengkung. Four menarik nafas dalam-dalam. Dia bertenang dan memandang Kaira. Kaira juga kelihatan terkilan dan tergeramang sepertinya.

“Awak terpaksa turun kat bawah naikkan mayat tu,” kata Kaira. Four membatu. “Kita akan mati satu per satu. Seharusnya Shasha, Luna dan mereka yang lain dah cukup faham kesudahan misi ini sebelum meletakkan kata putus.” Kaira meninggalkan Four. Dia ke tempat Four duduk tadi lalu mendaratkan punggung. Four masih membisu.

Suara orang berbual-bual dari arah bawah menggamit pandangan mereka berdua. Sejurus, Marco timbul bersama mereka yang lain. “Kami telah diserang hendap,” kata Sasha terus saja menapak ke arah Four. Four sekadar memandang dan mengangguk. Tunaknya berjerih arah Danial, Qhael dan Riyan.

“Lelaki bersenjata pisau kerambit tu tak pernah ke mana-mana. Dia muncul selepas kamu bertiga pergi.” Demikian penjelasan Qhael. “Nad diserang ketika berjaga.”

“Ya. Aku dan Nad memilih untuk berjaga. Sewaktu kejadian tu, aku tertidur dan terbangun apabila terdengar pergelutan mereka.” Sasha menambah. Air mukanya trauma. Dia berasa ngeri dan mahu menangis setiap kali terbayang batang leher Nad dikelar. Darah yang menyembur membuatkan dia terjerit-jerit seperti dirasuk hantu gamaknya. Waktu itulah Danial, Riyan dan Qhael keluar.

Manusia psiko itu pula terjun ke laut bersama jasad Nad. “Apa boleh buat. Dah nasib…”

“Dah nasib kata awak?” Sasha tidak berpuas hati apabila Kaira berkata begitu.

“Habis tu awak nak aku kata apa? Semua kematian ini sudah dijangka sebelum kita semua bertolak meninggalkan daratan. Kita sudah sedia maklum projek ini adalah misi berani mati. Jadi jangan nak merengek di sini. Buang masa!” Kaira berang. “Sebaiknya kita fokus untuk rancangan seterusnya. Kita sudah kehilangan 2 orang ahli. Selepas ini, entah turn siapa pula?”

Mereka semua terdiam. Suasana bertukar tegang. Sasha menyengap lantas berundur dari depan Four tanpa kata. “Naikkan mayat Nad. Kita akan bertolak ke pulau sekejap lagi.” Four beredar. Danial, Qhael, Marco dan Riyan segera bekerjasama menaikkan mayat Nad. Kaira pula tidak ke mana-mana. Wajahnya kelihatan serius.

Sasha hanya mengerlingnya sekali-sekala. Gadis itu sudah tidak berani mahu meleterinya. Kekuatan Kaira ialah semua ahli kumpulan memihaknya. Serasa Sasha, dalam kumpulan tersebut hanya dia seorang saja yang tidak menyukai Kaira. Padanya, Kaira sombong dan keras kepala. Kaira juga seperti tidak menghormatinya, Luna dan ahli-ahli lain.

“Kami dah naikkan mayat Nad,” beritahu Marco. Kaira yang sedang mengelamun menoleh. Dia bangun dan menapak arah mayat Nad. Disorotinya seketika mayat tersebut. Qhael, Danial dan Riyan saling berpandangan. Mereka hairan kerana gadis itu terlalu kuat untuk melihat mayat tersebut.

“Bungkus mayat tu. Kemudian maklumkan Four. Qhael kemudi kapal ni menghala selatan.” Jarinya dituding apabila pandangan pemuda itu menghempuknya.

“Baik.” Qhael segera melakukan apa yang disuruh. Manakala Riyan ke bilik Four. Kaira kemudiannya mengarahkan Sasha menyediakan bekalan makanan untuk dibawa memasuki pulau. Tanpa banyak cakap, Sasha bangun dan menyelinap masuk. Wajahnya masih masam sebagaimana sebelum ini. Tetapi Kaira buat tak nampak. Dia malas mahu meladeni semua itu.


FOUR dan Riyan keluar beriringan. Mereka berdua sedang membualkan sesuatu. “Okay! Dengar sini baik-baik!” Qhael, Danial, Riyan, Marco dan Kaira memandangnya serentak. “Selepas memeriksa pulau tu dan menyiasat beberapa hal, aku dan Kaira memutuskan untuk membahagikan ahli-ahli misi ini kepada 2 kumpulan.”

“Tapi kita hanya 7 orang?” Danial rusuh.

