Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 21

“Maya nampak tenang.” Jiah membuka mulut selepas beberapa minit berlalu.

“Ha ah? Aku tak rasa pun macam tu.” Terasa pelik pula apabila Jiah berkata seperti itu. Mereka berdua memandang serentak apabila Munira tiba-tiba bingkas. Gadis itu termenung sejenak sebelum menghamparkan pandangan hala mereka berdua. Sinar matanya agak tajam seolah marah dan kesal. “Kenapa dengan Ira ni?” Maya hairan.

“Kamu berdua ni tak habis-habis nak mengata aku. Aku yang duduk terconggok kat sini pun kamu berdua tak hiraukan,” katanya seraya mencebir bibir.

Jiah dan Maya dihempuk rasa pelik. “Err apa pula? Kami tak cakap apa-apa pun fasal awak.” Jiah tidak berpuas hati. Panas pula hatinya pabila Munira menuduh yang bukan-bukan. Walhal tak terbetik pun di hati hendak memburuk-burukkan Munira.

Munira mendengus. “Aku tahu!” katanya meninggikan suara. “Kau orang ingat aku tak nampak ke korang berbual-bual kat situ tadi. Sengaja benar kamu tak kuatkan suara. Risaulah tu kalau aku mendengarnya.”

“Apa ni Ira? Agaknya awak bermimpi buruk tadi.” Maya mencelah. Suaranya kedengaran lembut sewaktu menyusur ke dalam lohong telinga Munira. Munira kian hairan pabila dia dikatakan bermimpi pula. Seingatnya, sepanjang masa ini dia tercelik sama seperti mereka berdua. Bahkan sempat membasuh kaki di dalam bilik air. Takkan mereka berdua tak nampak pula.

“Yalah. Mungkin awak bermimpi buruk tadi. Itulah fasal, bangun-bangun je dari tidur awak terus saja meletakkan kesalahan kami berdua.” Sinis sungguh suara Jiah. Dia bengang dan kesebalan pabila dituduh mengumpat.

“Kenapa dengan kamu berdua ni? Kamu sengaja ke nak kenakan aku?” Munira bengkeng.

“Nak kenakan apa pula? Heh! Sudahlah! Lebih baik awak pergi sambung tidur. Bosan tau nak layan awak.” Suara Jiah berubah keras. Sikap Munira memarakkan bahang yang sedang menerik dalam dada. Maya tidak berkata apa-apa melainkan berusaha bersabar.

Munira tiba-tiba bangun dan berdiri tegak di depan mereka. Mukanya berubah kering dengan biji mata terjegil. “Aku hairan bila kamu berdua cakap aku bermimpi pula. Walhal seingatku, aku juga berjaga sebagaimana kamu berdua. Bahkan sempat ke bilik air tadi untuk membasuh kaki...”

“Bilik air?” ulang Maya dan pandangannya segera menimpa Jiah. Jiah juga tampak terkejut sepertinya.

“Tapi kaki awak tak basah pun.” Mulutnya dijuihkan dan Munira segera menyoroti kakinya. Pelik, kakinya tak basah. “Kalau tak puas hati. Tengok tapak kaki kau tu... masih berdaki ke tak,” suruh Jiah lagi. Tika ini dadanya dibelasah debaran. Munira tidak berkata apa-apa selain mendaratkan punggung. Segera diintainya tapak kaki dan memang benar telapak kakinya masih diselaputi daki berwarna hitam. “Sekarang kau dah puas hati? Sebenarnya aku dan Maya memang nampak awak tidur tadi. Apapun, fasal bilik air tu... memang kami ada mendengar bunyi air paip mencurah...”

Belum pun ayatnya sempat dinoktahkan, pinggul Munira yang besar sudah pun menyesak di sebelah Jiah. Mukanya mendadak pucat. “Tapi memang benar aku tercelik tadi,” bisiknya dengan suara terketar-ketar. Terasa menyangkak semua bulu tengkuknya. Kini tunaknya acap kali tersorot arah pintu dan tingkap. Seolah ada sesuatu yang sedang galak memerhatikannya di sana. Jiah juga kaget sebagaimananya. Tika ini hanya Maya yang masih berusaha bertenang. Tambahan pula, dia sudah pernah melalui situasi yang lebih teruk dari ini. Situasi yang lebih menakutkan dan lebih menyeramkan.

