Home Novel Fantasi Takluk Jagat
Takluk Jagat
5/2/2015 00:01:35
48,925
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 8

PADA pagi sehari selepas berkenduri, semua penduduk Kampung Bendang Keliling berkumpul beramai-ramai untuk mengucapkan selamat jalan kepada Bayu. Masing-masing tidak melepaskan peluang untuk bersalam dan menyatakan penghargaan kepada pendekar muda itu.

Maisirah pula menyampaikan makanan yang dimasaknya sendiri sebagai bekal untuk dibawa bersama. Disebabkan itu, teruk dia diusik oleh Masiran dan orang kampung sehingga merah padam mukanya.

Setelah bersalaman dengan Tok Putih, Tok Yah, Masiran serta sebahagian penduduk, Bayu segera memulakan langkah meneruskan perjalanan. Dengan hati senang, dia menyusuri batas sawah bendang keluar daripada kampung itu.

Tiba di denai luar kampung, langkahnya terhenti. Dukun Kidam berdiri di hadapan, terpaku menghalang jalan.

Sehari sebelum ketibaan tuan hamba ke kampung ini, ada sesuatu yang terjadi di dalam Hutan Rapat,” katanya dengan membelakangi Bayu.

Maksud tok? Adakah ia berkaitan dengan hamba?”

Letusan kuasa aneh yang hanya sesetengah orang dapat rasakan. Beberapa ketika kemudian, ia hilang. Kuasanya hampir serupa dengan yang timbul dari lenganmu, cuma ia lebih kuat dan liar.”

Takluk Jagat!” Bayu gembira mendapat petunjuk baru.

Hamba andaikan tidak mendengar nama itu.” Kata-kata Dukun Kidam membuatkan Bayu hairan.

Kenapa tok berkata begitu?”

Dukum Kidam berpusing menghadap Bayu. “Tiada apa yang hamba tahu berguna untukmu. Cepat! Teruskan perjalananmu ke barat laut. Rentasi Hutan Rapat hingga tiba di Kota Silabida, iaitu jalan pintas untuk tiba ke kota itu. Orang yang kamu kejar pasti singgah di sana.”

Jikalau begitu, terima kasih hamba ucapkan. Izinkan hamba pergi dahulu. Assalamualaikum!”

Dengan pantas, Bayu berjalan ke arah yang ditunjukkan. Seperti kata Dukun Kidam, ia jalan pintas ke Kota Silabida. Kota yang menjadi pusat pemerintahan negeri tumpah darahnya – Dasyuria!


***

PERJALANANNYA disegerakan. Berlari dan kadang-kadang berjalan. Jemu berjalan, meluncur laju pula dengan Langkah Lipat Bumi. Merentas kampung, denai, belukar, hutan dan bukit. Sampai masanya di kawasan padang rumput terbentang, perutnya berbunyi. Dia mencari-cari teduhan untuk menikmati rezeki kuniaan ILAHI yang disampaikan melalui air tangan Maisirah. Di sebelah bahu kirinya tidak berapa jauh, ada kumpulan pohon-pohon yang rendang. Tampak seperti sebuah pulau di lautan rumput.

Sambil menyuap nasi yang sudah sejuk berlaukkan sepat padi salai, Bayu merenung ke arah yang ditujunya. Bagaikan ada tembok hijau memanjang mengisi sebahagian kaki langit. Masih jauh tempat ditujunya, tetapi dia yakin dapat sampai ke sempadan Hutan Rapat itu pada lewat petang. Selesai makan dan sesudah solat, Bayu meneruskan perjalanan. Terus meluru laju.


***

PETANG sudah larut dan Bayu bagai dihalang oleh hutan yang merimbun di hadapannya. Direnungnya hutan yang terbentang, lebih tebal daripada hutan yang menjadi kediamannya. Pokok-pokok yang tumbuh tinggi dan besar begitu dekat antara satu sama lain. Layaklah digelar Hutan Rapat.