“Kita terpaksa membahagi kepada 2 kumpulan kerana faktor muka bumi, ancaman binatang liar dan strategi. Kekuatan kita bukan terletak pada jumlah ahli dalam kumpulan. Tetapi bergantung kepada kerjasama, tolak-ansur, rasa hormat selain sikap berani dan pantas.” Dipandanginya wajah mereka satu per satu.

“Tak perlulah aku senaraikan dan kupas sikap yang perlu kita ada. Memadailah jika setiap dari kamu ada inisiatif mahu mempertahankan nyawa masing-masing.” Four menyambung.

Mereka semua berpandangan dan membatu. Four menarik nafas. “Danial, Marco dan Qhael akan ikut Kaira. Manakala Shasha dan Riyan akan ikut aku. Persoalan sekarang, kita ada 2 pilihan untuk sampai ke destinasi. Pertama, cenuram seterusnya gua. Kedua, tebing tinggi kemudian hutan tebal.” Four berhenti sejenak.

“Laluan pertama, mungkin nampak mudah. Ahli kumpulan hanya perlu turun ke bawah cenuram kering sedalam 15 kaki. Selepas itu, terpaksa memasuki gua gelap yang mungkin dihuni sejumlah ular berbisa. Atau burung kelawar dan mungkin juga beberapa binatang kecil berbisa.” Pemuda itu membasahkan bibir.

“Laluan kedua pula, ahli terpaksa berjalan dari pantai menuju ke tebing batu kemudian memasuki kawasan hutan. Dari apa yang kami ramalkan hutan itu didiami sekawanan anjing liar.”

“Anjing karnibal.” Kaira menambah.

Riyan, Qhael dan Danial terkejut. “Matilah kita kali ini.” Qhael berasa ngeri.

Four mengangguk. “Ya. Anjing karnibal dan dari spesis pemangsa. Bukan seperti anjing jinak sebagaimana yang kita tahu. Berkenaan lokasi manusia-manusia psiko itu pula, setakat ini kami belum mengetahuinya.”

“Pernah dengar mengenai sebuah kilang terbiar dalam hutan Sorrento, Itali? Kilang yang dikatakan hilang, tapi sebenarnya kilang tersebut masih berada di situ. Bangunan kilang tu sudah tidak kelihatan kerana seluruh jasadnya sudah ditumbuhi lumut hijau, tumbuhan menjalar, belukar dan pokok renek.” Kaira menyampuk. “Jadi sekarang, kita andaikan saja lokasi kediaman manusia celaka tu seperti kilang terbiar tu.”

Riyan mengangguk tanda bersetuju. “Jika mengikut akal lojik, memang munasabah sekiranya kita andaikan kediaman manusia psiko itu menyerupai kilang terbiar tersebut. Mereka suka kediaman yang tersorok dan tidak kelihatan di mata kasar manusia. Berbalik kepada persoalan tadi, kumpulan pertama nak ikut laluan mana?” Tunaknya menjengah Kaira.

“Laluan hutan,” kata Kaira dua patah. Danial, Marco dan Qhael kelihatan terkejut.

“Muktamad?” Kaira mengangguk. “Danial? Marco? Qhael?” Four memandang mereka bertiga. Marco angkat bahu sebagai tanda terserah kepada keputusan Kaira.

“Laluan tu bahaya.” Danial risau.

“Oleh kerana kumpulan kami ramai.. jadi, terpaksalah aku ikut keputusan Cik Kaira.” Qhael meneruskan tugasnya mengemudi kapal.

“Kalau begitu, terpaksalah aku ikut suara ramai.” Danial berkata lesu.

“Semua laluan bahaya. Kat cenuram tu pun belum tentu boleh selamat, sebab kat dalam tu gelap-gelita. Macam-macam boleh berlaku.” Kaira memandang Danial sekilas. Gadis itu kemudiannya menghilangkan diri dalam bilik tidurnya. Dia mahu berehat sementara menunggu kapal tersebut berlabuh.

Danial mendekati Four. “Kenapa biarkan dia membuat keputusan? Dia hanyalah seorang gadis lemah dan rapuh. Paling tidak pun, aku dan Marco serta Qhael akan separuh mati melindunginya dari penjahat tu.” Lelaki itu tidak berpuas hati. Marco menapak dan menepuk bahunya.

“Jangan memandang rendah. Awak belum menyaksikan apa yang sudah aku dan Four lihat. Kita beruntung kerana dipimpin seorang gadis yang berani dan bijak.”

Danial tercengang tatkala mendengar kata-kata Marco. Dia bingung dan tertanya-tanya. “Apa yang penting, beri kerjasama dan jangan bantah arahannya,” kata Four. “Sekarang! Semua pergi siapkan barang keperluan masing-masing! Qhael… biar aku ambil alih kemudi tu,” tawarnya. Qhael menepi.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.