Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 2

Bunyi kaki bangku menggeser lantai mengisi suasana. Maya menghenyak punggung dengan pandangan sudah pun tersua arah monitor komputer. Apapun gadis itu bangkit semula dan berundur ke belakang dengan muka tegang. Dia terkejut apabila sederetan ayat bertinta merah darah muncul satu-persatu di dada skrin komputer. ‘Kau akan menerima padahnya Maya!!’ Ayat-ayat itu kemudiannya mencair lalu berluyutan deras ke bibir skrin dan kini menitik-nitik menimpa meja komputer. Situasi tersebut tidak berakhir di situ. Cairan yang semacam darah manusia itu kini menyimbah lantai pula.

Maya panik dan berasa amat takut. Dia terus berundur ke belakang tanpa mengacuhkan lagi bangku tempatnya mendarat tadi terpelanting berhampirannya. Tiba-tiba darah hanyir yang kini menggelegak di depannya itu bangkit lalu membentuk sesusuk tubuh. Lembaga tersebut menyerupai seorang wanita dan memakai jubah hitam. Maya terpekik apabila lembaga yang terbentuk dari cairan darah merah itu bergerak perlahan arahnya. “Jangan! Jangan apa-apakan aku! Jangan! Tolongg!!”

Dia terus saja berundur dan menjerit histeria. Maya tersentak apabila jatuh terjerembab dari bangku. Dia terlentang dengan belakang kepala terhantuk di dinding bilik. “Ciss! Aku tertidur rupanya!” Maya meradang apabila mendapati dia cuma bermimpi tadi. Dalam keadaan mamai, Maya bangun perlahan sambil mengusap tulang pundaknya. Bangku kayu yang tergolek dekatnya diambil. Dengan muka berkerut-kerut Maya melabuhkan punggung. “Kan aku dah terbangun dari tidur sebelum ni. Macam mana aku boleh tertidur semula?” Maya mengetuk kepala. Dia semakin bingung memikirkan semua fenomena ini.

“Mungkin aku berhalusinasi,” fikirnya mengandaikan situasi dirinya. Lantas ekor matanya tercari-cari mug berisi Nescaffe yang dibancuhnya tadi. “Kalau benar aku tak berhalusinasi, mesti mug tu masih berada kat sini dan tidak berisi apa-apa,” lanjutnya seraya bangun. Dia terkejut tatkala ternampak mug yang dicarinya itu berada dekat dengan balang penapis air. Asap nipis dari dalam mug seramik tersebut masih meliuk-lentuk menyusur ruang legar bilik sebelum ianya beransur hilang.

“Eh! Sakitnya kepala aku.” Geram benar Maya apabila terintai isi mug yang ternyata masih panas berasap. Kini dia semakin bingung memikirkan keadaan dirinya serta enigma-enigma yang menghantuinya. Punggungnya didaratkan semula dengan pandangan kembali tersua arah skrin monitor. Tika ini bendang fikirnya masih dipugar misteri tadi. “Huh!” Nafasnya dihembus kuat sambil menyandarkan belakang pada bahu bangku. Dia berasa selesa begitu.

Bunyi berderak-derak di luar menyentakkan Maya. Pandangannya beralih sekejap sebelum terjingkit-jingkit berhampiran bunyi tersebut. Bunyi tadi lesap apabila Maya melekapkan telinga ke tepi dinding. Lama Maya ternanti-nanti di situ sebelum akhirnya berpatah semula ke tempat duduknya. “Mungkin aku yang terlalu terikut-ikutkan perasaan.” Sengaja dia berkata begitu untuk menyedapkan hatinya.

Waktu ini hari dah lewat malam. Suasana dalam kawasan setinggan ini juga agak sunyi. Tiada apa lagi yang kedengaran selain bunyi kucing dan anjing menyalak sekali-sekala. Maya meneruskan kerjanya. Menaip dan terus saja menaip. Dia hanya terfikir hendak berehat selepas jarum jam dinding menuding angka 3 pagi. Sungguh pun begitu, Maya tidak segera berganjak melainkan bergegas ke balkoni untuk mengambil angin. Di samping mahu melegakan urat sarafnya yang terasa kebas dan bersenyaran.

