Home Novel Fantasi Takluk Jagat
Takluk Jagat
5/2/2015 00:01:35
48,967
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 6

TOK Putih dan Tok Yah menyambut kepulangan anak gadis mereka dengan seribu kegembiraan dan linangan air mata kesyukuran. Mereka sudah pun bersedia untuk menerima hakikat yang paling buruk. Ternyata, ALLAH itu Maha Pemurah. Tok Putih mendapatkan Bayu lalu memeluknya dan berkali-kali mengucapkan terima kasih.

Masiran tersenyum dan menepuk-nepuk bahu Bayu. Orang kampung beransur-ansur pulang setelah bersalaman dengan keluarga Tok Putih dan pendekar muda itu. Hanya tinggal beberapa orang lelaki yang akan meronda-ronda kampung sebagai langkah berjaga-jaga.

Sedang Bayu berehat melepaskan lelah di tangga, dia dihampiri oleh Maisirah yang berjalan lambat-lambat dengan kepalanya yang tunduk.

Maisirah ingin memohon ampun kerana... tersalah anggap menuduh Kanda Bayu.... Sebaliknya, kandalah yang... selamatkan Maisirah!” katanya tergagap-gagap. Gadis itu dibebani rasa bersalah.

Bayu memandang Maisirah dengan wajah yang bengis. Dia kemudiannya bangun dan membelakangi gadis itu.

Untuk menebus kembali kesalahan, sediakan hamba kepala gajah yang disalai selama tujuh hari tujuh malam bersama dengan dua biji buah labu yang ditusuk pada gadingnya berserta ikan haruan yang disumbat pada belalainya dan...” Bayu menjeling memerhatikan wajah Maisirah.

Gadis itu dengan mulut terlopong dan matanya terkelip-kelip memandangnya. Maisirah tidak percaya begitu pelik permintaan pendekar muda itu. Tidak mungkin dapat dilaksanakannya! Mana hendak dicari kepala gajah? Hutan di kawasan lain mungkin ada, tetapi tidak di kawasan berhampiran kampung ini.

Beberapa penduduk kampung yang berada berhampiran pandang memandang antara satu sama lain apabila terdengar permintaan Bayu. ‘Hendak dibuat apa kepala gajah salai?’

Tapi, di mana Maisirah hendak cari kepala gajah?” Gadis itu cuba mengajak Bayu menukar permintaannya kepada sesuatu yang dapat ditunaikan.

Di mana?” Bayu berpusing menghadap gadis itu. Matanya yang terbeliak besar menikam tepat ke mata Maisirah.

Ya, di mana?” Gadis itu mula ketakutan melihat wajah bengis Bayu.

Bayu mendekatkan mukanya bertentangan dengan muka Maisirah. Pernafasannya turun naik bagai menahan gelojak amarah. Gadis itu ketakutan dan berundur ke belakang. Penduduk kampung yang memerhatikan mereka juga mula berasa cemas.

Di sini!” Bayu menolak hidungnya ke atas dengan jari lantas ketawa terbahak-bahak.

Penduduk kampung yang tadinya cemas turut ketawa bersama dan bersorak. Tok Putih yang mememerhatikan mereka dari jauh tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepala. Pendekar muda yang begitu perkasa menyelamatkan kampung tetapi perangainya masih kebudak-budakan. Tetapi ada baiknya juga gelagatnya tadi. Sekurang-kurangnya mengurangkan tekanan mereka.

Maisirah yang mulanya pucat terus menjadi merah padam. Tidak disangka si penyelamat cuma mempermainkannya. Terus dia lari ke atas rumah dengan menjerit-jerit kegeraman.

Tak terlalu kasarkah perbuatan begitu?” Masiran yang bersama orang kampung mendekati Bayu.

Maisirah berada di peringkat peralihan hidupnya menuju dewasa. Sepatutnya dia faham. Itu sahaja cara untuk menghilangkan kejutan yang diterimanya malam ini.” Bayu meyakinkan Masiran.

Masiran berasa pelik. Aneh benar cara pendekar ini memulihkan semangat adindanya. Disangkanya Bayu cuma ingin mengusiknya. Rupa-rupanya usikan itu ‘berisi’.

Benar seperti apa yang diperkatakan Bayu, selepas menjerit sepuas hatinya, Maisirah berasa hatinya tenteram. Ketakutan dan tekanan dihambur keluar bersama dengan jeritannya tadi. Dia berasa lega dan menjenguk ke luar jendela menghadiahkan sebuah senyuman kepada Bayu. Senyuman tanda terima kasih yang tidak terhingga.

