Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 20

Ferdy kelihatan terkejut apabila melihat sesuatu berdiri di belakang Maya. Ia seperti bayang-bayang hitam dan menyorok di belakang gadis itu. Dia hampir-hampir mahu mendedahkan hal tersebut. Namun kasadnya terkambus pabila Jiah mengajak Maya dan Munira permisi. “Nampaknya kawan kau orang tu dalam keadaan bahaya.”

Azhan dan Johan memandangnya serentak. “Siapa yang awak maksudkan? Jiah ke? Atau Munira?” Johan kurang senang.

“Gadis hodoh tu. Ada benda halus nak kacau dia.”

“Err! Fer cakap biar betul. Macam mana Fer tahu? Fer ada bukti ke?” Azhan juga kurang selesa. Dalam diam, dia bimbangkan keselamatan diri Maya. Dia tahu benda ni tak boleh dibuat main-main. Ferdy tersenyum. Dengan selamba, dia menuturkan kejadian tadi. Zurhan terperangah mendengarnya. Manakala Johan sekadar beristiqfar. “Aku risaulah.”

Ferdy menarik nafas. “Satu saja cara nak mengatasi semua kekalutan ni.”

“Maksud awak?” Johan kurang sabar. Dadanya turut dipentung debaran selepas menadah selembar cerita tadi. Almaklum, Maya tu kawannya juga walaupun hodoh. Ferdy angkat bahu tanda tidak tahu. “Kau cakap tadi kau tahu caranya.” Bengang pula Johan dibuatnya. Tunaknya terjegil dengan sinar mata mencerlang. Azhan tidak menampilkan respon. Dia lebih senang membatu dari mengirai kata.

“Selepas ni kamu berdua nak pergi mana?” tanyanya cuba menyasarkan topik perbualan.

“Tak ke mana-mana. Kan hari ini giliran aku menyediakan makan malam,” kata Azhan lantas mengintai jam tangannya. Dia kemudiannya meminta diri. Sementara Johan pula masih terhangak-hangak di situ dengan jemala berserabut memikirkan diri Maya. Dia sungguh bimbang.

“Dahlah tu. Jom!” ajak Ferdy lalu menyusul Azhan. Johan hanya meningkahnya beberapa detik kemudian. Lelaki itu melangkah perlahan. Anak-anak tangga yang tersua di hujung kaki dipijaknya satu-persatu. Apapun, dia tidak segera menolak daun pintu setelah tiba. Dia termenung sejenak seolah sedang berusaha mengingati sesuatu. Dengusannya bertaburan kemudian. Dengan gerak perlahan, dia mendorong daun pintu dan terkejut amat sangat. Ruang yang hendak dimasukinya itu ternyata sebuah gaung yang amat dalam.

Sesayup mata memandang kelihatan di bawah sana berceruak batu-batu tajam. Pandangannya dialihkan dan tempat tersebut dihuni hutan belantara yang tiada berkesudahan. Semangat Johan bersepai setelah menyedari tempatnya terpacak. Dirinya bagaikan sebatang punggur yang terhulur di bibir gaung tersebut. Tiba-tiba angin berhembus rakus.

Johan terhuyung-hayang dan tanpa diduga dia seperti terjatuh lalu melayah-layah ke bawah. “Heh! Apa kena dengan awak ni?” Tepukan Ferdy berjaya mengembalikan Johan semula ke alam realiti. Johan tersentak lantas tergesa-gesa menggosok kedua belah matanya. Pandangannya dicerunkan. Disorotinya semula kediaman mereka. Wajahnya yang pucat lesi menjadi santapan Ferdy. “Kenapa dengan dia?” Azhan menjenguk. Tangan kirinya berisi sebiji bawang merah. Manakala tangan kanannya mencengkam hulu pisau.

Ferdy angkat bahu lantas berpatah ke tempat duduk. Tidak diendahkannya Johan demikian juga Azhan. “Jo okey ke?” Sua Azhan kemudian melingas ke dapur semula. Dilihatnya Johan semacam enggan memerun setambun kata. Johan akhirnya melangkah masuk selepas membuat perhitungan. Dia sebenarnya risaukan gambaran tadi berulang semula. Dengan wajah bungkam, dia mengatur langkah hala tempat duduk. Ferdy hanya memandangnya sekilas dan kembali menatap kaca televisyen.

