Home Novel Thriller/Aksi Lolipop Superhero
Lolipop Superhero
12/5/2015 02:25:52
2,622
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
bab 1

Suzanna sorong troli laju-laju. Pengalaman dua tahun mengendalikan troli yang sarat dengan dua tiga batang mop, penyapu, dan bermacam cecair pembersih dipergunakan dengan sebaiknya. Pejalan kaki yang agak ramai di ruang legar dalam bangunan itu dielaknya dengan cekap. Beberapa orang yang sedang berjalan menjerit marah kerana risau dilanggar Suzanna. Suzanna tidak peduli. Dia perlu sampai ke checkpoint di sayap Barat bangunan dengan segera.

Terdengar bunyi berdentum yang amat kuat dari atas bumbung bangunan. Semua orang mendongak, dan ada berhenti berjalan. Suzanna ikut mendongak, tetapi trolinya masih laju ke hadapan. Di atas cermin bumbung skylight bangunan itu, dia dapat melihat sesuatu sedang menjunam turun dari langit. Orang ramai mula menjerit panik dan lari bertempiaran. Suzanna meramal trajektori benda yang sedang jatuh itu – 10 meter di hadapannya, sedikit ke kiri. Dan pada titik ramalan impak benda itu ke lantai, ada seorang lelaki memegang briefcase sedang terkebil-kebil melihat benda di langit itu. Kakinya terketar-ketar seperti mahu melangkah, tetapi tidak bergerak. “Oi, lari! Apa yang kau tercegat di situ!” jerit Suzanna kepada lelaki itu.

Lelaki itu masih tidak berganjak. Suzanna tahu lelaki itu panik. Benda yang sedang jatuh itu sudah merempuh bumbung skylight dan terus menjunam ke bawah bersama serpihan kaca dan besi – ke titik impak ramalan Suzanna. Dia mendengus geram. Suzanna menukar haluan trolinya ke arah lelaki itu dan menolaknya selaju mungkin. Matanya silih ganti memandang si lelaki panik, dan benda itu – yang dia tahu diperbuat daripada logam kerana warnanya yang berkilat dan ada beberapa biji lampu yang menyala padanya.

Suzanna mencongak. Dia perlukan sepuluh saat untuk menyelamatkan lelaki itu, tetapi benda logam yang sedang jatuh itu akan menghempap lelaki itu dalam lapan saat. Suzanna perlu lebih pantas. Benda yang jatuh itu semakin hampir. Suzanna menjerit dan melonjak sekuat mungkin – meluncur bersama-sama trolinya dan terus melanggar lelaki itu. Lelaki itu menjerit dan terjelepok ke atas troli Suzanna yang terus meluncur. Terdengar dentuman yang kuat bersama bunyi deraian kaca dan besi skylight yang jatuh ke lantai. Mereka nyaris-nyaris nahas! Kalau Suzanna lambat melonjak tadi, tentu kedua-dua mereka sudah arwah. Akhirnya troli itu terbalik tidak jauh dari titik impak dan Suzanna serta lelaki itu jatuh berguling-guling.

Perlahan-lahan lelaki itu bangun sambil memegang kepalanya. Dia terasa sedikit benjol pada sebelah kiri dahinya. Suzanna pula bangun sambil mengaduh. Dia menoleh kepada benda logam yang jatuh tadi di belakang mereka. Akhirnya dia dapat melihat benda itu dengan jelas. Besar – hampir sebesar kereta, berwarna krom dan berbentuk bujur seperti telur.

“Terima kasih kerana selamatkan saya.” Lelaki itu menghampirinya dan menghulurkan tangan.

“Kita belum selamat,” balas Suzanna tanpa mengendahkan huluran tangan lelaki itu. Matanya terus merenung benda itu. Lampu-lampu yang ada padanya bercahaya tidak stabil, seperti berlaku gangguan elektrik. Kemudian, dia seperti tersedar sesuatu. “Mana sekuriti?”

Lelaki itu menyedari ada betulnya kata-kata gadis yang menyelamatkannya itu. Tangan yang dihulur yang tidak disambut, perlahan-lahan dimasukkan ke dalam poket. Malu juga dia. Nasib baik tiada sesiapa melihat. Semua orang yang berjaya menyelamatkan diri tertumpu pada benda yang jatuh tadi. Lelaki itu melihat sekeliling, tiada kelihatan sesiapa yang cedera. Kemudian barulah dia ternampak beberapa orang sekuriti datang bergegas dari laluan sayap Utara bangunan. Mereka memeriksa keadaan sekeliling dan orang ramai. Dua orang daripada mereka mendekati benda yang jatuh dari langit itu, mahu memeriksa.

