Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 14


Maya bagaikan tidak percaya setelah melihat gambar-gambar Zak. Bahkan dia turut terkejut apabila melihat Zurhan turut tersengih di sebelah Zak. “Ini siapa?” Sengaja Maya bertanya.

“Zurhan. Dia memiliki sebuah kereta Honda.”

“Zakrul kenal dia ke?”

Syah mengangguk. “Aku, Zurhan dan Zakrul memang rapat.”

Maya angguk-angguk tanda faham. “Sekarang ni Zurhan berada kat mana?”

“Tak tahu. Aku pun dah lama tak dengar berita mengenainya. Dia menyepikan diri selepas mengetahui Zak dan Imelda mengikat tali pertunangan. Agaknya dalam diam dia turut menaruh hati pada Imelda.” Syah ketawa perlahan. “Kau nak minum ke Maya?” Maya mengangguk. Kebetulan pula dia memang berasa dahaga ketika ini. Syah bingkas dan kembali semula sejurus kemudian. Maya kembali melihat gambar-gambar tersebut selepas membasahkan tekaknya. Maya dan Syah hanya beredar pergi selepas dua jam berlalu. “Di sini rupanya rumah Maya,” kata Syah setiba mereka.

Maya mengangguk. “Ya di sinilah rumah sewaanku. Kau tak nak masuk lagi ke Syah?”

“Tak mengapalah Maya. Ada masa nanti aku akan singgah nanti. Oh ya, bagi aku nombor telefon bimbit Maya supaya senang aku nak telefon Maya.” Maya mengangguk lantas menyebut nombor telefon bimbitnya satu-persatu. “Okeylah Maya. Terima kasih.” Syah kemudiannya meminta diri. Manakala Maya pula menghantarnya dengan pandangan. Dia hanya bergerak masuk selepas kereta Subaru yang dipandu oleh Syah lesap di hujung jalan raya. Buat seketika, Maya hanya termenung di tubir jendela. Sinar matanya tampak sayu dan suram.

Entah apa benar yang difikirkannya. Ataupun mungkin dia berasa terkilan selepas mendengar kisah Zak yang masih koma. Tiada apa yang dilakukan oleh Maya selain melihat-lihat manuskrip Semangat Perawan yang sudah dijilidnya itu. “Pelik. Adakah pertemuan itu juga satu kebetulan? Mengapakah hidup ini terlalu banyak kebetulan?” monolognya dan tiba-tiba berasa terpanggil untuk menjengah di tingkap. Tanpa mengesyaki apa-apa, dihampirinya tingkap lalu melontar pandang.

Dia terkejut apabila melihat Subaru milik Syah masih tersadai sepi di bahu jalan. “Apa kena pula dengan dia ni?” bisiknya lantas melangkah ke pintu. Diselaknya daun pintu dan terperanjat apabila melihat Syah kembali tercongol di situ. Syah yang baru berura-ura mahu mengetuk pintu terpaksa memepat kasadnya. Senyumnya tampak pahit setelah bertentang mata dengan Maya. “Kenapa? Ada yang awak terlupa ke?”

“Tak ada apa-apa. Cuma...” Syah menarik nafas seraya memandang Maya. Waktu ini hari dah pun menjengah malam. Sungguh pun begitu, kawasan ini masih terang-benderang kerana disuluh lampu-lampu jalan dan cahaya yang tercurah dari setiap rumah.

“Cuma apa?” Maya tertanya-tanya.

“Hmm... aku macam ternampak kelibat kereta Honda milik Zurhan tadi kat situ.” Telunjuknya dituding.

“Kan kau dah pergi tadi. Kau berpatah balik ke?” tanya Maya pula. Syah mengangguk. “Kau berpatah semula selepas ternampak kelibat kereta Zurhanlah ye?” Syah mengangguk lagi dengan pandangan masih menikam Maya. Maya berfikir sejenak. “Mungkin kereta orang agaknya,” katanya kemudian.

Syah cepat-cepat menggelengkan kepala. “Mustahil. Aku kenal sangat dengan kereta Zurhan,” tepisnya menyangkal andaian Maya. Tidaklah diketahuinya Maya dan Zurhan selalu berulit kata.

Tiba-tiba telefon bimbit Maya berdering. Maya segera menyambutnya. “Awak rupanya Kazumi. Macam mana? Dah dapat ke?” Sengaja Maya bertanya walhal apa yang dimahukannya sudah pun diperolehinya dari Syah. Maya terangguk-angguk sewaktu mendengar penjelasan Kazumi. “Okey. Kakak tunggu,” katanya seraya mematikan telefon. Dipandanginya Syah. Dilihatnya lelaki itu sedang termenung jauh. Pandangannya terhumban arah jalan raya.

