Home Novel Fantasi Takluk Jagat
Takluk Jagat
5/2/2015 00:01:35
48,754
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 11

PENGAWAL sedang leka, ayuh!” bisik Cindai Ungu kepada Budak Tiada Wajah.

Dengan tangkas, mereka memanjat tembok istana dan lari bersembunyi di sebalik rumpun keladi berdekatan kolam di taman larangan. Budak Tiada Wajah menyelak rumpun keladi itu untuk meninjau keadaan di seberang kolam.

Bila agaknya tuan permaisuri bersiram?” seloroh Budak Tiada Wajah.

Belum puas lagi?” Cindai Ungu mencubit belakang Budak Tiada Wajah. “Janganlah bermain-main, nanti susah kalau kita tertangkap!”

Ada pengawal berhampiran jendela kamar sultan,” bisik Budak Tiada Wajah ke telinga Cindai Ungu. Dia menjadi resah kerana kamar sultan yang menjadi sasaran mereka sedang dikawal.

Cindai Ungu mengambil sebiji batu dan dilontarnya pada tembok istana yang agak jauh. Bunyi batu itu agak kuat apabila mengenai tembok itu sebelum pecah berderai.

Bunyi bising itu menarik perhatian pengawal. Segera pengawal itu meninggalkan tempatnya untuk memeriksa. Pasangan penceroboh itu segera mengambil kesempatan menyusup di celah rumpun-rumpun bunga hingga tiba di bawah jendela kamar sultan. Cindai Ungu mencabut sebatang cucuk sanggul di bawah selendangnya dan menyerahkan kepada Budak Tiada Wajah untuk dijadikan pengumpil selak jendela kamar itu.

Lekas kanda!” Cindai Ungu menggesa, cemas kerana terdengar derapan tapak kaki pengawal tadi sedang menghampiri.

Akhirnya, sebelah daun jendela itu terangkat sedikit dan terbuka. Segera Budak Tiada Wajah melompat masuk ke dalam kamar itu dan menghulurkan tangan menarik Cindai Ungu ke dalam, lalu segera menutupnya kembali.

Pengawal itu pantas berlari setelah mendengar bunyi aneh di jendela kamar sultan. Tetapi setelah tiba, tiada apa dapat dilihatnya. Semuanya seperti biasa.

Apa yang tak kena dengan hamba hari ini? Tadi ada bunyi di tembok sana, hamba telah periksa, tiada apa-apa. Selepas itu, di sini pula, juga tiada apa-apa...” keluh pengawal itu kehairanan sambil menepuk-nepuk sisi kepalanya. “Jangan-jangan, benar kata dayang-dayang.”


***

INDAH benar kamar sultan!” puji Budak Tiada Wajah sambil berpusing memandang sekeliling. “Lebih indah lagi apabila permaisurinya ada bersama.” Dihulurkan tangannya lalu disambut oleh Cindai Ungu.

Mereka berdua saling menatap, berbicara dari hati ke hati yang disampaikan melalui pandangan mata, hanyut dalam cinta kasih sayang. Budak Tiada Wajah mengucup mesra ubun-ubun Cindai Ungu dan menanggalkan hijabnya. Terserlah kejelitaan dan keayuan wajah Cindai Ungu. Senyumannya amat menawan meruntun jiwa. Biarpun lagaknya srikandi perkasa, namun senyuman dan kerdipan matanya itu memberikan rasa tenang dan menggambarkan kelembutan dan kemurahan hatinya.

Agak-agaknya, apa tindakan sultan dan tuan permaisuri andai baginda berdua tahu kita memadu kasih di dalam kamarnya?”

Entahlah. Tukar persalinan dahulu,” ujar Cindai Ungu tersipu-sipu malu.


***

AMPUN, tuanku!” sembah pembesar-pembesar istana apabila sultan mereka, Sultan Amiladdin Sakri Dasyaria, pemerintah tertinggi Kerajaan Dasyuria dan Permaisuri Cendana Sri Kirsya, yang dikasihi seluruh rakyat jelata berangkat masuk ke balairung seri.

