Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 3


Keluhan Maya tersembur lagi pabila telefon bimbitnya kembali berdering. “Kenapa awak tak nak pergi?” Kali ini Munira pula yang menelefonnya. Suara gadis itu semacam kecil hati.

“Bukan aku tak nak pergi tapi aku betul-betul sibuk sekarang ni.”

“Abaikanlah dulu tulisan awak tu Maya. Nanti awak jadi gila dibuat manuskrip-manuskrip tu nanti. Sesekali awak perlu keluar untuk bersosial. Bergaul dengan orang ramai. Segarkan balik minda awak...” Kerana malas mahu mendengar khutbah Muniralah Maya memutuskan talian. Kali ini telefon bimbit berharga sekitar seratus lebih itu turut dimatikannya. Dia kemudiannya bergerak hala katil lalu merangkak ke tengah ranjang. Lalu menjatuhkan dirinya. Dia ingin menyambung tidurnya yang terpangkas tadi.

Maya hanya terlena selepas setengah jam berlalu. Namun terjaga semula apabila bahunya digerakkan oleh seseorang sejurus kemudian. Situasi ini membengangkan Maya. “Kamu berdua ni macam tak senang hatilah tengok aku tidur!” tengkingnya sambil membuka mata luas-luas. Fikirnya, tentu perbuatan tadi diangkarakan oleh Jiah dan Munira. Namun ternyata dugaan dan prasangkanya meleset. Tiada sesiapa berada di situ selain dirinya sendiri.

“Takkan hantu pula.” Maya kembali tidur meringkuk. Selimut yang bergumpal di hujung kakinya dibiarkan saja. Belum pun beberapa minit berlalu, Maya berasakan helaian rambutnya diusik pula. Mata Maya terbuka sedikit. Namun dia tidak pula bergerak apatah lagi menoleh ke belakang. Dibiarkannya suasana tersebut merangkul diri walau nafasnya sudah semput ketika ini. Dadanya pula terasa sesak semacam ditindih segunung batu.

“Mayaaa...” Suara yang seakan milik seorang perempuan membisik panjang. Kedua mata Maya spontan terbuntang. Maya berasa seram. Terasa bulu tengkuknya mencuar tegak. “Mayaaa...” Kali ini suara itu kedengaran seperti berada dalam lohong telinganya pula. Bergema di situ dengan nada lirih dan amat menakutkan. Tangkai jantungnya terasa seperti direntap kasar apabila tubuhnya tiba-tiba terlambung kemudian terhinggut kasar. Seolah-olah ada sesusuk jasad rebah sebatang di sebelahnya.

Jasad yang tidak diketahui milik siapa dan... Maya menghidu-hidu. Lubang hidungnya kembang kuncup pabila bau busuk tiba-tiba menyerkup ruang udara dalam biliknya. Busuk amat semacam bau mayat reput. Tali perut Maya terasa berpintal apabila bau mayat reput itu semakin menyengat. Semakin keras menusuk terowong hidungnya hingga Maya berasa mual.

Sejurus kedengaran pula desahan nafas seseorang terhembus di tengkuk Maya. Sejuk sungguh seperti terhasil dari wap ais. Ketika ini ketakutan Maya sudah tidak terhitung jumlahnya. Dia menggigil lantaran tidak betah menanggung suasana yang amat menyeramkan ini. Terbayang olehnya sekujur mayat reput yang dibanjiri ulat. ‘Aku mesti bertindak,’ detik hatinya menuai tekad. ‘Aku mesti kuatkan semangat.’ Kedua kelopak matanya dipejamkan serapatnya. Maya kemudiannya bingkas dan berjerih turun dari katil.

Tanpa bertangguh langkahnya dihela pantas arah balkoni. Dia hanya berhenti setelah kepalanya berdebuk terlanggar dinding. Maya membuka mata... dia seperti tidak percaya apabila melihat persekitarannya. Rupanya bukan dinding yang menghempuk kepalanya tadi melainkan sebatang pokok yang mencuar gah. Berbalam hitam di depan mata.