Entah mengapa, Maya berasa seperti dirinya sedang diperhatikan dari kejauhan. “Itu semua hanyalah mainan perasaan,” katanya perlahan dengan muka selamba. Apapun, hatinya bagaikan digamit untuk mengetahui siapakah gerangannya yang sedang memerhatikannya ketika ini. Lantas mukanya dipalingkan dan dia terkejut apabila sesuatu melayah pantas melintasinya.

Hingga dia tak sempat mengenal pasti apakah bendanya yang melayang di depannya tadi. Perkataan hantu yang tiba-tiba bercambah dalam batas fikirnya membuatkannya terus saja terkocoh-kocoh masuk ke dalam bilik. Selepas merapatkan daun pintu, Maya merebahkan tubuh atas katil. Dia ingin berehat dan melapangkan fikiran. Ketika sedang terkebil-kebil itulah Maya akhirnya terlelap.

Tidak diketahui mahu pun disedari oleh Maya sesuatu sedang merangkak-rangkak keluar dari dalam cermin muka yang tergantung dalam kamar mandi. Ia menyerupai susuk tubuh seorang wanita muda. Pergerakannya tampak kaku dan amat menakutkan. Susuk tubuh yang semacam mayat reput itu terus saja merangkak keluar dari dalam kamar mandi dan kini menuju arah ranjang. Di mana Maya sedang berbaring. Kepalanya terteleng-teleng dengan mulut ternganga pucat. Kolam matanya yang putih kelihatan terbelalak.

Lembaga itu kemudiannya bangkit dan berjalan pincang dengan sebelah tangan terhulur. Dari mulutnya tercicir perkataan ‘Maya’. Apapun, lembaga itu tiba-tiba berjalan semula ke belakang kemudian merangkak dan masuk semula ke dalam cermin mengikut urutan kejadian. Toyol yang entah sejak bila berada di sebelah Maya menyeringai dengan mata berkilau. Kucing hitam itu masih memandang arah kamar mandi sewaktu Maya terjaga.

“Toyol.. bisinglah awak ni,” sebut Maya lantas terlelap semula.

“Mayaa...” Maya tersentak pabila satu suara bergema dalam terowong telinganya. Matanya tercelik luas walhal seingatnya baharu seketika tadi dia terlena. “Mari ikut aku Maya.” Maya berasa pergelangan tangannya dicengkam oleh seseorang. Seseorang yang tidak diketahuinya siapa. “Mari Maya,” ajak suara itu lagi seakan terdesak. Namun nada suaranya kedengaran lembut menusuk hati. Pelik. Haba yang terhasil dari seseorang yang tidak diketahuinya siapa itu agak panas sebagaimana suhu badannya sendiri. Maya tidak segera bangun melainkan memandang arah terbitnya suara tersebut.

Dia terpinga-pinga dengan muka semacam kemamar. Kedua kelopak matanya pula terkatup separuh. “Awak siapa ha? Hantu ke atau manusia halimunan?” ajunya seperti suara orang yang terkena bahana minuman alkohol.

Suara itu ketawa perlahan. “Kau kenal aku Maya,” ujar suara itu semacam berseloroh.

“Sejak bila pula aku kenal awak? Memandai-mandai jelah awak ni.” Maya terpisat-pisat bangun sambil menggosok kedua kelopak matanya. Dia kemudiannya meraba cermin mata berbingkai tebal yang diletakkannya di tepi tilam sebelum tidur tadi. Pandangannya kembali terhala arah suara itu dengan harapan berbongkah di dada. Dia amat berharap agar cermin mata yang dipakainya mampu menembusi jasad kepunyaan suara tersebut.

“Kita dah pernah berbual sebelum ini.”