Siapa yang meletakkan pengawal di luar kamar beta? Kamukah Datuk Salihan?” soal Sultan Amiladdin setelah duduk bersemayam di atas singgahsana bersama-sama permaisuri tercinta.

Benar tuanku.” Datuk Salihan yang memegang jawatan Pengurus Istana mengangkat sembah.

Mengapa datuk berbuat demikian? Sebelum ini, kan tiada pengawal di sana?”

Hamba selalu sangat menerima aduan daripada dayang-dayang. Kononnya, mereka selalu ternampak bayang-bayang lembaga yang terhendap-hendap, kadang-kadang berlari kemudian hilang di luar kamar tuanku. Bayang-bayang itu kata mereka adakalanya satu, di lain masa ada dua pula tuanku. Ampun, tuanku!”

Permaisuri Cendana mencuit-cuit paha Sultan Amiladdin. Baginda berdua saling menjeling. Bibir pasangan diraja itu bergerak-gerak menahan senyum.

Mungkin cuma roh nenek moyang datang melihat keturunannya sahaja.” Baginda berseloroh. “Alihkan pengawal itu. Tidak perlulah ada kawalan di luar kamar beta.”

Pembesar istana saling memandang. Aneh pula sikap sultan kali ini? Setahu mereka, Sultan Amiladdin penakut. Dia tidak mahu berseorangan. Ke mana-mana selalunya pasti permaisuri temankan. Mungkin sebab permaisuri sentiasa di sampingnya dalam kamar peraduan menjadikan sultan berani.

Ampun, tuanku. Bagaimana jika ada gangguan?” Datuk Bendahara menyuarakan pertanyaan yang terpendam dalam hati semua pembesar.

Sudah berapa lama beta menghuni kamar itu, kenapa pula beta perlu takut? Lagipun, permaisuri sentiasa di sisi beta. Ada manusia di luar kamar, itu lebih mengganggu!” titah Sultan Amiladdin dengan senyuman.

Sebenarnya, Sultan tidak mahukan pengawal di belakang kamarnya kerana ia hanya akan memberi kesulitan kepada mereka berdua. Pergerakan mereka akan terbatas. Kerana ada rahsia yang mereka simpan. Rahsia yang hanya pasangan diraja ini sahaja yang mengetahuinya. Rahsia bayang-bayang itu tidak boleh dibiarkan terbongkar. Kerana baginda berdua adalah bayang-bayang itu! Mereka adalah Budak Tiada Wajah dan Cindai Ungu!


***

HARI sudah meningkat petang. Bayu sudah letih berjalan mengikut arah yang ditunjukkan si pungguk yang tiada kepenatan melompat dari pohon ke pohon.

Apabila terjaga dari tidur pagi tadi, Bayu sudah tahu, pasti akan ditemuinya lagi burung itu. Apabila dijengah kepalanya keluar dari pondok buruk tempatnya bermalam, terus matanya ternampak si burung pungguk itu di atas dahan pohon bagaikan menantikannya. Setelah dirinya menunaikan solat, burung itu datang terbang berlegar-legar di atas kepalanya dan kemudian hinggap semula di pohon itu.

Apabila Bayu mendekati, burung itu terbang pula ke pohon lain. Bayu tersenyum sendiri setelah dia memahami tujuan burung itu. Cuma terkilan paginya tidak disambut suara merdu yang meruntun hatinya petang semalam.

Dalam perjalanan, setiap kali Bayu berhenti untuk mencari buah-buahan hutan untuk mengisi perut, pasti burung itu akan turun hinggap pada bahunya minta disuapkan. Adakalanya, si pungguk putih itu sendiri yang terbang mencari buah-buahan dan membawanya pulang untuk Bayu. Dia gembira kerana burung itu begitu jinak walaupun berasa pelik. Setahunya, pungguk makan haiwan kecil seperti tikus dan serangga!

