Home Novel Fantasi Takluk Jagat
Takluk Jagat
5/2/2015 00:01:35
48,924
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 13

SELESAI solat subuh bersama-sama di masjid, Bayu diajak Raja Madisar ke taman belakang istana. Katanya ingin menunjukkan sesuatu kepadanya. Sebaliknya, dia pula yang disuruh menunjukkan Indera Bumi kepada raja itu.

Hulurkan tangan kananmu.” Raja Madisar meminta dan Bayu menurut sahaja.

Apa yang anakanda tahu mengenainya?” soal Raja Bunian itu.

Ia sangat ampuh. Peredaran darah hamba menjadi lancar apabila memakainya. Tetapi menghauskan tenaga apabila digunakan terlalu memaksa. Bergetar apabila ada semangat jahat berhampiran dan juga dapat mengesan tenaga daripada Takluk Jagat.” Bayu pantas menjawab.

Tempoh anakanda mengenali Indera Bumi ini amat singkat, tetapi sudah banyak yang anakanda tahu mengenainya.” Raja Madisar kelihatan gembira.

Banyak yang telah hamba lalui dalam beberapa hari ini.”

Pada firasat anakanda, apa gunanya?”

Ia adalah pelindung lengan. Pasti untuk mempertahankan diri,” jawab Bayu dengan yakin.

Itu benar. Tetapi, ia juga dapat digunakan sebaliknya.”

Kata-kata raja itu mengingatkannya ketika bertarung dengan Sigorong. Indera Bumi digunakannya sebagai senjata.

Hamba pernah gunakannya dengan jurus Bayu Berolak hamba.”

Tunjukkan,” pinta Raja Madisar lalu Bayu mengabulkannya. Ditunjukkan semua gaya dan pergerakan yang terkandung di dalam jurus yang penuh gemalai tetapi keras membidas itu. Kecantikan pergerakan jurus itu menarik perhatian penduduk kampung yang berjalan pulang dari masjid di sebelah istana. Lebih mudah mereka melihat kerana istana Bunian ini tidak berpagar. Mereka memandang begitu asyik menikmati keindahannya.

Sungguh indah. Anakanda sudah menguasainya tetapi belum sempurna. Jangan risau, ia akan sempurna apabila semakin jauh kaki melangkah,” puji Raja Madisar manakala penduduk-penduduk kampung bertepuk tangan dan memuji-muji setelah Bayu selesai mempersembahkan jurusnya.

Bayu pula cuma tersengih dang menggaru-garu belakang kepala. “Semakin jauh kaki melangkah?” tanya Bayu kerana tidak memahami maksud kata-kata raja tadi.

Maksud hamba, apabila anakanda semakin banyak pengalaman!”

Bayu mengangguk-angguk. Bahasa kiasan nyata menyusahkannya.

Tetapi, jurus yang dilengkapi Indera Bumi ini hanya sesuai untuk menewaskan lawan yang berdamping dengan semangat jahat. Hamba rasa ianya tidak dapat membantu jika lawan itu handal tanpa pendamping dan berpengalaman,” Raja Madisar menyuarakan rasa hatinya.

Tetapi tuanku Raja Madisar, jurus ini dapat membalikkan semula tenaga yang dikenakan kepada pengamalnya kembali kepada lawannya biarpun sekuat gajah!” Bayu mengulangkan semula kata-kata yang pernah diucapkan datuknya dahulu ketika jurus silat itu diperturunkan kepadanya.

Harus diingat, anakanda Pendekar Bayu. Ada bezanya lawan yang kuat dan lawan yang berpengalaman, yang langkahnya sudah jauh melangkaui jejak anakanda. Bersedia, hamba akan tunjukkan. Jangan mengambil ringan terhadap hamba, jika tidak, anakanda tidak akan faham.”

Lantas dengan lafaz bismillah, Raja Madisar menarik nafas dalam dan bersedia untuk menyerang. Bayu tidak berani mengambil enteng setelah melihat ketegasan wajah raja Bunian itu. Walaupun sudah berumur, tetapi dia tahu buah pukulan raja itu masih berbisa. Jika tersilap langkah, dia akan cedera!

