Home Novel Fantasi Takluk Jagat
Takluk Jagat
5/2/2015 00:01:35
48,785
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 9

SELAMAT pagi! Bagaimana tuan bertiga? Lena tidur?” Tuan punya rumah tumpangan, Pak Mamat, menyapa pelanggannya apabila ternampak mereka menuruni tangga.

Tikus Bumi mengangguk membalas sapaan itu. Helang Langit masih lagi menguap. Musang Darat membetulkan bungkusan kain pada bahunya dan memerhatikan sekeliling dengan renungan mata tajamnya. Hatinya sedikit lega, tiada pengawal yang meronda di jalan seperti ketika malamnya.

Kami lapar, sediakan makanan.” Musang Darat meminta kepada tuan rumah tumpangan itu. Dilihatkan dari raut wajahnya dengan sedikit rambut yang memutih, paling kurang 50 tahun Pak Mamat melihat dunia.

Silakan ke warung hamba.” Pak Mamat menuding ke arah sebuah warung yang cuma di seberang jalan dan berhadapan dengan rumah tumpangan itu.

Mereka bertiga mengekori Pak Mamat yang membawa talam berisi pinggan mangkuk dan sudip. Warungnya agak besar dan terjaga baik. Terletak di pinggir jalan yang paling sibuk di Kota Silabida. Lapan buah meja dan bangku kayu panjangnya bersih dan kelihatan baru. Ada sesikat pisang di atas setiap meja.

Warungnya terbuka tidak berdinding tetapi berpagar buluh separas pinggang di keliling. Ada kepingan papan menutupi langit-langit di atas, seperti rumah orang kaya-kaya. Terdapat beberapa orang pelanggan di dalamnya. Mereka rancak bersembang dan tidak mempedulikan tiga orang asing itu. Mungkin mereka sudah biasa dengan pengembara yang datang bertandang ke kota mereka.

Tuan sekalian duduklah dahulu di sini, biar hamba ke belakang sediakan makanan.” Pak Mamat menunjukkan sebuah meja yang kedua, berhampiran pintu masuk sebelum bergegas ke dapur.

Mereka bertiga duduk di bangku kayu panjang yang ditunjukkan sambil memerhatikan sekeliling. Tikus Bumi dan Helang Langit duduk sebelah-menyebelah di bangku panjang tepi pagar buluh. Musang Darat pula duduk sendirian bertentangan mereka. Bungkusan kain yang terkandung Takluk Jagat di dalamnya diletakkan di atas meja.

Musang Darat cuba menangkap tajuk perbincangan yang rancak dibualkan pelanggan lain. Mungkin ada berita yang berguna untuk mereka. Tetapi setelah seketika memasang telinga, dia mengalah. Apa yang dibualkan cuma mengenai hal rumah tangga orang dan cerita laga ayam.

Helang Langit memandangnya dan tersengih, faham dengan kehampaannya. Segera Musang Darat bangun menghulurkan tangan dan menekup mulut Helang Langit. Dia boleh melihat dan mendengar Helang Langit ketawa, tetapi pantang baginya melihat Helang Langit yang kurus kering itu tersenyum dan tersengih. Amat menyeramkan, seperti mayat hidup!

Tuan hamba bertiga pengembara dari mana?”

Tiba-tiba, mereka bertiga dikejutkan sapaan dari meja sebelah. Musang Darat paling terperanjat. Sebelum ini, langsung dia tidak perasan adanya orang di situ. Mungkinkah dia datang ketikanya sedang menekup mulut Helang Langit?

Lamakah ingin singgah di sini?” tanya orang itu lagi.

Seorang pemuda berpakaian sederhana serba biru dengan wajah yang terselindung oleh rambutnya yang panjang lurus menutup separuh daripada mukanya. Dari juraian rambut kelihatan bibirnya mengukir senyum.

Musang Darat segera mencapai bungkusan kainnya dan menyandang kembali di bahu. “Dari mana asal kami, berapa lama di sini dan tujuan kami tiada kena-mengenanya dengan tuan hamba. Biarlah diri menjaga hal masing-masing.” Musang Darat menjawab. Dirasakannya ada sesuatu yang tidak kena pada pemuda itu. Dirasakannya ada ancaman.