Maya memandang persekitarannya. Nampaknya dia kembali berada dalam kawasan nahas. Suasana kelam yang hanya disuluh cahaya rembulan membantunya menelusi persekitaran walau ia kelihatan samar. Tika ini bayu sedang berhembus lesu. Tiada apa yang dirasainya meramas wajah apatah lagi menyusur liang romanya. Dedaunan lalang yang berjeliran sepanjang tebing jalan raya meliuk perlahan. Selebihnya tercacak kaku. Kali ini tiada cengkerik mengalunkan irama sumbang.

Bahkan tiada jua bunyi lain kedengaran tingkah-meningkah. Suasana amat hening seolah lembah ini tengah nazak gamaknya. Maya mudik ke depan. Tunaknya meliar semacam sedang mengawasi persekitaran. Dia meragui dan mencurigai lokasi ini selepas menyaksikan nahas ngeri dulu. Dia risaukan mangsa-mangsa kejadian tersebut bangkit untuk berulit pandang dengannya. Dia tidak memiliki walau secebis kekuatan untuk bertahan seandai dihambat fenomena tersebut.

Sebagaimana sebelum ini, dia terdengar bunyi berdesup di belakang. Maya menoleh dan waktu yang sama ada cahaya lampu kereta mencarang garang di hujung jalan. Kali ini bergerak pantas arahnya. Maya membongkok dan memayungi matanya dari dipanah sinar lampu yang terasa menerik dengan jari. Bayangan kejadian dulu berulang semula. Cuma kali ini berlaku dalam gerak perlahan. Ia bermula sewaktu kedua kereta itu mula berlanggar. Amat jelas di ruang mata Maya apabila bonet kereta kedua terbuka dan sesusuk tubuh tercampak keluar.

Tubuh yang semacam terikat itu terpelanting sebelum terseret ke bahu jalan. Ia bergerak-gerak dan Maya teringin menghampirinya. “Mayaaa....” Maya tersentak dan terpinga-pinga. Rupanya dia masih berada dalam bilik tidur dan sedang berbaring sebagaimana kedudukan tubuhnya sebelum ini. Nampaknya hari dah siang benar. Cahaya matahari kelihatan berbilah-bilah di celahan tingkap. Ianya terbias di permukaan lantai dan sungguh menyilaukan.

Maya menarik nafas lantas bangun. Dia tidak segera mengengsot ke pinggir katil melainkan melengung sejenak. Dia ingin mengimbas semula kejadian tadi dan sebelum tu. “Apa sebenarnya yang sedang berlaku padaku?” suanya pada diri lantas menyeka keringat yang berbintil di dahi. Dia berasa rimas dan berbahang. Tunaknya dialihkan arah siling. “Patutlah.” Maya bergegas ke tubir katil lalu bergerak malas untuk menghidupkan suis kipas.

Dia kemudiannya menyelak daun pintu balkoni. Udara berjerih masuk dan sempat meraba dirinya sebelum bersepoian ke dalam bilik. Maya meramas helaian rambutnya dengan jemari sambil menyandarkan tubuh di juring pintu. Pandangannya disuakan arah luar. Kemeriahan jiran tetangganya menongkah hari yang indah ini terarca dalam kolam mata. Suara hingar-bingar juga turut mengacah balang telinganya.

“Hmm...” Dia terkejut apabila melihat sejumlah rambut miliknya tersangkut di setiap celahan jemarinya. Situasi tersebut menggusarkannya. “Takkan gugur pula,” katanya keresahan lantas beredar dari situ. Segera diintainya dirinya melalui cermin meja solek. Maya hampir terjerit apabila melihat kedua biji matanya kelihatan putih tanpa anak mata. Mujurlah situasi tersebut hanya berlaku seketika. Keadaan matanya kembali seperti sediakala sesaat kemudian.

“Awak macam tak sihat.” Disorotinya wajah Maya yang layu dan kusam. Kedua mata gadis itu seperti terperosok dengan tubir mata kelam seakan kurang tidur. Maya sekadar tersengih. Bingkai cermin matanya dirapikan.

“Kau nak makan mee segera ke? Aku ada beberapa pek lagi.”

“Tak apalah Maya. Kita harus makan makanan yang menyihatkan tubuh badan.” Jiah bangkit lalu bergegas keluar.

“Awak nak ke mana?”

“Nak ambil barang-barang dapur untuk awak.”

Maya tersenyum mendengarnya. “Baiknya hati awak,” katanya perlahan. Saki-baki milo panas diminumnya. Sejurus, Jiah kembali semula bersama dua beg plastik berisi barang-barang. “Janganlah baik sangat. Aku serba-salah tau.” Maya berbasa-basi.

