Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 7


“Encik! Sila ikut kami ke balai untuk membuat laporan dan melakukan ujian air kencing!” laung salah seorang dari Pegawai Polis tersebut. Dia malas hendak mendaki ke situ. Isqbal menoleh. Dia kelihatan serba-salah dan enggan meninggalkan Maya.

“Mari ikut aku! Tak adil kalau aku saja yang kena berdepan dengan orang balai. Padahal awak juga terlibat sama. Aku paling benci orang yang pura-pura tak tahu dan lepas tangan.” Lengan Maya direntapnya lalu diheret kasar ke bawah. Maya terkial-kial. Dalam hati mahu saja dihempuknya kepala lelaki itu dengan buku yang dipegangnya.

Pegawai Polis yang sedang menanti di bawah memandang hairan. Dirasakannya tindakan Isqbal tidak wajar. “Tolong lepaskan tangan gadis itu encik!” arahnya. Nada suaranya berubah kasar. Mukanya bertukar bengis. Dia terkejut apabila tersantap tindakan Isqbal yang semacam mahu mencari pesalah baru dengan melibatkan gadis dungu itu. Orang ramai yang berceracak berhampiran mereka turut memandang hairan. Mereka kemudiannya berbisik-bisikan sambil memandang Maya dan Isqbal silih-berganti. Jauh di dasar kepala tertanam serumpun praduga.

“Dia juga terlibat! Tak adillah kalau aku saja yang terpaksa menanggung geruh ni. Lagipun aku tak nak aku seorang saja yang dipersalahkan! lebih-lebih lagi kalau pemandu Exora itu ditakdirkan menemui ajal. Mampuslah aku diserang keluarga dan kaum kerabatnya!” kata Isqbal mula emosi. Ketenangan dan kewarasannya bersepai ditukul keengganan Maya.

Dua orang Pegawai Polis menapak arah mereka termasuk Pegawai Polis berpangkat sarjan tadi. “Lepaskan gadis itu encik. Pemandu bas tu bagitahu gadis itu baru turun dari bas tadi. Awak jangan memandai nak babitkan dia tanpa bukti kukuh. Sekarang, awak nak kami heret awak secara paksa ke balai ataupun awak ikut kami dengan rela hati?” Inspektor Jenayah empat paku itu terpaksa bertegas. Sikap dan tindakan Isqbal yang seperti samseng itu menjengkelkan.

Isqbal terkedu. “Tapi tuan... aku...”

“Kami nak dengar cakap awak ke atau pemandu bas tu?” pangkas Inspektor itu pula sengaja mahu menyoalnya. Isqbal serba-salah. Dikerlingnya Maya dengan muka geram.

“Encik, barangkali yang awak nampak tu hanyalah seekor hantu. Hantu jelmaan kepada mangsa nahas sebelum kejadian hari ini,” celah salah seorang dari Pegawai Polis itu. Bahkan dialah juga yang telah menghuraikan serba sedikit mengenai nahas sebelum ni. Maya yang hanya membatu sejak tadi menarik tangannya dengan kasar. Sekilas teringat olehnya situasi serta kedudukan dirinya sewaktu kejadian tersebut terpentas semula. “Agaknya yang awak nampak tu hantu menyerupai gadis ni.”

“Hisy! Kau jangan melalutlah Jake,” tegur rakan sekerjanya.

Inspektor Jenayah itu menarik nafas seraya memandang Maya sejenak. “Cik, awak ada terasa ke yang awak berada kat sini semasa kejadian tadi?’ soalnya. Dia bukan mahu merancakkan lagi perbualan tersebut. Tetapi kebetulan pula dia sendiri berasakan keanehan terhadap geruh yang berlaku hari ini. Ia semacam berkaitan dan merupakan kesinambungan terhadap nahas tiga bulan lepas.

Di mana ia membabitkan anak tunggal Tan Sri. Bahkan kes ini telah diklasifikasikan sebagai kes culik dan cubaan membunuh. Hingga kini mereka masih berusaha mengutip maklumat serta fakta berkaitan untuk menyelesaikan kes ini. Pendek kata, mereka masih giat menjalankan usaha untuk menjejak dalang sebenar kejadian tersebut. Mungkin kemalangan itu tidak disengajakan namun bagaimana pula dengan anak lelaki Tan Sri?