Baiklah... baiklah!” Pemuda itu mengangkat kedua belah tangannya tanda mengalah. “Bukan niat hamba untuk menyelak kain kelambu tuan hamba sekalian. Sekadar ingin mendengar cerita pengalaman kelana tuan bertiga.” Namun, jelingan matanya menceritakan sebaliknya. Bungkusan kain yang dijaga rapi itu menarik perhatian.

Silakan, tuan.” Pak Mamat datang meletakkan dulang berisi tiga cawan kosong, sepiring kuih koci, sepiring pulut bakar berbalut daun pisang dan seteko penuh kopi di atas meja mereka.

Dengan pantas, Tikus Bumi menyambar sebiji kuih koci, lalu dibukanya pembalut daun pisang dan terus disumbatnya ke dalam mulut.

Ha, anak muda! Ada apa ingin dipesan? Secawan kopi, seperti biasa?” tanya Pak Mamat kepada pemuda di meja sebelah.

Pemuda itu mengangguk dan memalingkan wajahnya.

Pak Mamat berlalu ke dapur. Musang Darat bangun mengikutnya dari belakang.

Tuan perlukan apa-apa?” tanya Pak Mamat setelah mendapati pelanggannya menurut ke dapur.

Siapa pemuda itu?” tanya Musang Darat.

Apakah dia mendatangkan gangguan?” soal Pak Mamat.

Tidak, cuma tingkah lakunya aneh. Bagaikan cuba melindungi wajahnya daripada dilihat, terutama tuan hamba.” Musang Darat teringatkan tindakan pemuda itu memaling wajah apabila ditanya oleh Pak Mamat.

Maaf, tuan. Hamba tidak tahu namanya, di mana dia tinggal dan anak siapa. Wajahnya juga tidak pernah hamba tatap. Apa yang pasti, dia tinggal di kota ini kerana selang beberapa hari, pasti dia datang ke sini, minum kopi buatan hamba. Habis minum, dia pergi,” jelas Pak Mamat sambil tangannya sibuk mengisar biji kopi di atas pengisar batu.

Dia tak pernah bercerita halnya. Apabila ditanya hal peribadi, dia mengelak daripada menjawab. Dia hanya duduk diam sambil meminum kopi yang disajikan. Mungkin wajahnya cacat, sebab itulah dia sentiasa melindunginya. Kami menggelarnya ‘Budak Tiada Wajah’. Yang anehnya, dia suka pula menegur kelana yang singgah di sini, seperti dia menegur tuan tadi,” sambung Pak Mamat dengan panjang lebar.

Musang Darat ke mejanya semula. Dia menggeleng apabila diperhatikan dua orang rakannya. Mungkin benar dia cuma pemuda berperangai aneh. Selalu pula dia bertandang ke warung ini, tentu tidak berniat untuk merampas Takluk Jagat.

Aku terlalu banyak berfikir,’ bisiknya dalam hati. Matanya menjeling pemuda itu yang duduk sebaris dengannya dan asyik menghirup kopi yang disediakan Pak Mamat.

Pak Mamat! Ini duitnya!” jerit pemuda itu kepada Pak Mamat yang sibuk melayan pelanggannya yang lain. Pemuda itu lantas melompat barisan buluh yang memagari warung itu lalu berlari pergi dan hilang di celah orang ramai yang memenuhi jalan.

Seketika kemudian, di pintu warung yang tidak berdaun kelihatan seorang lelaki sedang melangkah masuk. Seorang lelaki yang mereka bertiga kenal.

Ah, datuk panglima! Jemput duduk. Hamba sediakan sarapan,” sapa Pak Mamat kepada lelaki yang dihormati itu lalu bergegas ke dapur.

Saudara bertiga pun ada di sini!” sapa Panglima Sidari apabila ternampak Mergastua Bertiga turut berada di situ. “Mintalah makan lagi, hamba belanja!” tawarnya lagi.

Datuk panglima, bagaimana dengan kami?” jerit beberapa orang lelaki yang berada di meja berdekatan.

Tuan hamba semua pergilah berkelana ke negeri Sedinggi! Nanti panglima di sana akan belanja kalian!” jerit Panglima Sidari kembali kepada kumpulan lelaki itu dan kemudian, disambut hilaian ketawa mereka.

Tidak perlulah datuk panglima bersusah-susah,” jawab Musang Darat mewakili dua orang rakannya.

Tikus Bumi memuncungkan mulutnya tanda kurang setuju dengan tindakan Musang Darat. Kenapa perlu menolak rezeki? Sudahlah malam tadi panglima ini membuatkan mereka berpeluh cemas. Inilah masanya untuk membalas!