“Berbual fasal apa pula?” Nampaknya tiada apa-apa yang mencanang pandangannya. Hatinya menggerutu lantaran kesebalan.

“Berbual fasal masalah aku yang tersesat dalam lembah ciptaanmu.” Suara itu menjelaskan.

Maya tergelak kecil seolah meremehkan ayat-ayat tersebut. “Aku cuma bermimpi masa tu dan aku juga sedang bermimpi ataupun berhalusinasi sekarang ini.”

“Pertemuan pertama kita bukan mimpi. Tetapi apa yang awak lalui dan nampak sewaktu bersendirian hanyalah imaginasi, khayalan. Pemandangan yang terhasil dari pemikiran awak sendiri.”

“Maksud awak?” Maya keliru.

“Sekarang awak patut gambarkan diri aku supaya aku wujud sebagai manusia biasa. Sebab ketika ini awak tak berhalusinasi. Awak memang benar-benar bersama denganku.”

Maya tertawa lucu tatkala mendengarnya. “Awak ni ada-ada sajalah. Awak ingat aku ni Tuhan ke sehingga mampu mencipta seorang manusia sebagaimana yang awak mahukan.”

“Awak mampu melakukannya Maya. Percayalah padaku....”

“Kesiannya awak ni. Awak tahu tak, awak ni tak ubah seperti manusia terdesak dalam kesempitan.” Maya mentertawakannya lagi.

“Memang pun aku terdesak Maya. Aku memang terdesak,” kata suara itu bersungguh-sungguh. Semacam berusaha meyakinkan Maya. Namun Maya sekadar mencicirkan tawa.

“Awak hanya buang masa duhai pemilik suara,” tingkahnya dengan suara lirih dan sedikit mengejek. Dia kemudiannya bangkit. “Awak nak bawa aku pergi mana pula ni?”

“Aku nak bawa awak ke suatu tempat.”

Maya terkejut mendengarnya. Dadanya dihentak debaran maha hebat. “Tempat? Maksud awak lubang kubur ke?” suanya dengan suara tegang.

“Hisy! Awak ni Maya ada-ada jelah. Kau akan tahu nanti. Marilah!”

“Bagitaulah dulu supaya aku ikut awak.” Maya sengaja bertele-tele. Dia sebenarnya mencurigai kasad manusia halimunan tersebut.

Suara itu kedengaran menarik nafas. Maya menanti penuh setia. Sesekali dia tersengih seolah sengaja mahu menayangkan logam pandakap gigi yang dipakainya. “Tau tak Maya, awaklah perempuan paling hodoh yang pernah aku nampak.” Suara itu ketawa kecil. Maya mencebik. Dia sedikit pun tidak berasa sakit hati. Baginya, itu adalah kata-kata yang jujur dan telus. Orang yang suka memuji tak semestinya ikhlas. Dalam diam, dia berasakan semacam ada kemesraan di antaranya dengan lelaki halimunan itu. Dia sikit pun tidak berasa tersinggung dengan usikan suara itu.

“Tapi aku tahu, di sebalik kehodohan itu ada kecantikan yang tersembunyi. Engkau cantik sebenarnya Maya.” Senyuman Maya spontan melebar dengan sinar mata semacam malu-malu pula. “Apapun, kau janganlah perasan pula.”

“Aku tak perasan pun. Awak tu yang perasan.” Senyuman tadi hilang dan wajahnya kembali masam. Suara itu ketawa perlahan. Gelagat Maya membuatkannya berasa terhibur walau di hati berisi derita yang amat dalam.

“Marilah Maya. Aku harap petunjuk ini dapat membongkar satu misteri.”

“Maksud awak?”

“Kau akan tahu juga nanti.” Suara itu mengguman sejenak. “Terima kasihlah Maya kerana menulis watakku. Kalaulah bukan kerana citarasamu sebagai seorang penulis, aku mungkin tak wujud di tengah-tengah medan ceriteramu. Aku benar-benar bersyukur Maya.” Terasa jari-jemarinya digenggam erat.

