Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 6

BAB 6

Ia sebuah benua yang dihuni kesuraman dan kelam. Tiada sinar mentari mencarak di sini. Hanya cahaya bulan menyuluh maya yang berbalam kaku. Tiada jua angin bersepah sebagaimana yang dinikmati oleh Maya sebelum ini. Sesekali kedengaran guruh mementung perlantaian langit. Bunyi berderak menyusul kemudian diikuti pancaran kilat menghindik bumi. Tingkah-meningkah menambah gawat dan tenatnya sanubari. Degub di dada sudah tidak terkira tika ini.

Sesayup mata memandang, kelihatan sebuah gubuk buruk tersorok di tengah hamparan hutan belantara yang menebal. Ianya hampir roboh dan dipagari oleh sejumlah pepohonan renek. Kelihatan pekarangannya diselimuti semak-samun. Rimbun sungguh hingga hampir menenggelami gubuk buruk tersebut. Maya cuba melangkah namun terkejut apabila menyedari dirinya terapung di udara. Situasi tersebut membuatkannya berasa kecut dan gayat.

Dari jauh kedengaran bunyi bergemaung. Kuat sungguh hingga membuatkan jemala Maya berdengung. Seolah ada sesuatu sedang mengasak rongga kepalanya hingga terasa sakit berdenyut. Bunyi sekumpulan anjing melolong hiba menyentakkan Maya lantas pandangannya dialihkan. Dia terkejut apabila melihat seorang lelaki berpakaian compang-camping sedang memandang tajam arahnya.

Lelaki itu memegang sebilah parang. Dari mata parang tersebut kelihatan sesuatu menitik-nitik. Bunyi menitik tersebut amat kuat. Sekuat degupan jantung milik Maya. “Awak siapa?” suanya namun suaranya seperti tersangkut dalam batang leher. Ketakutannya meraja pabila lelaki gondok itu melangkah setapak arahnya.

Tiba-tiba lelaki berwajah samar itu ketawa berdekah-dekah. Keras sungguh dan sekonyong-konyong angin menyergah kasar. Menolak sekujur jasad Maya yang masih terapung di udara. “Setelah sekian lama menanti! Akhirnya awak muncul juga.” Lelaki itu ketawa seolah gembira namun ada ketika nada suaranya kedengaran sinis dan pilu.

Entah apa benar yang meriangkan dan merusuhkan hatinya hingga ketawa sedemikian rupa. “Perhitungan ini baru bermula. Setiap titisan air mata akan dibayar dengan segeluk pengorbanan. Jiwamu akan menjadi cagaran dan percaturan ini tak akan ada noktahnya.” Maya tersentak. Suara lirih yang dipercayainya adalah milik lelaki misteri tersebut hanya bergema dalam lohong telinga. Lelaki gondok itu kemudian lesap usai berbicara. Demikian juga kiranya suasana yang membekam mereka berdua.

Kini Maya berada dalam biliknya semula. Kembali berdua dengan lembaga hitam tadi. Apapun, lembaga tersebut menjadi sekepul asap hitam semula lalu disedut oleh pintu bilik yang masih ternganga. Daun pintu bilik terhempas lalu terkatup sebagaimana sebelum ini. Pelik, babak yang menghempuknya tadi kembali seperti sediakala mengikut urutan kejadian.

Kini ketenangan menghuni bilik usang tersebut seolah tiada apa yang berlaku. Maya menarik nafas lalu melepaskannya serentak. Tika ini dia masih dihantui kejadian yang baru berlaku tadi. Demikian juga ungkapan keramat yang terlucut dari mulut lelaki bermuka kelam itu. Mengetuk benaknya hingga perasaannya bercampur-baur.

Maya tersentak apabila telefon bimbitnya sekali lagi berdering kuat. Saat yang sama, gambaran bilik usang yang menutupi suasana sebenar bilik tidurnya beransur pergi lalu lenyap. “Huh, inilah padahnya menulis cerita mistik,” rungut Maya memarahi dirinya sendiri. Dia bingkas dari tempat tidur dan terus saja mendapatkan komputernya.

“Eh sejak bila pula aku tulis kejadian tadi?” Gadis itu kehairanan apabila terbaca ayat-ayat yang kini menghiasi skrin monitor. Tunaknya tersorot tajam dan terus membaca perenggan demi perenggan cerita tersebut. Keluhannya terutus. Dia berfikir-fikir sejenak sebelum mengambil keputusan untuk menyambung karangan tersebut.