Hai, si pungguk! Jauh lagikah perjalanan kita?” Bayu mengeluh. Perjalanan begini memang memenatkan. Hutan itu kelihatan sama sahaja dari mula dia berjalan.

Burung pungguk itu berbunyi dua kali dan mengepak-ngepakkan sayapnya.

Hamba tak faham bahasa burunglah!” jerit Bayu.

Burung itu terus dengan gelagatnya.

Setelah seketika kemudian, Bayu terdengar bunyi desiran yang sayup-sayup. Hembusan udara yang lembab menyapu wajahnya tatkala angin berhembus.

Ada sungai! Bolehlah menghilangkan lelah!” Bayu menjerit gembira.

Dia segera menuju ke arah datangnya bunyi desiran air itu. Tetapi setelah beberapa langkah, dia berhenti. Ada sesuatu yang didengarnya di antara bunyi desiran aliran air. Ada suara sayup-sayup mendayu bersenandung. Pendekar muda itu segera bersembunyi di dalam semak dan mengintai-intai dari mana datangnya suara. Sungguh indah, sungguh merdu! Akhirnya, Bayu menjumpainya. Lantas, alunan senandung yang sesekali tenggelam timbul berlawanan bunyi aliran air terus berubah kepada alunan syair yang jelas kedengaran.

Mengalirnya jauh turun ke muara,

Turun laksana bulan di riba;

Membawa kasih di hati sang wira,

Langkahnya satu belenggu sengsara.


Mencari takdir yang telah tersurat,

Menggapai-gapai tidak terlihat;

Teruskan langkah berpandu firasat,

Keluarlah tuan bertemu alamat.”


Setelah terdengar bait-bait syair yang dialunkan, Bayu segera keluar dari rumpun semak tempat persembunyiannya. Matanya menatap terus gadis berselendang putih yang duduk bertimpuh di atas hamparan batu, jari-jemarinya bermain air yang mengalir deras di anak sungai yang jernih. Ayu dan lembut sinar wajahnya. Dia seakan-akan terpukau melihat kecantikan yang diberikan ALLAH kepada sang perawan itu.

Perlahan-lahan gadis itu melirikkan pandangannya pada Bayu yang berdiri terpegun. Mata bertentang mata. Bayu merasakan jantungnya bagai berhenti berdegup. Tubuhnya bagaikan mencair apabila gadis itu mengukirkan senyuman.

Buat seketika, Bayu terdiam tiada dapat berkata-kata. Namun dalam sepi bicaranya, dia mengumpul kekuatan untuk melontar suara yang seakan-akan tersekat di anak tekaknya.


Tiada taranya gemilang mentari,

Sinari jiwa membangkit seri,

Walaupun hujan turun di hati,

Merdunya suara empunya diri,

Meruntun hamba membawa ke mari,

Apakah tujuan diri dinanti?


Akhirnya, Bayu berjaya melontarkan pertanyaan. Sebentar kemudian, dia seperti tersentak dan menggaru-garu kepalanya. ‘Hamba berpantun? Bagaimana hamba berpantun? Sejak bila hamba pandai berpantun? Enam kerat pula tu!’

Sang perawan tertawa kecil. Lantas, dia berdiri dan mendepakan tangan. Matanya yang bundar merenung pada Bayu. Pertanyaan pendekar muda itu dibalas dalam madah pantun juga.


Merah garis jangan jauhi,

Bukan darah dendam dan geram,

Akibat pincang cintanya suri,

Takdir tertulis kehendak ILAHI,

Keris sebilah membawa suram,

Akan menggoncang banyak negeri.”


Keris sebilah membawa suram? Dimaksudkannya Takluk Jagat? Mengapa keris itu begitu dikhuatiri? Dia seperti ingin menghulur tangan membantu,’ fikir Bayu. Matanya terus merenung gadis di hadapannya tanpa berkelip.