Dengan pantas, Raja Madisar menyerbu. Bayu terperanjat kerana tidak menyangka lelaki berumur itu lebih tangkas daripada sangkaannya. Tetapi, dia berjaya menyekat serangan itu dan menggunakan tenaga yang dikenakan kepadanya untuk menolak Raja Madisar. Tidak disangka, raja itu memutarkan tubuhnya dan membalikkan tenaga untuk menolaknya tadi kembali kepada Bayu dan kesudahannya, dia yang tercampak jauh!

Ini bukan kekuatan. Ini pengalaman,” kata Raja Madisar sambil menghulurkan tangan menarik Bayu bangun.

Lihatlah tenaga yang kecil, apabila diedarkan semula, berubah menjadi besar,” katanya lagi.

Bayu mengangguk faham. Tenaga yang cuma digunakan untuk menolak, apabila dikembalikan kepadanya, mampu mencampaknya jauh.

Jika bertemu dengan lawan yang didampingi oleh semangat asing, hapuskanlah dahulu semangat itu. Jangan ambil mudah mereka yang tewas. Pengamal ilmu hitam yang bersekongkol dengan syaitan dan iblis ini sangat keji dan sanggup membelakangkan agama. Jika anakanda kasihani mereka, pasti anakanda akan ditikam dari belakang!”

Ilmu hitam? Bagaimana dengan mantera yang digunakan untuk melancarkan jurus? Tidakkah itu juga ilmu yang sesat?” Bayu berasa keliru. Dia mula tertanya-tanya apakah mentera yang dibacanya adalah bertujuan untuk menyeru semangat?

Tetapi ketika membaca mantera-mantera itu, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menyeru apa-apa bentuk bantuan luar. Dia membacanya kerana dia diajar begitu. Sangkanya, ia cuma satu bentuk kesenian orang-orang Melayu.

Letakkan tangan tuan pada dada,” suruh Raja Madisar.

Bayu terpinga-pinga dan hanya menurut. “Untuk apa?” Bayu kehairanan. Apa kena-mengena tangan pada dada dan kemusykilannya tadi?

Apa yang tuan rasa?” soal Raja Madisar.

Rasa? Apa yang sepatutnya hamba rasa?” Bayu masih belum faham.

Raja Madisar cuma mengangkat kening merenungnya.

Rasa? Ya! Hamba dapat rasakan!

Ada getaran apabila hamba berbicara! Tetapi, apa kena-mengenanya?” Bayu sudah mula memahami. Tetapi, tidak sepenuhnya.

Apabila kita berbicara, seluruh isi di dalam badan, paru-paru, perut, hati dan yang lainnya akan bergerak-gerak, bergetar mengikut patah bicara kita. Kita juga perlu bernafas untuk berbicara. Sebab itulah dirasakan dada kita bergetar. Apa yang dilakukan ketika membaca mantera?” Raja Madisar tidak ubah seperti seorang guru yang mengajar muridnya. Penuh semangat!

Mengedarkan tenaga dalam.” Bayu memberi jawapan. Kepalanya mendongak memandang raja itu.

Tenaga dalam akan berubah-ubah dan dicerna oleh perut, paru-paru dan hati di dalam badan yang bergetar bersama nafas yang diambil dan dihembus ketika melafaz mantera. Setiap jurus, berbeza kaedah dan jumlah tenaga dalam yang dicerna. Sebab itulah lain jurus lain manteranya. Jadi, ia bukan bertujuan untuk menyeru mana-mana pendamping. Kecuali mantera yang sememangnya bertujuan untuk menyeru semangat-semangat ghaib. Anakanda pasti dapat membezakan yang mana jurus mutlak dan yang mana jurus sesat,” terang Raja Madisar dengan panjang lebar.

Barulah hamba berasa tenang. Tak terduga dalamnya ilmu tuanku. Tetapi, kenapa tuanku memanjat pokok?” Bayu hairan melihat gelagat Raja Madisar. Semakin rancak dia bercerita, semakin tinggi pohon pulasan di taman itu dipanjatnya.