“Suruh semua orang keluar dari bangunan ni,” kata Suzanna perlahan apabila melihat benda logam yang berlampu-lampu itu mula bergerak-gerak dan mengeluarkan bunyi yang berdengung. Empat batang logam yang runcing mula keluar dari benda itu.

“Hah?” Lelaki itu terpinga-pinga. Mungkin kepalanya masih 'weng' kerana terhantuk tadi.

“Semua orang keluar dari bangunan ni!” Suzanna melaung. Lelaki itu terkejut dengan jeritan Suzanna. Benda itu mula aktif bergerak. Ia sedang berubah bentuk. Semua orang yang ada di situ menjerit panik dan lari bertempiaran. Dua orang sekuriti yang sedang melihat-lihat benda itu segera berundur. Sekuriti yang lain pula mengawal orang ramai dan mengarahkan mereka keluar dari ruang bangunan itu.

“Lari!” Suzanna menggesa lelaki itu dan mula berlari. Sebaik sampai ke pintu kaca yang menghubungkan bahagian bangunan itu ke laluan ke luar, baru Suzanna sedar yang dia keseorangan. Dia menoleh dan ternampak lelaki itu seperti sedang mencari-cari sesuatu di tempat trolinya terbalik tadi. “Kalau dia mati, tak ada kaitan dengan aku. Tadi aku dah selamatkan dia, sekarang dia cari nahas sendiri,” Suzanna mengomel seorang. Dia menolak pintu kaca dan bersama-sama orang ramai meninggalkan ruang bangunan yang berbahaya itu.

Lelaki yang diselamatkan Suzanna tadi cemas melihat sana sini di atas lantai. Tadi semasa sedang berlari di belakang gadis yang menyelamatkannya, dia terperasan briefcase yang dibawanya sudah tiada. Mesti terjatuh semasa gadis itu melanggarnya dengan troli tadi. Jadi dia perlu mencari di antara kawasan benda yang jatuh dari langit tadi dan troli perkakas pembersihan yang terbalik. Benda logam yang sedang berubah bentuk itu tidak dipedulikannya. Dia mengangkat troli alatan pembersihan yang terbalik itu – tiada. Dia meninjau lagi. Akhirnya dia ternampak briefcase yang dicarinya itu, berada hampir dengan salah satu tiang lengkung yang menyangga bumbung ruangan itu. Lelaki itu berlari mendapatkannya. Ditepuk-tepuk briefcase itu yang sudah bertompok-tompok dengan debu runtuhan. “Janganlah rosak barang di dalam ni,” ujarnya risau.

Tiba-tiba dia terdengar bunyi dengung jentera, amat kuat di belakang. Lelaki itu menelan liur. Dia terlupa benda yang jatuh dari langit tadi. Dia segera menoleh. Benda itu – yang sudah kelihatan seperti seekor labah-labah besar dengan empat kaki runcing dan dua gatling gun di atas ʻabdomenʼ – berada betul-betul di hadapannya. “Drone Araknid... rupanya benda tadi drone Araknid...,” ucapnya dengan terketar-ketar.

Dua gatling gun drone Araknid itu berpusing-pusing ke kiri dan kanan. Kemudian ia terpaku pada lelaki itu, seolah-olah sudah menemui sasaran. Lelaki itu memeluk briefcasenya erat-erat, sudah rasa mahu terkencing.

“Hoi, robot jahat!” Tiba-tiba terdengar laungan kuat. Anggota-anggota sekuriti tadi datang semula. Mereka terus melepaskan tembakan bertalu-talu kepada drone itu. Tetapi, peluru-peluru pistol mereka tidak dapat menembusi badan drone itu. “Cepat lari! Kami cuba tarik perhatian menatang ni!” jerit seorang daripada mereka kepada lelaki itu.

