Home Novel Fantasi Takluk Jagat
Takluk Jagat
5/2/2015 00:01:35
48,805
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 7

MALAM itu, kesemua kaum wanita di kampung itu dikumpulkan bersama-sama di dalam rumah Tok Putih atas arahan Bayu. Terpaksalah mereka bersesak-sesak sementara. Kaum lelaki pula disuruhnya berkawal di halaman di sekeliling rumah. Mereka sudah bersedia untuk menerima ‘tetamu malam’ itu. Sudah tentu jembalang itu tiada pilihan lain. Dia pasti akan datang ke sini!

Sementara menunggu, Bayu, Tok Putih dan seorang lagi penduduk kampung bernama Walik duduk berbual di hadapan pintu depan yang sudah dibaiki. Walaupun asyik mendengar cerita Tok Putih, namun Bayu tidak pernah leka. Dia sentiasa menantikan Indera Bumi berdengung semula.

Penantiannya tidak lama. Seketika kemudian, getaran Indera Bumi dapat dirasakan dan dengungannya halus kedengaran. Jembalang itu semakin menghampiri!

Tok, suruh mereka bersedia.” Bayu memberikan arahan sambil memejamkan mata untuk menumpukan perhatian kepada corak dengungan Indera Bumi.

Lebih baik tok dan tuan hamba Walik segera jauhkan diri daripada hamba.” Bayu memberi amaran setelah didapatinya corak dengungan telah berubah. Lalu, kedua-dua orang itu bangun perlahan-lahan untuk beredar ke tempat lain.

Tiba-tiba, atap rumbia di atas kepala Bayu runtuh dan hampir menimpa mereka bertiga. Bayu segera melonjak dan memaut Tok Putih serta Walik, lalu dibawanya mereka ke sudut lain yang dirasakannya selamat. Mereka berdua pucat, nyaris-nyaris nahas. Untunglah dia sempat menyelamatkan mereka. Manakala, kaum wanita riuh menjerit terkejut dan ketakutan.

Di tengah-tengah runtuhan itu, kelihatan lembaga diselubungi kegelapan itu berdiri megah. Perlahan-lahan lembaga itu tunduk mengutip sebatang kayu daripada alang rumah yang telah patah. Dihunusnya kayu sepanjang lebih dari satu depa itu ke arah Bayu.

Pemusnah Jiwa! Kau tidak akan menghalangku lagi! Kuasa itu, aku hapuskan!” Lembaga itu membentak dengan suara kasarnya. Malam ini datangnya bukan untuk menagih nyawa wanita. Tetapi untuk mencabut duri dalam dagingnya! Untuk menghapuskan Bayu Adi Jata!

Bayu tidak akan memberi peluang kepada lembaga itu. Tanpa berlengah, dia terus meluru ke arah lembaga itu dengan mulutnya membaca lafaz bismillahdan selawat ke atas nabi junjungan.

Lembaga itu pantas menghayun kayu alang itu untuk menghalang Bayu. Bayu melompat untuk mengelak dan dengan menggunakan dinding rumah sebagai pelantar loncatan, dia melonjak ke bahagian belakang lembaga itu. Disebabkan batang kayu yang menjadi senjatanya besar dan panjang, pergerakan lembaga itu menjadi lambat dan terdedah kepada serangan. Bayu mengambil peluang itu menghayunkan pukulan melintang lengan kanannya ke pinggang lembaga itu dengan memperalatkan Indera Bumi sebagai senjata.

Lembaga itu meraung dan terpelanting memecahkan pintu rumah lalu terjunam jatuh ke halaman. Daripada pertempurannya semalam, Bayu sudah faham bahawa lembaga itu alah kepada Indera Bumi. Bayu sedar, Indera Bumilah kuasa yang disebut-sebut lembaga itu. Sebab itulah lembaga itu mempersenjatakan dirinya dengan kayu supaya dapat menjauhkan diri daripada Indera Bumi.