“Agaknya Zurhan menyepikan diri di kawasan ini selama ini,” teka Maya mengandaikan. Syah tergesa-gesa memandangnya lalu mengangguk perlahan. Mereka berbual-bual seketika. Syah meminta diri untuk kali kedua sejurus selepas itu.

“Rupanya awak dan Zurhan berkawan rapat,” kata Maya menjelaskan. Zak sekadar mengguman. Tiada apa yang terutus dari mulutnya selepas mendengar penjelasan Maya. “Menurut Syah lagi, Zurhan dah lama menghilangkan diri iaitu selepas mengetahui pertunangan awak dan Imelda. Dia sakit hati dan tak dapat menerima keputusan tersebut.” Maya membuang pandang hala lain. “Ternyata apa yang kita andaikan tu memang benar belaka. Dyanna dan Imelda rupa-rupanya adalah orang sama.”

“Kalau aku dah sedar nanti, aku akan putuskan pertunangan tu.”

Maya terkejut lantas ketawa perlahan. “Nanti awak menyesal. Imelda tu cantik tau. Bukan senang nak dapat gadis lawa macam dia,” katanya sengaja mahu mengacah Zak. Minumannya diambil lalu dihirup sedikit.

“Lawa pun tak ada maknanya kalau hati busuk. Dahlah tu Maya. Jangan usik aku lagi. Awak tahu ke kat mana Zurhan tinggal sekarang ni?”

Maya angkat bahu. “Dulu dia pernah cakap yang dia tinggal berhampiran kawasan ni. Tapi aku tak tanya pula kat mana. Kenapa? Awak nak pergi geledah rumah dia ke? Atau nak pergi belasah dia?”

“Tak juga. Aku cuma mahu mengecam mukanya.”

“Bersabarlah. Nanti awak akan berjumpa juga dengannya. Kali terakhir aku berjumpa dengannya ialah pada waktu malam. Itupun aku tak pasti samada orang yang aku jumpa tu memang benar Zurhan ataupun hantu yang menyamar sebagai Zurhan. Kata-katanya sungguh pelik dan dia mendakwa bicara tu adalah milikku.”

“Mungkin hantu yang menyamar sebagai Zurhan. Kalau tak pun mungkin bayangan atau khayalan awak.”

“Tak tahulah. Cuma apa yang pasti, orang yang berdepan denganku tu memang benar-benar Zurhan. Waktu tu aku baru balik dari berjumpa dengan Jiah dan Munira. Hanya mereka berdua kawan perempuan yang aku ada.” Sekilas teringat olehnya akan seraut wajah milik Zurhan malam tu. “Malam tu Zurhan kelihatan semacam kesejukan. Bibirnya sedikit pucat.”

Keluhan Zak berdetasan. “Macam mana kalau Zurhan tu sebenarnya dah mati. Mungkin lelaki yang selalu datang berjumpa dengan awak tu sebenarnya hantu Zurhan. Dia cakap dia jadi saksi tapi yang sebenarnya dia juga merupakan salah seorang mangsa nahas tu. Mungkin memang benar dia sempat menyaksikan kejadian tu sebelum menjadi mangsa.”

Maya angguk-angguk. “Entahlah. Nantilah aku cuba siasat siapakah dirinya yang sebenar. Harap-harap Zurhan masih sudi datang bertandang ke sini. Manalah tahu dia menyepikan diri selepas syak wasangka kita berdua bercambah. Aku nak tahu dan pastikan samada dia tu masih bernyawa sebagaimana kita atau pun dah lama mampus. Kalau dia juga telah mengikut jejak Hirdyanna dan Aizat Harith, ini bermakna dialah lelaki lampai tu dan mayatnya mungkin tercampak kat mana-mana. Sebab itulah dia cakap dia tinggal berhampiran dengan kawasan setinggan di sini.”

“Bijak. Kau memang bijak Maya. Sekarang kita ada empat orang mangsa nahas. Mangsa-mangsa yang sudah dikenal pasti ialah aku, Hirdyanna dan Aizat Harith. Sementara Zurhan pula memiliki dua latar belakang. Pertama sebagai saksi dan kedua sebagai mangsa. Jika benar apa yang didakwa oleh Zurhan bahawa dalam nahas tu terdapat 5 mangsa, ini bermakna kita terlepas seorang mangsa lagi.”

