Home Novel Fantasi Takluk Jagat
Takluk Jagat
5/2/2015 00:01:35
48,936
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 3

MATAHARI tepat di puncak kepala apabila Bayu tiba di Kampung Peruwa. Langkahnya terus menuju ke warung Pak Mali, tempat dia selalu mendapatkan barang keperluan dan menjual kayu api.

Kelihatan warung itu sunyi selepas sekumpulan pemuda meninggalkannya. Kumpulan pemuda itu berselisih dengannya dan menegurnya. Bayu memaksa bibirnya untuk tersenyum tanpa sepatah ucapan kerana dia masih lagi diselubungi kesedihan.

Dari jauh Bayu melihat seorang lelaki lingkungan umur 40-an sedang mengemas meja yang ditinggalkan kumpulan pemuda tadi. Dia mengucapkan syukur melihatkan lelaki itu, iaitu Pak Mali yang kelihatannya sihat sahaja. Seingatnya, sudah lama warung itu di situ, semenjak dia masih kecil lagi.

Warung kecil itu didirikan betul-betul di hadapan rumah Pak Mali. Rupanya tidak pernah berubah-ubah dengan empat tiang buluh, terbuka tanpa dinding dan atap nipah yang sudah kering. Mungkin Pak Mali ada menggantikan atapnya beberapa kali, cuma dia sahaja yang tidak perasan. Ada empat buah meja berserta bangku panjang di setiap sisinya. Semuanya juga daripada buluh.

Warung itu dan isinya kelihatan sudah dimamah usia, namun masih tetap utuh. Biar orang paling gemuk di kampung itu sekalipun berkunjung dan menghenyak buntutnya di atas bangku buluh itu, Pak Mali masih boleh tersenyum. Tiada apa yang perlu dikhuatirkan, ia tidak akan patah!

Bayu? Kenapa dengan kamu? Muram sahaja?” sapa Pak Mali apabila dilihatnya pemuda itu melangkah longlai masuk ke warungnya.

Bayu dan datuknya lebih daripada pelanggan baginya. Keakraban mereka membentuk pertalian yang lebih kental daripada likatnya darah. Pak Mali mengenali Bayu sejak pemuda itu masih kecil lagi. Dahulu datuknya selalu membawa Bayu ke warungnya, tetapi apabila Bayu sudah besar dia hanya datang sendirian. Seingatnya, Bayu tidak pernah bermuram seperti ini. Apabila melihat Bayu membawa bungkusan pakaian bersamanya, Pak Mali sedar sesuatu telah berlaku.

Kamu seperti hendak berkelana. Bayu? Apa datuk kamu sudah?” Tak sanggup Pak Mali menghabiskan pertanyaan.

Benar, Pak Mali. Atuk sudah tiada.” Bayu menunduk, sayu. Air matanya tidak lagi mengalir. Sudah kering untuk dititiskan.

Innalillahiwa innailaihirajiun!” Pak Mali bersimpati dengan Bayu. Sebak dadanya memikirkan keadaan pemuda itu yang kini sebatang kara.

Bayu...” Pak Mali mendekati Bayu dan menepuk bahunya, “tidak perlulah kamu berkelana. Tinggallah sahaja dengan kami. Keluarga Pak Mali pun bukannya orang lain dengan kamu. Bagaimana?”

Bayu mengangkat kepala dan memandang Pak Mali dengan senyuman yang ikhlas yang pertama dilukiskan pada wajahnya hari ini. Dia bersyukur kerana masih ada orang sudi yang menerimanya. Tetapi, dia tahu dia terpaksa menolak.

Terima kasih, Pak Mali. Tetapi saya perlu pergi. Ada amanat yang perlu dilaksanakan. Saya datang cuma ingin mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal kepada Pak Mali sekeluarga.”

Tak perlulah kamu berterima kasih kepada kami. Kalau kamu berkeras juga hendak pergi, kami tiada kuasa untuk menghalang. Tetapi makanlah dahulu sebelum bertolak, ya? Biar Pak Mali suruh Mak Cah kamu sediakan makanan.”

Pak Mali.” Bayu menarik tangan tuan punya warung itu apabila dia ingin pergi mendapatkan isterinya. “Pak Mali kenal akan akar kayu ini?” Bayu membuka bungkusan pakaiannya dan menunjukkan akar kayu yang dibawanya bersama.

Pak Mali mengambil dan meneliti akar kayu itu. Dipatahkan sedikit dan dihidu.

Ini akar Sira Merah. Dari mana kamu mendapatnya? Pokok Sira Merah ini susah ditemui.”

Apa yang istimewanya akar ini?”