Penduduk kampung beramai-ramai mengepung halaman itu supaya lembaga itu tidak dapat melarikan diri. Lembaga itu merangkak-rangkak cuba bangun. Bayu turut terjun ke bawah dan berdiri di hadapannya.

Kau tak boleh menghalau aku lagi!” Lembaga itu masih berkeras walaupun nadanya kedengaran seperti merintih.

Cepat, bunuh hamba!” Tiba-tiba, terdengar suara lain terbit dari mulut lembaga itu. Suara yang lemah dan penuh kesedihan.

Orang kampung saling pandang-memandang. Mereka kenal suara itu!

Tidak! Tuan hamba masih berupaya melawannya. Kuatkan semangat tuan hamba!” Bayu berlutut dan memegang kepala lembaga itu. Telahannya ternyata benar. Orang ini dirasuk!

Lembaga itu mengangkat kepala dan memandang Bayu dengan matanya tajam dan ganas. Serentak dengan itu, dia melibas kayu yang masih digenggamnya ke arah Bayu. Bayu yang tidak bersedia tidak sempat mengelak. Dia hanya mempertahankan dirinya dengan menahan Indera Bumi sebagai perisai.

Bayu terpelanting ke tepi dan disambut oleh penduduk kampung. Nyata Indera Bumi begitu utuh. Tangan kanannya cuma terasa kebas sedikit.

Lembaga itu dan Bayu masing-masing bangun perlahan-lahan. Pertarungan belum berakhir. Tetapi, Bayu tidak tahu bagaimana hendak menewaskannya. Dia tidak dapat menghapuskan lembaga itu tanpa mencederakan empunya badan. Dia perlu menyelamatkan orang itu. Tetapi bagaimana?

Pertarungan disambung. Lembaga itu menyerang Bayu dengan sedaya upayanya. Tetapi, Bayu cuma mengelak dan menahan serangannya dengan Indera Bumi. Kelam-kabut dia diperlakukan lembaga itu yang semakin menggila. Bayu tidak sampai hati untuk menyerangnya.

Kuasa itu mesti musnah! Kau tak akan menyentuh aku lagi!” Lembaga itu membentak dalam kegilaannya.

Bayu tersentak. Dia sudah mendapat ilham. Mungkin dia dapat menghalaunya daripada badan lelaki itu dengan Indera Bumi! Dia perlu mendekatkan dirinya dengan lembaga itu dan menangkapnya dari belakang.

Setelah mencuba beberapa kali untuk meloloskan diri ke belakang lembaga itu, akhirnya Bayu berjaya memautnya dari belakang. Segera Bayu melekapkan Indera Bumi ke belakang lembaga itu. Lantas raungan yang kuat terlontar dan menggegarkan kampung. Lembaga itu menggelupur untuk melepaskan diri dari pautan Bayu.

Orang-orang kampung segera menyerbu dan memautnya beramai-ramai untuk menolong. Tapi usaha mereka hanya sia-sia. Lembaga itu masih berupaya mencampakkan kesemua mereka termasuk Bayu dan berjaya melepaskan diri.

Lembaga itu mengalihkan pandangannya kepada Bayu Adi Jata yang terlantar mencungap di belakangnya. Kedua-dua mereka sudah kepenatan. Lembaga itu mengangkat tinggi-tinggi kayu yang menjadi senjatanya dan bersedia untuk menghentak Bayu dengannya. Bayu bingkas bangun untuk mengelak tetapi dia tersungkur kembali. Dia terkejut kerana didapati tenaga badannya bagaikan sudah luput. Tubuhnya menjadi lemah tidak berdaya.

Kuasa itu menyerap tenagamu sampai kering? Mampuslah!” Lembaga itu ketawa terbahak-bahak dan menghayunkan kayu itu dengan segenap tenaganya yang tinggal.

Bayu tidak dapat melarikan diri lagi. Tidak disangkanya Indera Bumi akan menghisap tenaganya. Lain kali, dia akan berhati-hati jika menggunakan Indera Bumi. Itu pun kalau masih ada peluang lagi.