Sedang leka Bayu memerhatikan kemegahan hutan itu, dia dikejutkan oleh seekor burung pungguk yang terbang melintasi kepalanya dan hinggap di atas dahan pokok tidak jauh di hadapan. Terpegun Bayu memerhatikan kecantikan burung itu. Bulunya licin, cantik dan kelihatan jinak pula, bagaikan ia seekor burung peliharaan yang sentiasa dijaga.

Tiba-tiba, angin kencang menyejukkan bertiup berpusar-pusar mengelilinginya dan kemudian menghala ke arah hutan. Pohon-pohon kayu bergoyang melambai-lambai dihembus angin itu. Burung pungguk itu berayun-ayun bersama dahan yang dihinggapinya.

Assalamualaikum, wahai pewaris baru Indera Bumi. Pejamkan matamu dan depangkan tanganmu. Hamba akan menunjukkanmu jalan seterusnya.”

Satu suara lembut seorang wanita kedengaran di antara deru angin. Kemerduan suara itu mampu menidurkan insan manusia jika mengalunkan syair dalam kesepian malam. Bayu terpinga-pinga memandang ke sekeliling mencari empunya suara.

Siapakah tuan hamba? Jin ataupun iblis yang ingin memesongkan anak Adam ini? Kenapa hamba perlu mendengar katamu?” Bayu membentak untuk mengatasi deruan angin kencang. Dia perlu berwaspada. Mungkin ini permainan jin atau iblis. Hutan pekat seperti ini tentu dihuni pelbagai makhluk.

Niat hamba tiada buruk. Tanyalah hati nuranimu.”

Suara itu lembut membisik ke telinganya. Bayu tiada pilihan lain lalu dipejamkan matanya untuk menaakul. Jika jin ataupun iblis punya angkara, pasti Indera Bumi akan bertindak balas sebagaimana ketika dia berhadapan dengan Sigorong. Hatinya memberat untuk mempercayai suara itu. Mungkin dia berpeluang untuk bertemu dengan empunya suara yang gemersik merdu itu. Walaupun keadaan sebegini terasa janggal, namun dia tidak mencium sebarang mara bahaya.

Bayu membuka matanya semula. “Hamba turuti kemahuanmu,” katanya sambil memandang sekeliling.

Burung pungguk yang bertenggek di dahan mengepak-ngepakkan sayapnya dan terbang masuk ke dalam hutan dan hilang daripada pandangan. Bayu tidak menghiraukannya lantas memejamkan matanya dan menurut seperti yang dikehendaki oleh suara itu.

Terasa ada sesuatu yang lembut seperti sehelai kain sutera menyentuh tangannya. Angin yang bertiup dirasakannya semakin kuat. Dirinya terasa terbuai-buai dibawa angin. Tubuhnya bagaikan melayang tinggi. Bayu cuma bertawakal supaya sesuatu yang buruk tidak menimpa.

Seketika kemudian, dirasakannya angin yang bertiup kencang menjadi semakin perlahan dan kemudiannya berhenti. Kakinya dapat memijak tanah semula. Lantas, dia membukakan matanya dan memerhati sekeliling. Dirinya kini sudah berada di dalam hutan itu. Tetapi dia tidak tahu sejauh mana dia dibawa. Keadaan sekeliling samar-samar. Hutannya tidak begitu tebal sebagaimana pemandangan di pinggirnya sebelum dia melangkah masuk.

Bayu memandang langit di atas. Di celah-celah daun-daun yang memayungi rimba, dia dapat melihat langit kemerah-merahan menandakan hari sudah hampir senja, sama seperti masa sebelum dia ‘dibawa’ datang ke sini. Apakah kesaktian yang mendorongnya? Terasa cuma seketika sahaja jurusnya dilaksanakan. Tetapi dia dapat merasakan, tempat ini sangat jauh daripada pinggir rimba tadi.

Suara?” Bayu berpusing-pusing, mencari-cari. “Suara!” jeritnya lagi. Namun, segalanya sepi. Hanya bunyi unggas yang kedengaran.

Dia meneruskan langkah untuk mencari tempat bermalam. Untung nasibnya kerana ternampak sebuah pondok dari celahan pokok-pokok. Tanpa berlengah, dia terus menghampirinya.