Ha? Oh! Hamba memang suka mengajar dari atas pokok, senang melihat anak murid,” jawab Raja Madisar yang kelihatan menggelabah turun dari atas pohon itu.

Bayu tunduk melihat tanah. Tidak disangkanya, kaum Bunian pun melatah.

Ayahanda ini tak akan berubah. Semakin bersemangat, semakin tidak sedar kelakuan diri!” rungut Puteri Ariasha yang memerhati dari jendela istana.

Cukup dahulu setakat ini. Kita sambung selepas asar,” ujar Raja Madisar sebelum menghilangkan diri naik ke istana.


***

PETANG itu, sekali lagi Bayu Adi Jata menghadap Raja Madisar di taman belakang istana, di bawah pohon pulasan yang berbuah lebat, tempat yang sama.

Mengikut adab susila manusia, yang selalu bermain di mulut mereka yang kononnya berbudi dan mulia hati, kekejaman patut dilawan oleh kelembutan dan kesopanan budi bicara. Hati yang kejam lambat-laun berubah.” Raja Madisar bersemangat memulakan pengajarannya petang itu.

Tetapi, jika rahang sudah patah, tangan cacat, bolehkah kita berlembut lagi? Jagat persilatan adalah kejam. Kuat berkuasa, lemah merana. Tetapi masih ada yang membela. Untuk itu, syukur kepada ALLAH. Namun, berdepan dengan Takluk Jagat, kejam perlu dilawan dengan kezaliman!” Kata-kata Raja Madisar kali ini agak menggentarkan Bayu. Dia sentiasa diingatkan untuk bersikap lembut tetapi berhati-hati oleh datuknya. Tidak pernah diajarnya berkasar.

Sampai suatu masa, anakanda Pendekar Bayu perlu menjadi zalim untuk menyelamatkan nyawa yang lain!”

Zalim? Tetapi, itu sifat yang cela.” Bayu kurang bersetuju dengan cara yang disarankan walaupun di hatinya sedar, sesetengah keadaan, itu sahaja caranya.

Indera Bumi pasangan Takluk Jagat; juga lawannya. Ia mampu mengekangnya dengan cara yang tersendiri. Cara yang zalim!” Raja Madisar memandang Indera Bumi pada lengan Bayu ketika berbicara.

Mana mungkin tuanku? Ia cuma pelindung lengan. Bukan pedang ataupun golok!” tegasnya. Aneh sekali, bagaimana sebuah pelindung lengan mampu berlawan dengan sebilah keris?

Sudah hamba katakan pagi tadi, ia boleh digunakan sebagai senjata untuk menyerang. Salah satu caranya, tuan sendiri temui. Tetapi caranya yang mutlak, Seni Permainan Indera Bumi masih lagi terselindung, belum anakanda sedari.”

Kata-kata Raja Madisar membuatkan Bayu semakin tertanya-tanya. Apa maksudnya ‘Seni Permainan Indera Bumi masih lagi terselindung’? Sudah berkali-kali Bayu membelek Indera Bumi, tetapi tidak menemui apa-apa pun?

Lihatlah ukirannya,” pinta Raja Madisar setelah melihat Bayu mula keliru.

Lalu, Bayu sekali lagi membelek ukiran yang menghiasi pelindung lengan itu, setelah entah berapa puluh kali dibeleknya semenjak menjumpai benda itu. Ukiran aneh seperti pucuk-pucuk menyulur membelit dengan corak tertentu berpecah menuju ke bahagian atas dan ke bawah. Pucuk-pucuk yang menuju ke atas pula berpecah kepada dua bahagian. Bahagian sebelah kirinya terdapat bunga-bunga kecil manakala yang kanannya terdapat garis-garis halus di bahagian luar pucuk kelihatan seperti lapisan yang melindunginya.

Cantik tetapi aneh ukirannya pada pandangan mata hamba.” Bayu tidak mahu menyinggung perasaan raja itu kerana dia pasti Indera Bumi ada kaitannya dengan kaum Bunian.