“Tak payah berasa serba-salah. Kita kan kawan. Aku faham kesibukan awak sekarang ni. Sebab itulah aku cuba meluangkan masa untuk membeli barang-barang dapur ni.” Dia ke dapur sekejap untuk menyimpan barang-barang tersebut. “Jangan pula lupa kawan bila dah dapat duit buku nanti.” Jiah tersengih-sengih. Punggungnya didaratkan di depan Maya. “Hmm, masih jauh ke perjalanan cerita dalam karya mistik awak tu?” Letak punggungnya dielokkan.

Maya mengangguk. “Sebenarnya baru beberapa muka surat.”

Jiah terkejut. “Ya ke? Kalau dinilai berdasarkan situasi diri awak tu macam dah berbelas-belas muka surat.”

Nafasnya dihela. “Bukan senang mahu menghasilkan sebuah cerita. Menulis tu memang senang tapi nak menyusun ayat tu yang susah. Mesti semua fakta saling berkaitan dan kita tak boleh lari dari tajuk.”

“Hmm...” Jiah mengguman sebagai respon darinya. Skrin telefon bimbitnya diintai sekejap. “Pelik juga macam mana awak tak kepupusan idea.”

“Kerana mahu mengelak dari kekeringan idealah aku terpaksa berimaginasi, berhalusinasi dan berdelusi. Adakala perangaiku macam orang kurang siuman, tak cukup akal. Aku kerap bermonolog luaran dan dalaman. Semua ini perlu ada sebagai salah satu penghayatan terhadap cerita yang sedang aku tulis sekarang ni.” Serasanya, inilah kali pertama dia bercakap serius. Dalam hati, terasa lucu pula. Namun dia mencuba untuk tidak ketawa sebagaimana selalu.

Senyum Jiah kembang. “Sesuailah dengan perwatakan dan penampilan Maya,” katanya sambil membalas mesej seorang kawan. “Dalam sehari, awak cubalah luangkan masa berlari setempat kat luar rumah atau dalam ruang tamu awak yang sempit tu. Lepaskan toksin-toksin yang terkurung dalam badan awak. Pengeluaran peluh yang berlebihan boleh membantu memulihkan sistem dalaman awak.”

“Yalah. Awak balaslah dulu mesej tu baru cakap.” Maya bingkas dan menyelak langsir seluasnya. Suram sungguh dirasakannya kerana tabir tersebut hanya terbuka sedikit. Mereka bersembang-sembang lagi. Sejam kemudian, Jiah meminta diri. Dia ada urusan selepas ini. Maya pula melingas ke dapur untuk melihat barang-barang yang dibeli oleh Jiah. Senyumnya terkuak tatkala melihat sayur-sayuran hijau yang mengisi plastik kedua.

“Bertuahnya dapat kawan yang prihatin macam awak ni,” katanya lantas mengalihkan barang-barang dapur tersebut ke dalam peti sejuk. Maya kemudiannya menyediakan menu tengahari untuk dirinya seorang. Kerana kurang sabar mahu menjenguk skrin komputerlah Maya melonggokkan semua nasi dan lauk ke dalam pinggan yang sama. Dia kemudiannya duduk depan komputer sambil bersantap.

Sesekali Maya meletakkan pinggannya di tepi meja lantas mengetuk setiap butang abjad yang diperlukannya. Situasi tersebut berulang-kali hingga akhirnya Maya terlupa menghabiskan saki-baki makanannya. Dia terus saja hanyut dalam lautan khayalan dengan jari-jemari semakin lincah mengetuk papan kekunci. Dia hanya berhenti sejam kemudian. Waktu ini seleranya dah terhapus. Buat seketika dia hanya mencoretkan beberapa nama dalam selembar kertas kosong. Beberapa puntung nama bertaburan dalam benua fikirnya.

Nama-nama yang barangkali milik teman-teman rapatnya juga. Maya berhenti sekejap. Benaknya dicanang untuk mendapatkan modal cerita selanjutnya. Rasa teruja dan ghairah hendak menghasilkan cerita mistik ini memudahkan kerjanya. Dia amat bersyukur. Rasa-rasa ini seharusnya ada dan bercambah subur dalam benak setiap insan yang minat menulis sebagaimana dirinya.