Sungguh baik sang suara tadi menyediakanku tempat bermalam. Walaupun sudah usang, lebih usang daripada pondokku, namun lebih baik daripada tidur di atas dahan pokok,” katanya seorang diri.

Apabila semakin hampir dengan pondok itu, tiba-tiba Indera Bumi bergetar. Bayu terus memakukan langkahnya. Ada sesuatu di dalam pondok itu. Tetapi setelah diamati, dirasakannya getaran itu berlainan daripada yang dirasakannya ketika berhadapan dengan Sigorong. Getaran ini lebih ‘mesra’.

Dengan berhati-hati, Bayu menghampiri pondok itu dan melangkah masuk. Ditelitinya setiap penjuru pondok itu. Daripada kesan habuk yang terdapat di lantai, dia tahu ada orang pernah bermalam di dalamnya beberapa hari lepas. Terdapat tiga pasang kesan tapak kaki berbeza pada debu di lantai itu.

Di satu sudut, dia terjumpa sebuah pelita yang masih berisi minyak. Dapatlah menjadi penerang malamnya. Dia meraba-raba ke dalam bungkusan pakaiannya dan mengeluarkan dua butir batu api. Dilaga-lagakannya batu itu sehingga memercikkan bunga api, lalu menyambar sumbu pelita itu.

Indera Bumi yang masih bergetar dirasakan seperti menarik-narik tangannya ke arah penjuru kiri pondok itu. Bayu mengangkat pelita dan memeriksa sudut itu. Setelah diamati, dia ternampak satu kesan lubang yang tirus pada tiangnya. Kesan tikaman keris!

Takluk Jagat telah dihunus! Allahuakbar! Betapa hebat keris ini sehinggakan sisa kekuasaannya masih melekat pada kesan tikamannya. Patutlah atuk takut ia disalah guna.”

Indera Bumi masih bergetar membuatkan lengannya berasa tidak selesa. Perlahan-lahan dia duduk bersila dan memikirkan cara untuk ‘menenangkan’ pelindung lengan itu. Dia cuba menekan-nekan Indera Bumi itu di atas lantai tetapi tidak berhasil. Dikepitnya di celah ketiak dengan sekuat hati, tidak juga berhasil. Dicubanya pula dengan mengetuk-mengetuk pada tiang, sebaliknya pondok itu yang bergegar!

Bayu sudah mati akal. Mungkin tiada cara untuk menghentikannya. Ingin ditanggalkannya sahaja, tetapi dia takut kehilangan pelindung lengan itu. Mana tahu suara tadi berniat untuk merampas Indera Bumi ketika dia leka?

Indera Bumi ini ada kelebihannya. Mungkin hamba dapat menenangkannya dengan kerahan tenaga dalam.” Bayu membuat andaian. Lantas, ditumpukannya aliran tenaga kepada lengan kanan. Setelah seketika, Indera Bumi tidak lagi bergetar.

Jadi, beginilah caranya...”


***

MUSANG, selamatkah kita di sini?” Tikus Bumi berasa tidak senang dengan suasana tempat persinggahan mereka.

Ada masanya lebih ramai orang di sekitar, lebih menguntungkan pengembara seperti kita,” jawab Musang Darat sambil menolak selak untuk mengunci pintu.

Pengembara?” Helang Langit tersenyum sumbing mendengar jawapan bersahaja Musang Darat.

Menguntungkan? Lebih ramai orang, bermakna lebih besar peluang ‘ia’ dirampas!” Tikus Bumi kurang bersetuju dengan keputusan yang diambil oleh Musang Darat. “Lebih baik kita bermalam di dalam hutan. Lebih mudah kita mengawasinya. Siapa rapat, kita hapuskan!” Bersemangat dia memberikan cadangan.

Tikus, kota ini pusat pemerintahan negeri Dasyuria. Tempat bersemayamnya sultan. Sentiasa terkawal. Jika dicuri sekalipun, tentu pahlawan ke bawah duli sultan terlebih dahulu menangkapnya sebelum sempat kita menghunus senjata. Jadi, kita boleh tidur lena di sini tanpa perlu berjaga hingga subuh,” terang Helang Langit panjang lebar.