“Tapi haba badanmu macam....”

“Aku juga manusia biasa sepertimu Maya. Sebab itulah kita kena mulakan langkah pertama untuk membongkar satu misteri. Aku akan bantu engkau dan kau juga mesti berjanji akan membantu aku keluar dari lembah ini.”

“Cakap engkau ni berbelit-belitlah,” keluh Maya semakin bingung. Dipandanginya suara itu namun hanya dinding bilik terarca depan matanya. Keluhan Maya bertaburan.

“Pejam mata Maya,” suruh suara itu.

Maya segera memejamkan mata namun membukanya semula. Ada sesuatu melintasi benaknya. “Awak nak bawa aku ke liang lahat ke?” Demikian prasangka yang mengacah ketenangannya.

Suara itu ketawa perlahan. “Aku orang baik Maya. Percayalah padaku.”

“Jangan-jangan engkaulah hantu yang selalu mengganggu aku tu,” tuduh Maya pula.

“Tak adalah. Itu semua hanyalah mainan perasaanmu. Ia tak berkaitan dengan sesiapa. Terutama aku.”

“Aku harap engkau betul.” Maya memejamkan mata.

“Buka mata Maya,” arah suara itu selepas beberapa saat berlalu. Maya mencelikkan mata dan terkejut pabila mendapati dirinya berada di tepi hutan. Pokok-pokok yang hitam berbalam di situ sungguh menakutkan. Lokasi tersebut lengang dan tiada apa yang berada di tempat ini selain….. Maya menoleh ke belakang pabila terdengar desup kereta. Dia terkejut pabila mendapati sebatang jalan raya di situ dan dia seperti mengenali lokasi ni.

Maya tidak ke mana-mana melainkan terus tercacak di situ. “Suara, awak kat mana?” soalnya perlahan dan seperti berbisik. Sunyi. Tiada siapa yang menyahut dan menjawab pertanyaan yang diajukannya tadi. Tika ini hanya bunyi cengkerik dan bunyi-bunyian lain yang entah milik siapa kedengaran tingkah-meningkah. “Suara, awak jangan main-mainkan aku. Ni tepi hutan awak tau tak?” Geram pula Maya tatkala menyedari dia ditinggalkan berseorangan di situ. Dalam diam, dia berasa amat menyesal kerana mengakuri permintaan suara halimunan itu. “Awak ni betul-betul tak gunalah.”

Maya cepat-cepat berundur pabila tertangkap bunyi tayar berderit kuat. “Siapa pula yang sibuk berlumba kereta tengah malam buta ni?” aju Maya pada diri sendiri dan sekali lagi berpusing menghadap jalan raya arah kiri pula. Dia kemudiannya memandang hala kanan semula apabila ternampak terjahan cahaya lampu yang tersorot garang dari arah tersebut. Nampaknya dua buah kereta sedang sakan berkejar-kejaran ketika ini. “Alamak! Matilah aku!” Maya cepat-cepat berlari menjauhi jalan raya apabila melihat cahaya lampu yang terhunus dari dua buah kereta itu menerjahnya.

Waktu ini dadanya dihentam debaran yang tiada terkira hebatnya. Maya berasakan nyawanya seperti tercabut pabila kedua kereta itu tiba-tiba berlanggar dan salah sebuah darinya terpelanting halanya. Maya cepat-cepat tunduk sambil menutup mukanya dengan kedua tangan. Sementara kereta yang sebuah lagi terbalik beberapa kali sebelum menggeser permukaan jalan raya. Maya tidak segera membuka mata melainkan menggigil di tempatnya tadi. Dia berasa sungguh takut dan enggan melihat apa yang telah terjadi. Sedetik kemudian suasana bertukar hening dan sunyi sepi.