Drone Araknid itu menjadi agresif kerana diancam. Kaki-kaki runcingnya diangkat satu demi satu. Berdentam-dentum bunyinya kerana beratnya drone itu, sehinggakan lantai yang dipijaknya retak. Ia berpusing ke arah anggota-anggota sekuriti itu. Gatling gunnya mula berputar ligat lalu memuntahkan peluru bertalu-talu, memaksa para sekuriti itu bertaburan lari menyorok di balik-balik tiang. Seorang daripada sekuriti itu tidak sempat berlindung dan terkorban. Kemudian tembakan dihentikan. Putaran laras gatling gun drone itu semakin perlahan dan seketika kemudian berhenti. Asap masih bersisa daripada muncung laras-larasnya. Mungkin kerana drone itu berasa tidak lagi diancam. Ia berpusing-pusing, seperti sedang mencari-cari. Kemudian drone itu berjalan ke arah sebuah tiang di penjuru kiri ruang bangunan itu. Hampir dengan pintu keluar.

Lelaki yang diselamatkan Suzanna tadi sudah takut separuh mati. Nampaknya drone itu memburunya. Nampaknya drone itu menjunam dari langit tepat ke tempatnya berdiri tadi bukanlah kebetulan. Tetapi, kenapa? Kerana isi kandungan briefcasenya itu? Tetapi, bagaimana drone Araknid itu yang pangkalannya entah di mana-mana dalam galaksi Bima Sakti boleh tahu? Sedangkan isi kandungannya cuma dia dan profesor di universiti tempat dia bekerja sahaja yang tahu tentangnya. Dia cuma menunggu ajal di sini. Tadi dia sudah hampir dengan pintu keluar apabila drone itu mula menembak anggota-anggota sekuriti tadi dengan dua buah gatling gunnya. Dia terpaksa melencong bersembunyi di balik tiang itu kerana takut menjadi sasaran tembakan drone itu.

Lelaki itu dapat mendengar drone itu berhenti tidak jauh daripadanya. Dia tidak berani menjenguk melihat. Briefcasenya dipeluk erat. Kedengaran dua buah gatling gun drone itu mula berputar dan tembakan dilepaskan. Tembakan bertalu-talu peluru 15mm yang dimuntahkan akan merobek konkrit tiang tempat dia berlindung dalam kurang dua minit dan kemudian peluru-peluru itu akan menembusi tubuhnya.

Tiba-tiba pintu keluar terbuka kasar dan lelaki itu dapat melihat gadis cleaner yang menyelamatkannya tadi menyerbu masuk membawa bersama dua batang besi. Gadis itu terus menggelongsor masuk ke bawah drone itu dan menghentak-hentak perut drone itu dengan batang-batang besi yang dibawanya.

Tembakan terus dihentikan kerana ia merasakan ada ancaman lain yang berada di bawah, pada titik butanya. Drone itu bergerak miring ke sisi untuk mendapatkan sasaran di bawahnya. Tetapi, tindakan itulah yang ditunggu Suzanna. Sebaik drone itu mengangkat kaki depan kanannya, Suzanna menusukkan satu daripada batang besinya pada sendi kaki mekanikal itu. Drone itu mula hilang keseimbangan kerana kaki depan kanannya itu tidak dapat bergerak. Kemudian ia mengangkat kaki depan kirinya pula, dan Suzanna menikam batang besi yang satu lagi pada sendi kaki itu pula. Percikan bunga api meletus pada kedua-dua kaki mekanikal itu lalu drone itu terus hilang keseimbangan. Suzanna segera keluar dari bawah perut drone Araknid itu sebelum ia tersungkur ke lantai dan terus diam. Asap putih nipis keluar daripada badan drone itu.

Suzanna pergi mendapatkan lelaki yang sudah diselamatkannya dua kali itu. Lelaki itu pucat, tersandar sambil masih memeluk erat briefcasenya. Terus ditamparnya kepala lelaki itu. “Kau kalau nak mati, boleh tak jangan menyusahkan orang?” Dia melihat briefcase yang dipeluk lelaki itu. Baru dia sedar kenapa lelaki itu berpatah balik tadi. Semasa dia menggesa lelaki itu untuk lari tadi, briefcase itu tidak ada. “Beg tu lagi berharga daripada nyawa kau? Nyawa diorang?” Suzanna menunjuk ke arah para sekuriti yang sedang mengangkat rakan mereka yang terkorban. “Kau pakai kot cantik, smart macam orang terpelajar, tapi otak tak tahu nak susun mana prioriti!” Suzanna belum puas membebel. Memang dia sangat marah. Apatah lagi apabila tahu ada orang yang terkorban. “Mampus aku nak cuci semua ni....” Suzanna memerhati kerosakan di sekelilingnya.