Pemuda malang itu dijumpai dalam keadaan terikat. Bahkan terdapat beberapa kesan biru lebam dipercayai terhasil dari perbuatan seseorang selain luka-luka yang baru. “Aku tak faham apa yang awak semua cakapkan.” Maya buat muka bodoh. Walhal dadanya sedang tenat dihempuk debaran.

“Habis bahasa apa yang awak faham?” bedil Isqbal. Suhu panas yang sedang membahang dalam dadanya belum reda lagi. Tunaknya terjegil sewaktu membidik muka Maya. Tiada senyuman meranum di bibirnya.

“Awak cubalah bertenang. Dia kan cuma seorang gadis. Dia tak tahu apa-apa pun fasal masalah awak. Aku tanya macam tu bukan kerana mahu membela atau menyokong awak. Awak janganlah salah tafsir.” Kali ini giliran Inspektor Jenayah itu pula membidik Isqbal. Dia kemudiannya mengarahkan anak-anak buahnya membawa Isqbal pergi. Isqbal pula masih sempat memandang Maya. Dia menggunakan bahasa muka sebagai amaran buat Maya. “Jangan pedulikan dia.” Pegawai polis itu mendecitkan hujung lidah. “Cik tinggal berhampiran lokasi ni ke?” Suaranya berubah lembut.

Maya mengangguk. Bingkai cermin matanya dirapikan.

“Ada tak perkara atau kejadian pelik berlaku sepanjang tempoh 3 bulan di sekitar kawasan ni? Misalnya kemunculan lembaga ke atau apa-apalah?” Maya menggelengkan kepala. Pegawai polis itu mengajukan pertanyaan lagi namun jawapan Maya tetap sama. Pegawai polis berpangkat Inspektor itu akhirnya melepaskan Maya pergi. Waktu yang sama, orang ramai yang berasak-asak tadi turut beransur pergi. “Gadis pelik berwajah misteri.” Demikian gelaran yang diberikan oleh pegawai polis itu kepada Maya.

Maya termenung. Dia keliru memikirkan geruh tadi. Serasanya, kejadian tadi bukanlah satu gambaran tetapi memang benar-benar berlaku. “Kenapa agaknya lelaki sombong dan bongkak itu mendakwa dia ternampak aku kat situ?” Jiah yang sedang menghirup minuman Lemon Tea Ais memanggung muka. Lantas mengangkat bahu sambil berkata tidak tahu. “Pelik betul. Aku yang tidak tahu apa-apa pun menjadi mangsa kemarahannya.”

“Dia tidak mahu menanggung beban masalah tu sendirian agaknya. Kebetulan pula, dia ternampak perempuan seiras kau turut terconggok di situ.”

“Itu seiras je tetapi bukannya aku. Bodoh betullah lelaki tu. Sakit tangan aku ni disentap kemudian ditariknya dengan kasar.”

“Kenapa kau tak tampar saja muka lelaki tu?”

“Aku memang bercadang nak buat macam tu tapi buat sementara waktu aku cuba bersabar dulu. Lagipun abang-abang polis tu ada untuk menampan aku dari menjadi mangsa tuduhan lelaki tu.” Dibongkarnya tiub-tiub ais yang berapungan dalam gelas minumannya. “Teruk juga kereta Exora yang kena langgar tu,” katanya dengan wajah semacam sedang termenung.

“Pemilik kereta tu cedera parah ke?” Muka Jiah seperti kengerian. Maya angkat bahu.

“Pemandu kereta tu dah diangkut ambulans semasa aku turun dari bas untuk melihat kejadian tu. Yang ada ketika itu dua buah kereta tunda, sekumpulan pegawai polis, kereta Exora dan Merc. Serta orang ramai termasuk lelaki biadab tu dan penarik kereta tunda.” Maya menjelaskan. Jiah angguk-angguk. “Aku rasa tempat tu macam berpuakalah.”

Jiah tersenyum. “Elok benarlah tu. Sekurang-kurangnya kau dah punya destinasi untuk mendapatkan ilham. Ada masa terluang, kau cubalah beranikan diri untuk menjelangi lokasi tu pada waktu malam. Lagi bagus sewaktu sang rembulan sedang mengambang penuh.”

“Semua tu tak perlu. Kat rumah sewa tu pun berkeliaran hantu sampai aku sendiri pun dah tak mampu bertahan lagi.”