Wajah Maya berubah apabila ternampak Syah sedang bertenggek atas kereta Subaru. Lelaki itu sedang termenung jauh dengan pandangan tersua arah laut. Maya ingin menghampirinya namun kasadnya terpaksa dipadam lantaran kehadiran Jiah dan Munira di situ. “Fuh... kacaknya lelaki tu.” Munira terjeling-jeling.

“Hisy! Awak ni... buat malu kaum hawa je.” Jiah mencebik. Dikerlingnya Maya. Maya berasa diperhatikan lantas memandang arahnya sambil merapikan bingkai cermin mata.

“Apa?” Gadis itu kehairanan.

“Yang kau macam salah tingkah ni kenapa?” sua Jiah. Munira yang berada di sebelahnya turut memandang Maya. Maya angkat bahu sambil berkata tiada apa. “Lelaki tampan ni kebanyakannya tak guna. Mata keranjang...” umpat Jiah lalu mengalihkan pandangan arah Syah. Tambahan pula kedudukan mereka berdua terlalu hampir dengan Syah. Tika ini bayu sedang berhembus lesu. Ombak pula hanya menghempas sekali-sekala. Syah yang berasa diperhatikan memandang dan mengalihkan muka arah laut semula.

Dia sedikit pun tidak menyedari kehadiran Maya di situ disebabkan kedudukan Maya yang agak terlindung. Maya pula semakin kerap merapikan bingkai cermin matanya. Dalam diam dia berdebar-debar pula. Walau di hati dia teringin sangat nak berjumpa dengan Syah. Namun kewujudan Jiah dan Munira seakan tidak mengizinkannya untuk berbuat demikian.

Mereka bertiga terus saja melangkah menuju ke persisiran pantai. Waktu inilah satu suara kedengaran memanggil nama Maya. Jiah menoleh diikuti oleh Munira dan Maya. “Maya!” Syah meloncat turun dari bonet depan keretanya. Jiah dan Munira memandang Maya serentak dengan muka hairan. Maya serba-salah. “Alahai sombongnya awak...” Syah tersengih-sengih.

“Hmm...” Maya semakin berasa serba-salah. “Kejap.” Ditariknya lengan Syah ke satu tempat. Jiah dan Munira yang berasa hairan dan tidak berpuas hati memandangnya tanpa senyuman. “Kawan-kawan aku tu tak tahu apa-apa. Manalah tahu kau terlajak cakap pula depan mereka. Kenapa tak datang kat rumah. Puas aku tunggu.”

Syah menggaru-garu kepala. “Maaflah Maya... aku agak sibuk sekarang ni. Fasal Zak... keadaannya agak stabil sekarang ni. Mungkin semangatnya berkelana.”

Maya angguk-angguk. “Awak tahu Syah... rumah Zak tu macam dihuni puaka. Bukan sekali dua aku dijenguk dan diganggu oleh hantu lelaki gondok dan wanita berjubah tu. Pernah sekali aku ternampak lelaki gondok tu sedang menyusun batu-bata dalam bilik setor. Entah apa yang hendak ditutupnya. Hantu lelaki tu kemudiannya menyerang aku dengan mulut terkoyak,” jelas Maya panjang lebar. Dilihatnya Jiah dan Munira sedang mencari tempat untuk melabuhkan punggung. Kedua gadis itu berbisikan dan sesekali memandang mereka. Syah angguk-angguk lantas menelan air liur.

“Mungkin ada sesuatu yang terjadi kat situ. Bersabarlah. Kita akan selesaikan masalah tu nanti.” Muka Syah seperti tidak risaukan sesuatu.

“Yalah... oh ya... Syah ada simpan kunci pendua bilik tidur Zak ke?”

“Hmm...” Syah berfikir-fikir sekejap semacam sedang cuba mengingatkan sesuatu. “Kunci tu ada kat bawah pasu pokok bonsai buatan yang terletak dekat pintu utama. Zak yang letak kat situ. Kenapa? Maya nak tidur kat bilik Zak ke?” usik Syah sengaja mengacah. Kedua tangannya dimasukkan ke dalam poket jeans. Pandangan masih tersua hala Maya. Senyumnya terukir tiap kali Maya memandangnya.