Malam ini diisinya dengan bermain fikiran. Tiada apa yang terarca dalam skrin komputer sebagai persembahan ilham darinya. Dia benar-benar buntu selepas mindanya ditumpulkan oleh selembar kejadian dalam bilik usang dan gubuk buruk tersebut. Jua pertemuannya dengan lelaki gondok berpakaian compang-camping itu. “Apa maksud lelaki itu?” suanya pada diri lantaran tergegau. “Jiwa siapa yang dimaksudkannya? Jiwa aku ke?”

Ditepikannya semua selimut lalu terpisat-pisat ke birai tilam. Kedua batang kakinya yang telanjang dihulur dan dia duduk berjuntai kaki seketika. Melangut sejenak. Waktu ini, hari dah dijelangi pagi dan Maya ingin sekali menikmatinya. Tanpa bertangguh, Maya mudik hala cermin pintu balkoni. Kain langsir yang berumbaian mencecah lantai didorong ke tepi.

Sinar mentari menyimbah masuk lalu mendakap sekujur tubuh milik Maya. Apapun, Maya hanya berasa segar selepas terpacak di tebing balkoni. Sambil memejamkan kedua pelupuk mata, dia cuba menghirup udara segar yang sedang beriringan ketika ini. Sedetik kemudian, Maya menguak kelopak mata dan terkejut pabila tunaknya tersapa suasana sebenar.

Tanpa berlengah, Maya menyelinap masuk lantas menarik kedua daun pintu balkoni hingga rapat. Demikian juga langsir yang ditepikannya tadi. Maya kemudiannya berdiri diam-diam di situ dengan wajah bungkam. Ternyata malam masih bersultan kala ini. “Huh!” keluh Maya lantas melangkah longlai arah peraduan. Buat seketika, dia hanya duduk membatu di tebing tilam. Diintainya sekilas jam yang berdetak-detik di dinding. Jarum pendek jam tersebut sedang menuding angka 12 tengah malam dan situasi tersebut melahirkan keluhannya.

Keesokannya, Maya menghabiskan waktu pagi dengan melakukan senaman ringan sekitar kediamannya. Dia ingin mengeluarkan toksin dalam badan melalui pengaliran keringat. Ia merupakan salah satu kaedah untuk mengurangkan tekanan perasaan selain stress. Tepat jam 9 pagi, Maya berpatah semula dan meneruskan larian arah kediamannya.

Namun dia terkejut apabila melihat rumah yang disewanya itu tampak usang. Ia seperti sudah berusia seabad dengan persekitarannya dihuni gumpalan semak-samun. Sementara pagar pula dilitupi tumbuhan menjalar. Maya berulang-kali meraup muka semacam tidak percaya. Langkahnya pula tergencat di situ dan hanya tunaknya menjengah rumah tersebut. Tiba-tiba langit berpusar dan diselubungi gelita.

Demikian juga kiranya maya yang bersepah di sekitarnya. Hitam bukat seperti disimbah kabus hitam. “Cik tak apa-apa?” Maya terperanjat lantas menoleh. Pemuda yang terpacak di belakangnya itu menghadiahkan senyuman. Maya tidak berkata apa-apa. Hanya tunaknya menyergah pemuda itu dengan pandangan tersorot tajam. “Pagi yang indah,” bisik lelaki itu seraya meminta diri. Maya masih memandang curiga.

Lelaki itu menoleh arahnya setelah berada di kejauhan lantas melambaikan tangan dengan senyuman masih tersungging di bibir. Maya tidak bereaksi sehinggalah lelaki tersebut lesap diratah selekoh jalan raya. Sementara Maya kembali membuang pandang arah rumahnya. Nampaknya rumah kecil yang disewanya itu sudah tidak seusang tadi. Dengan perasaan ragu-ragu, Maya mengatur langkah. Tuala putih yang terselempang di bahu ditarik lalu dikesatkan ke muka.

“Maya!” Dia terkejut pabila nama miliknya itu bersipongang berhampiran tubir telinga. Melantun di situ kemudian lesap diseret bayu pagi. “Huh!” keluhnya. “Pagi ni ada kelas bahasa Inggeris,” katanya sekadar mahu mengingatkan diri. Fikirannya merayau lagi lalu menjengah sekeping wajah milik Azhan. Entah apa yang sedang dilakukan oleh Azhan ketika ini. Azhan adalah seorang pemuda yang diminatinya dalam diam.

Namun siapalah dia mahu meluahkan semua rentetan perasaan ini. Nafasnya dihela panjang seraya beredar. “Masih ada setengah jam lagi. Bagus aku menulis sekejap.” Dipandanginya komputer lantas menapak ke situ. Sebagaimana selalu, Maya mengambil masa dua minit memikirkan ayat pembuka kata sebelum memukadimahkan karangannya. Berselang tiga minit, gadis itu mula mengetuk papan kekunci dengan fikiran terfokus pada jalan cerita karyanya.