Siapakah nama tuan pendekar? Kerana Indera Bumi tidak dapat berkata-kata,” soal si gadis penuh tertib.

Hamba, Bayu Adi Jata. Assalamualaikum. Bagaimana tuan puteri tahu hamba membawa Indera Bumi?” Bayu inginkan kepastian.

Waalaikumussalam.” Gadis menunduk. “Kami dapat merasakannya sebagaimana dengan pasangannya,” jawab gadis itu.

Kami?” Bayu segera meninjau sekeliling. Tetapi, dia tidak nampak sesiapa selain si gadis. Mungkinkah gadis itu maksudkan si burung pungguk?

Ayuh, marilah ke seberang. Mereka sedang menantikan kehadiran kita.” Lalu, gadis itu menyusun langkah meniti batu untuk ke seberang sungai.

Nanti! Mereka? Siapa mereka? Tuan puteri pun belum beritahu nama tuan puteri kepada hamba!”

Gadis itu berhenti dan menoleh. “Hamba Ariasha Cinta Castra. Awas! Jangan dijejaki antara gigi air.” Amaran gadis itu membuatkan langkah Bayu tergantung. Nyaris dipijaknya tempat itu.

Kenapa tuan puteri Ariasha? Batu-batunya tajamkah? Hamba ada memakai capal.”

Setiap sempadan ada pengawal yang menunggunya. Antara hutan dan kampung, ada penunggunya. Sempadan antara negeri ada pengawalnya. Begitu juga darat dan air. Langkahlah terus ke dalam air. Jangan di antaranya. Dengan lafaz bismillah, mohon perlindungan-NYA dan... mengapa tuan pendekar menggelar hamba tuan puteri?”

Err... cantik... layaknya seorang puteri.” Bayu tersenyum dan wajahnya kemerah-merahan. Dia melangkah mengikut arahan Ariasha yang berada di hadapan, menunjukkan jalan dengan senyuman. Si pungguk pula terbang menuruti mereka dari belakang dan kemudiannya, memintas lalu hilang dalam kepekatan hutan.

Ariasha tiba-tiba berhenti dan berpusing menghadap Bayu. “Selamat datang ke perkampungan hamba,” ucapnya.

Perkampungan? Perkampungan apa?” Bayu kehairanan. Tercengang-cengang dia memerhatikan sekeliling. Yang ada cuma hutan tebal di sekitar.

Ini...” Ariasha masih dengan senyumannya yang senantiasa manis.

Suasana persekitaran mula berubah. Rimba itu kelihatan beriak dan bergoyang-goyang bayangan yang terpantul di permukaan air. “Ayuh!” Gadis itu mengajaknya dan berjalan terus, lalu tiba-tiba hilang begitu sahaja.

Bayu terlopong dan tidak berganjak. Dia lebih terperanjat apabila hanya tangan gadis itu tiba-tiba muncul di tempat dia menghilangkan diri tadi dan melambai-lambai kepadanya. “Ayuh, jangan khuatir!” ajak Ariasha.

Bayu melihat ‘gambaran rimba’ di hadapannya seperti berombak-ombak mengikut pergerakan tangan itu. Dengan membaca pelbagai doa yang sempat diingatnya di dalam hati, Bayu memberanikan diri melangkah.

Bayu terpegun dengan perubahan persekitaran yang mendadak. Dia kini berada di muka gerbang yang besar. Di sebaliknya, ada sebuah perkampungan. Rumah-rumahnya besar dan cantik. Pohon-pohon bunga mekar pelbagai warna dan pokok buah-buahan merata-rata. Seumpama perkampungan di dalam taman, dan taman di dalam dusun. Terdapat beberapa orang di situ yang memerhati, bagaikan menanti kedatangannya. Dia menoleh ke belakang, rimba itu tetap sama seperti sebelum kakinya melangkah melintasi gambaran rimba yang beriak itu tadi.