Bayu membalas senyuman itu dan mengangguk. Masiran terpinga-pinga melihat dindanya yang tersenyum riang di muka jendela. Kemudian, diperhatikan Bayu. Tidak disangkanya cara pelik itu berkesan. Kagumnya terhadap pemuda ini semakin bertambah.

Bayu membalas pandangan Masiran dan mengenyitkan sebelah matanya lalu memuncungkan mulut ke arah Maisirah sebagai tanda gadis itu sudah pulih sepenuhnya.


***

MALAM itu, Masiran, Bayu berserta dua orang lelaki lagi bertugas mengawal kampung. Mereka meronda hingga hampir subuh dan kemudiannya bersama-sama berjemaah di madrasah bersama penduduk lain. Bayu senang melihat kaum wanita turut meramaikan jemaah. Dia tidak pernah menikmati kebahagiaan berjemaah sebegini meriah. Seakan-akan terasa ada kekuatan yang terselindung dalam penyatuan ukhuwah. Sesudah solat, mereka duduk berkumpul di tengah-tengah dewan sembahyang.

Tok rasa, jembalang itu bukanlah jembalang yang sejati tetapi manusia.” Tok Putih memulakan bicara.

Bagaimana mungkin begitu tok? Pergerakannya amat pantas, malah begitu perkasa. Hanya jin dan jembalang sahaja kuat begitu.” Salah seorang penduduk kampung bersuara. Beberapa penduduk lain mengangguk-angguk tanda setuju dengan pendapat orang itu.

Semasa jembalang itu menyerang rumah tok malam tadi, tok dapat melihat kelibatnya. Dia memakai pakaian. Tetapi, wajahnya samar-samar. Tidak dapat dikenal. Tidak pernah pula tok dengar jembalang pakai baju.” Tok Putih berseloroh dan disambut ketawa kecil mereka yang berada di situ.

Jika begitu siapa? Bagaimana dia boleh menjadi begitu perkasa?” tanya salah seorang dari mereka.

Jika siapa soalannya, itulah tujuan kita berbincang. Jika soalannya bagaimana, rasanya tuan-tuan sekalian sudah melihat keupayaan Pendekar Bayu mengejar jembalang itu semalam.” Tok Putih mengurut-ngurut janggutnya sambil tersenyum memandang Bayu.

Jangan panggil hamba, pendekar. Hamba belum layak.” Bayu tersipu-sipu merendah diri sambil menggaru-garu kepalanya.

Mereka ketawa kecil melihat Bayu tersipu-sipu begitu. Bertuah mereka mendapat bantuan dari seorang yang tidak mementingkan nama.

Tapi ayah, tiada orang di kampung ini yang berilmu begitu hebat.” Belum sempat menghabiskan kata-katanya, Masiran terdiam menunduk bagai cuba mengingati sesuatu.

Dukun Kidam...” Tiba-tiba seorang daripada mereka menyebut nama itu perlahan-lahan seakan berbisik tetapi dapat didengari oleh semua.

Segera Masiran memanggung kepalanya. Wajahnya tampak runsing. Penduduk kampung saling pandang-memandang.

Dukun Kidam telah banyak membantu kita sebelum ini. Sakit demam kita, dialah tempat mengadu. Tidak patutlah kita menuduhnya tanpa bukti yang sahih.” Tok Putih cuba untuk mengadili pertuduhan itu.

Mungkin dia jadi begitu di luar kemahuannya. Mana tahu jika ilmu yang diamalkannya memakan diri. Sebab itulah dia menjadi begitu hebat dan ganas. Lagipun, sudah lebih seminggu dia tidak kelihatan. Ketika kita mencari mangsa dan mengejar jembalang itu pun, dia tidak bersama.” Masiran memberi pendapatnya.

Mungkinkah dirasuk?” Bayu pula menyuarakan pendapatnya. “Tetapi, jika kita hendak menjatuhkan pertuduhan ke atasnya disebabkan tidak bersama-sama menjaga kampung, hamba rasa itu tak adil. Sebabnya hamba rasa tidak semua lelaki di kampung ini yang bersama-sama mengejar jembalang itu. Mereka ini juga boleh disyaki. Hamba rasa, jika benar ia rasukan, orang itu langsung tak sedar akan perbuatannya,” tambahnya lagi.

Semua menjadi resah. Ini bermakna, jembalang itu boleh jadi sesiapa sahaja antara mereka.

Hmm... kita tidak tahu pendapat siapa yang betul. Masiran, selepas ini kamu bawa Bayu ke rumah Dukun Kidam. Mungkin ada petunjuk di sana.” Tok Putih tidak berniat mensyaki dukun kampung itu. Tetapi disebabkan keadaannya seperti yang diperkatakan Masiran, mungkin Dukun Kidam tahu sesuatu.

Masiran mengangguk tanda setuju.

