Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 33

Kerana terlalu memikirkan Amirul akhirnya Maya berkisar angin. Rasanya dia lebih berminat berpupuh mata dengan Amirul dari pergi ke mana-mana. Tambahan pula, terlalu banyak perkara yang hendak dibincangkannya dengan Amirul. Alasan lain, sinar mata Syah tadi berjaya melumpuhkan perasaannya hingga hatinya jadi kucar-kacir begini. “Maya tak menyesal ke tak pergi?” Sempat Azhan melontarkan pertanyaan sewaktu menanti Jiah selesai bersiap. Dia dan Jiah sudah sepakat untuk menggunakan kereta milik Jiah.

Lagipun tak manis dipandang jika dia dan Jiah berboncengan masuk ke kampung Munira. Mungkin perkara biasa bagi mereka tetapi tidak pada pandangan penduduk kampung. “Tak.” Ternyata jawapan tersebut menghampakan Azhan. Wajahnya meredup. Ketika mahu membuka mulut, Jiah pun keluar dari bilik.

“Jom!” ajak gadis itu lalu meminta diri. Dengan perasaan berbaur, Azhan membongkar duduk lalu menitipkan secoreng kata. Maya sekadar mengangguk dan beredar masuk ke dalam bilik selepas Jiah dan Azhan berangkat pergi. Rasanya dia tidak perlu tergesa-gesa hendak bertaut mata dengan Amirul. Lantas waktu yang ada diisinya dengan mencurahkan ilham yang bergelimpangan dalam benaknya. Berselang 20 minit, Maya keluar semula sambil menekan bebutang telefon bimbit. Dari luar, dia dapat melihat seluruh ruang yang mengisi kamar tidur yang pernah dihuni oleh Munira.

“Hmm...” gumannya hairan. Dia baru menyedari pintu bilik Munira terbuka luas dan di dalamnya kelihatan baju tidur gadis itu terhampar atas tilam. Pakaian tersebut berjaya mengingatkannya pada segugus kejadian di mana dia dan Jiah melihat perempuan serupa Munira berjalan hala pintu. Seingatnya, pakaian itulah yang membungkus tubuh Munira ketika itu.

“Maya....” Sekali lagi Maya tersentak. Lantas tunaknya meliar arah lain. Tanpa sengaja, dia terpandang tangkal yang diberikan oleh Amirul. Tanpa bertangguh, Maya membongkar duduk lalu mengambil tangkal tersebut. Membeleknya sejenak sebelum menapak hala tingkap. Diselaknya langsir dan terkejut pabila bayang-bayang seseorang melintas depan matanya. Pergerakan lembaga tersebut terlalu cepat hingga sukar untuknya meneka siapakah gerangannya lembaga itu.

Cuma apa yang pasti ia seakan milik seseorang. Seseorang yang mungkin berambut panjang dan berpakaian serba hitam. Sambil mengusap perlantaian dada, Maya melangkah keluar. Tindakan lembaga tadi melintasinya sewaktu dia mahu menjengah di luar tingkap amat memeranjatkannya. Selain terkejut teramat sangat, ketenangannya juga turut bersepai dihempuk situasi tersebut. Mujurlah hari masih siang.

Sekurang-kurangnya suasana ini memberikan Maya segenggam keberanian untuk memastikan siapakah gerangannya tetamu yang tidak diundang itu. Semangat Maya berhamburan pergi pabila terpandang sesusuk tubuh di seberang jalan iaitu di luar pagar rumahnya. Ia seakan milik Munira dan gadis itu sedang memandang tajam arahnya. Ternyata kehadiran jasad yang telah permisi dari maya ini seawal pagi tadi membunuh segenap kewarasannya. Dengan tempurung lutut semacam telah terpokah, Maya segera menekan nombor telefon Jiah. “Munira ada kat sini,” bisiknya terketar-ketar.

Jiah terkejut. Bulu tengkuknya terus saja menyangkak. Terbayang-bayang olehnya akan muka Munira yang pucat lesi itu. “Ha ah? Maya nampak dia dalam rumah ke atau....”