Khasiatnya. Air rebusannya jika diminum dapat meningkatkan tenaga dalaman. Ramai pendekar mencari akar seperti ini. Tentu tinggalan atuk kamu, bukan?”

Tapi, sudah lama ia disimpan.” Bayu ragu-ragu kerana akar itu sudah begitu kering.

Akar ini boleh disimpan berpuluh-puluh tahun tanpa kehilangan khasiatnya. Nanti Mak Cah rebuskan untuk kamu. Jika tenaga dalaman kamu meningkat nanti, mudahlah diselesaikan amanat yang dipikul.”

Tetapi saya bukan pendekar, Pak Mali.” Bayu cepat-cepat menyangkal.

Eh Bayu, apa yang dibualkan?” Tiba-tiba seorang wanita yang kelihatannya sama umur dengan Pak Mali terjengul dari belakang warung. “Bawa bungkusan pakaian? Ke mana kamu hendak pergi?”

Ha, awak! Bayu ini datang bawa berita. Datuknya sudah meninggal.” Pak Mali memberitahu isterinya, Mak Cah yang baru muncul.

Innalillahiwa innailaihirajiun. Bayu, bagaimana dengan kamu? Tinggal sahajalah dengan kami, ya?” Mak Cah menghulurkan bantuan dan simpati. Suaranya lembut penuh kasih sayang, mencerminkan ketulusan hati bagai seorang ibu.

Terima kasih Mak Cah, tetapi saya ada urusan yang perlu diselesaikan.”

Saya sudah pun ajak dia tinggal dengan kita. Tapi itulah yang dikatanya; ada urusan.” Pak Mali menerangkan kepada Mak Cah. “Bayu, pintu rumah Pak Mali dan Mak Cah sentiasa terbuka untuk kamu bila selesai urusanmu nanti.”

Terima kasih, Pak Mali, Mak Cah.” Bayu tersenyum lebar dan mengangguk-angguk.

Dalam hatinya, lafaz syukur tidak berhenti-henti diucapkan. Bukan bermakna dia mengharapkan sangat bantuan, tetapi kasih sayang yang ditunjukkan pasangan itu kepadanya perlu disyukuri.

Pak Mali menyerahkan akar Sira Merah kepada Mak Cah untuk direbus. Menurut Pak Mali, akar itu perlu direbus selama setengah hari untuk menikmati khasiatnya. Terpaksalah Bayu bermalam di rumah Pak Mali. Lagipun, dia belum tahu lagi arah hendak dituju. Tentu sukar untuk meneruskan perjalanan apabila hari meningkat malam.

***

SESUDAH menyempurnakan solat isyak bersama keluarga Pak Mali, Bayu cuma duduk termenung di serambi. Matanya merenung jauh. Fikirannya dibiarkan melayang sambil memikirkan jalan untuk mencari Takluk Jagat.

Tiada guna kamu mencongak apa yang tidak pasti. Tempuhi sahaja halangan yang melintang di hadapan dengan tekad dan gunakan akal fikiran. Insya-ALLAH, kamu akan berjaya jika kamu di jalan yang benar.” Pak Mali tiba-tiba sahaja muncul di belakang, bagaikan tahu masalah yang bersarang di dalam kepalanya.

Bayu menoleh dan tersenyum tawar, tetapi kata-kata itu sedikit sebanyak memberi perangsang untuknya.

Apa yang dipakai pada lenganmu itu tentu sesuatu yang penting. Janganlah terlalu didedahkan, mungkin akan mengundang bahaya,” nasihat Pak Mali setelah diperhatikan anak muda itu tidak pernah menanggalkan Indera Bumi kecuali semasa menyucikan diri dan mengangkat wuduk.

Kata-kata itu menyedarkan Bayu. Mungkin dia akan dirompak kerana kecantikan Indera Bumi yang pasti menarik hati sesiapa saja yang terpandangnya.

Pak Mali kenal benda ini?” Bayu menunjukkan Indera Bumi pada lengannya. Pak Mali hanya menggelengkan kepala dan duduk bersila di sebelahnya.

Buatannya halus dan teliti. Tentu bukan tukang sembarangan yang menghasilkannya. Ukiran dan jenis logam pun Pak Mali tak pernah tengok. Rasanya bukan dari daerah ini. Mungkin dari seberang. Pusaka keturunan kamu?”

Saya tidak tahu. Atuk tidak pernah ceritakan apa-apa pun kepada saya mengenai benda ini.”

Pak Mali yakin pasti ada sesuatu yang istimewa dengan benda ini. Sesuai dengan pendekar muda seperti kamu.”

Pendekar? Saya bukan pendekar Pak Mali.” Bayu merendahkan diri.