Bayu menyilangkan tangannya untuk menahan hentakan lembaga itu. Dengan kayu sebesar itu, tanah di belakangnya pun turut merekah. Dia hanya berserah. Kayu itu menuju begitu hampir dengan kepalanya dan... tiba-tiba terpesong! Lembaga itu tercampak dan melayang.

Di hadapan Bayu berdiri megah seorang lelaki pertengahan umur yang berpakaian baju sarung kancing satu dan seluar serba hijau dengan kepalanya dililit kain merah. Dibibirnya terselit sebatang rokok daun yang sedang menyala dan berasap-asap.

Tuan hamba memang hebat, pendekar muda.” Lelaki itu berkata sambil menghembuskan kepulan asap putih.

Bayu tidak menyangka, walaupun tidak pernah melihatnya tetapi suara itu cukup dikenali.

Dukun Kidam?” Terlontar nama itu daripada bibirnya. Lelaki itu tidak menjawab dan terus merenung lembaga itu.

Pegang dia!” Dukun Kidam memberi arahan kepada orang di sekitar.

Masing-masing terkejut dengan kehadiran Dukun Kidam segera menurut arahan. Beramai-ramai memegang lembaga itu yang kelihatannya tiada lagi upaya.

Dukun Kidam mendekati lembaga itu dan mengeluarkan sebiji telur daripada saku bajunya. Mulutnya terkumat-kamit membacakan sesuatu. Sekali sekala dia berdeham. Kemudian digosoknya telur ayam itu ke dahi lembaga yang terkulai lemah.

Wajah lembaga itu yang ditutupi dengan kegelapan beransur-ansur cerah apabila bayang hitam yang menyelubunginya bergerak meresap ke dalam telur yang dijampi. Terserlah wajah empunyanya yang sah, Sadik!

Baringkannya. Jangan diapa-apakan. Dosa dan hanyir darah di tangan bukan mahunya,” arah Dukun Kidam. Dia tidak mahu orang kampung melepaskan kemarahan mereka kepada Sadik selagi belum ada usul periksa.

Tok Kidam...” Bayu bangun dan menghampiri lelaki itu dengan langkah yang tidak teratur. Tenaganya mula kembali memenuhi jasadnya secara perlahan-lahan.

Hulurkan tanganmu.” Dukun Kidam meminta.

Bayu lantas menghulurkan tangannya untuk menerima telur daripada lelaki itu. Dukun Kidam segera menangkap tangan kanan Bayu, dilipatnya jari-jemari seperti menggenggam penumbuk dan dipusingnya tangan itu supaya penumbuknya di kedudukan yang betul. Bayu hanya membiarkan sahaja tindakan dukun itu.

Akhirkan perkara ini.” Dukun Kidam meletakkan telur tadi betul-betul di atas Indera Bumi yang terselindung di bawah lengan bajunya. Dia berasa hairan. ‘Lelaki ini tahu tentang Indera Bumi!’

Telur itu berdiri dengan sendirinya dan bergetar. Semakin lama semakin kuat dan akhirnya, meletus! Tanpa cairan putih dan kuning telur. Cuma asap nipis yang dibawa angin. Bayu dan orang di sekitar terpegun melihatnya.

Sudah lebih seminggu ‘benda’ ini tiba di sini. Dari mana, hamba tidak tahu. Berlegar-legar di kawasan pusara berhampiran rumah hamba ketika siang. Memaksa hamba berkurung di rumah mengelak gangguannya,” jelas Dukun Kidam.

Kenapa tok dukun tidak menangkapnya ketika itu?” Masiran tiba-tiba mencelah di sebalik orang ramai dan tampil berhadapan dukun itu.

Hamba tidak mampu melemahkannya. Dan, telur tadi memerlukan masa selama seminggu untuk disediakan.”