“Tak juga. Aku berkira nak kemas bilik tu.”

“Eloklah tu. Zak pun dah semakin baik sekarang ni. Aku ada pergi melawatnya baru-baru ini. Rentak nadinya dah semakin stabil.”

“Baguslah.” Maya tersenyum mendengarnya. Sejurus, Maya meminta diri untuk kembali mendapatkan Jiah dan Munira. Sementara Syah pula kembali semula ke kereta Subarunya.

“Boleh tahan juga awak ni,” kata Munira agak cemburu. “Diam-diam ubi berisi pula Maya sekarang ni ya.” Suaranya kedengaran getir dan lirih. Gadis itu berasa cemburu sebenarnya.

“Engkau dan dia tu apa sebenarnya?” Kini giliran Jiah pula bertanya.

Maya menghela nafas. “Kami kawan biasa je.”

“Macam dia suka aje kat Maya tu.” Nada suara Munira kian parau.

“Tak adalah. Dia gay sebenarnya.” Dia terpaksa cakap begitu untuk mengelakkan dirinya ditunjal pertanyaan lagi. Jiah dan Munira kelihatan terkejut lantas memandang Syah serentak. Syah tidak bereaksi. Gelagatnya semacam tidak berminat terhadap kedua anak gadis itu. Apapun, dia cepat-cepat tersenyum dan melambai apabila Maya yang memandangnya. “Jomlah!” Maya mengajak mereka berdua pergi selepas beberapa minit berlalu. Jiah dan Munira mengangguk tanda bersetuju. Mereka kemudiannya beriringan ke tempat meletak kereta.

Maya cuba memandang Syah pabila Opel Zafira Jiah mula bergerak meninggalkan kawasan Tanjung Lipat. Sebuah lokasi yang telah dinaik taraf menjadi pusat rekreasi dan sebagai tempat persinggahan. Dahi Maya berkerut bila melihat Syah sudah tidak berada di situ. “Cepatnya Syah menghilangkan diri,” getusnya perlahan dalam nada berbisik. Munira yang duduk di bahagian depan menoleh sekejap ke belakang. Agaknya gadis itu terdengar desis suaranya tadi.

Selesai menikmati santapan petang, Maya mengajak mereka berdua pergi membeli-belah. “Dapur aku tu dah tak ada apa yang nak dimakan,” jelas Maya pabila Munira bertanya. Munira angguk-angguk tanda faham. Dia ingatkan Maya mahu berbelanja dengan membeli pakaian baru. Almaklum, kebanyakan pakaian Maya dah kusam dan lusuh. Memang wajar pun ditukar. Dia dan Jiah turut menyumbangkan sedikit kelengkapan dapur. Maya tidak menolak. Baginya, tak salah mereka semua memikul tanggungjawab ini bersama. Setelah selesai, mereka bertiga bergerak ke tempat letak kereta.

“Maya, Jiah... tengok lelaki tu. Bukankah dia kawan awak? Awak cakap tadi dia lelaki gay dan...” Sengaja Munira tidak meneruskan ayatnya. Maya dan Jiah memandang serentak arah yang ditudingnya.

“Hmm...” guman Maya lantaran terkejut. Demikian juga Jiah.

“Tak sangka dia tu mat buaya,” bisik Jiah. Ekor matanya masih meneliti penampilan dan perwatakan lelaki tersebut. Turut bersama lelaki itu ialah seorang gadis berpakaian singkat. Mereka sedang berbual-bual dalam bahasa Inggeris. “Cantik perempuan tu,” puji Jiah tanpa sedar. Munira mencebik seperti kurang senang. “Fuh! Cun Subaru miliknya. Fully modified lengkap pula dengan airbrushing ala hunter.”

“Kenapa tak puji masa kat Tanjung Lipat? Sekarang baru sibuk nak puji. Jomlah!” Munira menggemik lengan Jiah. Mereka bertiga bergerak serentak. “Lelaki tak guna tu buat-buat tak kenal kita pula. Tadi bukan main lagi kat Maya.” Gadis itu masih tidak berpuas hati.