“Dia berdiri di seberang jalan dan sedang memerhatikan rumah ni. Sebelum melihat dia, aku ternampak bayang-bayang hitam melintasi tingkap,” beritahu Maya dengan dada girap-gemirap. Terasa kembang punggungnya selepas bersua muka dengan arwah Munira tadi.

“Bertenanglah. Maya nak aku balik ke untuk temankan Maya?” Azhan yang sedang memandu di sebelah mengerlingnya dan cuba menajamkan pendengaran. Dia ingin mengutip semua kata-kata yang berluruhan dari mulut Jiah untuk dimasukkan dalam balang telinga. Ketika mahu bersuara, Maya terdengar suara seseorang melaungkan salam. Ia seakan milik Amirul. Maya cepat-cepat mengintai dan kehadiran lelaki itu melegakannnya.

“Tak mengapalah. Cuma jangan balik lewat sangat. Sekurang-kurangnya sebelum senja okey,” pinta Maya menetapkan lantas memutuskan perbualan. Dia kemudiannya mendapatkan Amirul yang masih setia menanti di luar pagar. Amirul tersenyum senang. Sambutan gadis itu terhadap kunjungannya kali ini amat berbeza dengan hari-hari yang sudah. Dan sebetulnya memang Maya mengharapkan kunjungan Amirul detik ini. “Masuklah dulu,” jemput Maya sambil menguak pintu pagar luas-luas. Amirul serba salah. Sebenarnya tidak terlintas di hati hendak menjejakkan kaki ke dalam kediaman gadis itu. Namun dia tidak menolak jika dijemput oleh tuan rumah.

“Kenapa dengan Maya?” Tak tertahan Azhan bertanya.

Jiah yang sedang mengulum bibir memandang sekilas. “Dia ternampak arwah tu.”

“Siang-siang macam ni?” Azhan semacam tidak percaya.

“Habis yang Ferdy nampak tu bukan waktu siang ke?” tempelak Jiah pula. Sinar matanya tersorot tajam. “Sebenarnya Maya tu ada masalah dengan sejumlah roh,” bisiknya hampir tidak kedengaran. Semacam mahu tak mahu menjelaskan keadaan sebenar. Kening Azhan bertaut. “Dulu, iaitu sewaktu Maya masih menyewa dekat Sepanggar, kami hanya menganggapnya berhalusinasi. Sekarang pandangan kami.. aku dan arwah tu dah berbeza.”

“Maksudmu?” Nada suaranya menjelaskan keinginannya hendak mengetahui semua rahsia yang membekam Maya.

“Maya dihantui beberapa orang pelakon hebat.”

“Kau ni serius ke atau sedang bergurau?” Tiba-tiba Azhan berasa dipersendakan pula. Perkataan pelakon hebat menumbuhkan prasangkanya. Jiah tersenyum hambar.

“Kau nampak aku ni sedang bergurau ke?” soalnya pula. “Sebenarnya pelakon-pelakon hebat yang aku maksudkan ialah seorang perempuan dan dua orang lelaki. Menurut Maya, pelakon perempuan adalah seorang wanita memakai jubah warna hitam. Tapi rasanya kau dah tahu fasal perempuan berjubah tu kan? Manakala salah seorang dari kedua lelaki itu pula berbadan sasa dan pendek. Fizikalnya mirip penduduk tempatan. Menurut Maya hantu lelaki itu sering mengganggunya.” Jiah berehat sekejap.

“Sementara lelaki seorang lagi adalah Amirul. Dia seorang pemuda berwajah sederhana dan seperti berserat dari keluarga yang berada,” lanjutnya panjang lebar. Azhan angguk-angguk. “Di antara mereka bertiga, hanya Amirul wujud secara nyata. Aku dan arwah pernah melihatnya. Kami juga sering melihatnya ghaib selepas dia selesai bersembang dengan Maya. Sementara wanita berjubah dan lelaki gondok itu pula hanya boleh dilihat oleh Maya dan Amirul.”

“Sekarang barulah aku faham kenapa dan mengapa Maya tidak menghiraukan kami semua. Rupa-rupanya dia dah ada tempat nak menyandarkan semua masalah. Jika hendak dibanding siapalah kami. Kami cuma mampu beriktihar dan tidak lebih dari itu. Sementara lelaki yang bernama Amirul pula memiliki sesuatu yang diperlukan oleh Maya. Memang luar biasa jika dia mampu melihat apa yang Maya nampak.”