Dukun Kidam memandang Bayu dan Bayu membalas pandangan itu dengan anggukan. Dia faham renungan mata dukun itu, sebuah ucapan terima kasih. Bayu menyedekahkan senyum kepadanya, tetapi tidak dibalas. Sebaliknya, dukun itu mengalihkan pandangannya kepada Sadik yang sudah mulai sedar. “Sadik?” Dukun Kidam meminta penjelasan.

Sadik memandang orang di sekelilingnya dengan mata yang berkaca dan mula berbicara, “Benda itu dapat cari hamba. Tidak hamba sangka benda itu menemui hamba di sini...” Sadik tunduk ke bumi. Hatinya begitu berat. Tidak sanggup dia menatap wajah orang kampung lagi.

Tuan hamba memeliharanya sebelum ini?” tanya Masiran kepada Sadik.

Ia diperturunkan kepada hamba daripada ayahanda hamba dan datuk hamba. Tetapi, hamba tidak mahu menerimanya. Itulah sebabnya hamba membawa isteri berhijrah jauh ke kampung ini dengan harapan ia tidak menemui hamba.”

Dari mana asal tuan hamba?” tanya salah seorang dari mereka.

Negeri Sugalimba. Ayahanda hamba seorang panglima di sana. Bekas panglima.”

Orang ramai saling memandang dan berbisik sesama sendiri tatkala mendengar jawapan Sadik. Bayu terpinga-pinga tidak tahu apa yang menakjubkan semua orang.

Jauhkah negeri Sugalimba itu?” Bayu bertanya. Dia memang tidak pernah mendengar tentang negeri itu.

Kira-kira dua belas purnama perjalanan ke barat di seberang laut. Negeri yang terkenal dengan amalan ilmu hitam.” Masiran menjelaskan.

Benda itu bernama Sigorong. Pendamping digunakan dalam pertarungan. Ia memberi kekuatan yang hebat kepada tuan yang empunyanya. Hanya yang berilmu tinggi dapat mengekangnya. Hamba cuma insan biasa. Tiada hati dalam jagat persilatan. Itulah sebabnya benda itu menguasai hamba. Tiada daya hamba mengawalnya.” Sadik teresak-esak menahan hiba. Pedih hatinya mengenangkan dirinya adalah punca keperitan orang lain, walaupun bukan dengan mahunya.

Tetapi, kenapa benda itu memilih mangsa? Kenapa wanita dipilihnya?” Bayu inginkan kepastian.

Pencarian dari Sugalimba telah menghauskan tenaganya. Untuk memulihkannya kembali, Sigorong perlu menghisap semangat wanita sehingga cukup baginya. Itulah sebabnya isteri hamba yang menjadi mangsa pertama.” Sadik menekup mukanya dan meraung kesedihan.

Orang ramai yang pada mulanya masih menyimpan dendam menjadi kasihan kepada Sadik setelah mendengar kisah sebenar.

Kenapa jembalang tadi memanggil hamba Pemusnah Jiwa? Siapa Pemusnah Jiwa?” Bayu melontarkan persoalan yang sedari awal mengganggu benaknya. Dia mengandaikan jembalang itu cuma merepek. Tetapi, manalah tahu mungkin ada rahsia di sebaliknya?

Sadik berusaha menghentikan tangisannya. Tubuhnya masih tersentak-sentak dan seketika kemudian, dia mengangkat kepalanya memandang Bayu.

Ayahanda pernah bercerita kepada hamba, lebih tiga puluh tahun dahulu, benda itu pernah dikalahkan seorang pendekar muda digelar Pemusnah Jiwa dalam pertarungan dengan datuk hamba. Mungkin tuan pendekar sebaya dengan Pemusnah Jiwa ketika mereka bertarung suatu ketika dahulu.”

Bayu masih tidak berpuas hati dengan jawapan itu. Tetapi, tiada guna dia menyoal lagi kerana Sadik telah pun menyampaikan apa yang diketahuinya.

Sadik secara tiba-tiba bingkas berdiri dan mendepakan tangannya.