“Pendapat aku, mangsa-mangsa yang terlibat dalam kemalangan tu bukan sekadar lima tetapi kemungkinan lebih dari jumlah itu. Ini kerana kita ada 2 orang suspek lagi iaitu wanita berjubah dan lelaki gondok. Kan awak cakap mereka berdualah yang menjadi dalang dalam kes penculikan awak. Jadi, takkanlah mereka berdua tak terlibat dalam kemalangan tu pula. Lagi satu, hantu jelmaan seorang gadis yang selalu datang mengganggu aku...” Ayatnya tergantung di situ. “Awak rasa hantu siapa agaknya erk?”

“Mungkin hantu seseorang yang pernah tinggal kat rumah ni. Maya faham-fahamlah, rumah ni bukan milik Maya seorang. Tentu sebelum ni, dah ramai penyewa yang keluar masuk di tempat ni.”

Maya angguk-angguk. Kedua batang kakinya ditarik lantas duduk bersila atas bangku. “Kalau tak pun, mungkin jelmaan roh salah seorang mangsa. Mangsa yang berhajatkan perkara yang sama sebagaimana awak.”

“Tapi aku lain Maya. Aku masih bernadi dan memiliki jasad. Aku juga masih memiliki harapan dan pilihan untuk memulakan hidup baru. Aku tak seperti mereka dan sememangnya aku jauh berbeza dengan semua mangsa. Untuk kembali ke dunia nyata, aku perlukan awak. Aku juga amat bersyukur kerana tersesat ke dalam lembah ciptaan awak. Sekurang-kurangnya aku masih punya peluang untuk memperbetulkan takdirku. Dan aku amat mengharapkan pertolongan dan simpati dari awak,” kata Zak bersungguh-sungguh.

“Aku memang nak tolong awak. Dahlah... awak pergilah. Aku nak menulis ni. Nanti kerja aku tak siap pula,” suruh Maya lantas mencapai tetikus komputer. Zak tidak segera pergi melainkan bertanyakan sesuatu sebagai penutup cerita.

Maya kini sedang berdepan dengan Cik Suhaila. Gadis bertudung litup itu tersenyum setelah membelek helaian demi helaian manuskrip tersebut. Nampaknya dia berpuas hati terhadap karya Maya sebagaimana karya-karya gadis itu sebelum ini. Sebab lain, dia berasa amat gembira kerana gadis itu akhirnya sudi menghantarkan karya yang sudah terlalu lama diidam-idamkannya itu.

“Aku akan baca keseluruhan cerita dalam manuskrip ini untuk proses penilaian dan pengeditan. Apapun, cik Maya tak usah risau... manuskrip Semangat Perawan ini tetap akan diterbitkan kerana inilah janji aku dulu. Lagipun rugilah aku kalau tak menerbitkan cerita sebaik ini.”

“Terima kasihlah. Aku telah bersusah payah menghasilkan manuskrip Semangat Perawan ni. Walau bagaimanapun, ceritanya agak tersasar sedikit dari tema sebenar.”

“Tak mengapa yang penting manuskrip ni siap. Lagipun, walaupun karya ni lari dari tema sebenar tetapi itu tidak bermakna karya ni tak bagus. Aku percaya dan yakin dengan gaya penulisan cik Maya. Sebelum ini pun, kebanyakan buku-buku cik Maya laris di pasaran. Lagi satu, ada masa nanti hantarlah manuskrip Mahar Kasih pula.” Maya tersenyum seraya mengangguk. “Hmm... kalau cik Maya tak keberatan. Kami nak cik Maya menghasilkan sebuah kisah sempena Hari Kekasih tahun depan ni. Aku tahu cik Maya mampu melakukannya dan menghasilkan yang terbaik.”

Maya menghela nafas. Dia segera teringatkan manuskripnya yang bertajuk Mahar Kasih. “Aku tak janji tapi aku akan cuba.” Demikian jaminan yang diunjukkannya. Mereka berdua berbual-bual lagi. Maya hanya beredar selepas sejam berlalu. Lagipun dia sudah berjanji dengan Syah akan menunggu di bawah tepat jam 5 petang ni.

“Dah lama tunggu?” Terkejut pula pabila melihat Syah sudah pun mendarat atas tembok marmar yang selalu didudukinya.

“Lebih kurang sesuku macam tu.” Senyuman Syah tersibak lebar. Ada keriangan melayur mukanya. Maya mengangguk lalu duduk di sebelah. “Hari ini aku nak ajak Maya pergi bersiaran.” Maya terkejut. Bulat matanya sewaktu mudik ke muka Syah. Syah tersenyum selamba. “Maya perlukan udara yang sihat.”