Lagipun benar, dia tidak pernah merasakan dirinya seperti pendekar walaupun dadanya terkandung ilmu persilatan. Dia teringat datuknya pernah berkata, “Tahu ilmu silat sejurus-dua, tidak menjadikan kamu pendekar. Biarpun seseorang itu tidak tahu bersilat, tetapi dia berjuang keras demi kepercayaannya, dia adalah pendekar sejati.”

Janganlah kamu nak berselindung dengan Pak Mali. Dari gaya kamu melangkah pun Pak Mali tahu dadamu tidak lopong.”

Rupa-rupanya, tiada apa yang dapat Bayu sembunyikan dari Pak Mali. Bagaikan nujum, segala-galanya diteka dengan tepat.

Bagaimana Pak Mali tahu?”

Pak Mali berniaga warung. Pelbagai jenis orang singgah membasahkan tekak di warung Pak Mali. Pelbagai tingkah laku manusia dapat dilihat, pelbagai cerita dapat didengar. Tetapi tidak pula pernah terdengar hal benda di tangan kamu itu.”

Ayah, kanda Bayu. Nasi sudah dihidangkan.” Anak dara Pak Mali, Syasyira terjengul dari muka pintu memanggil mereka berdua.

Mari Bayu. Kamu kena makan banyak malam ini. Esok hendak berjalan jauh.” Pak Mali bangun dan menepuk bahu Bayu mengajaknya masuk ke rumah.

***

INILAH kali pertama Bayu makan malam beramai-ramai. Selalunya berdua dengan atuknya sahaja. Dirasakannya begitu sempurna sekali. Bagaikan bersama keluarganya sendiri yang dia tidak pernah ada. Ada bonda, ayahanda dan saudara kecil perempuan yang manis. Dan untuk ini, hatinya tersenyum dan tertawa.

Malam itu Bayu makan puas-puas. Semenjak semalam Bayu tidak banyak menjamah makanan kerana kesedihan hatinya. Dia tidak mahu menyusahkan keluarga ini. Dia tidak mahu mereka hilang selera dengan melihatnya bersedih. Dan malam ini dia makan seolah-olah ingin menuntut hutang seleranya yang hilang dalam tangis dan tawa hatinya.

Syasyira ketawa geli hati melihat gelagat Bayu yang bagaikan sepuluh hari tidak berjumpa nasi. Dia senang dengan Bayu dan tidak pernah mengangapnya sebagai orang asing. Malah dirasakan Bayu bagaikan kakandanya sendiri. Tambahan pula dia juga anak tunggal.

Pak Mali dan Mak Cah pula berasa senang melihat selera makan Bayu. Mereka tahu hatinya masih lagi dirundung kesedihan, tetapi tidak dibebani dengannya. Pemuda ini berjiwa tabah. Nasib baik Mak Cah masak lebih malam itu.

Sesudah selera dipuaskan, Bayu duduk bersandar kekenyangan pada tiang tengah. Tubuhnya terasa berat. Rasa sedikit kesal kerana terlalu mengikut nafsu. Tapi sekali-sekala apa salahnya!

Syasyira sibuk di dapur membantu ibunya mengemas dan membasuh pinggan mangkuk. Kadang-kadang menjaga api rebusan akar kayu Sira Merah untuk Bayu.

Mak, kasihan kanda Bayu, kan? Sudah jatuh ditimpa tangga. Kenapa dia tidak mahu tinggal bersama kita saja?” tanya anak gadis itu.

Mak pun tak tahu. Tapi katanya dia ada urusan perlu diselesaikan. Mungkin wasiat dari datuknya,” ibunya menjawab tanpa menoleh kepadanya, sibuk menyusun pinggan yang sudah dibasuh.

Wasiat?” Syasyira tergumam.

Syira, rebusan ini sudah boleh diminum. Sediakan dan beri kepada kanda Bayu kamu.” Mak Cah mengangkat periuk tanah berisi air rebusan akar Sira Merah daripada tungku dapur dan meletakkannya di atas para.

Merahnya air rebusan ini mak, seperti darah! Siapa yang boleh teguk air seperti ini?” Syasyira teragak-agak untuk menuang air rebusan itu ke dalam mangkuk. Dia ragu-ragu air itu boleh diminum kerana warnanya merah pekat.

Nampak saja seperti darah, tetapi bukan. Hati-hati tuang, jangan sampai tumpah dan janganlah pula kamu minum, jadi apa-apa, mak tak tahu.” Mak Cah mengusik anaknya. Tetapi benar, dia tidak tahu akibatnya jika terminum air itu. Suaminya ada memberitahu hanya orang yang mempunyai ilmu dalaman yang teguh sahaja dapat meneguk air itu. Jika tidak, hanya akan mengundang kecelakaan kepada peminum.