Jiah mentertawakannya. “Hantu-hantu kat rumah tu terhasil dari imaginasi dan khayalan awak sendiri. Kau tak nampak ke merah padan muka Ira menahan geram kat kau dulu? Di antara kami berdua, dialah yang paling terkejut apabila terdengar engkau menjerit-jerit seperti kerasukan kat dalam rumah sewa tu. Sebelum tu, kami berdua berganti-ganti menelefon awak tapi tak dijawab. Pada sangkaan kami, mungkin awak tertidur ataupun sengaja tak nak sambut call.”

“Aku tak dengar apa-apa pun.”

“Memanglah sebab awak sibuk menulis. Seluruh fikiran dan perasaan awak tertumpu pada karya tersebut. Termasuk jiwa dan segala-galanyalah yang awak miliki. Kerana situasi inilah gambaran-gambaran yang menakutkan menjelangi diri awak. Termasuk watak-watak yang memainkan peranan penting untuk menghidupkan lagi jalan cerita karya awak.”

“Namun kejadian tadi bukan sekadar gambaran tetapi memang benar-benar berlaku.”

“Itu aku tak nafikan.” Minumannya dihabiskan. “Kau seharusnya berwaspada terhadap apa yang sedang kau buat sekarang ni. Apa yang Ira cakapkan tempoh hari tu memang ada kebenarannya. Penulisan dan penghasilan sesebuah karya ni bagaikan satu proses ritual. Kuasa upacara tersebut akan menjadi kuat dengan adanya penyerahan jiwa dari pengendalinya. Maknanya di sini... karya awak akan kelihatan bernyawa seandai awak sendiri beraksi dalam karya tersebut.”

Maya tersenyum. “Aku tahu semua tu. Tapi aku sendiri tak boleh elakkan diri dari cuba beraksi dan menikmati perjalanan karya ini. Aku terapkan semua elemen yang aku ada untuk mendapatkan cerita yang terbaik. Dan apa yang paling penting sekarang, karya yang tidak seberapa ini berjaya menguasai pemikiran para pembaca. Tumpuan dan kepuasan para pembaca amat penting untuk melariskan lagi setiap karya-karyaku selepas ini. Aku mahu namaku dikenali sebagai penulis yang berjaya," ujarnya seraya menyambung semula.

"Sebelum ini, aku amat dikenali sebagai penulis kisah cinta dan masyarakat. Namun selepas ini aku mahu dikenali pula sebagai penulis cerita mistik, seram, adventure dan thriller. Aku tak nak terkurung dalam kepompong yang sama. Berlegar-legar dalam takuk yang sama tiap kali melahirkan karya. Bagi aku, penulis yang berjaya dan serba boleh adalah seorang penulis yang bijak memanipulasikan semua elemen kehidupan. Dan kalau diizinkan aku ingin menjadi seperti itu,” kupasnya panjang lebar.

Dia kemudiannya menghabiskan saki-baki minumannya. Jiah tersenyum sambil berkata aku faham. Waktu ini suasana dalam warung kecil yang hanya terletak di lereng jalan Sepanggar tidaklah sesibuk mana. Hampir kesemua pelanggan sibuk bersembang mengenai kejadian kemalangan pagi tadi. Bahkan ada yang sempat menokok tambah untuk menyedapkan lagi cerita. “Jom. Rimas aku tengok mereka tu. Sejak tadi pandang-pandang awak sambil berbisik macam sedang mengumpat je nampak.”

“Biarkan. Tindak-tanduk mereka tu tak sakit berbanding tuduhan lelaki bongkak tu.” Sejurus, mereka berdua pun bingkas usai membayar bil minuman.

“Teruk tak hutan belantara tu?” tegur satu suara yang amat dikenali oleh Maya. Maya menoleh dengan pandangan tercari-cari.

“Panjang pun umur awak. Apa maksud awak?” Maya mencebik. Dilihatnya kertas-kertas kosong di tepi komputer iaitu tempatnya melakarkan beberapa nama milik watak-watak dalam manuskrip mistiknya ditepikan. Seolah ada yang menolaknya ke tepi. “Awak ke yang pandai-pandai sambung cerita aku ni?” tanyanya dengan nada suara penuh syak wasangka.

Suara itu ketawa perlahan. “Aku manalah pandai menulis Maya. Kerana kepakaran dan kebolehan awak inilah aku berada di sini. Namun, aku kurang bersetuju terhadap cara awak menyelesaikan misteri perlanggaran tu.”