“Suka hati dialah nak buat apa,” tegur Jiah sambil menghidupkan enjin keretanya. Manakala pasangan serasi tersebut masih leka berborak. Sesekali tawa mereka berdua bersatu. Dan sesekali jua jari-jari runcing gadis tersebut mencuit manja pipi lelaki itu. Munira semakin benci melihat semua tu. Terasa sakit pula hatinya. “Relaklah Ira.” Jiah mentertawakannya. Maya hanya tersengih. Dia berasa hairan kenapa Munira marah sangat. Walhal lelaki kacak tu bukan sesiapa dalam hidup Munira. Tambahan pula, perkenalan singkat tadi belum boleh dijadikan alasan untuk Jiah dan Munira mengatakan kenal pada lelaki tersebut.

Opel Zafira Jiah terus saja bergerak meninggalkan bangunan Wisma Merdeka. Meredah lebuhraya menuju ke kawasan Menggatal. “Suram sungguh rumah sewa Maya dari kejauhan.” Jiah melepaskan cerutan tali pinggang keselamatan yang terasa menjerut tubuhnya. Hanya keluhan Maya berikan sebagai jawapan darinya. “Apa tajuk karya Maya kali ini?”

“Belum ada lagi Jiah.” Sengaja Maya merahsiakan tajuk manuskripnya.

“Bubuh ajelah tajuk Maya Mistik. Hmm... ada kisah cinta ke?”

“Mungkin tak ada.” Maya bergegas turun untuk membuka kunci mangga pagar. Munira turut melangkah turun. Maya memberikan isyarat jari sesudah menolak kedua bilah pintu pagar. Jiah segera memasukkan kereta. Selepas itu Maya menutup semula pintu pagar dan memanggakannya. Mereka bertiga segera bekerjasama mengeluarkan plastik berisi barang-barang dari dalam bonet kereta. Sepanjang masa tersebut, Maya berasakan dirinya seperti diperhatikan sesuatu dari kejauhan.

Apapun, dia tidak pula mencari gerangannya yang sedang mengintainya tika ini. Setelah selesai, mereka bertiga beriringan masuk. Buat seketika, mereka bertiga hanya duduk berehat di ruang tamu sambil menikmati angin yang terhasil dari putaran kipas siling. Munira bangkit sejurus untuk menghidupkan peti TV. Manakala Maya dan Jiah beriringan ke dapur untuk mengatur barang-barang tadi. Selepas itu, Jiah membancuh seteko minuman panas untuk mereka bertiga. “Pergilah mandi dulu Jiah,” suruh Maya.

“Nantilah. Amboi! Dah tertidurlah pula budak sihat ni.” Senyumnya kembang. Dulang yang ditatangnya diletakkan atas meja hidang. Tidak diketahuinya Munira berasa seperti masih terjaga dan sedang terkebil-kebil memandang mereka berdua. Maya melabuhkan punggung. Makanan ringan yang bersusun dalam piring kaca diletakkannya. Dia turut memuntahkan senyuman pabila melihat Munira terlelap dengan kedua batang kaki tersadai atas bahu sofa. “Tak sopan betul budak gempal ni. Nama bukan main gempak tapi badan macam gajah.” Jiah menggeleng-gelengkan kepala.

“Tak mengapalah. Agaknya Ira letih.” Maya mengalihkan siaran TV. Dia mahu mendengar berita di TV3. Munira yang berasakan dirinya masih terjaga memandang tajam. Dilihatnya Jiah dan Maya berbual sakan tanpa suara. Mereka berdua tidak berbisik namun suara mereka hilang entah ke mana. Tiada sepatah pun tercurah ke dalam balang telinga Munira. Situasi ini membuatkan Munira tidak berpuas hati dan berasa marah. Manalah diketahuinya dia terlena ketika ini.

“Mengumpatlah tu.” Munira bingkas lalu beredar ke bilik air. Dia ingin membasuh tapak kakinya. Jiah dan Maya yang berada di ruang tamu tersentak. Bunyi pintu bilik air dibuka kemudian dihempas kuat berjaya menyerpihkan kewarasan mereka berdua. Sejurus, kedengaran pula bunyi kepala paip dipulas diikuti bunyi air mencurah. Maya segera memperlahankan bunyi TV dan memandang tajam hala bilik air. Mereka berdua menelinga. Sejurus, bunyi derit kepala paip diputar kembali kedengaran. Selepas itu tiada apa lagi yang mengusik pendengaran mereka kecuali desahan nafas Munira.


Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.