Jika begitu, anakanda telitilah ia. Jika sudah faham, datang temui hamba.” Raja Madisar berlalu naik ke atas istana semula.

Tetapi, ia mungkin akan memakan masa. Jika tuanku terangkan kepada hamba, pasti lebih cepat!” Bayu melaung ke dalam istana.

Kefahaman setiap orang terhadap ukiran itu pasti berbeza. Hamba tak boleh ceritakan kefahaman hamba kerana ia pasti tak sesuai dengan anakanda pendekar Bayu. Lebih elok anakanda memahaminya sendiri kerana anakanda adalah warisnya,” balas Raja Madisar yang menjenguk dari bukaan jendela.

Apa kena mengena ukiran ini dengan Seni Permainan Indera Bumi?” soal Bayu lagi.

Kesemuanya!”


***

UKIRAN ini pasti mempunyai makna. Tetapi, tiada apa-apa petunjuk yang terlintas di fikiran hamba.” Puteri Ariasha berkerut dahi membelek Indera Bumi, lalu diserahkannya kembali kepada Bayu.

Bagaimana tuanku raja tahu begitu banyak tentang Indera Bumi? Hamba rasa ia ada kena-mengena dengan kaum Bunian, apakah telahan kanda ini benar?”

Menurut ceritanya, ia memang ditempa oleh kaum Bunian untuk mengekang Takluk Jagat yang bermaharajalela suatu ketika dulu.”

Mengapa hamba tak diberitahu sebelum ini?”

Tiada terkeluar pun pertanyaan tuan hamba mengenainya,” jawab Puteri Ariasha sambil membetulkan duduknya di atas dahan pohon pulasan.

Pelik benar orang Bunian, semuanya perlu disoal,’ fikir Bayu sambil memetik buah pulasan lalu dihulurkan kepada Puteri Ariasha yang duduk terjuntai di sebelahnya.

Mungkin ia sebuah peta!” Bayu membuat andaian.

Ke mana?”

Tempat ia ditempa. Barangkali penempa atau keturunannya masih wujud. Atau mungkin ia menunjukkan arah ke tempat rahsia Seni Permainan Indera Bumi tersembunyi!”

Perkampungan tempat ia ditempa telah lama ditinggalkan. Susah untuk kita menjejaki keturunan penempanya. Lagipun, hamba tidak merasakan ia sebuah peta, tiada pemandu arah yang boleh kita jadikan pedoman.”

Mungkin ukiran ini sama dengan ukiran pada bangunan tertentu? Yang mungkin menyimpan rahsianya?” Bayu cuba meneka lagi.

Setiap bangunan kaum bunian terdapat ukiran yang tersendiri untuk membezakannya. Tuan hamba sendiri dapat perhatikannya di kampung ini. Hamba tahu semua ukiran-ukiran ini.” Puteri Ariasha berhenti berbicara dan memegang Indera Bumi pada lengan Bayu dan membeleknya sebelum menyambung bicara, “Tetapi apa yang terdapat pada Indera Bumi sesuatu yang tidak pernah hamba lihat. Coraknya bercampur aduk. Nampak aneh walaupun pada pandangan mata kaum kami.”

Puteri Ariasha sendiri bingung memikirkan rahsia yang tersirat pada Indera Bumi. Dia telah mencuba sedaya memikirkannya untuk membantu tetapi masih belum berjaya.

Bayu sudah buntu akal. Hari semakin gelap. Angin petang yang berhembus dirasanya begitu menyejukkan. Membekukan sekali fikirannya daripada terus berfikir. Puteri Bunian diam terkunci mulut, merenung wajah pemuda di sebelahnya.

Malam ini selepas selesai solat isyak, hamba ada kejutan untuk tuan hamba!” ucap Puteri Ariasha dengan riang.

Kejutan? Apakah gerangannya? Tuan hamba ingin masakkan makan malam?”

Jika diberitahu, bukanlah lagi kejutan namanya.”

Bertemu tuan hamba juga satu kejutan.”

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.