Saudara bertiga tetamu di sini. Sebagai wakil tuan rumah, sudah menjadi tanggungjawab hamba melayan tetamu. Ha, mintalah!” balas Panglima Sidari. Nyatalah dia tidak ajak-ajak ayam.

Tikus Bumi kembali tersenyum mendengar pelawaan kali kedua panglima itu. “Pak Mamat, kuih koci sepuluh!” jeritnya ke dapur.

Helang Langit yang duduk di sebelah menyikunya pada perut. Musang Darat pula hanya mampu menggeleng-geleng.

Sebentar kemudian, Pak Mamat datang dengan menatang dulang berisi kuih koci dan kopi untuk pelanggan terhormatnya.

Saudara bertiga sudah merasa kopi Pak Mamat, bukan? Kopi yang paling harum dan terbaik di kota ini,” katanya sambil menghirup kopi panas buatan tangan Pak Mamat.

Mereka bertiga cuma mengangguk. Memang lazat dan harum kopi Pak Mamat. Jika tidak, masakan habis seteko diminum.

Ah, kacau!” Tiba-tiba, Panglima Sidari kelihatan cemas. Segera dihirupnya kopi yang masih tinggal dan kemudiannya membongkok lari ke dapur.

Pelanggan lain terdiam melihat tingkah laku panglima itu. Mereka tahu apa yang berlaku. Manakala Mergastua Bertiga saling pandang-memandang, terpinga-pinga.

Kanda! Keluar!” Seorang wanita muda dengan bercekak pinggang kelihatan tercegat di hadapan pintu warung. Berkebaya labuh biru dengan dihiasi kerongsang tiga, berselendang cindai dengan natarnya juga biru dan berkain batik. Cantik rupa parasnya, walaupun wajah masam mencuka. Dilihat dari kehalusan buatan pakaian dan barang kemasnya, nyata dia seorang berada.

Datuk panglima tiada di sini,” beritahu Pak Mamat kepada wanita itu.

Mergastua Bertiga sekali lagi saling pandang-memandang.

Ini isteri Panglima Sidari?”

Wanita itu masuk ke dalam warung dan meninjau keadaan di dalamnya. Kemudian, matanya dipakukan pada sekumpulan lelaki yang tadinya bergurau dengan panglima.

Betul dia tak datang ke sini?” soalnya dengan garang kepada mereka.

Lelaki-lelaki itu tidak membuka mulut, cuma menggeleng-geleng.

Kanda, keluar! Dinda tahu kanda ada di sini! Cawan kanda belum diangkat!” jerit wanita itu lagi setelah ternampak cawan kosong yang ditinggalkan panglima itu tadi. Panglima Sidari yang menyorok di dapur semakin cemas. Isterinya sudah tahu dia bersembuyi di situ!

Oh, tidak... Budak Tiada Wajah yang minum di situ tadi. Dia sudah pergi sebelum puan tiba di sini. Hamba belum sempat mengangkatnya,” bohong Pak Mamat.

Panglima Sidari yang bersembunyi di bawah para mengenyit mata kepada Pak Mamat. Baik sekali pembohongan Pak Mamat!

Mendengar kata-kata Pak Mamat, membuatkan Musang Darat teringatkan Budak Tiada Wajah. Dia pergi sebelum kemunculan Panglima Sidari. Adakah pemuda itu mengelakkan diri daripada bertembung dengan panglima itu ataupun ia berlaku secara kebetulan sahaja?

Kalau begitu, hamba akan pergi mencarinya di tempat lain. Kalau dia datang ke mari, tolong beritahunya tadi ada utusan istana datang mencarinya di rumah. Dan pesan kepadanya, jangan lupa mengambil kain yang hamba pesan di kedai. Sudah lama hamba menunggunya, tetapi tidak pulang-pulang!” Lantas, wanita itu berlalu pergi.

Setelah wanita itu hilang daripada pandangan, pelanggan warung itu beramai-ramai ketawa terbahak-bahak.

Panglima Sidari segera menjenguk dari balik belakang Pak Mamat. “Ketawalah! Kalian belum berbini! Bila ada bini nanti, tahulah bagaimana!” marahnya. “Tengoklah Pak Mamat, pagi-pagi lagi dah menyinga! Bukannya dia tak tahu, mana ada pedagang kain buka kedai pagi-pagi buta begini!”

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.