“Maaf... mulanya saya tak tahu itu drone Araknid. Saya tak pernah lihat bentuk drone itu dalam mode masuki orbit. Tak semua orang tahu bentuk tu.” Lelaki itu menunduk. Kata-katanya ikhlas. Dia memang amat rasa bersalah. Tetapi pada masa yang sama, dia kagum dengan gadis cleaner ini. Betulkah gadis ini kerja tukang cuci? Uniform yang dipakainya, memang uniform tukang cuci. Tetapi ketangkasan gadis itu, dan pilihan diksi yang digunakan ketika memarahinya tadi, sepertinya gadis ini terlatih dan terpelajar. Dan gadis cleaner itu tahu bentuk drone dalam mode masuki orbit planet beratmosfera. “Drone tu memburu saya. Ia semacam tahu apa isi kandungan beg ni,” kata lelaki itu dengan nada lemah.

“Kau... ada benda yang Araknid mahu? Macam... kau ada blueprint alat tachyon yang berfungsi?” Suzanna berasa pelik. “Araknid tak membabi buta serang planet kapital konsortium. Dan benda tu berjaya tembusi atmosfera planet kapital konsortium memang nampak mereka terdesak. Ke mana Ultra Galaktik Rayyan?”

Lelaki itu mendongak memandang gadis itu. Sah! Dia bukan gadis cleaner biasa. Mana ada tukang cuci bercakap seperti itu. Tachyon? Mana ada tukang cuci yang tahu mengenai teknologi tachyon. Siapa gadis ini sebenarnya? Kenapa dia jadi tukang cuci?

Tiba-tiba mereka terdengar bunyi putaran laras gatling gun diiringi dengung jentera yang kuat. Drone Araknid itu hidup kembali dan cuba bangkit semula. Batang-batang besi yang terbenam di sendi kaki mekanikal drone itu semakin bengkok ditekan kekuatan hidraulik pada setiap ruas kakinya. Akhirnya, drone Araknid itu berdiri gagah kembali.

Anggota-anggota sekuriti segera melepaskan tembakan ke arah drone itu. Mereka menjerit-jerit marah kerana drone itu telah membunuh seorang rakan mereka. Tetapi, kali ini drone itu seperti tidak menghiraukan mereka. Dua laras gatling gunnya cuma tertumpu pada lelaki yang memeluk briefcase itu.

“Aku dah mati akal. Lumpuhkan kaki drone tu pun dah tak berguna,” ucap Suzanna, seakan-akan pasrah.

“Lari. Awak masih sempat selamatkan diri,” ucap lelaki itu kepada Suzanna. “Benda tu cuma nakkan saya.”

Suzanna menjeling kepadanya. Dia sudah mencongak, dia tidak akan sempat selamatkan diri. “Nama aku... saya Suzanna.”

“Saya Aswad,” balas lelaki itu.

“Awak memang celaka, Aswad.” Suzanna tersengih.

Putaran laras gatling gun sudah capai kelajuan maksimum. Peluru akan dimuntahkan bila-bila masa. Suzanna dan Aswad sudah tidak mampu buat apa-apa, cuma menunggu peluru-peluru menembusi tubuh mereka.

Ada bunyi berdesing yang kuat – lebih kuat daripada dengung jentera drone dan bunyi putaran laras gatling gun. Dalam sekelip mata, kelihatan satu susuk bayang menjunam dari langit melalui bumbung skylight yang sudah berlubang. Drone Araknid itu tiba-tiba terpenyek, seperti dihentak dengan tukul besar dengan kuat. Bersama-sama itu bunyi dentuman kuat terdengar dan menghasilkan gelombang kejutan sehingga membuatkan Suzanna, Aswad, dan anggota-anggota sekuriti terpelanting. Lantai melekuk menjadi kawah. Asap putih nipis naik daripada bangkai drone itu. Api kecil mula merebak. Di sebalik asap nipis itu, kelihatan samar-samar susuk sasa seorang lelaki sedang bangkit.

“Maaf, Ultra Galaktik Rayyan terlambat,” kata lelaki sasa itu dengan wajah masam.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.