“Mengapa pula?” Maya kurang senang. “Mentang-mentanglah aku tinggal kat kawasan setinggan tu.”

“Bukan fasal tu. Sekarang ni Maya perlukan udara yang boleh freshkan semula minda Maya.” kata Syah perlahan dengan senyum tersimpul mati di bibir.

Tiba-tiba Maya teringatkan sesuatu lantas mengetuk dahi “Macam mana? Ada harapan ke aku nak bersua wajah dengan Zak?” risiknya. Syah tidak segera menjawab. Dia kelihatan seperti serba-salah. “Hmm tak apalah kalau macam susah sangat. Maklumlah muka aku ni macam beruk. Manalah Syah berani nak bawa aku melawat Zak kan,” katanya tatkala terintai air muka Syah begitu.

Syah terkejut. “Tak adalah. Janganlah fikir macam tu kecil hati aku. Hmm... siapa cakap Maya macam beruk? Biar aku ajar dia,” katanya cuba berjenaka.

“Tak ada siapa-siapa. Aku yang cakap macam tu,” bisik Maya lantas ketawa mengekek. Sumbang sungguh bunyinya.

Keluhan Syah terhembus. “Maya tak seperti itu. Jangan sesekali menyamakan diri Maya dengan binatang tu. Tak elok tau. Maya cantik sebenarnya cuma perlukan sedikit perubahan. Jangan pandang rendah pada diri sendiri. Sebenarnya kekolotan inilah yang menghalang Maya dari cuba menghias diri.”

“Aku malulah Syah. Aku tak biasa.”

Syah cuma mentertawakannya. “Jom pergi makan. Aku nak ajak Maya menimati makanan laut hari ini kat Sutera Harbour. Kita boleh bersembang sambil menikmati suasana kat sana.”

“Tak naklah Syah. Aku lebih selesa makan kat Anjung Selera atau kat gerai-gerai biasa. Syah janganlah samakan aku dengan mana-mana gadis yang biasa menongkah kehidupan mewah.”

Keluhan Syah terhambur. “Okeylah Maya. Apa-apa jelah. Janji awak bahagia.” Pandangan nakalnya mengacah Maya. “Dah jumpa Kazumi ke?” Maya menggelengkan kepala.

“Kazumi tiba-tiba saja diam dan menyepikan diri. Aku hantar mesej pun dia tak balas.”

“Sakit agaknya budak tu.”

Maya angkat bahu. “Apapun, aku amat berterima kasih kepadanya kerana banyak membantu aku.” Tanpa sedar Maya terlepas cakap.

“Membantu apa?” Danau mata Syah kini diairi prasangka.

“Hmm...” Maya menarik nafas. “Mencari maklumat mengenai kemalangan jalan raya yang telah membabitkan Zak.”

Syah angguk-angguk. “Kazumi tu nama sebenarnya ke ataupun sekadar nama timangan?”

“Katanya nama timangan. Syah tak rasa pelik ke terhadap nahas tu?” Sengaja Maya bertanya untuk mengetahui pendapat Syah pula. Syah termenung sebentar seraya mengangguk.

“Memanglah aku rasa pelik dan tak sedap hati. Apapun, kes itu masih disiasat sehingga hari ini. Pihak polis masih tercari-cari ke mana perginya penghuni kereta yang terjunam ke tebing dan kereta yang melanggar tiang elektrik tu. Mustahil kereta tu berlanggar sendiri. Dan mustahil juga penghuni-penghuni kereta tu tak mendapat kecederaan serius. Bahkan mustahil penghuni-penghuni kereta itu sempat melarikan diri. Kereta yang terjunam tu ikut meletup apabila kereta yang dipandu Hirdyanna menindihnya lalu meletup. Bayangkan situasi tu, mustahil masih ada ruang untuk mereka menyelamatkan diri.”

“Engkau rasa berapa orang mangsa yang terlibat dalam kejadian ngeri tu?”

“Tak taulah Maya. Mungkin lebih dari empat atau lima. Apapun, segalanya pasti akan terbongkar setelah Zak sedar dari komanya. Tapi nampak gayanya, Zak macam dah tak ada harapan hendak pulih. Dia terlalu lemah dan tidak berdaya.”

“Imelda tak bagi dia sokongan padu ke untuk memulihkan semangatnya?”

Syah angkat bahu. “Mungkin ada. Manalah Imelda tu mahu Zak mati sekarang. Perempuan tu tak akan mendapat apa-apa walau 1 sen pun kalau Zak permisi.” Maya mengangguk lantas membatu.


Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.