“Semua bukti menjelaskan yang kau tak pernah memasuki bilik air. Kalau ada pun, mungkin bunyi-bunyi tadi milik tetamu yang tak diundang,” kata Jiah dalam nada perlahan. Munira tidak mengasah walau sebilah kata. Setelah malam dipanjat usia, mereka bertiga sepakat masuk tidur ke bilik masing-masing.

“Boleh aku tidur kat bilik Jiah ke?” risik Munira perlahan. Jiah menggeleng seraya menyelinap ke dalam biliknya. Dibiarkannya Munira yang masih terkapa-kapa di luar. Oleh kerana tidak disuakan pilihan, Munira akhirnya melingas ke biliknya lalu mengunci pintu. Buat seketika dia hanya menyoroti bilik kecil tersebut. Pandangannya bersadur curiga. Sambil meneguk air liur, Munira membuang langkah. Kepalanya terteleng ke kiri dan kanan. Sesekali dia mendongak ke siling kemudian menyoroti langsir tingkap.

Kipas angin yang tergeletak sepi atas meja sudut ditekan. Bilah-bilah kipas tersebut segera berputar ligat. Angin yang terhasil menghangatkan muka dan seluruh jasad Munira. Namun, gadis itu tetap dihujani segeluk keringat. “Apasal aku berasa takut sangat ni?” suanya pada diri. Dihampirinya tilam bujang setebal 5 inci yag terhampar di situ lalu berbaring. Tunaknya meliar resah. Sambil memandang hala lain, dicapainya beg kertas yang tersandar di sebelah bantalnya. Selimut miliknya dikeluarkan lalu dibongkar untuk dihamparkan ke tubuh. Munira terkejut pabila tertangkap bunyi terketuk-ketuk di ceruk bilik.

Pandangannya segera dialihkan dan seekor cicak kelihatan merayap-rayap di situ. Munira kelegaan namun selesanya tidak bertahan lama pabila bunyi berderak-derak menyusul kemudian. Ia dari arah luar dan Munira sudah terketar-ketar ketika ini. Berbeza pula dengan Jiah. Gadis itu terus saja terlena setelah puas melangut. Berlayar di lautan khayalan lalu tersesat dalam belantara mimpi selepas matanya terkatup rapat. Manakala Maya pula sedang sibuk mengetuk butang-butang papan kekunci komputer di tingkap atas.

Entah mengapa, ilhamnya tiba-tiba mencurah. Tika ini tiada kebimbangan bertindanan dalam dada. Tiada jua ketakutan menghuni sanubari. Mungkin kerana disebabkan dia berteman maka kegalauannya tidak seterik mana. Sejam kemudian, Maya tiba-tiba membongkar duduk pabila berasa terdorong untuk menjengah tingkap. Diselaknya kain langsir lalu membuang pandang. Cahaya lampu yang menerangi pekarangan rumah memudahkannya memandang persekitaran. Maya mengerutkan dahi. Dia seperti baru menyedari sesuatu.

Seingatnya malam-malam sebelum ini pekarangan depan dan belakang gelita sahaja. Tiada sebiji pun lampu terandak yang terpasang. Namun berbeza pula malam ini. Entah keberanian mana yang bertandang, Maya tiba-tiba berasa seperti hendak berlegar-legar sekejap di luar. Lantas berjerih turun kemudian menyelak pintu utama. Detik ini tiada cahaya bulan tercurah. Bahkan tiada juga relap dan cerlangnya bintang di langit. Maya yang kini tercacak di tubir pekarangan berpeluk tubuh. Angin yang berhembusan perlahan terasa menembusi lapisan kulitnya lalu membekam tulang hitam.

Sesayup mata memandang, kelihatan seseorang sedang mengatur kaki hala rumah sewa Maya. Lampu suluh yang dipegangnya sesekali menyergah pekarangan sewa Zak dan sedikit darinya menyuluh batang tubuh gadis itu. Maya tidak berganjak. Dia yakin tetamu yang tidak diundang itu adalah lelaki pagi tadi. Ternyata praduganya tidak tersasar. Memang benar tetamu tersebut adalah lelaki yang sama. “Beraninya awak,” katanya setelah Maya merapati pintu pagar. Maya mengguman seraya bersuara.