Maya berhenti sekejap dan memandang mug yang tergeletak sepi di tepi komputer. Haluan matanya kemudian beralih arah jam dinding. “Hmm,” gumannya kini memandang arah dapur. Dia ingin membancuh semug nescaffe namun takut tak sempat pula. “Ah, tak payahlah. Buang masa,” rengusnya perlahan lantas menyambung karangannya semula.

Maya segera menaiki sebuah bas yang lalu depan rumah sewanya untuk ke bandaraya Kota Kinabalu. Namun begitu, hasratnya mahu menjelangi bandaraya terpangkas sewaktu melintasi satu kawasan. Dilihatnya orang ramai berkerumun di situ termasuk sejumlah pegawai polis. Kerana diasak rasa ingin tahulah dia bergegas turun untuk melihat apa sebenarnya yang sedang berlaku di situ. Dia cuba menyelit sambil memanjangkan leher. Manusia yang berpusu-pusuan di situ menghalangnya dari melihat perkara yang sedang berlaku ketika ini.

Kerana dihambat rasa ingin tahulah Maya melilaukan mata arah lain. Dia mahu mencari tempat yang lebih tinggi untuk memudahkannya melihat apa yang ada di sebalik orang ramai tersebut. Senyumnya terkuak pabila terpandang satu tempat. Tanpa bertangguh dia mengatur langkah menuju ke arah tersebut sambil memeluk erat buku teks Bahasa Inggeris. Gelagatnya seperti takut buku teks tersebut dicuri orang.

Tiada sesiapa pun mengacuhkannya kerana tiada apa yang menarik pada dirinya. Namun itu tidak penting bagi Maya. Selama ini pun dia masih boleh menongkah hidup sekali pun tidak dihiraukan oleh segelintir masyarakat. Bahkan hari-hari yang dilaluinya juga masih terasa indah meski pun tidak memiliki teman lelaki. Maya faham. Keadaan dirinya yang pelik dan hodoh adalah punca sebenar mengapa dia dipulaukan.

Maya terkial-kial sewaktu memanjat tempat tersebut. Waktu yang sama, dua buah kereta tunda datang serentak dan berhenti berhampiran dengan sebuah kereta mewah. Pemandu kedua-dua kereta tunda itu bergegas keluar dan segera menghampiri pemilik kereta mewah tersebut. Kebetulan pemilik kereta mewah itu berada berhampiran keretanya dan sedang sibuk dengan telefon bimbit.

Mereka bertiga berbual-bual sekejap sebelum mendapatkan pegawai polis yang bertugas. Ketika ini hari tengah gerimis. Langit pula kelihatan gelap dan sesekali kedengaran guruh bertempik. Namun hukum alam ini bukanlah penghalang utama untuk Maya menyibukkan diri. Tika ini Maya sudah pun berjaya mendaki tempat tersebut. Pandangannya kini menjengah arah sebuah parit. Di mana sebuah kenderaan terperosok di situ.

“Pelik. Macam mana encik boleh terlanggar kereta Exora ni hingga terbabas. Dan kereta tu pula kemek di depan seolah telah melanggar sesuatu sebelum kereta encik merempuhnya dari belakang.” Pemandu kereta tunda itu masih bingung. Jauh di dasar hati terbenam prasangka. Mungkin pemuda ini terlibat namun sengaja tidak mendedahkan cerita seawal kejadian kerana takut disyaki. Isqbal menghela nafas.

Sukar untuknya menjelaskan kejadian sebenar kerana ia tidak masuk akal. Sedangkan pegawai polis itu pun kurang percaya apatah lagi pemandu kereta tunda tersebut. “Semuanya berlaku tanpa disedari,” katanya dan cuba mengintai reaksi pemandu kereta tunda itu.

Pemandu itu angguk-angguk dan agak serius. “Agaknya awak terlalu banyak meneguk minuman alkohol semalam. Kalau tak, tak mungkin kejadian langgar ni berlaku tanpa disedari. Atau pun mungkin awak berasa mengantuk sewaktu memandu,” tuduhnya pula menjala prasangka. Sesekali dipandanginya muncung kereta mewah milik Isqbal yang hanya terkemek sedikit. Sementara kereta yang kena langgar pula rosak teruk. Seolah dihentam dari arah depan dan belakang.