Syasyira membawa mangkuk yang berisi air akar kayu itu berhati-hati dan diletakkannya di hadapan Bayu. Bayu hanya memandang tanpa berkata apa-apa. Dia terlalu kenyang sehingga terlupa mengenai akar kayu itu.

Jemput kanda, minum.” Syasyira berundur dan duduk bersila bertentangan dengan Bayu. Ayahnya yang bersila di hadapan pintu menghisap rokok daun pucuk nipah hanya menjeling.

Terima kasih, Syira.” Bayu mengangkat mangkuk itu dan dihirupnya. Matanya tiba-tiba terbeliak, air akar kayu di dalam mulutnya lantas tersembur keluar dan membasahi wajah Syasyira yang dekat di hadapannya.

Kanda! Apa ni!” jerit Syasyira. Habis wajah dan pakaiannya berlumuran warna merah. Ayahnya ketawa besar melihat kelakuan mereka berdua.

Pedas! Pedas sangat! Air... air!” Ternganga-nganga mulutnya menahan kepedasan. Bibirnya terasa panas. Tidak disangkanya akar Sira Merah lebih pedas daripada cili api!

Syasyira segera berlari ke dapur mencuci muka. Anehnya, tidak pula terasa pedih pada wajahnya walaupun kanda Bayunya merungut air akar kayu itu pedas! Bondanya di dapur ketawa melihat anak gadisnya berlumuran air merah. Tapi Syasyira tidak menghiraukannya. Cepat-cepat dia kembali semula dengan membawa segelas air. Setelah meletakkannya di hadapan sila Bayu, dia berlari jauh dan menyorok di belakang ayahnya.

Akar kayu ini istimewa, sebab itulah rasanya pun lain.” Akhirnya Pak Mali bersuara setelah penat ketawa sambil menggosok-gosok kepala anaknya.

Kalau pahit boleh saya tahan, Pak Mali! Tapi yang ini pedas! Warnanya pun menakutkan!” Bayu mencapai air yang dibawa dan dihirupnya. Barulah terasa lega tekaknya.

Maafkan kanda, kanda tak sengaja.” Bayu memandang Syasyira. Syasyira hanya mencebikkan bibirnya dan memaling muka ke arah lain.

Bayu menghirup kembali air akar kayu di dalam mangkuk dan dengan bantuan air kosong, dia berjaya menghabiskannya jua. Terasa perutnya bagaikan mendidih. Badannya pula membahang, lantas dia keluar ke halaman untuk menikmati angin malam. Angin yang bertiup dingin menyejukkan bahang tubuhnya yang meluap-luap. Dia mendongak merenung langit yang ditaburi bintang-bintang tanpa setompok pun awan, tanda esoknya hari akan terus cerah dan panas. Terasa sungguh tenang suasana malam itu.

Cantik bintang-bintang di atas sana kan, kanda?” sapa Syasyira yang entah bila masa muncul di sisinya. Rajuknya pada Bayu sudah hilang. Begitulah sifatnya, cepat merajuk dan cepat juga ‘sejuk’.

Terlalu banyak tidak terbilang, tentu mereka tidak pernah kesunyian. Tidak seperti bulan, hanya sendiri,” balas Bayu dengan nada sayu.

Tetapi, bulan tidak sedar bintang-bintang itulah temannya, sentiasa setia menanti tatkala malam menjelang. Cuma, bulan sahaja yang kadang-kala lewat memunculkan diri.” Biarpun masih mentah, Syasyira memahami maksud Bayu itu tadi.

Mereka saling memandang dan berbalas senyuman. Kemudiannya, sama-sama kembali merenung langit.

Perlukah kanda berkelana?” soal Syasyira dengan matanya terus menatap bintang-bintang.

Inilah takdir kanda dan takdir tidak dapat dielak atau diubah. Sudah ketentuan-NYA kanda terpaksa memikul satu amanat. Dan amanat ini perlu dilaksanakan,” terang Bayu.

Walaupun Syasyira tidak memahami apa yang Bayu maksudkan, tetapi dia tidak meminta penjelasan lagi. Cukuplah baginya tahu kandanya bukan meninggalkan mereka kerana tidak mahu bersama mereka.

Janganlah sampai lupa jalan pulang.”

Tak akan kanda lupa.”

Bawa pulang ipar Syira sekali tahu!” usik Syasyira sambil ketawa dan berlari dari situ.

Bukan itu tujuan kandalah!”

Lantas, Bayu mengejar Syasyira. Mereka berdua saling kejar-mengejar di halaman. Bagaikan adik-beradik bersaudara sedang bermain. Penuh hilai ketawa. Jika tidak dipanggil oleh Mak Cah, mungkin hingga ke larut malam mereka begitu.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.