“Alah, suka hati akulah nak tulis apa. Yang engkau sibuk ni kenapa? Dahlah kau tinggalkan aku kat tempat tu, sekarang kau nak basuh kepala otak aku pula. Banyak cantik muka engkau.” Maya mencebik. Mukanya kering-kontang semacam marah.

“Aku bukan sengaja nak tinggalkan kau berseorangan kat tempat tu. Sebenarnya aku memang tak boleh berada di tempat tu walaupun aku nak sangat berada kat situ. Hmm... sejak bila pula kau terfikir mengenai watak-watak dalam karya awak ni?”

“Sejak aku mula menulis mengenai kejadian perlanggaran itulah,” jawab Maya acuh tak acuh. Pandangannya tidak beralih kerana tiada apa yang hendak dipandangnya pun. Sungguh pun begitu, dia tetap berasakan dirinya diperhatikan oleh seseorang waktu ini.

“Oh begitu ke? Tapi yang kau nak tulis ni kisah mistik dan misteri kan?”

“Ya.” Dia mengangguk pantas. Kedengaran bunyi lidah berdecit milik suara misteri itu.

“Kalau begitu kenapa selitkan kisah yang tak sepatutnya kau tulis? Seeloknya cuba elakkan kisah-kisah seperti tu. Kalau awak nak pun, cuba sentuh sikit je. Jangan terlalu menampakkan watak Maya tu sebagai seorang gadis yang perasan.”

“Eh! Suka hati akulah. Engkau ni banyak komplenlah. Bagus kalau kau pandai sangat menulis.” Maya mencebir bibir dengan muka masam kelat. Suara itu ketawa perlahan.

“Kalau kau nak sangat watak Maya tu dilamun cinta, kau tulislah watak aku dan kau telah...”

“Ceh! Siapalah yang nak jatuh cinta kat kau. Dahlah jasad pun tak tau tercicir kat mana, suara pun macam suara kambing.”

Suara itu tergelak lagi semacam kelucuan. “Aku tak jauh berbeza dengan pemuda idaman awak tu. Wajah dan tubuh badanku persis putera impian kau. Aku lebih dari pasti kau akan menyukaiku Maya,” ujar suara halimunan menekan suara.

Maya tersenyum lebar. Matanya berkelip-kelip dengan hati berbunga-bunga. “Maksud kau Azhan ke? Hanya dia seorang jejaka tampan yang paling aku minati dalam kelas bahasa Inggeris tu.” Maya tersengih-sengih lagi.

“Bukan.” Suara itu kedengaran sungguh dekat.

“Habis tu siapa pula?” Maya memandang geram. Bibirnya memuncung. Apapun, pandangannya beralih semula kerana tiada apa yang telus ke dalam anak matanya selain dinding biliknya.

“Watak akulah.”

Maya ketawa perlahan. “Kelakar betullah engkau ni. Aku sukar nak bayangkan semua tu. Hmm, apa pula tujuan kau datang bertandang kali ini? Kau nak bawa aku ke tempat kejadian tu lagi ke?” Maya bangkit. Dia berasa haus pula. “Kau nak minum ke? Ops! Maaf ye aku terlupa yang engkau ni wujud sebagai encik Suara ataupun encik Halimunan.”

“Kau cakaplah apa-apa. Aku cuma nak bagitau mengenai insiden tu. Pendapat aku, lebih baik engkau cari maklumat mengenai kejadian ngeri itu.”

“Nak cari kat mana?”

“Carilah kat keratan akhbar ke.”

“Engkau ni cakap senang je. Engkau ingat keratan akhbar tu tulis satu kisah je ke.” Marah Maya pula.

“Kau kena berusaha Maya. Kalau kau tak berjaya bongkarkan semua kejadian ni, ini bermakna aku hanya wujud dalam karyamu ini dan akan lesap selama-lamanya. Aku juga seperti kau Maya. Sebab itulah haba badanku panas sebagaimana dirimu. Aku masih bernafas dan memiliki jasad yang sedang kritikal sekarang ni. Masalahnya aku tersesat dalam karyamu. Kewujudanku sekarang ni hanyalah sebagai salah seorang watak dalam karanganmu. Tolonglah aku Maya, keluarkanlah aku dari sini,” rayu suara itu bersungguh-sungguh benar. Maya menghela nafas. Kata-kata yang terluah dari suara itu membuatkan benaknya dipugar pertanyaan.

“Nanti aku tamatkan saja watakmu dengan mengeluarkanmu dari lembah ciptaanku itu.”