“Tahu tak apa. Sekarang jangan nak salahkan Maya atas dingin dan sinisnya.”

“Aku tak akan salahkan Maya. Cuma kekadang aku berasa kesal kerana tidak mampu melakukan yang terbaik untuk melepaskan Maya dari kekangan karma ini. Kita semua rapat dengan Maya dan sebagai sahabatnya, tentulah kita mengharapkan Maya terlepas dari semua masalah.”

“Aku faham awak bermaksud baik tetapi percayalah... masalah Maya adalah di luar kemampuan kita. Antara kita semua, hanya Amirul paling layak untuk berkongsi masalah dengan Maya. Amirul itu bagaikan mata dan petunjuk buat Maya. Adakala Amirul mampu melihat dan menghidu kejadian ngeri yang bakal berlaku sebelum Maya. Contohnya petanda sebelum kematian Johan dan Munira. Kalau bukan Amirul, Maya tak akan tahu apa-apa sekali pun sudah berdepan dengan petanda-petanda tersebut.”

“Baguslah macam tu. Sekurang-kurangnya Maya tak keseorangan selama mengharung anomali ini.” Azhan membelokkan muncung kereta setelah tiba dalam kawasan perkampungan. “Kita akan sambung perbualan ni nanti,” bisiknya sambil memperlahankan kereta. Seorang lelaki remaja yang kebetulan sedang menyusuri bahu jalan raya menoleh pabila tertangkap bunyi enjin kereta. Azhan segera menurunkan cermin kereta dan bertanyakan arah mana yang harus diikuti untuk sampai ke rumah arwah.

Pemuda itu segera menjelaskan. “Tapi bang, mayat arwah tu ada kat hospital sekarang untuk dibedah siasat. Mungkin petang ni jenazahnya akan dibawa ke sini untuk dikebumikan.” Azhan angguk-angguk dan berbincang dengan Jiah sekejap. Sejurus, mereka berdua meneruskan juga perjalanan menuju ke rumah keluarga Munira.

“Kenapa tak sentuh minuman tu?” Hairan pula pabila melihat Amirul masih tidak membuka tin minuman yang kini tersaji atas meja. Amirul tersenyum tawar dan berkata nantilah. “Kenapa awak ni sayu je nampak. Awak ada masalah ke atau pun seseorang telah menghancurkan hidup awak?”

Senyuman Amirul terkuak lagi. “Aku tak pernah bercinta,” katanya perlahan. Senyumnya sirna. “Aku cuma pernah berasa hampa suatu ketika dulu. Aku kecewa dengan perjalanan hidupku. Sedari tu aku mengalami tekanan perasaan.” Pemuda itu mengalih pandang hala hujung kakinya. Nafasnya dihela. Wajahnya merudum namun hanya seketika.

“Tapi sekarang ni tak lagi. Aku dah bebas selepas terkurung di tempat ni. Cuma masalahnya, aku akan kekal begini selagi ahli keluargaku tidak mengetahui aku berada di sini. Sukar untuk aku meneruskan perjalanan jika ahli keluarga aku masih bersedih atas kehilangan aku. Kesedihan serta penyesalan mereka tu bagaikan hambatan yang menghalang aku untuk pergi ke tempat yang sepatutnya.”

Maya mengangguk walau masih kekaburan terhadap penjelasan tersebut. Dalam diam dia masih tertanya-tanya dan kurang mengerti. “Maaflah kerana mencampuri urusanmu. Tapi adakala situasi diri awak ni membuatkan aku tak faham. Awak seperti telah melalui satu situasi yang amat memeritkan.” Senyumnya terutus namun sinar matanya menjelaskan apa yang sedang berapungan dalam benaknya.