Selamat datang ke Kampung Kaswana, wahai Pendekar Bayu Adi Jata, pewaris baru Takluk Jagat dan Indera Bumi.” Seorang lelaki yang agak berumur menyapa. “Hamba, Madisar Duli Castra, ketua di sini.” Lelaki itu datang menghulurkan tangan dan Bayu yang ibarat rusa masuk kampung menyambutnya.

Jadi, tuan adalah...”

Benar! Hamba ayahandanya.” Lelaki itu segera memintas.

Beberapa orang yang lain turut menghulurkan tangan bersalaman dengan tetamu mereka itu. Pakaian mereka seakan-akan sama sahaja. Berbaju labuh lengan panjang dengan berbutang dari leher cekak musang hingga ke kaki baju; bersama celana sama padan dengan warna baju. Yang membezakan cuma warna dan barang perhiasan yang dipakai. Juga tengkolok yang terletak elok di kepala.

Benar, hamba seorang puteri kerana ayahanda hamba raja, raja kaum Bunian.”

Bunian?” Bicara yang terlontar daripada bibir si gadis benar-benar mengejutkan Bayu. Dia langsung tidak menyangka dapat menjejakkan kaki ke alam Bunian.

Datuknya dahulu pernah bercerita, hanya insan yang dipilih oleh kaum itu sahaja dapat memasuki alam mereka. Kata datuk, kaum Bunian berilmu tinggi dan luas pengetahuan.

Maaf, hamba tidak tahu adab istana. Apa yang hamba perlu lakukan?” Bayu mula menggelabah. Dia teringat datuknya pernah memberitahu, ada adab tertentu jika berbicara dengan yang berdarah raja.

Tetapi, dia tidak ambil endah ketika datuknya mengajar tentang hal itu. Tidak terlintas langsung di fikirannya akan bertemu dengan seorang raja kerana sangkanya hidup yang cuma di dalam hutan, pasti hingga akhirnya di situ! Kini, dia mula terasa sesal kerana tidak mempedulikan ilmu yang diajar.

Anakanda tak perlu khuatir. Kerabat diraja Bunian tak perlu adab-adab istana seperti raja-raja manusia luar. Bagi kami, tidak perlulah mengagung-agungkan keturunan yang sama asalnya daripada tanah kecuali para nabi dan rasul ALLAH. Cukuplah sekadar jujur hormat kepada yang memimpin.”

Senang hati Bayu mendengar penjelasan Raja Madisar. Panggilan ‘anakanda’ membuatkan Bayu terasa begitu dekat dengannya, biarpun baru ketemu.

Lalu, Bayu diajak ke istana. Di kiri kanannya, reka bentuk rumah-rumah di situ mempersonakan. Cantik, amat berbeza dengan rumah-rumah orang kampung yang biasa dilihatnya. Atap rumah kehijauan bagai disusun kepingan-kepingan daun hutan yang segar. Ukiran-ukiran bunga dan tumbuhan disulami ayat-ayat kitabullah menghiasi tebar layar, perabung, cucur atap, dinding dan pintu rumah-rumah itu. Sehinggakan anak-anak tangganya juga terukir indah. Ukiran-ukiran itu walaupun kelihatan aneh, tetapi seolah-olah pernah dilihatnya. Tentu ia ukiran pada Indera Bumi!

Dalam perjalanannya, ramai penduduk kampung itu datang mendekatinya dan bersalaman. Yang perempuan pula melambai-lambai menyapa dari jendela atau pintu rumah. Bayu terharu dengan keramahan kaum Bunian. Dia mula meragui cerita-cerita orang tentang Bunian yang tidak sukakan manusia luar dan suka mengganggu dan menyesatkan mereka di dalam hutan.