“Tak semudah itu Maya. Kau tak akan mampu membebaskan semangatku dengan menulis cerita semudah tu. Kau kena bongkarkan kejadian ngeri tu mengikut fakta sebenar. Sebagai maklumatmu, banyak roh-roh yang terlibat dalam kejadian tu dan cuma aku seorang saja yang terselamat. Itupun, seandai tiada bantuan darimu... aku juga akan pergi dan berkeliaran sebagaimana mereka yang lain.”

Maya menggaru-garu kepala. “Kau buat aku peninglah.”

“Maafkan aku tapi cuma kau saja satu-satunya jalan untukku keluar dari lembah ni. Tolonglah aku Maya please...” Maya berasakan lengannya digoncang hingga tubuhnya sedikit terhuyung-hayang.

“Yalah! Yalah! Awak ni nak kena sekeh agaknya. Suka-suka nak tolak tangan aku. Tadi kau cakap jasadmu sedang kritikal. Apa maksudmu? Kau terlibat dalam kemalangan tu juga ke?”

“Ya Maya. Aku salah seorang dari mangsa kemalangan tu dan hanya aku seorang saja yang terselamat. Sekarang ni jasadku sedang terlantar dalam hospital dan dalam keadaan kritikal.”

“Maksud kau, kau sedang komalah sekarang ni? Dan secara kebetulan dan mungkin tidak disengajakan... kau memasuki hijab khayalan dan dunia imaginasiku. Begitu?”

Suara itu tergelak riang. “Betul Maya. Kau memang bijak,” puji suara itu dengan nada seperti disuntik semangat baru.

Maya angguk-angguk. Wajahnya kelihatan serius. Selesai meneguk segelas air Maya kembali melabuhkan punggung depan komputer. Dia berfikir sejenak. “Sebenarnya berapa biji kereta dan berapa orang yang terlibat dalam kejadian ngeri tu?” Diambilnya sebatang pensil dan kertas. Suara itu membisu dan mungkin sedang mencongak jumlah yang terlibat dalam kemalangan ngeri tersebut. “Oh ya! Hospital kat mana jasad engkau terlantar sekarang ni? Boleh juga aku melawat awak bila ada masa lapang nanti.”

“Inilah masalahnya. Aku tak tahu hospital mana aku terlantar.”

“Eh! Bodoh betullah engkau ni.” Marah Maya pula lantaran tidak berpuas hati terhadap jawapan suara tersebut. “Takkan tempat kau beristirehat pun kau tak tahu.”

“Betul Maya. Tunang aku...”

“Ada tunang pula?” celah Maya seperti tidak berpuas hati.

Suara itu terdiam sejenak pabila disergah pertanyaan tersebut. “Maafkanlah aku Maya. Aku memang ada seorang tunang. Namanya Imelda.”

“Habis yang kau suruh aku bercinta dengan awak kat dalam cerita ni kenapa?” Maya semacam meluat.

“Hmm... sekadar nak memaniskan cerita,” bisik suara itu semacam risau pula jika Maya berubah hati.

“Kau ingat cerita yang aku tulis ni macam kopi ke? Senang-senang kau nak suruh aku masukkan perasaan dan hati aku sekali dalam cerita ni, lepas tu suruh aku lupakan. Kau fikir semudah tu ke?”

“Alah... engkau ni sensitif sangatlah Maya. Aku nak buat macam mana lagi. Memang pun aku dah ada tunang.”

“Sudahlah! Malas aku nak layan engkau. Kau suruhlah tunang kau tu cari mayat-mayat kawan kau kat tempat kejadian tu. Manatau ada sisa-sisa yang tertinggal. Aku tak larat dan aku bukan kambing hitam kau orang.” Maya bingkas lantas berkemas-kemas hendak pergi.

“Maya janganlah macam tu. Tolonglah aku... aku berjanji akan menghargai pertolonganmu jika kau berjaya mengembalikan semangatku.”

“Lelaki kacak selalunya cakap tak serupa bikin. Lagipun bukannya ada sesiapa pun yang suruh kau orang berlumba-lumba kereta kat tempat tu.”

“Kami bukan berlumba Maya...”

“Sudahlah! Aku dah lewat ni.” Maya terus saja bergegas keluar sesudah mematikan komputernya. Nampaknya dia sudah terlewat untuk menghadiri kelas Bahasa Inggeris tersebut. Suara itu mengeluh semacam kehampaan dan sakit hati.