Amirul ketawa perlahan. “Barangkali Maya adalah antara mereka yang terlewat kerana semua situasi tu berlaku suatu detik dulu. Tapi untuk kedudukan Maya, aku bukan di antara mereka yang terlewat kerana aku sentiasa memerhatikanmu dari kejauhan. aku akan menghulurkan pertolongan jika diizinkan berbuat demikian. Maksud aku, aku akan menemanimu selama meredah onak masalah. Lagi pun bukan mudah untukmu mengharung semua kejadian mistik ini tanpa bantuan dariku. Walau sebenarnya aku bukanlah insan pertama yang memberikan sejumlah maklumat mengenai misteri dalam rumah tu. Mungkin Maya memiliki sejumlah sebab... kenapa dan mengapa Maya memilih lokasi ni sebagai tempat berteduh.”

Maya menghela nafas. Dapat dirasakannya, Amirul seolah bermaksudkan hubungannya dengan Zurhan, Syah, Zak dan beberapa nama lain. Serta kehidupan mistiknya sebelum menghuni rumah Zak. “Bagaimana kalau kita bincangkan permintaan wanita berjubah tu dan lupakan cerita silam. Dulu awak pernah bagitahu aku bahawa tiada jalan lain untuk melepaskan diri dari buruan ini.” Dia berhenti sekejap dan menarik nafas. Amirul masih setia menanti. “Aku dah berfikir masak-masak dan akan menyahut cabaran jelmaan itu sebagai pilihan terakhir untuk menoktahkan enigma ini.”

Amirul terkejut. “Tak boleh. Aku tak izinkan Maya melayani permintaan syaitan tu. Sebaiknya kita berusaha. Jika boleh, kita usahakan untuk mendapatkan pertolongan dari mereka...”

“Mereka? Maksudmu siapa?” pintas Maya mencelah. Kolam matanya diairi selaut prasangka.

Amirul tersenyum. “Mustahil Maya tak tahu aku bermaksudkan siapa. Maya, sebenarnya hanya Zak boleh menamatkan semua cerita ini. Hanya Zak boleh meleraikan semua kekalutan ini. Tetapi untuk sampai ke peringkat tu, Zak perlukan Maya. Maya bagaikan perintis dan pembuka jalan untuknya merungkaikan kesemua kekusutan ini hingga ke akar umbi. Akhir cerita, kita semua akan bergantung harap pada Zak.” Maya terpegun dan terkejut. Dia ingatkan Amirul tidak tahu mengenai kewujudan Zak dan mereka yang lain. “Aku harap Maya faham.”

“Aku tak faham.” Maya menekan kepala. Info baru tersebut membuatkannya berasa sakit kepala. “Dulu, awak cakap semua ni tak betul. Awak pernah cakap fasal halusinasi, imaginasi, imbasan masa silam. Fasal kita semua ni dilahirkan dan wujud sebagai watak-watak untuk melengkapkan satu cerita. Dan jika betul apa yang awak cakapkan tu, maknanya Zaklah dalang sebenar. Penyebab sebenar mengapa kita semua berada di sini. Dia lah juga yang menyebabkan kehidupan mistik ni dan... dan dialah penulis tu...” ujarnya dengan muka keruh dan penuh emosi.

Amirul lekas menggelengkan kepala. “Nampaknya Maya dah bingung. Mungkin kerana kemasukan maklumat yang berlebihan hingga Maya dah tak tau membezakan ayat-ayat yang lain tu milik siapa. Hmm... tuduhan Maya tu terlalu berat. Zak juga seperti kita dan Zak juga terseksa sebagaimana mereka yang lain. Termasuk kita. Kita berkongsikan nasib yang sama namun takdir kita yang berbeza.”

Maya terdiam sejenak setelah menadah ayat tadi. Dalam diam, dia berasa bersalah dan menyesal pula kerana telah menuduh Zak yang bukan-bukan. “Mereka yang lain tu siapa? Apa maksud awak kita berkongsi nasib yang sama namun tidak kepada takdir?" Entah mengapa Maya berasakan Amirul terlalu baik pula hari ini. Kerap menghadiahkan senyuman dan nada suaranya senantiasa kedengaran seperti memujuk. Agaknya pemuda itu tahu betapa dia keresahan memikirkan takdirnya yang dirasakannya semakin sulit.


Previous: Bab 32
Next: Bab 34

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.