Isqbal terkejut pabila dituduh sedemikian. “Tak! Aku tak mabuklah encik. Aku bukannya kaki botol. Malah aku tak sentuh pun air syaitan tu,” jawab Isqbal agak marah. “Awak tanyalah pemandu kereta Proton Exora tu apa yang ada depan mata kami. Kerana benda itulah aku hilang kawalan lalu melanggar Exora tu dari arah belakang.”

“Benda apa yang awak nampak?” sampuk salah seorang Pegawai Polis yang bertugas. Pandangannya mencerlung tajam seolah Isqbal adalah seorang penjenayah.

“Benda... benda macam kereta..” beritahu Isqbal dengan riak wajah ragu-ragu.

“Habis? Mana perginya kereta tu? Kereta itu jalan terus ke?” Penarik kereta tunda itu mentertawakannya. Sementara Pegawai Polis yang bertugas itu pula sedang memikirkan sesuatu.

“Kereta tu hilang begitu saja...”

“Agaknya yang awak nampak tu hantu kereta. Tiga bulan yang lalu satu kejadian ngeri dan penuh tanda tanya pernah berlaku kat sini. Rasanya awak semua pun tahu fasal nahas ngeri yang melibatkan tiga buah kereta. Namun hanya dua mangsa yang dijumpai rentung dalam sebuah kereta. Sementara yang seorang lagi dijumpai tercampak kat bahu jalan dan dalam keadaan terikat." Dia berhenti sekejap dan menyambung ayat tadi.

"Dipercayai mangsa culik dan yang menjadi persoalan... ke manakah perginya pemandu dua buah kereta lagi? Hingga sekarang kes tersebut masih dalam siasatan. Namun tiada fakta yang dapat membantu kerana mangsa yang terselamat kini koma setelah mendapat kecederaan parah bahagian tengkorak kepala,” kata Pegawai Polis itu panjang lebar.

Isqbal menggelengkan kepala dengan muka kaget. “Aku tak tahu apa-apa fasal kemalangan tu.” Dia tiba-tiba terpandangkan Maya yang sedang terjenguk-jenguk dari kawasan tanah tinggi. “Rasanya...” Kini perhatiannya terpusat kepada Maya. Pemandu tersebut ikut memandang arah yang sama dengan muka hairan. Demikian juga Pegawai Polis tersebut. “Sebentar.” Tanpa bertangguh dia mencelah keluar dari situ.

Dia terus saja menuju arah Maya. Maya terkejut apabila seorang pemuda berkaca mata hitam sedang memanjat naik di tempatnya tercancang. Dia cepat-cepat berundur ke belakang sambil mengeratkan lagi pelukannya. Seperti takut benar buku teks itu dirampas oleh Isqbal. Sinar matanya berubah terik dan penuh curiga sewaktu Isqbal mendekatinya. “Heh! Awak! Awak kan perempuan yang berada kat situ semasa kejadian tadi?” Dia terus saja menuduh.

“Eh! Tak! Aku tak tau apa-apa.” Maya terkejut. Sinar matanya mendadak berubah seolah benci dan marah.

“Mata aku belum nanar lagi tau! Aku lebih dari pasti. Awaklah perempuan yang berdiri kat situ tadi.” Telunjuknya ditudingkan. “Bahkan aku lebih dari pasti awak memang nampak semua kejadian!” Isqbal berang pabila Maya enggan memberikan kerjasama. Dia mahu Maya mengangguk dan mengatakan bahawa apa yang didakwanya adalah benar belaka. Diamatinya lagi muka Maya dan dia semakin yakin terhadap apa yang dikatakannya itu.

Pegawai-pegawai polis yang bertugas di situ berpandangan. Manakala penarik kereta tunda itu pula kelihatan sibuk mengarahkan anak-anak buahnya menarik kereta Exora yang terbabas dalam parit. Terperosok di situ dengan muncung kereta menyodok dasar parit besar tersebut. Sementara pemiliknya pula sudah dilarikan oleh Ambulans ke hospital Queen Elizabeth kerana mengalami kecederaan teruk.

“Bila masa pula? Eh! Awak jangan nak menuduh sembarangan!” Maya hilang hormat apabila lelaki itu bersikap kurang ajar dengannya.

Isqbal semakin geram. Hatinya berdesir marah. “Awak tak usah berdolak-dalih! Dua biji mata aku ni ternampak awak berdiri kat bahu jalan tu dengan mata terbelalak arah kami. Agaknya awaklah yang menyebabkan malapetaka ni!” Dia meninggikan suara. Tunaknya semakin tajam memanah muka Maya. Hatinya terasa panas apabila Maya bersikap begitu.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.