“Aku sedang belajar untuk jadi berani.” Begitu jawapannya.

Lelaki itu angguk-angguk. “Oh ya! Terlupa pula... aku Amirul. Panggil Amir pun boleh, Mirul pun boleh,” katanya dengan mesra. Senyumannya menguntum lagi. Maya seperti terpempan setelah mendengar nama tersebut. Sekilas teringat olehnya akan nama milik wataknya. Nama yang kurang dipersetujui oleh Zak lantas digantinya dengan nama Azhan.

“Maya.” Kini giliran Maya pula memperkenalkan diri. “Jauh ke rumah awak dari sini?”

“Tak jauh. Hanya perlu membelok dua tiga kali sampailah. Tempat aku tu hutan sikit. Payah juga kalau berjalan sebelah malam.” Amirul menjelaskan.

Dahi Maya berkerut. “Kenapa pula awak tinggal dalam hutan? Kenapa tak duduk kat rumah sebenar awak je?”

Amirul tiba-tiba ketawa. “Mana Maya tahu yang aku ada rumah?” Dia ketawa lagi. “Gubuk buruk itulah rumah sebenar aku. Hanya pondok usang itu satu-satunya harta yang aku miliki.”

Penjelasan tersebut membuatkan Maya semakin tidak mempercayai Amirul. Mustahil Amirul tidak memiliki sebuah rumah. “Habis? Yang awak merayau-rayau di tengah malam buta ni kenapa? Ada sesuatu ke yang mencurigakan awak di sekitar kawasan ni ke?” ajunya lagi sambil menggaru-garu lengannya. Terasa gatal pula selepas dibidik muncung nyamuk. Bunyi berdengung-dengung turut merancakkan suasana.

Lelaki itu menghela nafas. Disorotinya sejenak rumah Maya. “Sebenarnya ada sesuatu yang tidak kena di sini. Nasihat aku, lebih baik Maya pindah saja. Kediaman ini tak sesuai untuk diduduki.”

“Tak boleh. Lagipun aku telah bersusah-payah berpindah ke sini...”

“Maya, bahaya meneruskan niat awak tu. Kawasan tanah ni sial dan dibebani petaka. Kehadiran lelaki bertubuh rendah dan tegap itu bagaikan satu petanda bahawa tempat ini akan mendapat bala. Maka seeloknya Maya beredar sebelum berlaku pertumpahan darah,” kata Amirul bersungguh-sungguh. “Ada sesuatu yang kita tidak ketahui menghuni lokasi ini.”

“Awak seperti mengetahui sesuatu.” Maya mencuatkan mata penuh curiga. Dia tersentak pabila terdengar jeritan Munira yang melangsing. “Hah?” Gadis itu terkejut apabila mendapati dirinya masih tersadai atas ranjang dalam bilik tidur. Dia berasa bingung sekejap. “Agaknya aku hanya berhalusinasi tadi,” putusnya seraya mengalihkan selimut yang terhampar atas tubuhnya. Suara Jiah melaungkan namanya sambil mendorong kuat daun pintu memaksanya bergegas mendapatkan gadis itu. “Kenapa dengan Munira?” Wajahnya kalut.

“Tak tahu. Dia macam sedang bergelut dengan seseorang dalam biliknya. Bilik tu pula terkunci dari dalam.” Jiah resah sungguh. Tanpa sebenih kata, Maya menarik laci meja soleknya. Kunci pendua yang bergelimpangan di dalam diambilnya lalu berpatah semula arah Jiah. Mereka berdua kemudiannya beredar turun dan terus saja menuju ke bilik Munira. Apapun, mereka berdua terkejut apabila melihat tiada apa-apa yang berlaku pada Munira.

Gadis itu sedang tidur mengongkol dengan selimut menutup seluruh badan. Sesekali kedengaran dengkurannya memenuhi bilik tersebut. “Buat kita terperanjat je.” Jiah mengurut dada. Mereka berdua kemudiannya beredar ke ruang tamu lalu duduk berehat. “Aku ingatkan dia diserang seseorang. Tiba-tiba je kedengaran bunyi berdentam-dentum semacam ada pergelutan di antaranya dengan seseorang.”