Mungkin orang itu sendiri yang melakukan kesalahan dan membuat sumbang di dalam hutan. Akhirnya, menyalahkan makhluk yang tidak mereka fahami apabila terjadi sesuatu. Namun, hatinya tetap dicengkam kehairanan. Mengapa mereka menyambutnya dengan begini mesra, malah terlalu mesra? Dalam pada itu, matanya tertarik pada sebuah bangunan besar yang begitu indah tidak jauh di hadapannya. Disangkakannya itulah istana raja.

Itu masjid kampung ini. Rasanya lebih elok memuliakan rumah ALLAH dari rumah hamba-NYA,” ujar Raja Madisar.

Rupa-rupanya, istana raja bersebelahan dengan masjid Bunian itu. Lebih kecil dari masjid itu tetapi agak besar berbanding rumah-rumah lain. Ukiran-ukirannya juga tampak lain.

Sampai di kaki tangga istana raja Bunian, Raja Madisar terlebih dahulu mengambil gayung dan menceduk air dari tempayan sebelah kaki tangga. Dibasuh kakinya sendiri terlebih dahulu sebelum menjirus kaki Bayu. Tersipu-sipu Bayu kerana segan dengan kerendahan diri raja Bunian.

Anakanda Pendekar Bayu, mengapa kita perlu mencuci kaki sebelum naik ke rumah?” Tiba-tiba Raja Madisar bertanya soalan yang tidak disangka.

Bayu terdiam merenung Raja Madisar. “Mencuci kaki supaya tidak mengotori lantai rumah di dalam?” Dengan waswas, dia menjawab. Dia tidak mengerti. Sepatutnya, semua orang tahu tujuan mencuci kaki sebelum naik rumah.

Itu benar. Tetapi, sebagai daripada rumpun Melayu Islam, cukupkah setakat itu saja? Batok dan tempayan di kaki tangga ini, apakah cuma alat? Tidak lebih daripada itu?” Sekali lagi, Raja Madisar menanyakan soalan yang mengelirukan Bayu.

Tempayan dan batok, boleh digunakan untuk mandi!” pantas Bayu menjawab. Belakang kepalanya digaru-garu. Walaupun dia tahu jawapannya itu betul, tetapi dirinya tidak pasti adakah itu jawapan yang dimahukan Raja Madisar. Dia segera tahu bukan jawapan itu yang mahu didengar Raja Madisar tatkala terpandang Puteri Ariasha menutup mulut menahan tawa.

Benar kita boleh mandi bersihkan diri dengannya.” Raja Madisar tertawa dan menepuk-nepuk bahu Bayu. “Anakanda pendekar Bayu Adi Jata, batok, tempayan dan air, ada maknanya dalam dunia bangsa kita. Malah, setiap benda yang wujud di dunia ini ada makna yang tersembunyi. Jika diteliti akan membawa maksud yang mendekatkan diri kita kepada Yang Maha Pencipta.”

Semua benda?” Bayu terlopong mendengar kata-kata Raja Madisar.

Semua. Tempayan dilambangkan sebagai perbendaharaan tersembunyi ataupun hakikat. Air di dalamnya adalah ilmu amalan yang datangnya daripada alam hakikat yang boleh mendekatkan diri kita kepada yang Maha Esa. Batok pula melambangkan pencari ilmu amalan yakni tuan rumah itu sendiri ataupun tetamunya. Jadi mencuci kaki dengan air melambangkan amal ibadat untuk mencuci kalbu,” terang Raja Madisar dengan panjang lebar.

Bayu terpegun kagum. Sudah jelas mengapa datuk mengatakan orang Bunian berpengetahuan luas.

Begitulah jika disatukan pemikiran rumpun Melayu dengan pegangannya. Indah dan tiada apa yang akan menjadi sia-sia. Semua di sekeliling menunjukkan bukti kehadiran Yang Maha Pencipta dan usaha kita mendekatkan diri kepada-Nya.” Raja Madisar tersenyum. “Ayuh, kita naik ke atas!”

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.