Musang Darat mengangguk. Nasib baik si Helang faham akan niatnya kerana dia sudah malas hendak menerangkan perkara begini kepada Tikus Bumi. Pasti ada saja bangkangannya!

Tetapi, bagaimana jika mereka tahu ‘ia’ berada di dalam tangan kita? Kita tidak mungkin dapat melepaskan diri daripada bandar ini dengan pahlawan ke bawah duli yang berkawal di sana sini? Apakah bandar ini sentiasa begini?” Tikus Bumi masih belum berpuas hati. Kurang senang hatinya kerana bandar itu dipenuhi dengan pahlawan sultan yang berkawal.

Tiada siapa tahu mengenainya dan tiada siapa akan tahu. Elakkan daripada melakukan sebarang kekecohan selama kita singgah di sini. Kita tidak mahu menarik perhatian orang. Kita cuma pengembara.” Musang Darat mengingatkan rakannya.

Tikus Bumi mengangguk malas. Rasanya tidak perlulah dia sangsi dengan keputusan yang diambil oleh rakan yang dipandang sebagai ketuanya itu. Selama ini, keputusan yang diambil oleh Musang Darat tidak pernah membawa kemudaratan kepada mereka. Dia seorang yang bijak dan tidak pernah menyombong sesama mereka. Itu yang dihormatinya.

Sesuatu yang sentiasa menjadi sebutan dalam jagat persilatan berpuluh tahun dahulu, kini terus dilupa bagaikan tidak pernah wujud. Apakah benar ia dilupakan orang? Atau sesuatu telah menimpa mereka yang tahu mengenainya?” Si Helang menyuarakan rasa hairan.

Persoalannya, jika kita tidak diberi tugasan ini tentu kita pun tidak tahu apa-apa mengenainya. Tetapi, hamba tidak menyangka tugasan kali ini membawa pengakhiran kepada pencarian hamba selama ini. Menyelam di kali, sambil minum airnya!” Musang Darat tersenyum. Senyuman yang penuh makna. Hanya mereka bertiga sahaja faham apa yang tersirat di sebaliknya.

Desakan perjalanan kita beberapa hari ini membuatkan hamba lupa tentang perkara itu. Apa rasanya sekarang setelah hutang dituntut?” tanya Tikus Bumi kepada Musang Darat yang sedang menepuk-nepuk tilam kekabu di atas pembaringan di bilik tumpangan mereka. Setelah berpuas hati dengan tilamnya, dia duduk bersila di atasnya dan menghela nafas panjang.

Entahlah. Hamba kini berasa kosong. Bagaikan kehilangan api yang membakar semangat hidup hamba selama ini. Bagaimanapun, hamba puas!”

Tiba-tiba, terdengar ketukan di pintu. Musang Darat segera melompat dari pembaringan dan menguis bungkusan yang menyimpan Takluk Jagat ke sudut gelap di bawahnya.

Setelah diberikan isyarat oleh Musang Darat, barulah Helang Langit membuka pintu. Berdiri di luar, seorang lelaki berpakaian hulubalang, berbaju belah dengan di dalamnya baju sarung kancing satu. Di pinggangnya berikat samping songket dagang luar dan berseluar panjang juga bertanjak sedondon berwarna biru. Cuma yang kurangnya, tiada keris yang tersisip. Lelaki itu bersama-sama empat orang pengiring bersenjatakan tombak sedang menanti di luar.

Salam ke atas saudara bertiga. Maaf, jika kedatangan hamba mengganggu saudara sekalian beristirahat.” Hulubalang itu berbicara sambil tersenyum ramah. “Hamba Sidari Jimbalinggi. Panglima kepada ke bawah duli sultan. Datang memeriksa bilik ini dan juga bilik-bilik lain di rumah tumpangan ini, atas arahan sultan.” Lelaki itu memperkenalkan diri. Musang Darat dan rakan-rakannya berdebar-debar.

Boleh izinkan hamba masuk?” pinta lelaki itu.