“Aku pula terdengar dia menjerit tadi.” Maya menjelangi ruang dapur. Diselaknya daun pintu sejuk lalu mengambil 2 tin coke.

“Pelik. Aku tak pula mendengar Munira menjerit.” Gadis itu jadi bingung. “Prasangka aku semakin ketara. Memang ada yang tidak kena dengan rumah ni. Ada sesuatu yang turut menghuni tempat ni.” Maya membatu. Tunaknya meliar sebelum membisikkan sesuatu. Jiah terkejut mendengarnya. “Dia bertandang dalam mimpi Maya ke?” soalnya meminta kepastian.

“Aku pun tak pasti sama ada babak tadi hanya mainan mimpi atau khayalan ataupun aku berhalusinasi sebenarnya. Seingatku... sebelum ni aku sedang menghadap komputer. Kemudian aku turun ke tingkat bawah ni dan terus keluar untuk mengambil angin.” Maya membatu sejenak. Dia berasa serba-salah samada mahu menuturkan kisah pertemuannya dengan Amirul ataupun tidak. “Mimpi tu tak akan musnah jika bukan kerana jeritan Ira.”

Jiah angguk-angguk. “Rasanya kita kena beranikan diri untuk menyelongkar misteri di sebalik situasi ini. Mesti ada sebabnya kenapa rumah ni tak aman,” duga Jiah. “Ataupun seeloknya kita tanyakan saja lelaki misteri tu. Mungkin dia mengetahui sesuatu yang kita semua tidak tahu. Sekurang-kurangnya maklumat tersebut dapat kita manfaatkan untuk membongkas semua keganjilan ini. Pilihan lain, Maya cari saja rumah sewa lain dan berpindah,” usul Jiah menuturkan pilihan.

Maya sekadar menumpahkan sekepuk keluhan. “Cara ini lebih baik dan selamat daripada awak terus menghuni rumah ni. Kekadang kedegilan boleh menyumbang padah. Aku tak nak suatu hari nanti awak hanya tinggal dalam kenangan pula,” sambung Jiah lagi.

“Hidup ini terlalu banyak kebetulan. Kalau dah takdirku seperti itu, aku redha dan pasrah. Untuk apa dipertikaikan lagi sekira dah tersurat dan tertulis perjalanan hidupku semacam ni.”

Jiah tersenyum. “Kedengarannya seperti Maya sedang mendeklamasikan serangkap sajak pula.”

“Tak adalah. Agaknya aku yang terikut-ikut sangat dengan caraku berkarya.” Maya bingkas. “Aku nak jenguk Ira sekejap.” Dia kemudiannya bergerak hala bilik kecil tersebut lalu mengintai Munira. Dilihatnya Munira kini tidur mengiring dan menghadap tingkap. “Dia okey,” beritahunya ketika melabuhkan punggung. Jiah mencapai tin minuman lalu meneguk sedikit isinya. Mereka berbual-bual lagi.

Maya tergesa-gesa ke tingkap pabila tertangkap bunyi desahan nafas. Ia kedengaran lirih. Jiah meningkahnya. Gadis itu juga turut terdengar bunyi yang sama. “Aku pernah mendengar bunyi yang lebih teruk dari tadi,” bisik Maya. Mereka berdua berpatah semula ke tempat duduk setelah bunyi tadi hilang. “Besok, awak dan Ira nak pergi kerja ke?”

Jiah mengangguk. “Fail-fail kat pejabat tu dah rindukan kami Maya.,” beritahunya.

Maya tergelak perlahan dan Jiah meningkah kemudian. Mereka berdua terus saja bersembang. Ketika itulah Maya terpandang pasu seramik berisi pokok bonsai tiruan. Ia betul-betul terletak berdekatan dengan bendul pintu utama. Tanpa bertangguh, Maya bangkit lalu mengalihkan pasu tersebut. Senyumnya terkuak tatkala terpandang sebatang kunci tersorok di situ. Jiah memandang hairan lantas melaungkan pertanyaan. “Tak ada apa. Aku baru teringat kunci yang aku sorokkan kat sini seminggu yang lalu,” katanya berbohong. Jiah tidak berkata apa-apa lagi.


Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.