Malam menjengah tanpa Maya sedari. Dia hanya berhenti pabila berasakan tulang belakangnya lenguh. “Huh.” Dijenguknya isi mug. Kosong. Maya mengeluh lantas beredar hala balkoni. “Kalau aku dah dapat duit buku nanti aku nak beli sebiji komputer riba. Bosan betul seharian terkurung dalam bilik usang ni. Kalau ada komputer riba tu nanti bolehlah aku melepak kat Tanjung Lipat,” bisik Maya menjaring angan-angan. Senyumnya kembang hingga ke pangkal telinga pabila imej sebuah komputer riba mencanang benaknya.

Namun senyumannya hanya seketika apabila seorang pemuda yang kebetulan menjenguk dari tingkap rumah mengenyitkan mata arahnya. “Cis!” Maya mencebik lantas masuk. Dia tidak timbul-timbul lagi selepas itu. Selesai membancuh semug minuman, Maya kembali mendaratkan punggung dengan muka sudah pun tersua arah skrin komputer. Namun, dia bangkit semula setelah terpandang piring getah yang masih berisi sisa makanan.

Sewaktu sedang membasuh pinggan itulah Maya ternampak seorang lelaki mencampakkan satu sampul surat berwarna coklat depan rumah sewanya. Maya cepat-cepat menyudahkan kerjanya kemudian bergegas keluar. Sampul surat yang tergeletak sepi berhampiran selipar buruknya diambil lalu dibeleknya. Kedua keningnya bertaut bak kiambang. Hatinya bergolak. Dia membuang pandang hala hujung jalan termasuk persekitaran rumah sewa tersebut.

“Pelik. Mana pula perginya lelaki tadi?” suanya pada diri dengan riak wajah bingung. “Huh!” Dipandanginya semula sampul surat yang ternyata tidak dilengkapi alamat itu. “Nak buka ke tak ni?” Maya serba-salah. “Hmm...” gumannya lantas menandu langkah ke dalam rumah. Sampul surat itu dipandanginya lagi sebelum diletakkan atas meja. Niat di hati memang nak buka tapi Maya tidak memiliki keberanian untuk melakukannya.

“Lebih baik simpan dulu. Lepas seminggu, kalau lelaki tadi tak datang menuntut sampul ni barulah aku buka dan tengok isinya puas-puas,” putusnya setelah beberapa minit menimbang-tara keputusan tersebut. Maya kemudiannya berpatah semula ke meja komputer dan segera menyambung tulisannya. Sungguh pun begitu, fikirannya agak terjejas berikutan kehadiran sampul surat itu dalam rumahnya.

Dia asyik memikirkan kandungan surat tersebut. Namun akhirnya dia berjaya juga memadam kasadnya setelah berada dalam dunianya. Ketika ini dia sedang khusyuk menulis hingga terlupa akan segala-galanya. Kerana berasa rimaslah Maya membongkar duduk lalu mencapai tuala mandi. Sesudah mandi dan lengkap berpakaian, Maya menjenguk pula isi peti sejuk.

“Kau memang baik hatilah Jiah. Sahabat sehati sejiwa yang paling best,” pujinya dengan senyum lebar terhampar di bibir. Dua biji epal berwarna merah diambilnya lalu dibawa ke meja komputer. Sebiji dimakannya sementara sebiji lagi hanya diletakkan di tepi meja untuk dijadikan kudapan nanti. Sedang Maya leka memugar ilham, tiba-tiba buah epal yang sebiji lagi bergolek sendiri hingga terjatuh. Maya tidak menyedari situasi tersebut. Dia hanya mengalihkan pandangan pabila tertangkap bunyi benda jatuh berdebuk atas lantai.

Dia terkejut bila ternampak buah epal tersebut bergerak sendiri menghala ke ruang tamu. Tanpa bertangguh, Maya bingkas dan menyusul buah epal tadi dalam gerak perlahan. Buah epal itu terus saja bergerak dan berhenti setiba di bawah meja kusam. Di mana sampul surat berwarna coklat itu tersadai. Langkah Maya turut tergencat dengan ekor mata masih mencerlung arah buah epal tersebut. Dalam benaknya, tertakik persoalan.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.