Wahai teman-teman sekampungku, hamba amat berterima kasih dengan layanan dan kemesraan kalian terhadap hamba dan arwah isteri hamba selama menetap di sini. Tetapi, lihat bagaimana hamba membalasnya? Dengan darah insan yang kalian kasihi! Hamba rela menerima apa sahaja hukuman daripada kalian. Hamba tidak sanggup memikul dosa yang membebankan ini!” katanya dalam esak sedu-sedan dan air mata yang berlinangan.

Sadik dari Sugalimba!” Tok Putih tiba-tiba muncul dari celah orang ramai berdiri di hadapan Sadik dan memandang tepat wajahnya. “Merah darah di tanganmu tidak perlulah dibasuh kerana ia telah pun dibawa pergi bersama bayang hitam yang menyelubungi wajahmu. Tuan hamba masih bersih seperti dulu,” katanya sambil tersenyum.

Sadik bagaikan tidak percaya mendengar kata-kata Tok Putih. Dia memandang orang ramai di sekelilingnya. Masing-masing tersenyum dan menepuk-nepuk bahunya. Air matanya menitis lagi. Tetapi, kali ini kerana kesyukuran. Rahmat TUHAN yang Maha Esa!

Sadik! Ada perkara masih yang belum selesai!” Tiba-tiba, mereka dikejutkan dengan suara keras Dukun Kidam. Masing-masing memakukan mata ke arahnya.

Sadik tergamam. Dukun Kidam melangkah menghampiri Sadik dan memakukan mata kepadanya. Sadik menjadi pucat melihat wajah Dukun Kidam yang kelihatan bengis!

Esok, datang ke rumah hamba. Semangat tuan hamba perlu dipulihkan.” Kata-kata Dukun Kidam itu membuatkan orang ramai mengeluh panjang.

Bayu tersenyum sendirian. Dukun Kidam memang baik hatinya. Tetapi, sikapnya yang tegas dan tidak pernah senyum menyebabkan orang kampung takut dan membuat andaian buruk terhadapnya. Sadik cuma mengangguk-angguk.

Tugas Dukun Kidam telah selesai. Tidak perlu lagi dia terus berada di sini bersama orang-orang kampung yang cuma tahu membuat bising. Dia membuka langkah untuk pulang ke rumah. Tetapi, perjalanannya terhenti kerana ditahan oleh Masiran dan beberapa orang kampung. Masiran memandang Dukun Kidam, kemudiannya menunduk.

Tok Kidam. Hamba mewakili orang kampung ingin memohon ampun kerana selama ini kami mengesyaki tok adalah punca segala kekacauan.”

Hmm!” Dukun Kidam mendengus. “Jika ada isteri-isteri kamu yang pecah air ketubannya, hamba bukanlah orangnya!” ujar Dukun Kidam dan kemudiannya meneruskan langkah dalam kepekatan malam.

Masiran dan orang-orang kampung saling memandang dan tersenyum. Lega Dukun Kidam bukan jenis yang suka berdendam.

Bayu yang berada berdekatan terus mendapatkan Masiran. “Apa maksud Tok Kidam?” tanyanya.

Maksudnya, kita boleh terus mengunjungi atau memanggilnya jika ada kecemasan. Tapi, jika ada yang hendak bersalin, dia tidak dapat tolong kerana itu bukanlah bidangnya. Itulah cara dia berbakti kepada penduduk kampung ini,” terang Masiran panjang lebar.

Susahlah jika semua orang berumur suka cakap berkias.” Bayu mengeluh.


***

PAGI itu, penduduk kampung beramai-ramai bergotong-royong membaiki rumah yang telah dirosakkan dalam pertempuran semalam. Mereka turut menyediakan jamuan untuk kenduri kesyukuran dan memperingati mereka yang terkorban.

Bayu berasa sangat gembira kerana inilah pertama kali dia berasa pengalaman bergotong-royong dan berkenduri. Yang berat sama dipikul, ringan pula sama dijinjing. Walaupun penat tetapi hatinya riang.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.