“Bikin sakit hati,” rungutnya sewaktu menghela langkah menuju ke perhentian bas. Beberapa orang perempuan yang berselisih jalan dengannya memandang hairan. Maya tidak mengacuhkan mereka. Dia terus saja memugar langkah menuju ke perhentian bas. Tiada sesiapa yang berada di situ selain Maya.

“Hai! Sedang menunggu bas ke?” Maya menoleh ke sebelah kiri pabila suara serak basah itu menegurnya. Seorang pemuda berbaju T putih dipadankan dengan seluar jeans biru memandang mesra. Pemuda itu kemudiannya mendaratkan punggung tidak jauh dari Maya. Maya tidak menjawab melainkan merapikan cermin mata berbingkai tebal miliknya.

Dalam diam, dia seperti pernah bersua wajah dengan pemuda tersebut. “Cik adik nak ke mana?” aju pemuda itu diiringi satu senyuman. Maya tidak berkata apa-apa. “Hmm... aku Zurhan.” Pemuda itu memperkenalkan diri dengan nada mesra. Sementara Maya pula cepat-cepat mencubit lengannya sendiri untuk memastikan bahawa dia tidak berhalusinasi ataupun bermimpi ketika ini. Terasa sakit pula.

“Agaknya awak adalah suara tu....” Pandangan Maya bersulam prasangka. Pandangan Zurhan berubah sekejap.

“Suara mana pula?” tanya Zurhan hairan.

“Suara yang selalu mengganggu aku.”

Kening Zurhan bertaut. “Tak adalah. Aku bukan suara tu.” Dia ketawa perlahan. “Dengar cerita cik adik seorang penulis.”

Maya terkejut. “Dari mana pula awak tahu semua tu?”

Zurhan tersenyum. “Adalah,” tingkahnya dengan pandangan masih menikam Maya. Maya berasa malu pula pabila diperhatikan lama-lama. “Cik adik tinggal kat kawasan setinggan ni ke?” Kini pandangan Zurhan beralih kepada persekitaran mereka.

“Ya. Kenapa? Dan awak pula tinggal kat mana?”

“Tempat tinggal aku tidak jauh dari sini. Kalau ada masa datang-datanglah jenguk aku. Hmm... itupun kawan aku.” Zurhan bingkas apabila sebuah kereta bergerak lambat arah mereka. Pelik. Kereta itu tidak mengeluarkan sebarang bunyi sewaktu menghampiri perhentian bas tersebut. Alih-alih saja kereta itu sudah pun berada di depan mata. “Cik adik tak nak tumpang ke?” Zurhan menoleh dengan senyum tersua di bibir.

“Tak mengapalah. Lain kali saja,” tolak Maya dengan mata menjenguk ke dalam kereta tersebut. Dia berasa hairan, kereta itu seperti tidak berpenghuni pula.

“Ok!” Zurhan mengenyit mata arahnya sebelum melangkah masuk ke dalam kereta. Zurhan juga sempat melambaikan tangan sewaktu kereta tersebut meluncur pergi. Maya tersenyum pahit. Pandangan masih mengekori kereta sport itu.

“Awak buat apa pula kat sini malam-malam begini?” tegur seseorang. Maya menoleh dan terkejut apabila sekumpulan anak muda sedang melepak berhampiran dengannya. Salah seorang dari mereka sedang tersengih arahnya.

‘Agaknya dialah yang empunya suara tadi,’ fikir Maya.

“Baliklah. Dah malam benar ni kak.”

Tanpa bertangguh Maya bangkit dan bergegas pergi. Tika ini barulah disedarinya suasana sebenar. Rupa-rupanya hari dah berganjak malam. Entah sejak bila kerana rasanya baru sebentar tadi dia dan Zurhan menikmati siang bersama. “Engkau masih kat sini ke suara?” Sengaja Maya melaungkan pertanyaan sewaktu melangkah masuk ke dalam rumah sewanya itu.

Tunaknya meliar dengan cuping telinga tersua. Tiada tindak balas mahupun jawapan terhadap soalan tadi. Sambil menghela nafas Maya mengatupkan daun pintu lalu berjerih ke dalam bilik. “Aku nak tukar baju. Engkau jangan intai aku pula. Nanti tak fasal-fasal biru mata kau nanti,” ugut Maya walau sudah diketahuinya suara itu tidak berada di situ. Tetapi manalah tahu suara itu memang berada di situ tetapi sengaja tidak berkata apa-apa.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.