Hamba rasa lebih baik kita pergi selepas tengah hari.” Bayu menyatakan usul.

Kenapa saudara Bayu? Kenapa perlu selepas tengah hari?” Masiran bertanya inginkan kepastian.

Semua mata memandang Bayu. Mereka juga seperti Masiran, ingin mengetahui sebabnya. Apakah ilmu dukun itu menjadi lemah ketika itu, ataupun kerasukannya hilang waktu itu? Persoalan-persoalan ini bermain di benak mereka.

Kerana...” Bayu tidak sempat menghabiskan ayatnya apabila mendapati mereka masing-masing dengan wajah curiga mendekatkan diri kepadanya, termasuk Tok Putih untuk mendengar jawapannya, “...kerana hamba mengantuk. Hamba ingin melelapkan mata sebentar!”

Mendengarkan jawapan Bayu, masing-masing menunduk. Hanya bunyi “ohhh...” didengari dari mulut mereka.


***

MASIRAN dan Bayu berjalan beriring sambil berbual-bual menuju ke rumah Dukun Kidam. Jalan di situ agak sunyi kerana rumahnya terletak di hujung kampung. Cerita Masiran, orang kampung agak gerun dengan dukun itu kerana orangnya tidak banyak cakap dan tinggal pula berseorangan terasing di hujung kampung berdekatan dengan tanah perkuburan.

Mendengarkan cerita Masiran, Bayu berasa hairan. Apa salahnya tinggal terasing dan berdekatan kubur? Apa yang perlu digerunkan? Apatah lagi dukun itu sangat banyak berjasa dengan mereka, mengubati mereka di kala sakit. Tetapi kini apabila masalah timbul, semua menuding jari kepadanya.

Siapa lelaki itu?” Bayu bertanya apabila terlihat seorang lelaki sedang berteleku kemuraman di sebelah pusara yang kelihatan masih baru apabila mereka melewati tanah perkuburan.

Sadik, sudah dua tahun dia menetap di kampung ini. Isterinya mangsa pertama jembalang itu. Begitulah dia sehari-hari. Kasihan hamba melihatnya,” terang Masiran.

Bayu memerhatikan dengan simpati. Berat dipandang mata, tentu berat lagi beban yang dipikulnya.

Itulah rumahnya.” Masiran menuding ke arah sebuah rumah yang sederhana besar. Kawasan rumah itu diselubungi kegelapan kerana panahan mentari dilindungi pohon-pohon besar merimbun sekitarnya.

Tiba-tiba, Indera Bumi berdengung. Bayu segera memerhatikan sekeliling. Tentu jembalang itu ada berdekatan. Dengungannya semakin kuat apabila mereka menghampiri rumah itu. Apakah benar telahan Masiran dan penduduk kampung?

Mereka menghampiri halaman rumah itu dan mendapati semua pintu dan tingkap rumah itu ditutup rapat.

Mungkin dia tiada di rumah?” Masiran tertanya-tanya.

Saudara lihat di tingkap hujung sana. Terbuka sedikit. Hamba rasa ada orang sedang mengintai di sebaliknya.” Bayu menuding ke arah tingkap di hujung bahagian belakang rumah.

Pergi dari sini! Hamba tidak mahu merawat orang hari ini! Cari orang lain!” Terdengar pekikan dari dalam. Nyata penghuninya tidak mahu diganggu.

Itu suaranya!” Masiran memberitahu. “Kami hanya ingin bertanya sesuatu kepada tok!” pekiknya ke arah suara itu.

Tiada apa yang perlu hamba jawab! Tiada apa yang hamba tahu berguna untuk kalian!” pekik suara itu kembali.

Cis, orang tua ni!” Masiran mendengus.

Sudahlah, kita tak diundang.” Bayu mengajak Masiran berundur.

Tetapi, dia pasti tahu sesuatu. Mungkin benar dialah punca angkara. Lihat sahaja! Bersembunyi di dalam rumah di siang hari. Pasti malam keluar menagih nyawa!” Masiran masih tidak berpuas hati.

Kita tak dapat berbuat apa-apa. Jangan bertindak melulu. Kita kekurangan tenaga sekarang. Kita pulang dahulu, rancang untuk menghadapi malam.” Bayu memujuk Masiran. Dia tidak mahu bertempur di tempat musuh. Pasti musuh akan dapat mengambil kesempatan ke atas mereka. Ini pasti merugikan.

Masiran akur. Kata-kata Bayu ada benarnya. Mereka perlukan lebih ramai orang. Walaupun padanya Bayu sudah cukup hebat, tetapi dia tidak boleh membahayakan nyawa pendekar muda itu dengan bertindak mengikut perasaan.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.