Beberapa saat kemudian, barulah Maya memiliki keberanian untuk membuka mata termasuk meleraikan jari-jemarinya yang menutup sebahagian mukanya. Ketika ini dia seperti terdengar bunyi kipas biliknya berputar ligat. Tanpa bertangguh Maya segera merenggangkan bilah jemarinya lalu mengintai suasana persekitarannya. Maya terkejut apabila mendapati dia berada dalam bilik tidurnya dan sedang berdiri dengan jari-jari menutup muka. “Tak mungkin.” Maya seperti tidak berpuas hati.

Apa yang dilihatnya tadi bukanlah khayalan mahu pun imaginasi. Kejadian tersebut memang benar-benar berlaku depan matanya. Ketika ini dia semacam masih terasa kehangatan rerumput yang dihujani embun pagi di tebing jalan raya tadi. “Mungkin misteri inilah yang dimaksudkan oleh suara tadi. Misteri mengenai punca kemalangan yang melibatkan dua buah kereta.” Ayat yang dipetiknya tergantung di situ. Maya kemudiannya terkocoh-kocoh membancuh semug minuman lalu duduk menghadap komputer.

Tanpa bertangguh, Maya mengetuk papan kekunci dan segala apa yang dilaluinya tadi diterap ke dalam karyanya. Menjelang pagi barulah Maya tergerak hati hendak melelapkan mata. Kali ini dia tidak melalui apa-apa. Dia hanya terjaga ketika matahari sudah meninggi. Bunyi telefon bimbit memaksa Maya bangun. Dia menghulurkan tangan lalu meraba-raba di bawah bantal dan persekitarannya dengan mata masih terpejam.

“Eh mana pula benda bedebah ni?” Maya terpaksa menguak sedikit matanya lalu dengan pandangan mamai, disorotinya kesemua tempat. Gadis itu kembali tidur bertimbun dengan selimut apabila telefon bimbitnya sudah tidak berdering. Apapun keseronokannya menguliti mimpi kembali terjejas apabila telefon bimbitnya memekik semula.

“Alah...” Dengan muka kusut dan lesu, Maya berusaha bangun lalu mencicirkan pandangan. “Huh!” keluhnya malas dan dalam rasa terpaksa Maya terpisat-pisat ke tubir katil. Dia kemudiannya melangkah malas arah meja komputer. Telefon bimbitnya yang terdampar sepi di situ diambil. “Ha! ada apa?” tanyanya kasar setelah menekan punat menyambut.

“Amboi garangnya,” usik Jiah sengaja mengacah.

“Ada apa?” ulang Maya lagi semacam kurang sabar.

“Kau tak keluar ke petang ni?”

“Tak. Aku sibuk.”

“Sibuk menulis ke? Alah, keluarlah sekali-sekala. Tenangkan minda,” tingkah Jiah. Maya diam. “Ada kawan nak meraikan hari jadi kat Kingfisher malam ni. Dia jemput awak, aku dan Munira.”

“Aku tak dapat. Aku sibuk sangat ni.”

“Sekejap pun tak dapat ke? Kita bukannya nak berlama-lama kat rumah kawan tu.” Suara Jiah seperti mendesak.

Maya menghela nafas. “Aku tak dapat pergi walaupun sekejap saja. Setiap detik adalah amat berharga buatku. Aku perlu habiskan manuskrip-manuskrip yang lain selain manuskrip yang sedang dalam penulisan ni,” kata Maya panjang lebar. Jiah akhirnya mengalah. “Maafkanlah aku okey.” Sejurus perbualan pun dimatikan.

Maya tidak segera kembali ke tempat tidur melainkan melencong ke kamar mandi. Dia ingin buang air kecil. Kali ini pintu kamar mandi sengaja tidak dikatupkannya. Dia sebenarnya risau seandai muka yang muncul di cermin itu menjengahnya semula. Setelah selesai, Maya mudik arah balkoni pula. Kali ini dia ingin menikmati cahaya pagi sambil menghirup udara segar. Walau sudah diketahuinya udara di kawasan setinggan ini tidaklah sesegar mana.


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.