Silakan. Ini kawasan Datuk Panglima. Kami hanya singgah menumpang sahaja.” Musang Darat mempelawa dengan penuh adab.

Tikus Bumi menekap mulut menahan ketawa geli hati dengan tingkah laku Musang Darat. Selama mereka berkenal, tidak pernah dia melihat Musang Darat begitu lembut dan bersopan.

Apa tujuan kalian bertiga berkunjung ke kota ini? Peniaga atau datang melawat saudara?” soal Panglima Sidari ketika melangkah masuk ke dalam bilik. Pengiring-pengiringnya cuma menunggu di luar.

Kami pengembara, datang melihat tempat orang, meluaskan pandangan,” jawab Musang Darat.

Datuk Panglima mengangguk mendengar jawapannya. Diperhatinya setiap penjuru bilik hinggakan ke balik alang. Setelah tidak menemui apa-apa, dia menuju pula ke pembaringan. Semakin kuat debaran di dada mereka bertiga. Bagaimana jika panglima itu ternampak bungkusan yang disembunyikan? Helang Langit dan Tikus Bumi saling menjeling. Musang Darat tahu mereka ingin bertindak. Segera dia berdeham sebagai isyarat supaya mereka bersabar. Dia perlu lakukan sesuatu!

Panglima Sidari berlutut untuk mengintai bawah pembaringan setelah diperiksanya bahagian atas.

Datuk Panglima, apakah yang sedang berlaku di bandar ini? Begitu ramai pahlawan ke bawah duli berkawal di bandar dan bagaimana pula seorang panglima terpaksa memeriksa rumah tumpangan?” Tiba-tiba, Musang Darat membuka mulut.

Datuk Panglima Sidari mengalihkan perhatian kepada Musang Darat, lantas berdiri semula.

Semua orang di bandar ini sudah pun tahu, jadi tiada gunanya hamba berahsia. Begini, sejak akhir-akhir ini timbul ketegangan di antara Dasyuria dengan jiran kami iaitu Sedinggi. Untuk mengekalkan keamanan bandar ini, semua tenaga yang berkhidmat ke bawah duli sultan dikerahkan untuk berjaga-jaga. Rumah tumpangan diperiksa untuk menangani pengintip yang mungkin bersembunyi,” terang Panglima Sidari.

Mendengar penerangan panglima itu, barulah mereka faham mengapa bandar itu sentiasa dikawal. Musang Darat tersenyum lega kerana berjaya memesongkan perhatian Panglima Sidari.

Apakah kami disyaki?” soal Helang Langit pula.

Pada mata hamba, semua orang luar di kota ini disyaki. Tetapi, untuk mencari yang sebenar antara yang disyaki, terpulang kepada hidung hamba.”

Kata-kata Datuk Panglima membuatkan Mergastua Bertiga berasa hairan. Kenapa pula hidung yang digunakan untuk mencari pengintip?

Secara mudahnya, hamba dapat mencium bau pengintip Sedinggi,” terang Panglima Sidari setelah dilihat tetamu kotanya itu tercengang kehairanan mendengar jawapannya tadi. “Tetapi, saudara bertiga janganlah bimbang. Bau yang hamba cari tiada pada kalian. Keamanan di sini terkawal. Harapnya saudara selesa tinggal di kota ini. Tugas hamba di sini sudah selesai.” Panglima Sidari menunduk hormat dan menuju ke pintu. “Jika ada sebarang kesulitan, laporlah pada mana-mana pengawal. Hamba mohon diri,” pesannya sebelum melangkah keluar dan meneruskan pemeriksaannya ke bilik lain pula.

Mergastua Bertiga saling memandang dan masing-masing menghembuskan nafas kelegaan.

Tikus Bumi dengan segera menutup dan mengunci pintu. “Nyaris nahas kita,” katanya separuh berbisik.

Musang, kita mungkin akan terperangkap di sini jika perbalahan Dasyuria dan Sedinggi menjadi lebih buruk!” Helang Langit menyuarakan pendapatnya.

Musang Darat mengangguk tanda setuju.

Kita perlu segera meninggalkan bandar ini.”

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.